Memaparkan catatan dengan label ksu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ksu. Papar semua catatan

Selasa, September 12, 2017

PROGRAM BERMALAM DI MUZIUM PADA 15 dan 16 SEPT

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Program 'Bermalam di Muzium' yang dijalankan secara serentak di 32 buah muzium di bawah Jabatan Muzium Negara bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan pelajar sekolah terbanyak membabitkan lebih 2,000 orang.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A. Tambi berkata program yang dijadualkan pada 15 dan 16 Sept ini sempena sambutan Hari Malaysia dan

sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sekolah.

"Selain membentuk generasi muda agar peka terhadap khazanah negara, program ini juga dapat mengukuh peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal.

"Dengan aktiviti begini kami juga berpeluang menerangkan secara terperinci peranan muzium dan mengajar peserta mengenai nilai warisan sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, Selasa.

Katanya program yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan itu membabitkan 126 buah sekolah menengah terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu hingga Lima di seluruh negara.....

Selasa, April 04, 2017

BORHAN JADI KSU KEMENTERIAN LUAR BANDAR MULAI HARI INI



PUTRAJAYA 3 April - Datuk Borhan Dollah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baharu berkuat kuasa pada Rabu ini.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, Borhan, 57, yang merupakan Setiausaha Persekutuan Sabah, Jabatan Perdana Menteri sebelum ini adalah lulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Awam Universiti Hartford, Amerika Syarikat.

"Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti pada beliau membolehkannnya melaksanakan tanggungjawab di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Khamis, Januari 05, 2017

MEMALUKAN. ADAKAH SEMUA KSU MACAM INI?

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas dan menyita wang tunai serta wafer emas bernilai kira-kira RM3 juta susulan penahanan seorang ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian disyaki terlibat dalam rasuah dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata berikutan itu pihaknya turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 29 tahun.

Beliau berkata lelaki itu disyaki berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor bagi pihak KSU yang berumur 59 tahun dan bergelar 'Datuk' itu.

"Kedua-dua mereka ditahan di sekitar Subang Jaya pada 8 pagi tadi," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, KSU itu ditahan di kediamannya di USJ, Subang Jaya kerana disyaki menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.

Sementara itu, menurut sumber turut dirampas daripada mereka beberapa barangan mewah termasuk jam, beg tangan, pen dan sejumlah mata wang asing.

Ulasan saya, malu kita baca akhbar setiap hari SPRM menangkap jerung di agensi kerajaan seolah-olah penjawat awam berbangsa Melayu semua rasuah.

Seolah olah ia sudah jadi satu persepsi bahawa apabila orang Melayu jadi KSU maka akan terlibat dalam rasuah. Adakah jika bukan Melayu jadi KSU, tiada rasuah di kementerian berkenaan?

Kenapa KSU berani berbuat demikian? Adakah KSU itu proksi menteri? Jika seorang KSU ditangkap, apakah semua KSU macam ini belaka kaki rasuah?

Amat memalukan apabila orang Melayu jadi KSU terlibat dengan rasuah. Rasuah sudah jadi satu budaya di jabatan kerajaan. Nak suruh fail naik segera kena hulur duit kepada budak pejabat. Sampai bila budaya ini akan berterusan? Sebab itu KSN kena tegas hapuskan rasuah yang berleluasa di jabatan kerajaan.