Memaparkan catatan dengan label shahrir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label shahrir. Papar semua catatan

Khamis, Disember 21, 2017

FELDA MAHU DAPATKAN SEMULA HAK KE ATAS TANAH DI JALAN SEMARAK

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- FELDA bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanahnya yang dianggarkan bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di sini susulan laporan yang menimbulkan tanda tanya berhubung urusan pindah milik tanah berkenaan.

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata selain laporan polis yang dibuat pada 12 Dis lepas, tindakan lain yang diambil adalah dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah tersebut, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.

Beliau berkata Unit Kawal Selia Jabatan Perdana Menteri akan melantik juruaudit bebas bagi memulakan siasatan dalaman berhubung keseluruhan isu itu.

"Kita jangkakan siasatan akan dimulakan seawal Januari depan," katanya dalam sidang berita tergempar di ibu pejabat FELDA hari ini, yang turut di hadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Sidang berita itu diadakan berikutan pendedahan media yang melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak terhadap tanah itu yang terletak di kawasan strategik Jalan Semarak susulan urusan pindah milik tanah yang dicurigai.

Ditanya mengenai intipati laporan polis itu, Shahrir berkata syarikat yang memegang surat kuasa wakil penuh ke atas tanah-tanah itu telah dinamakan, namun nama bekas pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Samad tidak disebut.

"Kita buat laporan polis kerana bimbang ada kes penipuan dalam hal tanah ini," katanya sambil menyifatkan perjanjian jual beli tanah itu pelik kerana ia melibatkan tanah institusi kerajaan yang seolah-olah ditukar milik dengan begitu mudah.

Shahrir berkata secara kebiasaannya, projek pembangunan membabitkan tanah milik kerajaan dan agensi kerajaan akan melibatkan hak milik strata sahaja bukannya penukaran hak milik tanah secara keseluruhan.

Beliau mendedahkan selaku pemegang PA (surat kuasa wakil) tanah, syarikat berkenaan didapati menjual tanah kepada pihak mereka sendiri.

"Sebagai pemegang PA, syarikat itu jual tanah kepada diri sendiri dengan jumlah nilai yang disebut itu, namun tiada wakil FELDA yang tanda tangan (dokumen penjualan). Mereka jual kepada pihak dia sendiri," katanya.

Shahrir berkata keseluruhan tindakan sejak Januari hingga April dilakukan FELDA setelah mendapat nasihat Jabatan Peguam Negara, selain ia dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari.

Beliau mendedahkan tanah-tanah itu merangkumi empat perjanjian jual beli dengan nilai keseluruhan RM269.78 juta bagi kawasan berkeluasan 6.57 hektar di Jalan Semarak, yang dibuat sejak 2015 hingga 2016.

Katanya sehingga kini tiada sebarang pembayaran diterima daripada syarikat tersebut malah Lembaga Pengarah FELDA juga tidak dimaklumkan mengenai tindakan pindah milik tersebut.

"Dengar juta-juta, tapi satu sen pun tidak dibayar. Langsung tidak dibayar," katanya sambil memberitahu syarikat itu telah dipanggil sebaik sahaja kes itu diketahui pihak pengurusan dan pentadbiran.

Ditanya sama ada FELDA sanggup menerima wang hasil jualan tanah itu jika gagal dalam proses rundingan dengan syarikat berkenaan, Shahrir berkata pihaknya langsung tidak berminat dengan wang sebaliknya mahu memberi keutamaan kepada pemilikan semula tanah itu.

-- BERNAMA

Sabtu, Januari 07, 2017

MAMPUKAH SEPUPU NAJIB SELAMATKAN FELDA?

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata, pelantikan Shahrir yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah menjadi menteri di tiga kementerian, adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan dan memantapkan lagi kepimpinan FELDA.

"Saya yakin beliau dapat meneruskan segala usaha yang sedang dibuat bagi mensejahterakan lagi warga FELDA," katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Najib, Shahrir pernah menyandang jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bertanggungjawab mengaudit ketelusan badan-badan kerajaan.

Perdana menteri dalam kenyataan itu turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd Isa terhadap sumbangannya kepada FELDA sejak memegang jawatan itu pada 2011.

Najib berkata di bawah kepimpinan Mohd Isa, FELDA telah menjayakan banyak aktiviti kemasyarakatan serta program-program bagi meningkatkan kualiti hidup peneroka dan keluarga.

Beliau berkata Mohd Isa yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi Felda akan terus memegang jawatan sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

"Di bawah penyusunan ini, adanya pembahagian tanggungjawab iaitu terhadap kebajikan dan sosio-ekonomi peneroka dan perniagaan FELDA," kata perdana menteri.

Ulasan saya,  FELDA memang lubuk buat duit. Isa Samad yang didapati bersalah dengan politik wang setelah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dapat nyawa baru apabila dilantik sebagai Pengerusi FELDA. Dalam satu deal FELDA beliau menerima komisen sebanyak RM150 juta.

Memang hebat Isa. Peduli apa dengan nasib peneroka FELDA asalkan beliau kaya. Di saat FELDA mahu nazak barulah Najib melantik Shahrir sebagai Pengerusi FELDA yang baharu.

Pengalaman Shahrir dalam kerajaan memang cemerlang tetapi mampukah sepupu Najib ini menyelamatkan FELDA yang hancur imejnya di bawah Isa Samad?

Shahrir seorang pengkritik vokal di zaman Dr Mahathir dilantik semula menteri di zaman Pak Lah menjadi PM (2003-2009). Apabila sepupunya sebelah Tun Razak menjadi PM, beliau berundur dari kerajaan. Kini Najib memerlukan perkhidmatan Shahrir semula maka Shahrir akan membetulkan FELDA. Soalnya dalam waktu menjelang PRU akan datang mampukah Shahrir menyelamatkan FELDA?

Sabtu, November 12, 2016

BN PUN KONSERVATIF MACAM PARTI REPUBLIKAN

JOHOR BAHRU, 11 Nov (Bernama) -- Kemenangan calon Parti Republikan, Donald Trump, dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini memberikan satu mesej jelas bahawa rakyat akan mengundi parti yang mempunyai lebih nilai konversatif berbanding liberal.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata untungnya, parti yang mempunyai lebih nilai konversatif itu di Malaysia ialah tidak lain, UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan bukannya pihak liberal seperti DAP dan PKR.

"Kalau ditengokkan pada apa yang berlaku di Amerika Syarikat dengan Trump menjadi calon Republikan dan Hillary Clinton untuk Parti Demokrat, pengundi sebenarnya lebih berbalik kepada soal nilai-nilai konservatif iaitu mementingkan keluarga daripada individu dan mementingkan komuniti berbanding individu - yang sememangnya asas dan teras kepada UMNO dan BN

Isnin, Oktober 13, 2008

SHAHRIR SAMAD KUDA HITAM TERBARU


Kenapa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak diberi kemenangan percuma sebagai Timbalan Presiden UMNO? Kenapa Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Datuk Wira Ali Rustam perlu menyekat kemunculan Muhyiddin?

Tentu ada sebabnya. Ada yang berkata sewaktu Muhyiddin jadi MB Johor, Muhyiddin banyak jual tanah kepada orang Singapura. Orang Johor bimbang jika Muhyiddin jadi TPM, perkara yang sama akan berulang. Oleh itu orang Johor perlu menyekat kemaraan Muhyiddin.

Maka anak Johor yang standing dengan Muhyiddin perlu ditonjolkan sebagai calon Timbalan Presiden UMNO yang baru. Ada usaha untuk meletakkan Shahrir bertanding di kerusi nombor dua itu.

Minggu ini Shahrir dijangka mendapat beberapa pencalonan dari Johor walaupun Shahrir sudah mengatakan bahawa beliau tidak berminat bertanding jawatan tersebut. Dalam tempoh 21 hari lagi, Shahrir perlu mencari 38 pencalonan untuk melayakkan beliau bertanding.

Pada tahun 2000, tanpa jawatan menteri, Shahrir menang ahli majlis tertinggi UMNO. Pada tahun 2004, beliau bertanding kerusi Naib Presiden tetapi tewas kepada Isa Samad, Ali Rustam dan Muhyiddin Yassin.

Dari segi senioriti, beliau bergiat cergas dalam UMNO sejak zaman Tun Razak lagi. Mula-mula sebagai setiausaha politik. Beliau bertanding pilihan raya buat kali pertama pada tahun 1978, sebaya dengan Muhyiddin. Shahrir pernah menjadi setiausaha parlimen dan timbalan menteri sebelum dinaikkan pangkat sebagai menteri pada tahun 1983 sebaya dengan Anwar Ibrahim.

Beliau lebih dahulu jadi menteri dari Muhyiddin. Pada tahun 1983, beliau sudah jadi menteri sedangkan Muhyiddin masih timbalan menteri. Beliau dipecat dari menteri pada tahun 1987 setelah team B yang disokonginya tewas.

Pada tahun 1988 beliau meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil itu. Beliau menang dan bersara dari politik pada tahun 1990.

Pada tahun 2004, beliau kembali menjadi ahli parlimen Johor Bahru dan pada tahun 2004, beliau kembali ke kabinet selepas meninggalkan kabinet selama 20 tahun. Oleh itu pengalaman Shahrir standing dengan Muhyiddin. Bezanya perkhidmatan Muhyiddin dalam kerajaan tidak pernah putus sejak tahun 1986, dari MB Johor ke Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Jadi jika UMNO Johor mencalonkan Shahrir sebagai orang nombor dua, ia standing juga dengan Muhyiddin Yassin. Mungkin inilah kuda hitam yang dimaksudkan oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

MUHYIDDIN MENDAHULUI PENCALONAN


Minggu pertama menunjukkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului pencalonan Timbalan Presiden UMNO. Beliau mendapat 25 pencalonan manakala Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ali Rustam mendapat tiga pencalonan dari Kota Kinabalu, Kota Melaka dan Parit Buntar.

Manakala Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib mendapat dua pencalonan dari Beruas dan Subang.

Muhyiddin memerlukan 15 pencalonan lagi untuk cukup kuota dan beliau dijangka mendapatnya pada minggu kedua ini. Ali dan Muhammad juga dijangka tidak ada masalah untuk dapatkan kuota kerana ada 163 Bahagian yang belum bersidang.
Sehingga ini ahli parlimen Pulai, Nur Jazlan Tan Sri Mohamed menerima nasib yang sama dengan nasib Ku Li. Beliau belum mendapat sebarang pencalonan lagi.
Minggu ini juga akan menyaksikan calon baru Timbalan Presiden UMNO iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad. Beliau dijangka mendapat pencalonan minggu ini.
Pada mulanya beliau menolak tetapi apabila dipujuk oleh Tun Musa Hitam, beliau bersetuju berganding dengan Najib. Najib memang tidak mahu Muhyiddin kerana Muhyiddin boleh melanggar Najib pada tahun 2011. Oleh itu meletakkan Shahrir di tempat nombor dua lebih menyelamatkan kedudukan Najib.