Ahad, April 24, 2016

GHAFAR MERENDAH DIRI DAN LEMBUT HATI - KU LI

MELAKA, 23 April (Bernama) -- Tun Abdul Ghafar Baba dikenang sebagai tokoh politik yang cemerlang dalam generasinya kerana sifatnya yang merendah diri dan lembut hati, kata anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.


Tengku Razaleigh, yang juga teman karib kepada bekas timbalan perdana menteri itu berkata senario politik UMNO tidak lagi sama selepas pemergian beliau.

"Walaupun Che Ghafar (Abdul Ghafar) kelihatan jarang senyum beliau tetapi ia tidak mencerminkan sifatnya yang peramah. Sememangnya beliau suka bergurau di kalangan rakan-rakannya. Kebijaksanaan beliau membuktikannya.

"Beliau mencerminkan kegigihan berpolitik dan contoh aktivis urat saraf UMNO) dalam tahun-tahun 1980-an, " kata beliau.

Tengku Razaleigh berkata demikian semasa berucap pada majlis bacaan tahlil dan doa selamat sempena 10 tahun pemergian Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba di Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit di sini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam, presiden dewan negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Menteri Wilayah Persekutua Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dan anak lelaki Abdul Ghafar, Mohd Tamrin Abdul Ghafar.

Tengku Razaleigh berkata satu daripada sifat Abdul Ghafar ialah kelembutan hatinya dan sentiasa peka terhadap masyarakat di sekelilingnya terutama mereka yang dekat di hatinya.

"Che Ghafar sayangkan Tun Razak (bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein) dan percaya Tun Razak akan memimpin negara ke arah mencapai banyak kejayaan, apabila saya memberitahunya bahawa Tun Razak telah meninggal dunia, beliau menangis seperti budak kecil dan berkata "apa nak jadi kepada kita ini" dan ini menunjukkan kepercayaanya kepada Tun Razak," kata beliau.

Kali pertama beliau bertemu Abdul Ghafar ialah pada 1962 semasa kedua-dua mereka berjuang untuk UMNO pada pilihan raya kecil Rantau Panjang. Abdul Ghafar berusia 37 tahun ketika itu sementara Tengku Razaleigh baru berusia 25 tahun.

"Pada suatu malam kami tidak dapat pulang ke Rantau Panjang kerana ahli politik pembangkang telah merobohkan jambatan yang sepatutnya kami lalui, jadi kami terpaksa berjalan kaki di landasan kereta api menggunakan lampu suluh, kami mula berbual dan dari situlah bermulanya persahabatan antara kami berdua," kata beliau.

Sementara itu,Mohd Tamrin ketika berucap pada majlis itu berterima kasih kepada semua pemimpin yang telah menjadi sahabat dan rakan seperjuangan kepada ayahanda beliau.

-- BERNAMA