Jumaat, Disember 29, 2017

LATIFAH OMAR AKUR DENGAN KEPUTUSAN PARTI





KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Taboh Naning, Melaka, Datuk Latipah Omar berkata beliau akur dengan apa juga keputusan parti sama ada dirinya dikekalkan ataupun tidak pada Pilihan Raya Umum kali Ke-14 (PRU 14) yang bakal diadakan pada tahun hadapan.

Kata Datuk Latipah, beliau amat terbuka berkaitan perkara ini dan sama sekali tidak akan merungut sekiranya nama beliau tidak tersenarai pada PRU 14 nanti.

“Sekiranya saya dipilih semula, saya akan terus memberikan perkhidmatan sepertimana saya lakukan sepuluh tahun lepas (dua penggal). Sekira sebaliknya, saya tetap menabur bakti kepada masyarakat setempat,” katanya.

Datuk Latipah antara Wakil Rakyat dua penggal di Melaka. Beliau mula menjadi wakil rakyat Taboh Naning pada PRU 12. Pada PRU itu beliau memperolehi 3,873 undi mengalahkan calon PAS, Abd. Halim Said (1,626).

Pada PRU 13, sekali lagi namanya diangkat mewakili Taboh Naning. Kali ini beliau berdepan dengan calon PAS, Abd Halim Ab. Jalil. Beliau memperolehi 4,520 undi dan Abd Halim, 2,165 undi.

Untuk pilihan raya kali ini, dua nama disebut untuk menggantikan beliau. Mereka itu terdiri daripada Zulkifli Datuk Seri Md. Zain dan adiknya, Faizal Datuk Seri Md. Zain.

Datuk Latipah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Masjid Tanah berkata sesiapa sahaja layak dicalonkan untuk PRU 14 ini. Ini adalah kerana Umno sebuah parti untuk semua dan bukan parti individu.

Apa yang penting ialah calon berkenaan mestilah layak serta boleh membwa kemenangan kepada parti.


“Semua ahli Umno layak dicalonkan oleh parti. Tak kiranya mereka itu lama ke ataupun baru masuk parti. Yang paling penting sekali calon tersebut mesti dapat mandat pucuk pimpinan,” katanya.


Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri ada menyarankan agar lebih ramai calon muda diketengahkan pada PRU 14 ini.

Kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini semua bagi memberi peluang dan ruang untuk orang-orang muda memberikan perkhidmatan kepada rakyat serta pada masa sama akan menjadi pengganti kepada orang lama yang satu hari nanti bakal mengundurkan diri dalam arena politik.

Reaksinya kepada pandangan dan saranan itu, Datuk Latipah berkata beliau amat bersetuju dengan pandangan TPM itu dan seterusnya beliau menyarankan kepada pucuk pimpinan parti sama ada di peringkat negeri dan Pusat, supaya pemimpin lama ini digandingkan dengan pemimpin baru pada PRU 14 ini.

Bercakap mengenai kepuasan hatinya setelah dua penggal berkhidmat, beliau menjelaskan, sesiapa sahaja akan mengatakan tidak puas menabur bakti selagi darah daging seorang ahli politik itu, masih mengalir dalam diri mereka.

Walaupun banyak pembangunan telah dibawa beliau ke Taboh Naning, hati dan nalurinya mengatakan masih banyak lagi pembangunan hendak diperkenalkan di kawasan tersebut, asalkan sahaja khidmatnya sebagai wakil rakyat di sambung lagi.

Ditanyakan mengenai masa depan politiknya, Datuk Latipah berkata itu semua diserahkan kepada pucuk pimpinan Bahagian dan Negeri. Selagi denyut nadinya masih berjalan, beliau sedia menyambung khidmat kepada parti, walau di mana sahaja beliau diletakkan.

“Saya orang parti. Sebagai orang parti sudah tentulah saya bersedia menyambung khidmat dan jiwa saya memang dekat dengan pengundi saya di Naning (Taboh), “ katanya.