Khamis, Oktober 12, 2017

MAHU MURAH MAKA LEBIH RAMAI MUNCUL DOKTOR GIGI PALSU

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Sikap masyarakat yang mahukan caj rawatan pergigian yang murah dan perkhidmatan yang cepat sehingga sanggup mengabaikan aspek keselamatan akan mendorong kewujudan lebih ramai doktor gigi palsu, kata Persatuan Pengamal Pergigian Swasta (MPDPA).

Presidennya Dr V. Nedunchelian berkata penawaran perkhidmatan yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja turut memikat orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu itu sekali gus menyumbang kepada percambahan mereka.

Masyarakat tidak perlu membuat temu janji dan tunggu giliran sedangkan hakikatnya tindakan mereka menggunakan perkhidmatan doktor gigi palsu ini hanya mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya perkhidmatan yang lazim menjadi pilihan masyarakat daripada doktor gigi palsu terbabit ialah pemasangan pendakap gigi dan gigi palsu.

Menurut Dr Nedunchelian terdapat pesakit yang datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan setelah mengalami komplikasi akibat memilih perkhidmatan memasang gigi palsu daripada doktor palsu.