KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapati bahawa apa yang dikatakannya pada masa lalu dan apa yang dikatakannya sekarang akan dibangkitkan dan percanggahan di antara 'dahulu dan sekarang' pastinya sangat ketara.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata jika Muhyiddin fikir orang akan lupa tentang apa yang dikatakan dahulu dan percanggahannya dengan apa yang dikatakan sekarang maka, beliau tersilap besar.
Dengan zaman internet atau era media sosial, katanya orang akan ingat tentang apa yang dikatakan Muhyiddin walaupun selepas beberapa dekad berlalu - dan jika tidak ingat, mereka boleh menyelidik dan mengetahuinya.
"Jadi, anda bukan sahaja perlu berhati-hati dengan apa yang anda katakan, tetapi anda harus ingat apa yang anda katakan pada masa lalu.
"Calon Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terpaksa berdepan dengan situasi sukar ini dan sekarang, beliau terpaksa memohon maaf atas apa yang dikatakannya pada masa lalu, yang kini menjejaskan kempennya," kata Salleh menerusi posting terbaharu dalam blog beliau hari ini.
Calon presiden Parti Republikan itu hari ini memohon maaf kerana menyampaikan ucapan seksual yang kasar dan agresif mengenai wanita pada 2005 susulan video menggemparkan disiarkan oleh The Washington Post semalam.
Salleh berkata sudah tentu, rakyat akan memahami apa yang Muhyiddin katakan pada masa lalu adalah atas kapasiti beliau sebagai pemimpin UMNO, namun apa yang dikatakannya kini adalah sebagai musuh UMNO.
Sebagai contoh, katanya, dalam hanya beberapa bulan sahaja bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengubah nadanya dengan menyatakan apa yang cuba dilakukannya dahulu adalah kerana sayangkan UMNO dan sekarang, beliau cuba memastikan UMNO berkubur buat selama-lamanya.
"Tidak syak lagi Mukhriz cuba menjustifikasikan tindakan beliau seperti peribahasa Melayu menyatakan 'menegakkan benang basah'.
"Tetapi jika Mukhriz tidak dipecat daripada UMNO, adakah beliau akan mengubah nadanya? Jadi, ini bermakna ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kesetiaan kepada parti sebaliknya hanya untuk kepentingan peribadi," kata Salleh.
Salleh berkata Muhyiddin juga lebih mementingkan keperluan politiknya sendiri berbanding kepentingan negara.
"Pada masa lalu, beliau (Muhyiddin) berkata beliau mendahulukan kepentingan Melayu dan semua yang lain sebagai perkara kedua.
"Sekarang, beliau berkata PAS perlu bekerjasama dengan DAP untuk membantu menghancurkan UMNO. Muhyiddin juga menyatakan tanpa bantuan DAP, PAS tidak dapat memenangi banyak kerusi," katanya.
Salleh mempersoalkan bagaimana Muhyiddin mengharapkan PAS dan DAP untuk sekali lagi 'tidur sebantal' sedangkan isu yang menyebabkan perpecahan masih berlarutan.
"Adakah Muhyiddin menyatakan bahawa PAS harus menarik balik rang undang-undang pindaan Mahkamah Syariah atau menyatakan bahawa DAP perlu menerimanya? Ia harus menjadi satu daripadanya atau yang lain bagi PAS dan DAP untuk kembali bergabung," katanya.
-- BERNAMA
Memaparkan catatan dengan label lupa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lupa. Papar semua catatan
Ahad, Oktober 09, 2016
Khamis, Disember 03, 2015
MAHATHIR SUDAH LUPA
Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengeluh bahawa dia tidak lagi mengenali Umno hari ini yang menghalang timbalan presiden parti Muhyiddin Yassin daripada menyampaikan ucapan penggulungan.
Bekas presiden Umno selama 22 tahun itu berkata pada pemilihan parti sebelum ini, beliau tidak pernah menghalang Tengku Razaleigh Hamzah daripada menjelajah ke seluruh negara untuk mengkritik beliau, dan ini termasuk kepada Pak Lah ( Abdullah Ahmad Badawi).
"Hari ini, kita ada presiden parti (Datuk Seri Najib Razak), bukan pada pemilihan (parti) tetapi menghalang orang daripada menyampaikan ucapannya. Ini bukan Umno saya kenali," katanya kepada pemberita.
"Mereka langgar tradisi parti."
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin hari ini bahawa dia dihalang daripada berucap pada sesi penggulungan perhimpunan agung Umno, minggu depan.
Sebelum ini, Majlis Tertinggi Umno juga memutuskan Muhyiddin selaku timbalan presiden tidak akan merasmikan sayap-sayap Umno tetapi sebaliknya ketua masing-masing akan berbuat demikian.
Nampaknya Dr Mahathir sudah lupa. Memang benar dia membenarkan Ku Li menentangnya bagi jawatan presiden Umno pada 24 April 1987, tetapi dia menang secara tidak bermoral dengan majoriti 43 undi.
Dikatakan sewaktu mengira undi, ada penipuan maka Ku Li yang dapat 37 pencalonan sahaja kalah tipis di tangan Dr Mahathir yang mendapat 100 lebih pencalonan. Selepas itu apabila penyokong Ku Li membawa ke mahkamah kerana tidak puas hati dengan kekalahan Ku Li mahu mahkamah mengisytiharkan pemilihan itu tidak sah dan mereka mahu pemilihan diadakan semula tetapi Dr Mahathir lebih rela Umno diharamkan oleh hakim Harun Hashim.
Dr Mahathir sudah tahu kalau pemilihan diadakan semula beliau akan kalah, jadi beliau lebih rela lihat Umno diharamkan supaya Umno baru dapat ditubuhkannya. Apabila Umno baru ditubuhkan, beliau tidak membenarkan Ku Li dan Musa Hitam menyertai semula Umno baru.
Selepas menang jawatan Presiden Umno, beliau merombak kabinet dengan memecat semua menteri dan timbalan menteri yang menyokong Ku Li seperti Pak Lah, Radzi Sheikh Ahmad, Kadir Sheikh Fadzir, Shahrir Samad, Zainal Abidin Zin dan ramai lagi walaupun mereka menang kerusi majlis tertinggi Umno.
Pak Lah dari team B menang jawatan naib presiden Umno tetapi Dr Mahathir memecatnya sebagai Menteri Pertahanan. Adakah Dr Mahathir menghormati kehendak perwakilan yang memilih Pak Lah? Oleh itu kalau anda tuduh Najib tidak menghormati perwakilan Umno yang memecat naib presiden Shafie Apdal dari jawatan menteri, sebenarnya Najib berguru dengan anda, Dr Mahathir.
Najib memecat Muhyiddin dari jawatan TPM tetapi Najib tidak memalukan Muhyiddin seperti mana anda memecat Anwar Ibrahim dengan memalukan Anwar kononnya Anwar meliwat pemandunya Azizan Abu Bakar. Mahkamah Persekutuan melepaskan Anwar kerana Anwar tidak bersalah melakukan jenayah tersebut di zaman Pak Lah.
Siapa yang lebih zalim? Dr Mahathir atau Najib Razak? Najib hanya memecat dua orang sahaja menteri yang tidak sebulu dengannya iaitu Muhyiddin Yasin dan Shafie Apdal tetapi Dr Mahathir memecat lima orang menteri dan timbalan menteri.
Dr Mahathir sudah lupakah? Beliau yang takut dengan pertandingan maka dalam Umno baru dipinda perlembagaan sesiapa nak bertanding jawatan presiden kena ada 50 pencalonan. Siapa yang berani mencalonkan orang lain di bawah sistem pemilihan yang baru itu? Memang sukar nak dapat 50 pencalonan. Jadi siapa yang lebih demokratik Dr Mahathir atau Najib yang menghapuskan sistem kuota itu pada tahun 2009?
Oleh itu sebelum menuduh Najib melanggar tradisi parti, Dr Mahathir patut lihat dirinya sendiri terlebih dahulu. Atau adakah Dr Mahathir sudah lupa atau buat buat lupa?
Rabu, Oktober 07, 2015
MAHATHIR MUDAH LUPA
Berucap dalam satu majlis di Tawau, Sabah dua hari lalu, Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas presiden Umno terus menerus menyerang Najib.
Beliau mendakwa Najib tidak boleh meyakinkan rakyat supaya menyertai perhimpunan menyokong beliau jika tidak melibatkan wang.
"Di Tawau ni pun berlaku. 50,000 rakyat Tawau datang (sokong Najib) katanya (Najib). Tapi ini angka ciptaan, mereka datang kerana diupah untuk datang," katanya.
Dr Mahathir merujuk kepada 'Perhimpunan Solidariti Rakyat Sabah Bersama Perdana Menteri', di Tawau pada 10 Mei, di mana Najib membaca falsafah Bugis dan berkata beliau tidak akan tunduk dengan tuntutan supaya melepas jawatannya.
Laporan menyebut seramai 40,000 hadirin hadir dalam perhimpunan itu.
Mengulas isu ini, nampaknya Dr Mahathir mudah lupa. Dahulu sewaktu beliau menjadi PM Malaysia selama 22 tahun pun rakyat juga diangkut ke majlis beliau.
Jadi apa masalahnya kalau Najib meneruskan tradisi yang diamalkan Dr Mahathir? Saya masih ingat ketika bertugas sebagai pegawai tadbir FELCRA di Ipoh saya mewakili Pengarah FELCRA Perak untuk menghadiri mesyuarat menyambut kedatangan Dr Mahathir ke Perak pada tahun 1986 yang dipengerusikan Exco kanan, Datuk Malek.
Dalam mesyuarat itu dilantik pegawai kanan di pejabat Setiausaha Kerajaan Perak untuk menjadi pengerusi jawatankuasa pengangkutan, jawatankuasa sambutan, jawatankuasa publisiti dan jawatankuasa jamuan.
Malah Datuk Malek amat detail dalam menentukan cenderahati kepada Dr Mahathir yang mana jawatankuasa bersetuju memberi cenderahati berbentuk gambar beliau. Secara berseloroh Datuk Malek yang juga Ketua Umno Bahagian Beruas berkata pastikan gambar Dr Mahathir itu elok dan tidak nampak hidung Dr Mahathir pesek.
Untuk meramaikan kehadiran rakyat menyambut kedatangan PM itu ke Perak, Datuk Malek meminta semua jabatan mengerah kakitangan mereka hadir ke majlis itu manakala Pejabat Daerah pula menyediakan bas untuk mengangkut semua JKKK hadir.
Maka jika benar rakyat diupah datang ke majlis Najib, apa salahnya kerana Dr Mahathir pun buat perkara yang sama. Takkan Dr Mahathir sudah lupa atau buat buat lupa. Dr Mahathir pernah berkata Melayu mudah lupa, rupa-rupanya beliau yang mudah lupa.
Jika arwah Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat masih hidup, kita boleh tanya Tok Mat banyak mana habis bajet yang digunakan kementeriannya untuk menjulang semula nama Dr Mahathir melalui program Semarak pada tahun 1987.
Oleh itu jangan salahkan Najib kalau Najib angkut orang, kerana Najib belajar dari gurunya Dr. Mahathir.
Selasa, Jun 18, 2013
MAHATHIR SUDAH LUPA?
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong jika dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.
Dr. Mahathir berkata, walaupun jawatan Presiden dan Timbalan Presiden wajar dipertandingkan di bawah amalan demokrasi tetapi orang Malaysia tidak begitu memahami fungsi demokrasi.
"Kalau kalah, mereka akan tarik diri dan tubuh parti lain dan memecahkan UMNO, saya setuju pertandingan diadakan tetapi kalau ada pertandingan, UMNO akan pecah dua.
"Malaysia sudah ada tiga parti Melayu, akan jadi empat (kalau UMNO pecah) dan lama-kelamaan akan pecah langsung. Sebab itulah saya tak sokong pertandingan.
"Jawatan lain dalam parti bolehlah dipertandingkan, tetapi jawatan di puncak tak payahlah bertanding,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku The Prisoners' Diaries tulisan Puan Sri Norma Hashim di sini semalam.
Ulasan saya, Dr Mahathir kata orang Malaysia tak faham amalan demokrasi. Bila kalah, tubuh parti lain. Siapa yang tubuhkan parti lain? Adakah Dr Mahathir sudah lupa? Bila UMNO diharamkan pada tahun 1988, Dr Mahathir menubuhkan parti UMNO (baru) dan tidak membenarkan Tengku Razaleigh Hamzah yang menentangnya menyertai parti tersebut. Maka Ku Li tiada pilihan lain terpaksa menyertai Semangat 46. Oleh itu bila kalah bertanding jawatan Presiden UMNO pada 24 April 1987, Ku Li tidak menubuhkan parti baru. Sebaliknya Dr Mahathir menang kerana wujudnya cawangan yang tidak sah, yang tidak berdaftar dengan ROS. Oleh itu Dr Mahathir menang kerana wujudnya cawangan yang tidak sah. Orang yang kalah tidak puas hati maka ia mengaku kepada mahkamah dan mereka mohon diadakan semula pemilihan. Sebaliknya UMNO diisytiharkan tidak sah gara-gara kegagalan Setiausaha Agungnya, Tan Sri Sanusi Junid membersihkan cawangan UMNO.

Khamis, Ogos 20, 2009
MELAYU TAK PERNAH LUPA

Dr. Mahathir kata Melayu mudah lupa rupanya tidak tepat. Apa yang berlaku 20 tahun dulu sewaktu Muhyiddin jadi Menteri Besar Johor orang melayu masih tidak lupa. Kini ia jadi kempen pilihanraya kecil Permatang Pasir.
Inilah bahananya bila masuk politik. Benda yang lama pun orang boleh korek balik. Kita dengar apa kata Muhyiddin?
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan tohmahan pembangkang kononnya beliau pernah menjual sebidang tanah kepada Singapura semasa menjadi Menteri Besar Johor.
Katanya fitnah itu sengaja dilemparkan kepadanya bagi menaikkan kebencian rakyat kepada beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
"Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi Menteri Besar Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata," kata beliau pada ceramah Perdana di Tanjong Putus sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini malam Rabu.
Timbalan Perdana Menteri berkata pembangkang membuat fitnah itu kerana tidak tahu sejarah sebenar wujudnya sebuah pusat penyelenggaraan air di kawasan Sungai Lingu iaitu di Bandar Tenggara Johor.
"Saya terpaksa menjawab kerana pembangkang telah membuat fitnah... apa yang berlaku sebenarnya ialah semasa saya menjadi Menteri Besar, satu hari saya menerima panggilan daripada Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya.
Muhyiddin berkata Perdana Menteri ketika itu (Dr Mahathir) telah memanggilnya secara mengejut ekoran kunjungan Lee Kuan Yew (Perdana Menteri Singapura ketika itu) ke Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai dua perkara iaitu saluran gas dan bekalan air.
Katanya dalam pertemuan antara Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu), Lee dan beliau di Kuala Lumpur itu, Perdana Menteri Singapura telah mendesak mahukan bekalan air yang cukup dari Johor.
"Lee Kuan Yew sehingga berkata Singapura sanggup berperang jika Malaysia tidak mahu menyalurkan bekalan air yang cukup dan kesal dengan projek saluran air dari Sungai Lingu itu telah lama tergendala.
"Saya menyatakan bahawa kita tidak mempunyai wang dan Lee Kuan Yew berkata Singapura sanggup menganggung semua kos dan setelah siap kelak, bangunan dan harta yang dibina itu adalah milik Malaysia sehingga hari ini, jadi Singapura cuma mengeluarkan wang," kata beliau.
Muhyiddin berkata isu kononnya beliau menjual tanah kepada Singapura sebenarnya adalah satu dakwaan yang bodoh dan dilemparkan oleh orang yang tidak tahu sejarah.Sehubungan itu, beliau menggesa agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan pembangkang semasa kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu.
Langgan:
Catatan (Atom)