Memaparkan catatan dengan label mustahil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mustahil. Papar semua catatan

Jumaat, Oktober 18, 2013

TIDAK MUSTAHIL MAT DALAM BUAT KEJUTAN

KEMAMAN: Tidak mustahil seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang ( gambar) buat kejutan mengalahkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam pertandingan Ketua Umno Bahagian Kemaman esok. Ini berdasarkan rekod lepas yang menunjukkan bahawa Mat Dalam pernah mengalahkan bekas ahli parlimen Kemaman, Datuk Ismail Said dalam pertandingan Pengerusi Tetap Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2000. Dalam pertandingan tersebut, beliau menang dengan majoriti satu undi. Oleh itu esok Mat Dalam mengalahkan Ahmad Said dengan majoriti satu undi juga tidak mustahil. Selain dari itu, Mat Dalam yang menjadi penghulu ketika itu pernah mengalahkan Ahmad Said dalam pertandingan Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman pada tahun 80an ketika Ahmad Said menjadi Penolong Pegawai Daerah. Kalau dilihat sejarah kemenangan Ahmad Said dalam pertandingan ketua pemuda, naib ketua bahagian dan ketua bahagian sebelum ini, beliau menang dengan majoriti yang kecil. Oleh itu tidak mustahil ramai perwakilan yang tidak mengundi Ahmad Said pada tahun 1993, 1998 dan 2000 akan beri undi kepada Mat Dalam esok. Pada tahun 1993, Ahmad Said selaku ADUN Kijal mengalahkan Nazri Salleh dan Mohamad Rahim Husin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kemaman dengan majoriti 21 undi. Pada tahun 1988, Ahmad Said selaku Exco Kerajaaan Negeri mengalahkan Tuan Kecil Tuan Tengah bagi jawatan Naib Ketua Bahagian dengan majoriti 50 undi. Pada tahun 2000, Ahmad Said mengalahkan ADUN Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali bagi jawatan Ketua Bahagian dengan majoriti 30 undi. Memalukan Bagaimana pula nasib Ahmad Said selaku Menteri Besar esok? Adakah beliau akan menang dengan majoriti 50 undi juga? Ada orang berkata sekarang Ahmad Said sudah jadi Menteri Besar. Tidak mungkin Ahmad Said menang dengan majoriti 50 undi sahaja berbanding dahulu. Akan tetapi jika Mat Dalam dapat lebih dari 100 undi esok, ia sudah tentu memalukan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu dan sekali gus menolak kata-kata Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid supaya jangan berikan Mat Dalam mendapat lebih dari satu undi. Jika tidak berlaku sebarang penipuan esok, Ahmad Said akan menang dengan majoriti nipis. Sebaliknya jika Setiausaha Bahagian, Rosli Ahmad berkeras mahu pengiraan undi dibuat di tempat lain, maka Mat Dalam akan kalah besar esok seperti mana yang berlaku minggu lepas kepada calon Ketua Pemuda, Mohd Hazarul Ifdaz (Along) dan calon Ketua Wanita, Che Ku Maznah Che Ku Awang. Sejauh mana 950 orang perwakilan esok terpengaruh dengan slogan Mat Dalam iaitu menentang kemungkaran adalah fardhu kifayah? Ahmad Said dikatakan mementingkan kroni yang mendorong Mat Dalam menentangnya. Malah semua orang tahu orang yang sama dapat projek di Kemaman seperti Haji Dol dan Agu yang mendorong Mat Dalam mencabar Ahmad Said. Nasib baik Mat Dalam bukan kontraktor. Kalau tidak orang akan kata beliau berjuang untuk kepentingan diri kerana tak dapat projek dari Ahmad Said. Mat Dalam hanya menjadi lilin yang sanggup membakar diri sendiri. Biar apa pun, pemerhati politik meramalkan Ahmad Said tetap menang. Yang mereka mahu tahu, sebanyak mana undi protes kepada Ahmad Said berani dizahirkan oleh para perwakilan esok? (dipetik dari freemalaysiatoday.com)

Isnin, Mei 16, 2011

TIDAK MUSTAHIL TAWAN BATU BURUK


Tidak mustahil BN dapat tawan DUN Batu Buruk pada pilihanraya umum akan datang sekiranya semua ahli UMNO bersatu. Yang jadi masalah ramai sangat yang nak jadi calon. Bila si A jadi calon, si B yang peteh keting. Begitu juga bila si B jadi calon, si A pula yang peteh keting.

Oleh itu BN gigit jari jika masalah ini tidak dapat diselesaikan. Jadi bagaimana Ketua UMNO Bahagian, Datuk Wan Farid Wan Salleh mahu selesaikan masalah ini? Sepatutnya siapa yang mahu ditonjolkan sebagai calon perlu bergerak dari sekarang. Dekati rakyat seramai mungkin. Bila rakyat sudah kenal, tak banyak kerenah menjelang hari pembuangan undi.

Yang menjadi masalah ialah calon turun padang di saat-saat akhir hingga menyebabkan ketua cawangan sendiri tidak dikenali calon. Pada tahun 2008, BN meletakkan exco puteri UMNO Malaysia,Nordiana Shafei sebagai calon. Ada ketua cawangan yang kecil hatikerana Nordiana tidak panggilnya minta tolong sedangkan sepanjang pilihanraya sepatutnya calon memerlukan semua kerjasama ketua cawangan.

Oleh itu hasrat MB supaya Batu Buruk ditawan pada pilihanraya umum akan datang bukanlah perkara mustahil dengan syarat semua pemimpin dalam UMNO Batu Buruk bersatu dan tidak ada niat untuk peteh keting sesama sendiri.

Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN), Batu Burok berazam akan mengembalikan kawasan itu kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 selepas 20 tahun dipimpin Parti Pas.

Lebih bersemangat lagi selepas mendengar janji Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said akan membina 1,000 unit rumah mampu milik sekiranya DUN Batu Buruk berjaya ditawan BN.

Pada setiap ucapan sempena Program Sehari Rakyat Bersama YAB Menteri Besar yang melibatkan 11 kawasan DUN Batu Burok, Ahmad Said tidak lupa menghebahkan perkara itu supaya rakyat mengingatinya selain berpesan mengundi BN.


Antara kawasan yang dikunjungi bermula jam 7.30 pagi Sabtu lalu, termasuk Pantai Chendering, Taman Seri Desa Chendering, Pusat Komuniti Kampung Raja, Taman Permin Jaya,Pusat Komuniti Che Kundor dan Taman Bukit Bayas.

Pada sebelah malam pula, Menteri Besar hadir mendengar ceramah politik, jamuan makan malam bersama rakyat dan seterusnya menyampai hadiah kepada warga berjasa, rumah terbersih.

Bagi isteri Menteri Besar, Toh Puan Nurliza Mahmud pula, beliau mempunyai acara sendiri seperti melawat tadika dan menyertai aktiviti wanita setempat.

Turut hadir dalam program sehari itu, Pegawai Pembangunan DUN, Datuk Che Mat Jusoh; Pegawai Pembangunan Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan beberapa pemimpin masyarakat

Seramai 26,344 pengundi pemilih di DUN Batu Buruk yang melibatkan 11 peti undi termasuk Peti Undi (PU) Pantai Batu Buruk, PU Kenanga, PU Kampung Nibong, PU Gong Tok Nasek, PU Bukit Depu, PU Permin Jaya, PU Chendering, PU Chendering Pantai, PU Kolam Kuala Ibai, PU Kuala Ibai dan PU Mengabang Tengah.

Seorang penduduk, Idris Mahmud, 40 ketika ditemui pemberita Teganukita berkata, dia kesal dengan sikap pemimpin Pas yang langsung tidak mengambil peduli kebajikan rakyat walaupun mengetahui terdapat penduduk di kawasan ini berada dalam kesusahan.

Katanya, jika ada kematian, berlaku bencana alam atau sebagainya, mereka hanya berdiam diri sebaliknya pemimpin BN yang datang membantu.

“Saya sedih sekiranya ada penduduk di negeri ini masih mengundi parti Pas pada pilihan raya akan datang yang sememangnya sudah terbukti tiada hala tuju,” katanya.

Selasa, Ogos 24, 2010

TIDAK MUSTAHIL ORANG CINA PERINTAH MALAYSIA KALAU MELAYU TIDAK BERSATU


Sudah tiba masanya semua orang Melayu tanpa mengira ideologi politik kembali bersatu.

Ia kerana perpecahan telah menyebabkan kaum lain berani mempertikaikan setiap keistimewaan yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk berkaitan dengan Islam.

Malah, Presiden Protem Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, orang Melayu harus sedar bahawa perpecahan yang dialami itu juga boleh menjadi penyebab kepada jatuhnya Malaysia ke tangan orang lain.

Beliau berkata, sekiranya itu yang berlaku bukan sahaja hak keistimewaan orang Melayu, bahkan segala institusi Melayu serta Islam termasuk institusi raja akan terhapus.

‘‘Adakah ini yang kita mahukan? Adakah kita mahu melihat Malaysia diperintah oleh kaum selain Melayu. Apa akan jadi kepada agama Islam, raja kita. Bagaimana pula dengan nasib anak cucu kita apabila negara diperintah oleh orang lain.

‘‘Kita harus sedar di sebalik perpecahan orang Melayu, DAP, MCA dan Gerakan pula telah menampakkan penyatuan mereka. Ini yang amat membimbangkan saya kerana tidak mustahil Malaysia akan diperintah oleh mereka,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin masyarakat Cina termasuk daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang berani menyentuh hak keistimewaan orang Melayu.

Terbaru, ucapan yang dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ketika Kongres Ekonomi Cina Malaysia baru-baru ini yang antara lain meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Kamarudin berkata, atas sebab itu juga pihak majlis telah mengadakan satu persidangan meja bulat semalam dan ia turut dihadiri oleh 136 ahli gabungannya iaitu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Di dalam persidangan itu katanya, pihak majlis telah mengeluarkan satu resolusi dan antara intipatinya adalah menetapkan orang Melayu sama ada UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau yang tidak berparti supaya kembali bersatu.

‘‘Lupakan segala pertelingkahan dan persengketaan demi survival Islam dan orang Melayu. Kita wajib mempertahankan negara daripada diperintah oleh orang lain.

‘‘Resolusi turut mengutuk orang Melayu yang sanggup diperbodohkan oleh kaum lain khasnya DAP sehingga mencemarkan kesucian agama serta menentang perlembagaan,’’ katanya.

Beliau berkata, resolusi turut mendesak kerajaan melaksanakan satu bahasa, satu budaya dan satu jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan dalam usaha merealisasikan konsep 1Malaysia.

‘‘Kita juga telah menetapkan supaya kadar 30 peratus ekuiti untuk bumiputera dinaikkan kepada 67 peratus dalam semua sektor supaya ia sejajar dengan kadar populasi 67 peratus bumiputera di negara ini,’’ katanya.