KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sebak apabila terkenang peristiwa penerimaan ‘penyapu’ daripada kerajaan Negeri Selangor ketika beliau berkhidmat di bawah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada tahun 2007.
Katanya ketika itu MDHS mencapai kutipan cukai yang tidak memuaskan iaitu kurang daripada 40 peratus pada tahun 2006.
“Ketika dipanggil untuk menerima anugerah penyapu daripada bekas Menteri Besar Selangor (Dr Mohamad Khir Toyo), saya baru sahaja ditukarkan dari Kementerian Wilayah Persekutuan untuk dinaikkan pangkat sebagai pegawai daerah Hulu Selangor M52 pada September 2007.
“Anugerah itu diberi pada Disember 2007 atas prestasi hasil kutipan cukai bawah 40 peratus pada tahun 2006 dan bersama-sama dengan saya untuk menerima ‘penyapu’ itu ialah Yang Dipertua MDSH ketika itu Tukiman Nail.
“Walaupun ia bukan zaman saya, saya tetap juga menerima ‘penyapu’ dengan penuh tanggungjawab, yang mana ia telah menjadi sejarah kekalahan Barisan Nasional di Selangor,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai peristiwa itu selepas Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur di sini hari ini.
Nor Hisham berkata selepas peristiwa itu, beliau cuba meningkatkan hasil kutipan cukai dalam masa dua tahun sehingga mendapat anugerah cemerlang RM100,000 daripada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2009.
“Kami (MDHS) telah berjaya mencapai lebih 92 peratus hasil kutipan cukai dalam masa dua tahun yang kemudiannya mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Negeri Selangor,” katanya.
Sementara itu, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata peristiwa itu sebagai dorongan kepada Nor Hisham untuk membuktikan pencapaian mereka dalam Pihak Berkuasa Tempatan.
“Sebagai ketua, walaupun beliau menerima bagi pihak orang lain namun ia sebagai pengalaman pahit yang memberi dorongan kepada PBT itu untuk membuktikan kemampuan dan buktikan mereka salah dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Dr Mohamad Khir dilaporkan menjelaskan pemberian penyapu itu bukan bertujuan menjatuhkan maruah tetapi secara simbolik bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif PBT yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang ditetapkan.
Susulan peristiwa itu, Dr Mohamad Khir dikritik pelbagai pihak termasuk Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kerana tindakan itu dilihat mengaibkan penjawat awam.
-- BERNAMA
Memaparkan catatan dengan label datuk bandar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label datuk bandar. Papar semua catatan
Selasa, Oktober 02, 2018
Ahad, Januari 08, 2017
DATUK BANDAR ANTI RUU355?
Walaupun PAS berharap untuk bertemu dengannya, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz menegaskan Dataran Merdeka tidak akan dibenarkan sebagai tempat perhimpunan untuk menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali Akta 355.
"Tidak Dataran, tiada rundingan," katanya kepada Malaysiakini.
Amin sebaliknya berkata perhimpunan tersebut hanya perlu diadakan di Stadium Titiwangsa.
"Hanya ikut seperti perhimpunan Rohingya," katanya merujuk kepada perhimpunan yang diadakan pada 4 Disember tahun lalu.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man terdahulu berkata penganjur perhimpunan itu akan membuat permohonan rasmi untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan berharap untuk bertemu Datuk Bandar.
"Kami berharap permohonan kami akan diterima," kata Tuan Ibrahim kepadaMalaysiakini.
Dalam satu sidang media pagi semalam, Tuan Ibrahim berkata, perhimpunan tersebut yang mensasarkan kehadiran 300,000 orang, akan diadakan di pada 18 Februari.
Perhimpunan itu, katanya adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
Beliau mendakwa mereka sedang menunggu kelulusan untuk perhimpunan tersebut diadakan di Dataran Merdeka.
Hadi sebelum ini membacakan usul rang undang-undang ahli persendirian untuk meminda Akta 355 pada hari terakhir Parlimen November lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemudian berkata kerajaan akan mengambil alih rang undang-undang berkenaan.
Hadi pada awalnya cuba menaikkan had hukuman yang boleh dilaksanakan oleh mahkamah syariah.
Ia menimbulkan kebimbangan yang pindaan itu akan membuka jalan untuk pelaksanaan undang-undang hudud.
Bagaimanapun , Hadi sejak itu telah menyemak pindaan tersebut untuk menaikkan had hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.
Rang undang-undang itu dijangka akan dibentangkan pada sesi parlimen bulan Mac depan.
Ulasan saya, keengganan Datuk Bandar meluluskan permohonan PAS untuk mengadakan majlis penerangan RUU355 di Dataran Merdeka bukanlah bermakna Datuk Bandar anti RUU355. Sebaliknya beliau mahu perhimpunan itu diadakan di Stadium Titiwangsa seperti perhimpunan Rohingya yang lebih mudah dikawal.
Sebaliknya jika ia diadakan di Dataran Merdeka perhimpunan seperti ini tidak mudah dikawal serta merosakkan padang yang diselia oleh DBKL.
Langgan:
Catatan (Atom)

