Sabtu, Oktober 30, 2010

SAPP GUNA ISU KITAR SEMULA


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kempen Sabah untuk Orang Sabah oleh Parti Maju Sabah (SAPP) merupakan isu lama yang tidak perlu diberikan perhatian.

Beliau berkata penduduk Sabah hendaklah pandang ke depan memandangkan sudah terdapat ramai dari kalangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan mahupun swasta.

"Di Kementerian Pelajaran ramai kakitangan pengurusan tertinggi berasal dari Sabah. Ini bermakna orang Sabah mempunyai kemahiran dan mereka sekarang berkhidmat di seluruh Malaysia," katanya dalam ucapan di majlis pemimpin bersama rakyat dengan masyarakat Cina di Kompleks Sukan Sandakan di sini Jumaat malam.

Beliau juga berkata tindakan SAPP melalui Presidennya Datuk Yong Teck Lee yang membangkitkan isu itu semata-mata untuk memancing undi pada hal kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang "Mean Business".

"Sabah bukan sahaja sebuah negeri yang penting kepada Malaysia tetapi juga merupakan sebuah negeri yang penting dari segi pembangunan ekonomi kepada negara," katanya.

Menyentuh mengenai pilihan raya kecil Batu Sapi, Muhyiddin mahu seluruh jentera pilihan raya BN berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Beliau berkata walaupun tidak ada siapa menyangka pilihan raya kecil itu akan diadakan namun terdapat hikmah di sebaliknya, memandangkan BN dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai pembohongan parti pembangkang.

"Ramai pemimpin parti pembangkang terutamanya PKR telah meninggalkan parti itu kerana mereka tidak percaya dengan kepimpinan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.