Memaparkan catatan dengan label melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label melayu. Papar semua catatan

Isnin, Mei 20, 2019

BUANG PERSEPSI NEGATIF TENTANG PERJUANGAN MELAYU


Oleh Shahbudin Haji Embun


Benarkah untuk mewujudkan Malayia Baru yang lebih progresif memerlukan kelahiran generasi Melayu baru yang lebih terbuka mindanya? Bagaimana pula apabila perjuangan bangsa Melayu yang mempertahankan jatidiri dilabelkan sebagai rasis oleh beberapa pihak? Dan mengapa ada pihak yang mempersalahkan bangsa Melayusebagai penghalang kepada pembentukan sebuah negara yang lebih demokratik , profgersif dan aman?

Tidak cukup dengan itu, bagaimana pula dengan keluhan serta rintihan orang Melayu tentang kemajuan ekonomi bangsa mereka juga dianggap sebagai rasis? Adakah orang Melayu tidak boleh mempertahankan jatidiri mereka sendiri.?

Ini adalah antara beberapa persoalan yang sering dibincangkan apabila kita merungkai tentang generasi melayu hari ini serta cabaran yang bakal ditempuh oleh generasi ini pada masa akan datang.

Kita tidak boleh menafikan bahawa perpaduan bangsa antara semua kaum di Malayia memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah negara yang aman dan pada masa yang sama begitu progresif menuju cita-cita dan wawasan negara. Perpadua antara semua kaum merupakan satu pegangan yang tidak boleh dikompromi.

Pada masa yang sama juga bangsa Melayu perlu sentiasa bangkit selaras dengan arus pembangunan yang sentiasa pesat membangun. Pemikiran harus lebih terbuka dan generasi hari ini perlu lebih banyak berfikir di luar kotak dan melihat dari mata burung dan bukannya hanya duduk senang lenang di bawah tempurung dan berpuas hati melepak di zon selesa. Kita bangga melihat kejayaan anak bangsa yang berjaya menerokai pelbagai bidang yang boleh memajukan bangsa itu sendiri.

Namun kita juga harus sedar, tidak ada salahnya juga jika masih ada pihak yang terus mempertahankan hak bangsa Melayu yang dilihat tercabar dan tergugat dalam beberapa perkembangan yang berlaku pada hari ini.

Contohnya apabila dikhabarkan yang Akta Hasutan akan dihapuskan. Perkara ini telah menarik perhatian umum dan antara yang menentangnya telah memberikan alasan bahawa jika akta ini dihapuskan, maka telah membuka ruang dan peluang untuk mempertikai dan menghina kedudukan istimewa orang Melayu termasuklah juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Secara tidak langsung, imuniti yang ada pada hak istimewa orang Melayu akan tergugat. Jadi, adakah satu kesalahan jika ada pihak yang mempertahankan hak istomewa ini? .Dan mengapa pihak ini dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan serta keharmonian sesuatu negara itu.

Mereka hanya cuba mempertahankan hak yang telah lama wujud dan . Ini tidak bermakna yang kumpulan ini bencikan keamanan , kesejahteraan serta keharmonian yang wujud antara semua kaum di Malaysia. Janganlah disebabkan mereka merintih bahkan bersuara lantang sekalipun dianggap sebagai penghalang kepada kesejahteraan dan keamanan yang sentiasa dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Apabila bangsa Melayu bersatu padu antara NGO atau antara parti pun, bukanlah bermakna yang mereka ini golongan ekstrimis yang hanya berjuang untuk kepentingan bangsa Malayu sahaja. Golongan ini juga cintakan keamanan dan walaupun suara suara protes sentiasa kedengaran , namun ini juga sebagai satu peringatan kepada generasi bangsa Melayu akan datang betapa pentingnya jati diri dan supaya jangan lalai dengan arus kemodenan yang boleh menjerat mereka jika ianya tidak dikawal. Itu sebabnya jati diri yang kuat merupakan benteng yang dapat menghalang generasi muda Melayu daripada dihanyutkan dengan budaya Barat yang boleh menghayalkan kita.

Adalah penting juga diingatkan kepada para pemimpin Melayu dari semua sektor dan juga ahli-ahli politik Melayu supaya jangan terlalu sibuk mengejar kuasa dan kemewahan hingga meminggirkan sendiri nasib anak bangsa yang masih ada merempat di tanah sendiri. Janganlah hanya pandai memberikan pelbagai teori dan ucapan yang bersemangat tetapi tidak melaksanakan agenda yang akan memperkasakan bangsa Melayu itu khasnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.



Persepsi tentang Melayu yang mempertahankan jati diri dan hak bangsa Melayu sebagai rasis dan tidak bergerak mengikut perededaran zaman perlulah dikikis. Buktikan bahawa jati diri Melayu yang kuat merupakan asas kepada perjuangan yang akan sama-sama berjuang dengan bangsa lain membentuk sebuah negara Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian. .

Sabtu, Oktober 29, 2016

MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN BAHASA MELAYU


Oleh Shahbudin Haji Embun

(sudah disiarkan dalam Utusan Malaysia)



“Pemimpin Melayu juga, jangan begitu cepat mencurah air daripada tempayan, kerana mendengar dentuman guruh di langit. Anak Melayu yang sudah tinggi pengajiannya, sudah tinggi ilmunya, sudah tinggi jawatannya, berhentilah daripada bersifat kacang lupakan kulit. Janganlah ilmu dan pengetahuan, status dan pangkat, yang membolehkan anak Melayu sudah pandai bersarapan keju dan sosej, menjadikan anak Melayu terlupa daratan.

“Justeru, memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian daripada semangat perjanjian kemerdekaan yang perlu terus dihidupkan dan obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa,” Begitulah antara titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Majlis Titah Diraja di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Apa yang dititahkan oleh Sultan Nazrin merupakan satu saranan yang perlu diberikan perhatian yang serius agar bahasa Melayu terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsan yang semestinya menjadi kebangaan seluruh rakyat Malaysia.Dan dalam kita mengejar arus pembangunan dan pemodenan, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh seluruh masyarakat Malaysia iaitu untuk  terus mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan .

Pada suatu ketika  dahulu, ketika Kerajaan Melayu Melaka terkenal di serata dunia, bahasa Melayu juga telah dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan  bahasa undang-undang serta ketatanegaraan.Manakala elemen kesusateraaan bahasa Melayu yang tinggi telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang paling unggul di rantau ini.

Namun ini adalah senario beratus-ratus tahun dahulu. Kini tidak salah jika ada pihak yang beranggapan bahawa Bahasa Melayu tidak  lagi berfungsi dengan sebaik-baiknya untuk  dijadikan sebagai bahasa tamadun. Mungkin kenyataan ini dianggap keterlaluan tetapi pada masa yang sama kemungkinan itu boleh berlaku jika kita membiarkan bahasa Melayu terus tenggelam di bawah arus kemajuan dan pemodenan.

Lihat sahaja ibu bapa hari ini yang terus mendidik anak-anak  sejak dari kecil lagi supaya pandai berbahasa Inggeris. Tidak ada salahnya usaha ini. Bahkan ianya merupakan satu usaha yang baik.Apatah lagi jika seseorang itu mempunyai penguasaan bahasa Inggeris  yang baik, maka pastinya akan membuka peluang yang lebih luas untuk mendapatkan pekerjaan.Namun apa yang menyedihkan ialah apabila bahasa Melayu dianaktirikan oleh sebilangan masyarakat kita sendiri termasuklah mereka yang berbangsa Melayu.Mungkin ada yang beranggapan masyarakat akan lebih memandang tinggi pada mereka yang fasih dalam bahasa Inggeris.

Penulis bernasib baik kerana pernah berbual kosong  dengan pakar bahasa Melayu dan Inggeris ,Adibah Amin tentang isu bahasa Melayu ini. Daripada pengalaman yang Adibah lalui, beliau ada menceritakan bagaimana orang kita lebih suka menggunakan alasan “kalau gunakan Bahasa Inggeris senang sikit dan lagi sedap bunyinya , tapi kalau gunakan bahasa Melayu, janggal sungguh bunyinya” apabila kehilangan idea untuk berkarya dalam bahasa Melayu.

Dalam hal ini Adibah pernah memberikan nasihat supaya kita rajin sedikit mencari ayat dalam bahasa Melayu yang boleh menandingi mahupun lebih baik daripada bahasa asing.Orang kita lebih suka mengambil jalan mudah dan menyalahkan bahasa Melayu yang dikatakan tidak cukup hebat.Rasanya tidak perlu diingatkan bahawa Bahasa Melayu ini kaya dengan perbendaharaan dan kiasannya. Kehalusan bahasa Melayu mampu meruntun  jiwa mereka yang mendengarnya. Manakala sindirannya pula sukar untuk ditandingi oleh bahasa asing yang lain.

Penulis juga pernah membaca temuramah Dr Lim Swee Tin dengan sebuah akhbar tempatan tentang isu bahasa Melayu. Lim Swee Tin, merupakan penyair, penulis dan pakar bahasa Melayu yang hebat dan pernah dianugerahkan S.E.A Write Award 2000,iaitu satu penghargaan tertinggi dalam bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand.

Dan ada juga di antara karya –karya beliau dalam bahasa Melayu yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thai, Jerman, Portugis, serta beberapa lagi bahasa dunia yang lain.Kejayaan beliau membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah milik semua bangsa di Malaysia. Bahasa Kebangsaan inilah yang akan merapatkan lagi perhubungan dan keharmonian sesama kaum di Malaysia.

Sebagaimana maklum, bulan Oktober ialah ialah bulan bahasa Kebangsaan. Difahamkan juga banyak program yang telah dirancang dan telah dilaksanakan untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita ini. Janganlah program yang telah diatur ini hanya bersemarak pada bulan Oktober sahaja dan kemudian terus menyepi sehingga tahun depan. Bahasa Melayu pernah merasai zaman gemilangnya dan terpulang kepada kita semua untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bahasa Melayu di rantau ini.   








Selasa, Mac 08, 2016

ORANG MELAYU SENSITIF DENGAN LIM KIT SIANG

Apabila Dr Mahathir Mohamad keluar dari Umno, ahli ahli Umno simpati kepada beliau. Begitu juga apabila Muhyiddin Yasin digantung jawatan Timbalan Presiden Umno, rakyat Malaysia simpati kepada beliau.

Seolah-olah pemimpin Umno pantang ditegur. Bila tegur, kena gantung dan kena pecat. Tetapi apabila Dr Mahathir bersama para pemimpin pembangkang seperti DAP, simpati ahli Umno kepada Dr Mahathir terus hilang. Selama ini Lim Kit Siang yang mahu menjatuhkan kerajaan Melayu pimpinan Umno tapi akhirnya Dr Mahathir sanggup duduk semeja dengan Lim Kit Siang untuk menjatuhkan Najib Razak.

Ahli ahli Umno mula bersatu apabila mereka lihat Lim Kit Siang bersama Dr Mahathir kerana mereka amat sensitif dengan Lim Kit Siang. Mereka tidak boleh lupa apa yang Lim Kit Siang buat di hadapan rumah MB Selangor, Harun Idris ketika berlaku rusuhan 13 Mei. Lim Kit Siang yang melaung Melayu balik kampung apabila DAP menang banyak kerusi di Selangor pada PRU 1969.

Apabila Muhyiddin digantung jawatannya, ahli ahli Umno Pagoh berdiri teguh di belakang Muhyiddin tetapi apabila beliau turut berada dengan Dr Mahathir di majlis deklarasi Dr Mahathir maka simpati ahli ahli Umno Paguh terhadap Muhyiddin turut hilang. Mereka kecewa dengan sikap Muhyiddin. Dahulu Muhyiddin yang menyerang Mat Sabu apabila Mat Sabu kata Bintang Tiga yang menyerang balai polis Bukit Kepong bukan komunis. Kini Muhyiddin sanggup pula bersekongkol dengan Mat Sabu. Kawan saya, Dato Zaaba orang kuat Muhyiddin turut melahirkan kesal terhadap sikap Muhyiddin.

Rupa-rupanya tindakan Dr Mahathir dan Muhyiddin di majis tersebut memberi satu hikmah kepada ahli ahli Umno supaya bersatu menentang musuh utama Umno iaitu DAP.  Lim Kit Siang memaafkan Dr Mahathir yang menangkapnya di bawah ISA. Dia kata dia pergi jumpa Dr Mahathir selepas keluar dari ISA bertanya kenapa Najib selaku Ketua Pemuda Umno ketika itu tidak ditangkap di bawah ISA bersama Ketua Pemuda MCA, Lim Kim Sai.

Sebaliknya tiga Exco Pemuda Umno yang ditahan di bawah ISA iaitu Ibrahim Ali, Tajuddin Rahman dan Fahmi Ibrahim. Jika momentum Dr Mahathir bersama DAP berterusan, ia memberi kekuatan baru kepada Umno untuk menyerang DAP. Justru itu Umno sepatutnya berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana memudahkan Umno menghadapi musuh yang nyata dalam PRU akan datang.

Isnin, Mac 28, 2011

SEMAKIN RAMAI KSU BUKAN MELAYU


Konvensyen tranformasi ekonomi bumiputera anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap pelantikan bukan bumiputera sebagai ketua setiausaha (KSU) di enam kementerian.

Menurutnya, kesemua jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh KSU bumiputera.

ibrahim ali pc at pwtcKonvensyen itu bimbang pelantikan tersebut akan menjejaskan agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

Menurutnya, dengan kuasa mutlak yang ada, mereka berupaya secara terang dan berselindung menggagalkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera di kementerian mereka.

Enam kementerian tersebut ialah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pelancongan, Kementerian Tenaga dan Hijau, Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan.

Perkara tersebut merupakan antara 13 resolusi yang diluluskan dalam konvensyen sehari yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu, konvensyen berkenaan mendesak Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) mengambil tindakan dengan mengarahkan ketua setiausaha negara menukar KSN berkenaan jika mereka terbuka membelakangkan agenda ekonomi bumiputera.

MTAB adalah badan peneraju pembangunan sosio-ekonomi Melayu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan dianggotai lapan menteri kabinet.

Hampir 700 peserta yang terdiri termasuk wakil 76 NGO Melayu dan bumiputera menghadiri konvensyen tersebut.

ibrahim ali pc at pwtcSelain itu, konvensyen itu menyokong penubuhan Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai usaha meletakkan orang Melayu dan bumiputera dalam agihan kek ekonomi negara dalam suasana transformasi ekonomi.

"Konvensyen berpendapat bahawa TERAJU tidak sepatutnya dilihat sebagai sebuah lagi organisasi yang menjaga kepentingan bumiputera, tetapi masih lesu dalam tindakan afirmatif.

"Peranan TERAJU seharusnya seiring dengan agensi-agensi yang lain seperti PEMANDU yang diberikan peranan besar dalam memacu Program Transformasi Ekonomi Negara," resolusi itu dipetik.

Sehubungan itu konvensyen tersebut menggesa supaya TERAJU mesti diberi kuasa penuh mengarah dan memantau menteri, KSU, Ketua-ketua pengarah agensi dan GLC dalam hal berkaitan agenda ekonomi bumiputera.

Selain itu beberapa resolusi yang diluluskan antaranya:

1. Menjadikan pembangunan ekonomi bumiputera sebagai agenda nasional

2. MTAB perlu memastikan ketua pegawai eksukutif syarikat GLC yang hendak dilantik mesti berjiwa Melayu dan bukannya terdiri dari mereka yang golongan Melayu Liberal.

3. Meningkatkan komitmen pengurusan Petronas dalam agenda bumiputera di Petronas.

4. Mewujudkan satu badan khas yang memantau dan menyelia kemajuan tanah rizab Melayu yang boleh dinamakan Perbadanan Kemajuan Tanah Rizab Melayu Greater Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali meminta kerajaan berhati-hati terhadap pakar-pakar luar yang dijemput memberi pandangan tentang ekonomi tetapi "tidak mengetahui latar belakang sejarah dan perkembangan dalam negara ini".

"Mereka menggubal ekonomi tidak berasaskan kepada sosioekonomi Malaysia,"katanya.

Menurutnya, beliau menerima pandangan dan input yang didakwa bahawa pandangan mereka "tidak ada roh" dan "tidak ada latarbelakang sejarah Malaysia".

Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas akan menyerahkan resolusi tersebut kepada Najib, timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pihak-pihak lain selepas ini.

Isnin, November 01, 2010

CINA LAWAN CINA DI KERUSI MELAYU



Walaupun pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi adalah pertandingan tiga penjuru di antara dua nama besar dalam politik dan seorang balu yang sedang berkabung, ramai pemerhati politik melihatnya sebagai pertarungan di antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Ini kerana kata mereka, BN dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee yang juga calon parti itu, memberi sepenuh usaha untuk memikat pengundi Cina dan Bumiputera.

BN yang meletakkan harapan pada Datin Linda Tsen Tahu Lin, balu kepada penyandang Datuk Edmund Chong Ket Wah, berhasrat memperolehi sokongan 40 peratus pengundi Cina dan lebih 60 peratus pengundi Bumiputera.

SAPP pula mensasarkan sokongan lebih 70 peratus pengundi Cina dan sekurang-kurangnya 30 peratus undi Bumiputera bagi merampas kerusi itu daripada BN.

Bagaimanapun, pemerhati politik percaya jumlah undi yang diperolehi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah akan menentukan sama ada BN atau SAPP yang memenangi pilihan raya kecil itu.

"Jika Ansari memperolehi lebih daripada 1,500 undi, itu bermakna BN akan mengekalkan kerusi, tetapi jika kurang daripada itu, ia akan memberi kelebihan kepada Yong," kata seorang pemerhati politik.

Sementara itu, sumber BN berkata berdasarkan pengiraan mereka, PKR akan 'mencuri' sebahagian undi Cina menerusi rakan sekutu dalam pakatan pembangkang iaitu DAP yang mempunyai sekitar 1,500 anggota di kawasan tersebut.

Penilaian mereka berasaskan majoriti daripada 15,009 Bumiputera Muslim yang terdiri daripada Bajau, Suluk, Sungai, Bugis dan keturunan Melayu Brunei akan terus menyokong BN.

Bagaimanapun untuk memastikan kemenangan, BN memerlukan sekurang-kurangnya antara 70 hingga 80 peratus undi Bumiputera Muslim bagi mengimbangi sebarang pengurangan dalam undi Cina.

"Tetapi ini bukan suatu yang mudah. Kami menjangkakan majoriti anggota DAP di kawasan ini akan mengundi Yong kerana beliau seorang tokoh yang popular.

"Satu lagi masalah ialah pengundi Cina di kawasan ini adalah sebahagian daripada Sandakan dan mereka berkemungkinan besar dipengaruhi oleh masyarakat Cina di Sandakan.

"Anda harus ingat, pada pilihan raya lepas, calon Bebas berjaya memperolehi jumlah undi yang agak besar daripada kaum Cina," kata seorang pemimpin MCA tempatan.

Dalam pada itu, PKR pula melihat pilihan raya kecil ini sebagai pertandingan antara pakatan pembangkang dan BN kerana keputusannya akan mengukuhkan lagi kedudukan pakatan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Ini adalah pertandingan antara pakatan dan BN. SAPP tidak penting dalam pilihan raya kecil ini. Ia terlalu kecil," kata Ansari.

Sama ada benar atau tidak, ia hanya dapat dipastikan apabila peti undi dibuka pada 4 Nov ini.

Bagaimanapun sesetengah penganalisis politik bersetuju, sama ada ia pertandingan antara BN-SAPP atau BN-Pakatan, pilihan raya kecil ini sememangnya mencabar bagi semua yang bertanding.

"Sukar untuk dikatakan buat masa ini tetapi saya masih percaya BN mempunyai kelebihan mengekalkan kerusi, setidak-tidaknya di atas kertas. Kita tidak tahu apa yang boleh dibawa SAPP pada pilihan raya kecil ini," kata Rizal Idris, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Bagi saya keputusan pilihan raya kecil ini akan menjadi kad laporan mendiang suami Linda Tsen bagi tempoh dua tahun lepas, iaitu penilaian prestasinya di kawasan ini," katanya.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih dan 1,535 daripadanya adalah pengundi pos. Chong memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,708 undi menentang calon Bebas.

Rabu, Oktober 27, 2010

DATIN LINDA TAK TAHU CAKAP DALAM BAHASA MELAYU?


Pengarah pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi BN, Datuk Seri Musa Aman menafikan calon BN tidak pandai bercakap bahasa Melayu.

Katanya, kebetulan Datin Linda Tsen ditemuramah dalam Bahasa Inggeris, maka beliau jawab dalam Bahasa Inggeris kepada wartawan.

"Oleh itu tidak benar bahawa beliau tidak tahu bercakap bahasa Melayu," katanya mengulas rungutan para pengundi bahawa mereka lebih menyenangi calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee yang fasih bercakap dalam bahasa Melayu.

Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berharap isu ini tidak menjejaskan undi para penyokong BN kerana sudah tentu PBS memilih calon yang dapat bercakap dalam banyak bahasa.

"Apatah lagi majoriti pengundi Batu sapi adalah orang Melayu, maka Dartin Tsen akan banyak berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Melayu," katanya lagi.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, parti pembangkang Sabah Parti Maju Sabah (SAPP) dan PKR.

Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berdepan dengan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah dan PKR diwakili peguam terkenal, Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Tuaran.


Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Sabtu, September 04, 2010

WANITA MELAYU LAYAK DI NOMBOR 66


Saya adalah pelanggan tetap majalah FHM (For Him Magazine) yang merupakan sebuah majalah berbahasa Inggeris terbitan sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur. Dalam edisi September 2010, FHM menyiarkan senarai 100 orang wanita yang paling dikehendaki di dunia yang dijalankan melalui undi para pembaca FHM.

Oleh kerana majalah ini majoriti pembacanya adalah kaum Cina, maka ramai wanita Cina yang menang di mana Hannah Tan mendudukki senarai nombor 1. Dia mengalahkan ramai pelakon Hoolywood seperti Jessica Alba (9), Eva Mendes (11), Scarlet Johansson (23), Emma Watson (29), Britney Spears (44), sekadar menyebut beberapa nama.

Hanya empat selebriti Melayu yang mana iaitu Fazura (66), Nana (84), Sari Yanti (90) dan Nora Danish (96). Fazura mengalahkan Angelina Jolie (70), Lindsay Lohan (80), Jennifor Aniston (81) dan Eva Longoria (95) di antara beberapa pelakon Hollywood.

Oleh kerana majoriti pembaca FHM adalah bukan Melayu maka ramai lagi artis Melayu tidak tersenarai dalam 100 orang wanita yang dikehendaki di dunia anjuran majalah FHM ini. Marion Cauter yang akan bernikah dengan anak Tan Sri Nazimuddin menang di tempat ke 49. Tahniah kepada semua pemenang. Untuk mengetahui siapa 100 orang wanita itu, belilah FHM yang terbaru.

Sabtu, Mac 27, 2010

ORANG MELAYU TAK PERCAYA KEPADA UMNO LAGI


Kepercayaan orang Melayu terhadap Umno sebagai pelindung nasib mereka kini terhakis dan Melayu kini perlu berusaha untuk melindungi diri mereka sendiri, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.


"Maaf saya katakan, wujudnya begitu ramai NGO Melayu yang memberi tumpuan masalah Melayu kerana terhakisnya kepercayaan mereka kepada UMNO sebagai pelindung nasib mereka,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Menurut Mahathir, prestasi Umno pada pilihan raya tahun 2008 adalah terlalu buruk dan Barisan Nasional (BN) hanya mampu menubuhkan kerajaan yang lemah, yang dilihat sebagai tidak berupaya mempertahankan kedudukan orang Melayu.

“Kita lihat seolah-olah kerajaan memberi layanan kepada mereka daripada apa yang ada pada kita. Saya tak kata kerajaan berat sebelah tetapi lemah kerana ada sipolan yang tak tau Umno dan BN hampir kalah.

Jangan biadap

“Masa saya jadi PM, ada juga tuntutan, tapi jangan la biadap ,” kata Mahathir.


Beliau berkata tuntutan dan desakan pada zaman itu tidaklah sebiadap seperti hari ini.

“Saya bukan rasis, saya keturunan orang Melayu.nak aman,hidup rukun dan damai.negara dapat dibangunkan. hampir 50 tahun tak ada masalah yang besar dihadapi kecuali tahun 1969 dan 1987. Tak ada tuntutan yang bukan bukan dari mana-mana pihak..

“Zaman Tunku (Abdul Rahman), Tun Razak, (Tun) Hussein dan zaman saya, tak ada tuntutan yang bukan-bukan. Apa yang saya perkatakan adalah benar belaka, negara kita unik, penduduk pelbagai kaum, negara lain, penduduk tempatan tak akan beri hak kepada pendatang,orang lain melainkan guna syarat-syarat yang ketat seperti guna bahasa tempatan, budaya tempatan,” kata Mahtahir.

Katanya, orang Melayu amat bermurah hati dan sanggup berkongsi negara ini hampir tanpa sebarang syarat yang ketat.

Umno lemah

Bagaimanpun akibat kerajaan BN yang ditunjangi oleh Umno adalah lemah, maka golongan berkenaan mula berani menuntut perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan ia ditambah burukkan lagi dengan bantuan parti pembangkang yang memuatr-belitkan perkara itu.

“10 peratus anak Melayu yang berada di universiti, anak Melayu yang melanjutkan pengajian ke luar negeri, pun tak ramai. Kita boleh buat banci,,siapa yang lebih ramai?


“Ramai penuntut Melayu dapat biasiswa.kita beri sebab tak ada duit atau duit tak cukup. Yuran setahun RM60 ribu, mana ibu bapa Melayu yang mampu. Zalimkah kita bagi biasiswa untuk tambah Melayu berpelajaran?” soal Mahathir lagi.

Selain itu, menurut Mahathir, bukan Melayu juga tidak seharusnya mempertikaikan kedudukan Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.

“Keris ialah simbol bangsa kita. Kita hargai. nak guna simbol kita pun tak kan nak kena minta maaf? Hanya kerana satu kaum nak hidup bahagia, kaum satu lagi hidup sengsara?” soalnya.

Justeru, kerana keadaan sedemikian orang Melayu, kata Mahathir memerlukan NGO seperti Perkasa bagi memperjuangkan hak mereka.

Rintihan rakyat

Kata beliau lagi, tanpa menamakan pihak yang bertanggungjawab: “Kita taklah tuntut banyak banyak..dia dah pergi, biarlah dia pergi.”

Mahathir bagaimanapun mengingatkan kerajaan supaya perlu mendengar pandangan dan rintihan daripada semua rakyat tanpa mengira kaum. Ini kerana, katanya, sebagai sebuah negara yang demokratik, membentuk sebuah kerajaan bergantung kepada sokongan undi.

“Oleh itu, penting bagi kerajaan dengar rintihan rakyat, di samping cuba mengambil kira pandangan mereka (rakyat). Bukan daripada satu kaum tetapi daripada semua kaum.


“Orang Melayu perlu mengambil kira orang India serta Cina dan di Sabah atau Sarawak,” katanya.

Beliau berkata walaupun jumlah mereka tidak ramai dan tidak dapat menentukan siapa yang akan memerintah, namun orang Melayu perlu beringat bahawa kemenangan bukan bergantung kepada ratusan ribu undi tetapi kelebihan satu undi sahaja,

“Satu undi itulah yang akan menentukan menang atau kalah seseorang atau sesebuah parti.
Hendak menang atau kalah bukan kerana ribuan undi, dua tiga undi pun boleh menentukan menang atau kalah.

"Kalau mereka ada rintihan dan perasaan tidak puas hati, harus dengar. Kalau tutup telinga atau desakan mereka tidak didengar, dalam pilihan raya, akan kalah," katanya.

Media Cina, India diberi amaran

Pada ucapannya itu, Mahathir turut meminta media bahasa Cina dan India supaya melapor dengan benar.

“Tolong buat laporan yang benar. jangan putar belit kenyataan saya. Saya harus prihatin kepada nasib orang Melayu. Saya yakin ahli perkasa bukan berniat tidak adil terhadap bukan Melayu tapi tuntut hak mereka. Tuntut hak adalah tindakan yang adil,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya jangan melupakan rintihan dan tuntuan orang Melayu.

“Nak negara berada dalam keadaan aman, adil, saksama sesama kaum, nak keadilan dalam pengagihan kekayanaan dalam negara kita. Bukan kita nak rebut tapi jangan ambil yang sedikit yang kita ada untuk diberi kepada mereka yang dah ada,” katanya lagi.


Mahathir mengakhiri ucapannya dengan meminta Perkasa supaya berperanan secara bijak, dan bukan untuk mendabik dada.

Selesai ucapannya, Mahathir dianugerahkan 'Bintang Perkasa Pribumi Negara' yang pertama oleh presiden NGO itu.

Ia diikuti dengan laungan “Hidup Tun” sebanyak tiga kali.
(dipetik dari malaysiakini.com)

Selasa, Disember 08, 2009

MELAYU HANCUR SELAGI SOKONG ANWAR


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menegaskan, orang Melayu akan hancur selagi terus menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konco-konconya.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali (gambar) menegaskan, orang Melayu juga tidak boleh bergantung kepada Pas kerana parti itu hanya mempergunakan agama Islam dan menjadi tunggangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP.

Pada masa sama, katanya, kehancuran orang Melayu akan lebih kritikal jika tidak bersatu menentang DAP yang semakin melampau dan kurang ajar memijak kepala penduduk bumiputera dan Islam.

''Ini merupakan tiga ancaman yang boleh menghancurkan orang Melayu di negara ini. Tidak ada makna pembangunan pesat negara kalau Melayu akhirnya hilang kuasa di negara sendiri.

''Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, perkembangan ini kalau tidak ditangani dengan betul, Melayu boleh jadi bangsa Palestin dan Melayu Singapura yang kehilangan negara," katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang pada ceramah perdana mengenai isu-isu semasa di Dataran Kampung Paya, Batu Kurau dekat Taiping malam tadi.

Menurut Ibrahim, kejahatan Anwar, yang dahulunya ditatang 'bagai minyak penuh' semasa zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dihukum Allah SWT 'secara tunai' di dunia ini kerana sikapnya itu.

Kata beliau, selaku Ketua Pembangkang, Anwar sanggup menjanjikan 'bulan dan bintang' kepada Pas dan DAP tanpa memikirkan kepentingan dan nasib orang Melayu dan Islam.

''Sebab itu pemimpin DAP sanggup pijak gambar tiga wakil rakyat Bebas di Perak. Mereka pijak gambar orang Melayu dan Islam. Melayu dalam pembangkang jadi pengecut dan hanya diam bila DAP kurang ajar.

''Apabila DAP menghina institusi raja, menyamakan Islam dengan agama lain dan memperlekeh bahasa Melayu, Anwar hanya diam membisu, sampai sekarang tidak bersuara," katanya.

Pas pula menurut Ibrahim diibaratkan sudah sampai ke peringkat 'masuk wad gila' kerana kenyataan pemimpin-pemimpinnya yang mengarut terutama sekali Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, Pas hanya dipergunakan oleh DAP dan PKR untuk memecahkan undi Melayu di negeri-negeri tertentu terutama sekali di Perak, Selangor dan Pulau Pinang hingga menang beberapa kerusi.

Jelas beliau, dominasi Pas di Kedah dan Kelantan tidak dikhuatiri kerana masih diperintah oleh Melayu Islam tetapi kehadiran Pas di negeri lain adalah amat bahaya.

''Walaupun Nizar (Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin) jadi Menteri Besar Perak tetapi beliau hanyalah patung. Pemerintah Perak yang sebenar ialah DAP. Mereka marah sangat dan pijak gambar orang Melayu selepas kuasa mereka dirampas.

''Pas pula sibuk mendoakan kehancuran umat Islam lain. Kalau benar doa Tok Guru Pas berkat sudah tentu Kelantan sekarang negeri paling maju dan mungkin sudah ada sepuluh menara berkembar Petronas di sana," katanya.

Ibrahim menambah, kemenangan besar DAP dilihat hampir sama dengan kejayaan mereka semasa PRU 1969 walaupun pada masa itu pergerakan komunis telah dibubarkan selama enam bulan.

''Bagaimanapun perjuangan mereka tidak mati. Bekas penyokong komunis kini berada dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

''Sebab itu mereka begitu berani (nak) bawa Chin Peng balik. Apa tandanya itu? Masih tidak sedar lagikah rakyat Perak?" ujar beliau.

Katanya, walaupun bukan ahli UMNO dan hanya wakil rakyat Bebas, beliau menegaskan orang Melayu perlu kuat dan bersatu kembali di bawah payung UMNO dan Barisan Nasional (BN) demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

''Orang Melayu dari dulu memang kalah dari segi ekonomi tetapi kuat dalam politik. Malangnya sekarang politik pun sudah mula kalah. Jadi jangan menyesal kalau Melayu terus hancur pada PRU Ke-13 akan datang," katanya.

Khamis, September 24, 2009

RASUL PUN ADA DI KALANGAN ORANG MELAYU?


Orang Melayu memang hebat. Kalau dahulu 25 orang Rasul ,Allah pilih di kalangan orang Arab, kini ada pula orang Melayu yang mengaku jadi Rasul sedangkan Nabi Muhammad adalah nabi terakhir. Nampak sangat betapa jahilnya orang Melayu hingga percaya ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad.

Jika tak percaya masakan ketua ajaran sesat "Rasul Melayu", Abdul Kahar Ahmad mempunyai pengikut. Beliau menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap lima pertuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam petang tadi.


Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad bagaimanapun menetapkan 2 Okt untuk mendengar rayuan peguam bela tertuduh, Musa Awang dan hujahan pendakwaan yang diwakili Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abd Hamid serta pegawai pendakwa daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Muhamad Nazri Basrawi kerana mahkamah kesuntukan masa berikutan waktu pejabat berakhir pada pukul 5 petang.

Abu Zaky turut membenarkan permohonan Musa supaya Abdul Kahar, 59, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta 10 penjamin penjawat awam Jusa C bagi kelima-lima pertuduhan berkuatkuasa petang ini dan sekiranya gagal membayar jaminan, tertuduh akan terus ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Berhubung isu jaminan itu, Abu Zaky berkata mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh sebelum ini pernah diikat jamin dengan dua penjamin penjawat awam tetapi dia tetap gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kesnya tanpa sebarang alasan.

"Mengenai faktor anak-anak tertuduh yang sanggup menjamin bapanya dan bertanggungjawab terhadap kehadiran tertuduh pada tarikh seterusnya, mahkamah memutuskan anak-anak tertuduh sepatutnya memberi kerjasama pada peringkat awal semasa kes bermula agar tertuduh hadir di mahkamah, tetapi mahkamah berpendapat tiada kerjasama diberikan.

"Kalau dibenarkan ikat jamin risikonya amat tinggi dan dibimbangi akan menimbulkan persepsi negatif terhadap mahkamah dan kepada institusi agama sendiri. Bagaimanapun mahkamah benarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin penjawat awam Jusa C bagi setiap pertuduhan berkuatkuasa petang ini. Kalau gagal (bayar jaminan) tertuduh hendaklah ditahan di Penjara Sungai Buloh," katanya.

Pertuduhan terhadap Abdul Kahar menyebut, dia didapati telah menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar sahaja dan ibadah Haji sekarang ini adalah sia-sia dan merugikan.

Tertuduh juga didapati mengisytiharkan diri sebagai Rasul Orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagi tuduhan ketiga Abdul Kahar didapati menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengaku dirinya Rasul yang diutuskan oleh Allah untuk orang Melayu, menyatakan bahawa sembahyang lima waktu tidak wajib memadai hanya melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran dan menyatakan bahawa ibadah Haji itu tidak perlu ditunaikan di Mekah serta boleh dikerjakan di mana-mana sahaja di bumi Allah.

Pertuduhan keempat menyebut, tertuduh didapati menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan Mufti yang mana dia masih menjelaskan amalan serta mengajar ajaran Kahar Bin Ahmad di hadapan tiga orang bernama Hanif Taslin, Nurhelmi Ikhsan dan Mohammad Nabil Abu Naim yang difatwakan pada 23 Mei 1991 sebagai menyeleweng daripda ajaran agama Islam.

Bagi pertuduhan terakhir, Abdul Kahar didapati mempersendakan dengan perkataan amalan yang berhubung dengan Agama Islam iaitu menyatakan: "Sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran ini adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang tonggek dan membebel seorang-seorang."

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang, Ampang, Gombak, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 8(a), 7 (1), 12(c), 10(b) dan 13 (1) enakmen itu membolehkan Abdul Kahar didenda RM21,000 dan dipenjara selama 13 tahun dan disebat.

Fakta kes menyebut tertuduh yang mendapat pendidikan sehingga darjah lima di sekolah Melayu, ditangkap pada 23 Jun 2005 oleh pegawai penguatkuasa JAIS berhubung semua kesalahan itu dan dia didapati telah menyebarkan pendapat serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Islam, lebih-lebih lagi ajaran 'Kahar Bin Ahmad' telah diwartakan sebagai ajaran salah oleh Mufti Selangor pada 23 Mei 1991.

Pada 8 April 1991, Abdul Kahar pernah didakwa mengikut Seksyen 150 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 1952 kerana tidak bersolat Jumaat dan dikenakan denda RM300 atau dua bulan penjara.

Tertuduh yang merupakan bekas pekerja Zoo Negara, pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 17 Ogos 2005 serta dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dan sepatutnya dibicarakan pada 21 Sept 2005.

Dia bagaimanapun beberapa kali gagal hadir untuk dibicarakan pada tarikh-tarikh yang ditetapkan walaupun waran tangkap dikeluarkan, sehinggalah pada 16 Sept lepas apabila dia ditahan pasukan penguatkuasa Jais kira-kira pukul 9.45 pagi, di tempat persembunyian barunya di Sungai Long, Kajang sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan ke atasnya.

Khamis, Ogos 27, 2009

MELAYU YANG RUGI


Inilah cerdiknya orang Melayu. Tidak ada otak. Bila ADUN Melayu keluar dari PKR maka secara automatik dia hilang kelayakan jadi Exco. Maka digantinya orang China dari PKR untuk jadi Exco.Jadi orang Melayu yang rugi. Dahulu ada Exco dalam PKR kini diganti Exco di kalangan orang China pula.


Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenankan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd Radzhi Salleh, digugurkan daripada jawatan Exco berkuatkuasa Selasa, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan Exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, Rabu.


Menurut beliau lagi, Sultan Kedah turut memperkenankan pelantikan ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan Exco yang kosong itu manakala majlis angkat sumpah akan diadakan minggu depan.


Mohd Radzhi sebelum ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.


Berikutan tindakan itu, Azizan menghadap Sultan Kedah bagi menyerahkan surat memohon perkenan supaya Mohd Radzhi yang mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas digugurkan daripada jawatan Exco.


Tindakan itu dibuat berikutan Mohd. Radzhi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia negeri bukan lagi mewakili komponen Pakatan Rakyat (PR).


Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya menyifatkan tindakan Mohd Radzhi itu tidak menguntungkan Umno dan Barisan Nasional (BN).


Mohd Radzhi sering dihebohkan dengan dakwaan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM).


Ketika menjadi Exco pula, dalam keadaan disifatkan sebagai gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dan juga exco, beliau masih mengemukakan tuntutan perbelanjaan melampau kepada kerajaan negeri sehingga menyebabkian beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM.

Khamis, Ogos 20, 2009

MELAYU TAK PERNAH LUPA


Dr. Mahathir kata Melayu mudah lupa rupanya tidak tepat. Apa yang berlaku 20 tahun dulu sewaktu Muhyiddin jadi Menteri Besar Johor orang melayu masih tidak lupa. Kini ia jadi kempen pilihanraya kecil Permatang Pasir.


Inilah bahananya bila masuk politik. Benda yang lama pun orang boleh korek balik. Kita dengar apa kata Muhyiddin?


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan tohmahan pembangkang kononnya beliau pernah menjual sebidang tanah kepada Singapura semasa menjadi Menteri Besar Johor.


Katanya fitnah itu sengaja dilemparkan kepadanya bagi menaikkan kebencian rakyat kepada beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


"Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi Menteri Besar Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata," kata beliau pada ceramah Perdana di Tanjong Putus sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini malam Rabu.


Timbalan Perdana Menteri berkata pembangkang membuat fitnah itu kerana tidak tahu sejarah sebenar wujudnya sebuah pusat penyelenggaraan air di kawasan Sungai Lingu iaitu di Bandar Tenggara Johor.


"Saya terpaksa menjawab kerana pembangkang telah membuat fitnah... apa yang berlaku sebenarnya ialah semasa saya menjadi Menteri Besar, satu hari saya menerima panggilan daripada Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya.


Muhyiddin berkata Perdana Menteri ketika itu (Dr Mahathir) telah memanggilnya secara mengejut ekoran kunjungan Lee Kuan Yew (Perdana Menteri Singapura ketika itu) ke Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai dua perkara iaitu saluran gas dan bekalan air.


Katanya dalam pertemuan antara Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu), Lee dan beliau di Kuala Lumpur itu, Perdana Menteri Singapura telah mendesak mahukan bekalan air yang cukup dari Johor.


"Lee Kuan Yew sehingga berkata Singapura sanggup berperang jika Malaysia tidak mahu menyalurkan bekalan air yang cukup dan kesal dengan projek saluran air dari Sungai Lingu itu telah lama tergendala.


"Saya menyatakan bahawa kita tidak mempunyai wang dan Lee Kuan Yew berkata Singapura sanggup menganggung semua kos dan setelah siap kelak, bangunan dan harta yang dibina itu adalah milik Malaysia sehingga hari ini, jadi Singapura cuma mengeluarkan wang," kata beliau.


Muhyiddin berkata isu kononnya beliau menjual tanah kepada Singapura sebenarnya adalah satu dakwaan yang bodoh dan dilemparkan oleh orang yang tidak tahu sejarah.Sehubungan itu, beliau menggesa agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan pembangkang semasa kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu.