Memaparkan catatan dengan label menang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label menang. Papar semua catatan

Sabtu, Jun 18, 2016

BUDIMAN YAKIN MENANG DENGAN MAJORITI LEBIH 1,000 UNDI

SUNGAI BESAR, 16 Jun (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yakin bahawa BN mampu mengekalkan kerusi Parlimen itu dengan majoriti lebih 1,000 undi pada PRK Parlimen Sabtu ini walaupun melihat dirinya sebagai calon "underdog."

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata jumlah majoriti itu tidak mustahil dicapai meskipun pada pilihan raya umum (PRU) lepas BN hanya menang dengan majoriti 399 undi.

"Di peringkat awal lagi saya membawa diri saya sebagai calon 'underdog' tetapi saya bersedia untuk menang pada PRK ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran "Gelombang Biru" jentera Wanita BN yang disempurnakan oleh Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar di sini Khamis.

Budiman turut menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan keluar mengundi berdasarkan 'track record' PRU sebelum ini ditambah dengan perancangan jentera parti yang memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Ketika ditanya mengenai tugas pertama yang akan dilakukan sekiranya dipilih sebagai Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman berkata beliau akan cuba menyelesaikan masalah membabitkan golongan nelayan, pesawah dan pekebun.

"Selain itu, saya juga akan melaksanakan ikrar saya yang merangkumi tiga aspek iaitu melibatkan pendidikan, inovasi ekonomi dan eko pelancongan di Sungai Besar," katanya yang turut ditemani isteri, Norma Aida Abdullah.

Mengenai harapannya dalam tempoh berkempen yang tidak sampai 48 jam lagi, Budiman berkata beliau akan meneruskan perjumpaan dengan kumpulan-kumpulan kecil dan akan "memendekkan" waktu tidurnya ke tempoh paling minimum.

Terdahulu, ketika berucap di majlis itu, Budiman berterima kasih kepada jentera Wanita BN yang bertungkus-lumus membantu kempen bagi memastikan kemenangannya pada PRK tersebut.

"BN tidak akan menang PRK tanpa sokongan dan bantuan daripada 'tulang belakang' parti iaitu Wanita BN. Bagaimanapun, kita perlu berwaspada supaya tidak menjadi seperti arnab dan kura-kura apabila arnab sudah mendahului dalam perlumbaan tetapi bila sampai di pertengahan jalan, arnab terleka.

"Sebab itu walaupun mood PRK ini milik BN tetapi kita tidak mahu terleka sebab kelekaan sesaat akan membawa kepada keburukan berpanjangan. Justeru, saya dengan rendah diri mohon restu dan sokongan daripada anda semua," katanya disambut sorakan dan tepukan kira-kira 3,000 jentera Wanita BN yang hadir pada majlis pelancaran itu.

Sementara itu, Noh dalam ucapannya turut memperakui kekuatan jentera Wanita BN dalam membantu kempen Budiman pada PRK itu.

"Wanita bukan sayap parti tetapi tulang belakang parti. Tanpa tulang belakang ini parti tidak akan hebat seperti sekarang. Jasa anda dalam membantu kempen sehingga sanggup tinggal anak, suami terutama pada bulan puasa ini amat tidak ternilai dan tidak terbayar oleh BN," katanya.

Pada PRK itu, calon BN itu ditentang calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan calon Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Abdul Shukur.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

-- BERNAMA





>> Senarai Berita

Jumaat, Jun 17, 2016

BN MENANG BESAR DI SUNGAI BESAR?

Semalam saya ambil penulis hebat dari Sabah, Musli Oli di KLIA2 pada jam 1.45 petang dan kami terus ke Sungai Besar dengan kereta sewaan kami Viva.

Saya memandu perlahan kerana Musli kata kita tidak perlu rushing. Dari KLIA terus kami lalu ikut Shah Alam, lebuhraya Guthrie, lebuhraya LATAR,Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sungai Besar.

Di LATAR hujan lebat, maka Musli pula yang memandu. Kami selfie dan saya masukkan gambar itu dalam grup wasap kami. Fakhrul komen kenapa tetamu pula yang memandu. Saya jawab tukar driver kerana mata saya kurang sharp dalam hujan lebat.

Trafik sepanjang jalan dari Ijok ke Sungai Besar tidak sibuk mana. Tiba di Tanjung Karang Musli hairan kenapa pekan itu nampak kosong kerana tiada pokok sepanjang jalan.Musli seorang yang observant. Bila masuk Sekinchan baru nampak bendera parti yang bertanding. Menurut Musli, kalau ikut bilangan bendera yang dipasang sepanjang jalan BN sudah menang.

Jam 5 kami tiba di Sungai Besar. Kami cari pusat daerah mengundi (PDM Parit 1 Timur yg dinaungi oleh Umno Sabah dan Umno Bahagian Selayang.

Kami jumpa cari PDM tersebut.Malam kelmarin ahli grup wasap kami Shahbudin Embun berceramah di situ berapi api menghentam Tun Dr Mahathir. Kami temui wanita yang berbaju merah wanita Umno.

"Dari mana kakak semua,"tegur saya.
"Dari Beaufort Sabah," jawab wanita itu.
"Ini kawan kawan dari Beluran,Libaran dan Sipitang,"tambah wanita tadi.
"Kakak tak kenal kawan saya ini dari Kota Belud," kata saya.
"Tak," jawab wanita Beaufort itu.
"Inilah Musli Oli," kata saya.
"Astaga. Kami selalu baca buku Musli tapi ini kali baru kenal orangnya," katanya terperanjat. Mereka kagum dapat menemui penulis buku politik terkenal.

Petang itu kami berbuka puasa di surau kampung tersebut. Di situ kami terjumpa rakan lama di akhbar Watan, Drs Kamaruzaman Zainal orang Kuantan. Dia bersama NGO bekas kakitangan KEMAS Malaysia berkampung di situ beri bantuan kepada pengundi. Di situ kami terjumpa juga Jaafar orang kuat Umno Selayang yang sering kami temui di Nagas. Tetapi Mohd Nor Rajie tidak ada kerana berada di Kuala Kangsar.

Dalam perbualan kami dengan penduduk kampung BN dijangka menang besar kali ini. Malah PDM tersebut pada PRU 2013 kalah kerana undi orang muda pergi kepada calon PAS. Apabila pembangkang berpecah maka undi orang muda berpecah kepada PAS dan Amanah.

Prk ini memberi rahmat kepada orang kampung yang menyewakan rumah mereka sebanyak RM5,000 sebuah kepada jentera prk Sungai Besar.Malah hotel kami tinggal dalam pekan pun Green Hotel bertaraf hotel bajet RM80.00 satu malam berharga RM148.00. Musli kata pemilik hotel pun ambil kesempatan di musim prk.

Esok hari penentuan siapa yang menang di Sungai Besar. Menurut jentera BN, calon BN akan menang besar kerana Budiman sudah terbukti seorang yang berbudi. Malah undi orang Cina di DUN Sekinchan pun berpecah dua kerana ADUN DAP tidak sokobg calon Amanah. Undi penyokong beliau akan pergi kepada calon PAS.Sama samalah kita tunggu malam esok.

Ahad, Jun 12, 2016

BELUM MENANG PM DAH LULUS DUA AGENDA PERJUANGAN MASTURA

Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merealisasikan dua daripada lima agenda diperjuangkannya.

Mastura, 55, berkata beliau bersyukur dengan pengumuman perdana menteri semalam yang meluluskan peruntukan sebanyak RM43.5 juta bagi pembinaan Jambatan Manong merentasi Sungai Perak, serta menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) yang diberikan status universiti.

"Syukur kerana dua agenda ini ditunaikan serta merta, terima kasih kepada PM dan saya juga merakamkan junjungan kasih kepada Duli Tuanku Sultan Perak Sultan Nazrin Shah atas perkenannya dan memberi kebenaran kepada usaha ini.

"Khabar gembira ini juga disambut baik masyarakat apabila saya sendiri mendapat maklum balas positif terutama dari penduduk Manong berkaitan pembinaan jambatan yang sudah begitu lama diperjuangkan arwah suami (Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ditemani anak bongsunya, Wan Muhammad Amar, 19, di kediamannya di Bukit Chandan, di sini, semalam.
.

Mastura berkata beliau akan terus memperjuangkan tiga lagi agenda iaitu memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar menjadi Hospital Pakar serta membangun semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

"Usaha menaik taraf Hospital Kuala Kangsar menjadi Hospital Pakar juga akan diteruskan biarpun ada suara-suara yang berkata ia sukar untuk dilaksanakan.

"Perkara itu merupakan permintaan terbesar rakyat Kuala Kangsar ketika arwah masih hidup kerana mereka terpaksa merujuk ke Hospital Taiping berkaitan rawatan pakar dan kadang kala proses ini melibatkan nyawa," katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga suami Mastura, Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan calon Bebas.

Pengundian pada 18 Jun.

Khamis, Ogos 25, 2011

MACAM MANA BN NAK MENANG DI SELANGOR?


Pakatan Rakyat semakin lemah di Selangor bila timbulnya isu gereja di Damansara tetapi hari ini tiba-tiba Dr Khir Toyo menuduh ada menteri yang mahu lihat dia dipenjarakan kerana kes penyalahgunaan kuasanya.

Pakatan sudah lemah sepatutnya memberi kelebihan kepada BN tetapi tulisan bekas MB Selangor itu dalam blognya menyebabkan UMNO Selangor berpecah. Sudah tentu saki baki penyokong Dr Khir masih ada di kalangan ketua bahagian di Selangor.

Macam mana BN nak menang di Selangor kerana perpecahan sesama sendiri? Pakatan Rakyat- PKR, DAP dan PAS bertepuk tangan kerana mereka tak perlu kempen kuat kerana orang UMNO sendiri akan melemahkan BN sendiri.

Tak tahulah bila orang UMNO nak sedar diri kerana tak pernah mengambil ikhtibar dari kekalahan pada tahun 2008. Marilah kita semua bersatu supaya kerajaan BN dapat ditegakkan kembali di Selangor. Takkan mahu lihat Khalid Ibrahim bermaharajalela buat penggal kedua di Selangor.

Dakwaan Dr Mohd Khir Toyo bahawa tiga menteri kabinet mahukan beliau dipenjarakan untuk membolehkan BN merampas semula Selangor, boleh menyebabkan menteri dari Selangor terasa hati, kata ketua penerangan Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus.

Selangor Umno Youth Mob Karpal Singh Abdul Syukur Idrus 050309 05"Kesan dakwaan itu (bahawa) ada tiga menteri (yang dimaksudkan). Ada (seorang) menteri di Selangor barangkali terasa hati, dan dua lagi yang lain, saya tak tahu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menteri kabinet dari Selangor ialah Datuk Seri Noh Omar yang kini memegang protfolio menteri pertanian dan industri asas tani.

Beliau adalah ahli parlimen Tanjong Karang dan juga timbalan ketua badan perhubungan Umno Selangor yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sepatutnya Dr Seri Khir Toyo tidak segera melatah dengan mengeluarkan kenyataan yang belum tentu kesahihannya," kata Abdul Syukur yang juga ketua Umno Selayang.

Malah, katanya, dakwaan Dr Mohd Khir dalam blognya semalam, boleh menimbulkan "kekusutan terhadap perkara yang dilihat kembali tenang".

"Umno dan BN nampak begitu mantap untuk kembali menguasai negeri-negeri yang kita kalah," katanya.

NONEAbdul Syukur mengulas pendedahan Dr Mohd Khir Toyo mendakwa tiga menteri persekutuan dalam jemaah menteri sekarang sedang berkonspirasi bagi beliau dikenakan hukuman penjara atas tuduhan rasuah.

Dalam blognya semalam, Dr Khir dilapor berkata beliau tidak akan mendedahkan nama menteri-menteri berkenaan kerana tidak mendapat bukti yang sahih sungguhpun mendakwa beberapa sumbernya sangat boleh dipercayai.

Mengulas lanjut, Abdul Shukur yang juga ADUN Kuang berkata dakwaan Dr Mohd Khir "sesuatu yang memeranjatkannya dan beliau tidak mengetahui kesahihan perkara tersebut".

Sehubungan itu, beliau "tidak nampak" dengan memenjarakan Dr Mohd Khir akan membolehkan BN menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

"Itu satu pandangan yang jumud dan mendahului kuasa Tuhan. Menang atau kalah dalam pilihan raya, tertakluk kepada prestasi sebagai pemimpin dan kerajaan sebelum ini.

"Ia tidak menjejaskan Umno Selangor, kerana kita mempunyai satu keazaman untuk mengembalikan kuasa kepada BN," katanya.

Menurutnya lagi, rakyat akan memilih calon dan parti yang lebih berketrampilan serta menunjukkan prestasi yang boleh menjamin masa depan rakyat pada masa akan datang.

Ditanya sama ada pemimpin Umno yang lain akan mempercayai dakwaan Dr Mohd Khir, Abdul Sykur berkata beliau tidak tahu sama ada mereka mempercayainya.

"Beliau (Dr Mohd Khir) bos saya dulu, saya bersimpati atas apa yang berlaku kepadanya. Tetapi kepentingan parti perlu didahulukan," katanya.

Sementara itu, ketua pembangkang DUN Selangor Datuk Mohamad Satim Diman berkata dakwaan Dr Mohd Khir itu "tidak ada kena mengena dengan Umno Selangor".

"Sebaliknya ia merupakan masalah peribadinya. Dalam Umno Selangor kita bersatu, banyak program kita buat, PM pun turun. Kita tidak ada masalah," katanya.

Mohamad Satim yang merupakan ADUN Sri Serdang dan bekas setiausaha Umno negeri Selangor berkata beliau tidak tahu mengenai dakwaan bekas menteri besar Selangor itu.

Manakala ADUN Sementa Datuk Abdul Rahman Palil - yang pernah bertugas sebagai exco sewaktu pentadbiran Dr Mohd Khir - juga enggan mengulas mengenai dakwaan tersebut.

"Saya tidak mahu komen, semua itu kawan-kawan saya. Saya kira tidak elok," katanya.

Isnin, Januari 24, 2011

BN MENANG TAPI KETANDUSAN CALON


BN akan menang dalam pilihanraya kecil DUN Tenang tetapi ia ketandusan calon kerana terpaksa meletakkan anak bekas wakil rakyat untuk melawan seorang calon wanita dari PAS.

Apakah orang lain tak layak jadi calon? Kenapa perlu tonjolkan anak bekas wakil rakyat? Jika trend ini berterusan, maka orang yang lama berjuang dalam parti tidak akan mendapat tempat sebagai calon kerana dia bukan anak wakil rakyat. Oleh itu BN perlu perbetulkan persepsi ini. Kalau letak orang biasa yang bukan anak wakil rakyat apakah BN akan tewas di Tenang?

Sebagai bekas ahli parlimen Labis, sudah tentu Dr. Chua Soi Lek yang terlibnat dalam video seks akan diserang oleh pembangkang. Adakah pengundi Cina terpengaruh dengan isu ini? Dr. chua selamba berkempen menghadap muka para pengundinya membantu BN. Sejauh mana pengundi Cina kembali semula menyokong BN?

Sejauh mana pula isu novel Interlok mempengaruhi pengundi India di Tenang? Nampaknya DUN Tenang sudah tidak tenang lagi dengan isu video lucah Chua Soi Lek dengan isu novel Interlok.

Apakah kerajaan BN akan menarik balik novel Interlok sebelum hari membuang Undi? Yang jelas kepada kita sebagai kubu kuat BN, BN tetap menang di Tenang. Cuma majoriti yang dipertikaikan jika ia mendapat kurang dari undi yang dipungut oleh calon BN pada tahun 2008, aruah Datuk sulaiman Taha.

Sementara itu Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim berkata beliau tidak akan terperangkap dengan permainan politik kotor parti pembangkang yang mengancam melakukan serangan peribadinya pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Mohd Azahar, yang lebih dikenali dengan panggilan "Tok Ai" berkata: "Saya tidak takut (ancaman serangan peribadi). Saya tidak ada perkara yang mahu disembunyikan."

Bercakap kepada pemberita semasa bertemu masyarakat tempatan di Pasar Tani Labis di sini, pada Isnin, Mohd Azahar berkata pembangkang bermain politik kotor dengan menyebarkan maklumat palsu mengenai dirinya.

Calon BN itu berkata beliau akan menjelaskan kepada para pengundi tentang usaha-usaha yang bakal dilaksanakanya untuk membangunkan Tenang.

Pada Ahad, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pada sidang akhbar di bilik gerakan PAS di sini didakwa akan membangkitkan "isu-isu peribadi calon BN" jika MCA, parti komponen BN terus menjadikan pendekatan calon PAS bagi pilihan raya kecil itu, Normala Sudirman, tidak bersalam dengan pengundi lelaki sebagai satu isu.

Pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Jan ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat dan calon PAS, seorang bekas guru.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Dis lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Pada pilihan raya umum 2008, Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan kelebihan 2,492 undi.

Mengenai sambutan pengundi-pengundi kaum Cina di DUN Tenang terhadap beliau dan kempen BN, Mohd Azahar berkata penerimaan pengundi Cina setakat ini amat baik.

"Saya amat gembira dengan sambutan dan sokongan yang diterima daripada pengundi-pengundi Cina di DUN Tenang setakat ini," kata beliau.

Sabtu, November 06, 2010

PROVOKASI PAS SEBABKAN BN MENANG BESAR


Provokasi berlebihan oleh penyokong PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menjadi salah satu faktor kemenangan besar di luar jangkaan kepada calon Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata provokasi itu menyebabkan pengundi di DUN Galas menjadi jemu dan muak dengan tingkah laku penyokong PAS yang sanggup mencederakan penyokong BN pada pilihan raya kecil itu semalam.

"Pengundi di kawasan itu dapat melihat dan menilai sendiri parti mana yang mereka boleh bergantung untuk membela nasib masa depan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa lemas Siti Nor Ikma Mohd Rosli, 12, di Kampung Repet pada hari Jumaat.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Abdul Aziz Yusof memperoleh majoriti 1,190 undi apabila meraih 5,324 undi berbanding calon PAS Dr Zulkefli Mohamed yang mendapat 4,134 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept lalu.

Semalam, berlaku kekecohan yang dikatakan berpunca daripada provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan khemah BN untuk meraih undi, kira-kira setengah jam selepas pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi, Gua Musang dibuka pukul 8 pagi.

Antara yang cedera dalam insiden itu termasuk Ketua Puteri Umno Kuala Krai, Suzaini Adlina Shukri, 37, yang cedera di dahi dan hidung setelah beliau diserang dengan tiang bendera PAS.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pada awalnya BN hanya menjangka akan memperoleh kemenangan tipis antara 200 dan 500 undi sahaja berasaskan kepada perkembangan semasa.

Katanya ramalan itu berdasarkan kesukaran BN untuk menang besar berasaskan majoriti yang diperoleh Allahyarham Chek Hashim pada pilihan raya umum 2008 melebihi 600 undi selepas mengalahkan calon BN Saufi Deraman.

Awang Adek juga berkata antara faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan BN ialah kesepakatan parti-parti komponen terutama Umno dan MCA yang mengatur strategi kempen yang berhemah.

"Pengundi Cina di kawasan itu berasa selesa di bawah konsep 1Malaysia manakala pengundi Melayu pula berasa yakin dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa hak-hak keistimewaan orang Melayu terus dipelihara dan diperkasakan," katanya.

Ahad, April 18, 2010

SIAPA MENANG AHAD DEPAN?


Siapa menang dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor Ahad depan menarik perhatian kita. Adakah calon BN, Kamalanathan atau calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim? Dua calon Bebas dikatakan tidak ada harapan untuk menang setakat 100 undi sorang bolehlah pungut.

Jika kedua calon Bebas ini berjaya memecahkan undi para penyokong BN, maka calon PKR yang menang. Ahli-ahli UMNO kecewa kerana BN meletakkan calon MIC untuk merampas kerusi itu dari PKR. Pada masa yang sama para penyokong bekas ahli parlimen mereka, Palanivel turut kecewa kerana Planivel tidak dicalonkan semula.

Sewaktu Zaid dalam BN tidak timbul dia peminum arak. Bila masuk PKR, barulah timbul isu ini. Kenapa sewaktu beliau dalam BN tidak pernah disebut bahawa dia adalah peminum arak tegar? Itulah politik. BN tidak ada isu lain terpaksa membawa isu peribadi Zaid kerana dia adalah seorang menteri yang berprinsip.

Kalau mahu dengar suara kuat di Dewan Rakyat, hantarlah Zaid ke sana. Jika tidak bila BN menang, Palanivel terpaksa mencari kerusi lain pula dalam pilihanraya umum akan datang. Selamat mengundi para pengundi Hulu Selangor/

Ahad, September 13, 2009

SUBRA MENANG KALAU SOTHI TIDAK KACAU DAUN


Jika Sothinathan tidak kacau daun, mungkin Subramaniam sudah menjadi Timbalan Presiden MIC semalam. Subra dapat 547 undi kalah 82 undi kepada Palanivel yang mendapat 629 undi. Sothi mendapat 281 undi. Jika semua undi Sothi lari kepada Subra, maka Subra akan menang dengan majoriti 199 undi.

Keengganan Sothi berkompromi dengan Subra menimbulkan pertanyaan, adakah beliau sengaja dipasang oleh Samy Vellu untuk memecahkan undi Subra. Dalam pada itu Subra mendakwa kekalahannya berpunca dari politik wang di mana setiap perwakilan diberi RM300 untuk mengundi Palanivel.

Calon pilihan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menyapu bersih semua jawatan tertinggi parti, manakala 19 daripada 27 calon pilihannya memenangi 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang dipertandingkan, sekali gus membuktikan pengaruh beliau dalam parti itu tidak boleh digugat.

Seperti yang diramalkan sebelum ini, Datuk G Palanivel, 60, menang dengan 629 undi atau majoriti 82 undi untuk kekal sebagai Timbalan Presiden, menewaskan Datuk S Subramaniam, 65, yang mendapat 547 undi dan pencabar kedua, Datuk S Sothinathan, 49, hanya mendapat 281 undi.

Pada pemilihan MIC 2006, Palanivel mendapat 933 undi menewaskan Subramaniam, yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti 438 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Dalam perebutan jawatan Naib Presiden pula, tiga calon pilihan presiden, Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam; Bendahari Agung MIC, Datuk SK Devamany dan Ketua Penerangan MIC, Datuk M Saravanan menang besar dengan masing-masing mendapat 1,260 undi, 1,122 undi dan 1,030 undi.

Empat lagi calon naib presiden jauh ketinggalan dengan Datuk S Balakrishnan hanya mendapat 471 undi, P Subramaniam (225 undi), Datuk VKK Teagarajan (215 undi) dan P Maariyayee memperoleh 61 undi.

Walaupun ramai mengharapkan perubahan besar dalam MIC pada pemilihan sempena Perhimpunan Agung ke-63, hakikatnya, 1,464 perwakilan mahukan status quo sedia ada kekal kecuali bagi senarai anggota CWC, itu pun hanya menyaksikan perubahan kecil.

Namun, lima pemimpin veteran yang juga Pengerusi MIC Negeri, termasuk Datuk G Rajoo (Perak), Datuk T Rajagopalu (Negeri Sembilan), Datuk R Raghavan (Melaka), Datuk Dr K Rajapathy (Pulau Pinang) dan Datuk V Saravanan (Kedah) kecundang meskipun disenaraikan pilihan presiden.

Walaupun begitu, secara keseluruhan hanya empat calon bukan pilihan presiden berjaya menongkah arus bagi memenangi kerusi CWC, termasuk SP Manivasagam, Datuk S Ganesan, Madhu Marimuthu dan KP Samy, manakala 19 lagi kerusi dibolot calon Samy Vellu.

Barisan pilihan presiden kali ini turut menampilkan 18 muka baru, termasuk dua calon berbangsa Punjabi, Datuk Randhir Singh dan Jaspal Singh, selaras dengan proses pembaharuan dalam parti dengan memperkenalkan calon daripada kumpulan etnik lain.

Palanivel, yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, difahamkan sudah bersedia untuk mengambil alih pucuk pimpinan tertinggi parti sebelum pemilihan parti seterusnya pada 2013.

Samy Vellu sebelum ini sudah mengumumkan tidak akan bertanding pada pemilihan akan datang selepas kekal sebagai presiden parti selama 11 penggal berturut-turut pada pemilihan April lalu.

Selasa, September 08, 2009

LETAK ORANG BARU PUN MENANG


Barisan Nasional (BN) akan memastikan calonnya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang nanti adalah orang yang layak dan sesuai untuk menggalas tanggungjawab tersebut.


Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam hal ini soal sama ada yang terpilih sebagai calon itu wanita atau lelaki adalah tidak penting sebaliknya penilaian berdasarkan siapa yang paling layak dan sesuai.


"Ini kita akan timbang berdasarkan pada beberapa cadangan yang dikemukakan oleh UMNO bahagian dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.


"Kita akan meneliti bila sudah dikemukakan nama itu, kita akan lihat. Tak kira dia lelaki atau wanita, yang paling penting ialah calon yang layak dan sesuai," katanya.


Timbalan Perdana Menteri bercakap pada sidang akhbar selepas meninjau perjalanan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara di sini semalam.


Muhyiddin diminta mengulas saranan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim supaya calon BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang dipilih daripada kalangan pemimpin wanita selepas kesemua pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum lalu menampilkan calon lelaki.


Kerusi DUN Bagan Pinang yang terletak dalam Parlimen Telok Kemang, Negeri Sembilan, kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor pada Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.


Azman, 54, yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum tahun lalu mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan bermesyuarat Isnin depan bagi mengumumkan tarikh bagi pilihan raya kecil kawasan itu.


Oleh kerana BN menang besar pada pilihanraya umum lalu, BN tak perlu letak Ketua UMNO Bahagian bertanding, Tan Sri Isa Samad. Kecuali BN menang kecil dapatlah letak Isa untuk mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.
Jadi apa salahnya BN letak orang baru sama ada calon pemuda atau wanita atau ahli jawatankuasa UMNO bahagian yang ada rekod bersih. Rekod Isa sudah tercalar kerana terlibat dengan politik wang. Sedikit sebanyak ia menjejaskan kempen BN seperti kes pecah amanah calon BN Permatang Pasir baru-baru ini.


Saya yakin jika BN letak orang baru pun, BN tetap menang kerana undi pos yang menyelamatkan DUN Bagan Pinang walaupun undi pos itu mengalahkan kerusi parlimen Teluk Kemang yang ditandingi oleh calon MIC.