Memaparkan catatan dengan label kerusi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kerusi. Papar semua catatan

Isnin, September 26, 2016

KENAPA SPR TIDAK TAMBAH KERUSI?



KUALA TERENGGANU – Sekurang-kurangnya empat kawasan parlimen dan 16 kawasan Dun baharu perlu diwujudkan di negeri ini berdasarkan faktor asas termasuk jumlah bilangan pengundi.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Terengganu, Ariffin Deraman berkata, perkara itu sepatutnya dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan sudah 23 tahun tidak berlaku persempadanan semula melibatkan pertambahan kerusi dengan pertambahan kali terakhir berlaku pada 1993.

Berdasarkan cadangan baharu bagi persempadanan semula negeri ini khususnya, Ariffin berkata, ia sekadar melibatkan pecah sempadan pilihan raya iaitu perubahan masuk dan keluar peti undi dalam kawasan Dun atau Parlimen yang dilihat lebih bersifat politik.

“Sudah 30 tahun pertambahan Parlimen dan Dun tidak dibuat. Menjadi tugas SPR mencadangkan supaya tambah Dun dan Parlimen dan bantahan itu serahkan kepada kami iaitu orang politik (untuk membahas) khususnya di peringkat Dun.

“SPR tidak sepatutnya keberatan kerana khuatir tidak dapat sokongan dua pertiga daripada kerajaan atau pembangkang (jika pertambahan kerusi disyorkan). Kami berasa kesallah usul di Terengganu sudah 30 tahun dan kalau 10 tahun akan datang tetap begini, maknanya 40 tahunlah persempadanan tidak akan berlaku… dan satu-satu Dun akan mengalami jumlah pengundi yang besar. Di Dun mungkin mencapai 30,000 hingga 50,000 pengundi manakala Parlimen mungkin sampai 150,000 pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini.

Ariffin yang juga Adun Alor Limbat turut mencadangkan SPR lebih berani memberi cadangan pertambahan kerusi dan tidak memikirkan kesukaran mendapatkan sokongan dua pertiga khusus di Terengganu kerana ia menjadi tanggungjawab ahli-ahli politik untuk membahaskannya di sidang Dun.

Jelasnya, menerusi usul persempadanan oleh SPR ketika ini, jumlah bilangan pengundi yang dikenal pasti di satu-satu Dun menjadi tidak seimbang dan di Wakaf Mempelam memperlihatkan pertambahan pengundi sehingga kira-kira 31,000 orang.

“Kalau tengok Dun Bukit Besi kira-kira 12,000 orang, Paka 24,000, Sura menjadi 25,000. Kenapa Bukit Besi sampai tinggal 12,000 orang? Sepatutnya purata 18,000 hingga 20,000. Jumlah bilangan yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata, pertambahan kerusi Dun dan Parlimen bertujuan mengelak kesulitan dan menyelesaikan masalah di sempadan daerah yang ketika ini wujud satu Dun dalam daerah dan Parlimen berasingan.

Sebagai contoh katanya, Dun Teluk Pasu berada dalam daerah Kuala Terengganu tetapi berada dalam Parlimen Kuala Nerus, Dun Alor Limbat (Parlimen Marang, daerah Kuala Terengganu) dan Jabi (Parlimen Setiu, daerah Besut).

Ulasan saya, ura ura Terengganu dapat tambahan kerusi baru parlimen dan DUN sudah lama kedengaran tapi tidak dilaksanakan kerana BN hanya menang 17 kerusi daripada 32 kerusi. Ini membuatkan SPR tidak tambah sebarang kerusi baru di Semenanjung. Tambahan pula di Dewan Rakyat pun, BN tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

Dahulu pada cadangan asal parlimen Kemaman dipecah dua dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek menjadi ketua penaja bahagian yang baru hasil dari pecahan parlimen tersebut. Tetapi oleh kerana BN Terengganu tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga, maka SPR tidak buat sebarang pertambahan kerusi parlimen dan DUN.

Cadangan Ariffin Deraman ini amat bagus. Oleh itu untuk pastikan berlaku tambahan kerusi pada masa akan datang, pengundi kena beri kemenangan besar kepada BN pada PRU akan datang supaya PRU ke 15 akan ada pertambahan kerusi DUN dan parlimen yang baru di Terengganu.

Sebab itu SPR hanya memindahkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Semenanjunng tanpa mencadangkan pertambahan kerusi baru parlimen dan DUN. Di Terengganu, hanya melibatkan pertukaran nama DUN Buluh Gading dan DUN Sekayu.

Isnin, Oktober 19, 2015

KOSONGKAN KERUSI KALAU YAKIN AMANAH KUAT

Fastaqim anjuran PAS bukti bahawa PAS masih dapat sambutan dari ahlinya dari seluruh negara. Ia berjaya mengumpulkan 60,000 orang ahli di Stadium Sultan Muhammad ke IV di Kota Bharu dua malam lepas.

Ia perhimpunan ketiga selepas Bersih 4 dan perhimpunan Baju Merah. Kejayaan perhimpunan Baju Hijau itu membuktikan PAS masih kuat di saat saat Amanah mengakui ramai ahli PAS sudah menyertai Amanah.

Amanah mendapat ahli parlimen secara percuma seperti Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli, Mohamed Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dr Mariah Mahmud dan Raja Kamarul Baharin. Jika benar Amanah itu kuat,salah seorang ahli parlimen Amanah wajar meletakkan jawatan untuk beri laluan kepada pilihanraya kecil untuk membuktikan Amanah diterima oleh rakyat.

Pada tahun 1988, Shahrir Samad yang terlibat dalam Team B sanggup meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Johor Bahru dan bertanding dalam PRK Johor Bharu sebagai calon Bebas. Ketika itu imej Dr Mahathir Mohamad merudum,  Shahrir mampu menang besar kerana rakyat marah kepada Presiden Umno ketika itu.

Dalam suasana rakyat marah kepada PM sekarang, Amanah wajar uji kekuatannya dengan mengosongkan kerusi dan bertanding dalam PRK. Mampukah Amanah yang disokong DAP menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan BN dan PAS?

Cuma risikonya bila ahli parlimen Amanah letak jawatan, mereka tidak boleh bertanding semula selama lima tahun. Siapakah yang sanggup menerima cabaran ini? Adakah Dr Mujahid? Dr Hatta? Hanipa? Khalid? Dr Mariah? Raja Kamarul Baharin?

Amanah kena cari kerusi yang ramai pengundi Cina jika mahu menang dalam PRK ini kerana DAP akan full swing membantu pengundi Cina mengundi Amanah. Undi Melayu akan berpecah tiga kepada Amanah, PAS dan BN. Bila ahli parlimen sekarang tidak boleh bertanding semula akibat letak jawatan, maka Amanah kena letak Presidennya Mat Sabu sebagai calon Amanah.

Soalnya siapakah yang sanggup mengorbankan kerusinya kepada Mat Sabu? Apabila Amanah menang, barulah ia boleh mengaku Amanah lebih kuat dari PAS. Jika tidak Amanah sekadar menang kerusi parlimen percuma sahaja dan terus lenyap dalam PRU akan datang. Kekuatan PAS dalam perhimpunan Baju Hijau membuktikan PAS bukan kecil anak seperti mana kata Presidennya, Haji Hadi Awang, soal Amanah adalah soal kecil kepada PAS. PAS dapat kalahkan parti serpihan yang lahir dari PAS seperti Berjasa, Hamim dan Amanah bakal menerima menerima nasib yang sama.


Selasa, Mei 24, 2011

EMPAT KERUSI PAS YAKIN DITAWAN SEMULA


Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman, Kamal Harun yakin BN dapat menawan semula empat kerusi PAS pada pilihanraya umum akan datang.

katanya, beliau bersetuju dengan pandangan pengerusi perhubungan UMNO Terengganu, datuk seri Ahmad Said bahawa UMNO Terengganu yakin dapat menawan semula empat kerusi PAS pada pilihanraya umum akan datang.

menurut Kamal, empat kerusi yang diyakini ditawan semula ialah Sura, Bukit payong,Ladang dan Bukit Tunggal.

"Malah BN boleh tawan semua 10 kerusi PAS jika ahli UMNO mengenepikan siapa yang jadi calon. PAS tidak kuat tetapi oleh kerana ahli UMNO bertelagah sesama sendiri maka PAS yang menang," kata beliau yang juga disebut-sebut bakal calon BN di DUN Air Putih.

Kamal yang juga anak bekas ADUN Air Putih (1986-1999)adalah di antara nama-nama yang disebut bakal menggantikan Wan Hakim Wan Mokhtar yang tidak popular di kalangan rakyat Air Putih. Nama lain yang disebut sebagai calon ialah Wan Ahmad nizam Wan hamid, rosli Ahmad, tuan kecil tuan tengah dan jantan mohamad.

Katanya lagi, PAs menang dengan majoriti yang kecil di Sura, Bukit payong, Ladang dan Bukit Tunggal.


"Oleh itu jika BN meletakkan calon yang sentiasa turun padang maka BN dapat tawan semula keempat-empat kerusi itu," katanya lagi. Di antara calon yang sentiasa turun padang di DUN Bukit tunggal ialah Wan Nor islam atau Cikgu Lam.

Isnin, November 01, 2010

CINA LAWAN CINA DI KERUSI MELAYU



Walaupun pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi adalah pertandingan tiga penjuru di antara dua nama besar dalam politik dan seorang balu yang sedang berkabung, ramai pemerhati politik melihatnya sebagai pertarungan di antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Ini kerana kata mereka, BN dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee yang juga calon parti itu, memberi sepenuh usaha untuk memikat pengundi Cina dan Bumiputera.

BN yang meletakkan harapan pada Datin Linda Tsen Tahu Lin, balu kepada penyandang Datuk Edmund Chong Ket Wah, berhasrat memperolehi sokongan 40 peratus pengundi Cina dan lebih 60 peratus pengundi Bumiputera.

SAPP pula mensasarkan sokongan lebih 70 peratus pengundi Cina dan sekurang-kurangnya 30 peratus undi Bumiputera bagi merampas kerusi itu daripada BN.

Bagaimanapun, pemerhati politik percaya jumlah undi yang diperolehi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah akan menentukan sama ada BN atau SAPP yang memenangi pilihan raya kecil itu.

"Jika Ansari memperolehi lebih daripada 1,500 undi, itu bermakna BN akan mengekalkan kerusi, tetapi jika kurang daripada itu, ia akan memberi kelebihan kepada Yong," kata seorang pemerhati politik.

Sementara itu, sumber BN berkata berdasarkan pengiraan mereka, PKR akan 'mencuri' sebahagian undi Cina menerusi rakan sekutu dalam pakatan pembangkang iaitu DAP yang mempunyai sekitar 1,500 anggota di kawasan tersebut.

Penilaian mereka berasaskan majoriti daripada 15,009 Bumiputera Muslim yang terdiri daripada Bajau, Suluk, Sungai, Bugis dan keturunan Melayu Brunei akan terus menyokong BN.

Bagaimanapun untuk memastikan kemenangan, BN memerlukan sekurang-kurangnya antara 70 hingga 80 peratus undi Bumiputera Muslim bagi mengimbangi sebarang pengurangan dalam undi Cina.

"Tetapi ini bukan suatu yang mudah. Kami menjangkakan majoriti anggota DAP di kawasan ini akan mengundi Yong kerana beliau seorang tokoh yang popular.

"Satu lagi masalah ialah pengundi Cina di kawasan ini adalah sebahagian daripada Sandakan dan mereka berkemungkinan besar dipengaruhi oleh masyarakat Cina di Sandakan.

"Anda harus ingat, pada pilihan raya lepas, calon Bebas berjaya memperolehi jumlah undi yang agak besar daripada kaum Cina," kata seorang pemimpin MCA tempatan.

Dalam pada itu, PKR pula melihat pilihan raya kecil ini sebagai pertandingan antara pakatan pembangkang dan BN kerana keputusannya akan mengukuhkan lagi kedudukan pakatan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Ini adalah pertandingan antara pakatan dan BN. SAPP tidak penting dalam pilihan raya kecil ini. Ia terlalu kecil," kata Ansari.

Sama ada benar atau tidak, ia hanya dapat dipastikan apabila peti undi dibuka pada 4 Nov ini.

Bagaimanapun sesetengah penganalisis politik bersetuju, sama ada ia pertandingan antara BN-SAPP atau BN-Pakatan, pilihan raya kecil ini sememangnya mencabar bagi semua yang bertanding.

"Sukar untuk dikatakan buat masa ini tetapi saya masih percaya BN mempunyai kelebihan mengekalkan kerusi, setidak-tidaknya di atas kertas. Kita tidak tahu apa yang boleh dibawa SAPP pada pilihan raya kecil ini," kata Rizal Idris, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Bagi saya keputusan pilihan raya kecil ini akan menjadi kad laporan mendiang suami Linda Tsen bagi tempoh dua tahun lepas, iaitu penilaian prestasinya di kawasan ini," katanya.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih dan 1,535 daripadanya adalah pengundi pos. Chong memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,708 undi menentang calon Bebas.

Rabu, Oktober 20, 2010

50 KERUSI BN DALAM BAHAYA


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 50 kerusi parlimen BN yang sedia ada berada dalam bahaya sekiraya Umno masih lagi berkhayal boleh menang dalam pilihan raya tanpa sokongan bukan Melayu.

Katanya, sekiranya tidak ada usaha untuk mengamalkan kepimpinan yang inklusif lagi moderat, kepimpinan Melayu Umno akan hilang pada pilihan raya akan datang "bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi."

"Kita harus belajar dari keputusan pilihanraya umum yang lalu di mana jelas kita hampir kalah sebab hilang sokongan bukan Melayu," katanya yang juga ahli parlimen Rembau.

Ketika berucap dalam perhimpunan agung 2010 pergerakan itu, Khairy berkata, keadaan itu bermakna, untuk menang mestilah dengan sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

"Kalau kita mengharapkan undi orang Melayu semata-mata, kita harus ingat bahawa hanya 73 kerusi parlimen sahaja yang mempunyai majoriti dominan Melayu 70 peratus ke atas. Inilah hakikat dan realitinya," katanya.

Sementara itu, berhubung isu ekonomi, Khairy mempersoalkan kenapa terdapat anggota parti itu yang takut dengan gusar dengan ekonomi berteraskan merit melalui Model Baru Ekonomi (MBE),



"Mengapa kita perlu gusar apabila mereka yang berkebolehan, yang genuine, diberi peluang untuk ke depan? Apakah kita terlalu dengki dengan bangsa sendiri yang rajin dan berbakat sehingga kita sanggup menghalang kejayaan mereka?

"Adakah kita umpama ketam di dalam bakul yang menarik turun sesama sendiri?" soal Khairy bertubi-tubi.

Beliau juga mengakui terdapat persepsi negatif terhadap pendekatan terdahulu Dasar Ekonomi Baru (DEB) di kalangan anak muda.

"Apabila saya ceritakan soal DEB dan perjuangan bangsa, mereka jawab: 'Minta maaf. Apa yang saya dapat dari DEB?' Gaji mereka di bawah paras kemiskinan, ramai di kalangan mereka berhijrah ke bandar di mana kos sara hidup meningkat dengan lebih pantas dari pendapatan. Mereka Melayu, Bumiputera tetapi nikmat DEB tidak mereka rasai.

"Tanggapan mereka – persepsi yang mereka ada – DEB hanya menguntungkan segelintir Bumiputera elit yang ada kabel besar. Bagi golongan ini, sasaran ekuiti 30 peratus tidak bermakna kerana kebanyakkan mereka tidak pernah dan tidak mampu untuk membeli saham," katanya.

Sehubungan itu, Khairy berkata, realiti itu menuntut kerajaan membuat perubahan melalui MEB yang didakwa sebagai "pengemaskinian terhadap cara pelaksanaan agar segala kelemahan DEB dapat diatasi".

Isnin, Januari 26, 2009

BERITA LEPAS KERUSI DUN HANYA SPEKULASI



Kuala Terengganu - Sudah dua kali dalam bulan ini akhbar Mingguan WATAN seolah-olah sengaja mencari pasal dengan PAS.


Bilangan 22 Ahad 25-31 Januari akhbar tersebut mendakwa Abdul Wahid Endut dijangka melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam sekaligus satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu akan diadakan


(Gambar - sessi minum petang bersama wartawan di rumah Wahid 18 Januari lalu, Editor Buletinonline turut hadir, tiada kelibat wartawan akhbar Watan).


Dalam keluaran tersebut, akhbar itu meletakkan tajuk utama muka depan 'Wahid Lepas Adun' dan tajuk kecilnya 'Satu lagi pilihanraya kecil di Terengganu untuk malukan BN' melaporkan dalam intro beritanya bahawa satu lagi pilihanraya kecil dijangka berlaku di Terengganu berikutan kemenangan ahli parlimen Kuala Terengganu yang baru, Abdul Wahid Endut


Pada keluaran sebelum itu, Watan turut membuat percubaan ‘mengusik’ PAS dengan tajuk sensasi ‘PAS Beli AKIM’, selepas penarikan diri calon AKIM pada hari penamaan calon pilihanraya kecil Kuala Terengganu.


Muka depan Watan bertarikh 10 Januari itu menyiarkan menyiarkan berita PAS dikatakan telah membeli calon parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Mohamad supaya menarik diri pada saat akhir sebelum mengemukakan kertas pencalonan bagi bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu.


Ekoran dari siaran Watan yang dianggap fitnah itu, Harakhdaily melaporkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Abdul Wahid Endut menafikan beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.


Pada petang 18 Januari lalu, dalam sesi bersama wartawan di rumahnya di Seberang Baruh, dekat sini, ketika ditanya, Wahid menegaskan beliau akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam.


Katanya beliau tidak sama sekali akan meletakkan jawatan walaupun ada pihak-pihak tertentu mendesakknya berbuat demikian.


"Saya dipilih oleh rakyat, bukan dilantik... tiada sebab untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN," katanya.


Mohd. Abdul Wahid menjelaskan beliau ada menerima SMS yang meminta beliau melepaskan jawatan ADUN jika menang.


"Saya tidak membalas SMS itu dan saya pun akan tetap kekal sebagai ADUN," katanya.


Jelasnya, beliau tiada masalah untuk meneruskan kedua-dua kerusi ADUN dan Ahli Parlimen serentak memandangkan telah mewakili DUN Wakaf Mempelam dengan baik.


"Malah ada juga wakil rakyat memegang kedua-dua kerusi peringkat negeri dan Parlimen seperti Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) dan beberapa wakil rakyat yang lain.


"Cuma saya hendak membahagi-bahagikan masa dengan seimbang dalam hal ini," katanya
(Last Updated on Monday, 26 January 2009 08:18 . Dipetik dari buletinonline.net)


Saya selaku Editor akhbar WATAN ingin mengulas isu berita WAHID LEPAS ADUN merupakan berita spekulasi. Jadi tak perlulah beliau saman akhbar WATAN. Lagipun beliau mengaku banyak menerima sms yang mendesaknya melepaskan kerusi DUN Wakaf Mempelam itu.