Isnin, Julai 27, 2009

DUN TERENGGANU SAMBUT JUBLI EMAS


Terengganu akan mengadakan majlis sambutan Jubli Emas Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, mulai Isnin hingga Disember depan, sempena 50 tahun kewujudan dewan itu.


Yang Dipertua DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pelbagai acara dan program telah diatur bagi menyambut ulang tahun DUN itu.


Beliau berkata, sambutan malam esok bermula dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan surah yasin, tahlil dan solat isyak bertempat di DUN, Wisma Darul Iman, di sini.


"Tujuan sambutan antara lain bagi memberi kesedaran kepada semua pihak terutama Ahli-ahli Yang Berhormat tentang pentingnya kewujudan DUN dan mempertahankannya sebagai satu institusi yang mulia yang menjadi tempat perbahasan dan percambahan ilmu serta idea, semata-mata untuk kepentingan rakyat," katanya pada sidang media di sini Ahad.


"DUN Terengganu kali pertama bersidang ialah pada 27 Julai 1959, sebab itu dicadangkan tarikh untuk diadakan sambutan bermula Julai hingga Disember depan," katanya.


Tengku Putera berkata, antara acara menarik ialah pidato rakyat jubli emas dan persidangan mini Dewan Undangan Negeri yang dijayakan oleh pelajar sekolah, wacana ilmu jubli emas dan kuiz 'Ingat Sokmo Ganu Kita'.


Katanya, acara kemuncak ialah majlis makan malam yang akan disertai Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong pada Disember.