Selasa, Disember 12, 2017

HISHAMMUDDIN BUKAN SAINGAN ZAHID

ANALISIS BERITA

Saya ingin mengulas rencana yang tersiar dalam Utusan Malaysia semalam "Jiwa Besar Hishammuddin" oleh Zulkifli Jalil yang mengambarkan seolah-olah pengaruh Hishammudin terlalu kuat dalam Umno,

Beliau menulis  "bukan mudah untuk me­­­nyatakan pendirian menyokong seseorang sebagai calon tunggal untuk mengisi jawatan tertinggi UMNO. Apatah lagi jika seseorang itu dalam kedudukan boleh mencabar jawatan nombor dua parti.


Itulah komitmen tinggi diluahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyokong jawatan Presi­den dan Timbalan Presiden tidak dicabar. Ini membawa ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO 2017 pada hari pertama 8 Disember yang sebulat suara meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.


Bahkan, Hishammuddin me­ngingatkan tiada lagi mana-mana pihak cuba melaga-lagakan pucuk kepemimpinan parti. Ini kerana baik Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta beliau sendiri sudah membentuk persefahaman mengenainya ".


Sebenarnya Zulkifli Jalil tidak faham kenapa usul itu dibawa oleh Umno Bahagian Padang Rengas yang diketuai oleh Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz.  Dalam mesyuarat majlis tertinggi Nazri membangkitkan isu tersebut kerana sudah kedengaran di peringkat akar umbi kononnya Hishamuddin akan menentang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan Umno tahun hadapan.

Seperti kata Datuk Seri Najib Tun Razak beliau tidak mahu campurtangan kerana ia melibatkan sepupunya, Hishamuddin maka majlis tertinggi yang bermesyuarat bersetuju usul itu dibawa oleh wakil pemuda Umno.

Biarpun Umno sibuk berkempen untuk PRU tetapi penyokong Hishammuddin turut berkempen mahu jawatan Timbalan Presiden Umno diisi oleh bossnya kerana jawatan itu memang kosong.

Usaha meletakkan Zahid sebagai pemangku timbalan presiden Umno pada perhimpunan agung Umno tahun lepas gagal ditafsirkan seolah olah Najib tidak merestui usul tersebut. Maka pendirian Najib kali ini tidak mahu campurtangan membuktikan Najib lebih mementingkan kemenangan PRU daripada pemilihan parti.

Parti sudah buat keputusan bahawa Najib dan Zahid akan dinobatkan sebagai presiden dan timbalan presiden Umno tanpa bertanding pada pemilihan 2018.  Maka Hishamuddin kekal sebagai orang nombor tiga dalam parti dan dua kerusi naib presiden Umno terbuka untuk ditandingi oleh sesiapa.

Apa yang ditulis oleh Zulkifli Jalil seolah olah Hishammuddin terlalu kuat pengaruhnya dalam Umno dapat mengalahkan Zahid. Beliau lupa Hishammuddin hampir hampir kalah dalam pertandingan naib presiden Umno pada tahun 2013 di tangan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Jika Sultan Pahang dan Sultan Johor tidak panggil para perwakilan dua negeri itu maka Hishammuddin sudah tewas setelah beliau jauh ditinggalkan oleh Zahid dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Akar umbi Zahid memang kuat. Kalau Hishammuddin menentang Zahid bagi jawatan timbalan presiden Umno maka Hishammuddin tidak lepas. Dengan lulusnya usul tiada pertandingan bagi jawatan nombor satu dan nombor dua maka pemimpin Umno lebih bersemangat untuk menghadapi PRU yang akan datang.