Isnin, Ogos 19, 2013
SUKARNYA MENJUAL BARANG BERKHADAM
Kisah misteri yang dipaparkan ini adalah kisah benar. Tetapi nama-nama watak telah ditukar untuk tidak menyinggung perasaan orang berkenaan. Tujuan saya menulis kisah ini adalah untuk pengajaran kepada kita supaya tidak terlibat dengan perbuatan karut seperti ini.
Ali adalah seorang broker barang-barang mistik. Sebagai broker, Ali mencari pembeli kepada orang yang mahu menjual batu delima merah, rantai babi, besi kuning dan pelbagai barang mistik yang lain. Barang-barang ini dikatakan kebal umum. Maknanya jika memakai barang berkenaan maka orang itu kebal, tidak lut ditembak dan sebagainya.
Biasanya barang kebal umum diuji dengan memotong rambut. Apabila pembeli pegang barang tersebut, tester akan menguji barang itu sama ada kebal atau tidak dengan memotong rambut pembeli menggunakan razor blade. Jika rambut itu putus, maknanya barang itu tidak kebal. Sebaliknya jika rambut tidak putus, ini bermakna barang itu memang kebal.
Kenapa barang-barang ini jadi kebal? Ia adalah kerana barang-barang ini ada khadam. Khadamlah yang menyebabkan tuan punyanya menjadi kebal.
Harga barang kebal umum seperti batu delima merah, rantai babi dan besi kuning biasanya mencecah sampai RM5 juta. Ramai broker yang jadi jutawan menjual barang-barang mistik ini kerana penjual tidak tahu harga pasaran. Kalau penjual bersetuju menjual RM1 juta, ini bermakna broker yang kenyang kerana RM4 juta akan dibahagi sama rata di kalangan broker terlibat.
Ali dahulu seorang pegawai kerajaan di sebuah bandar di Johor. Tetapi dia meletakkan jawatan kerana mahu menjadi kontraktor kelas F. Oleh kerana di daerahnya ramai sangat kontraktor kelas F, maka peluangnya untuk mendapat projek agak terhad. Entah macam mana akhirnya dia terlibat menjadi broker barang-barang mistik.
Ali gembira apabila Pak Wan, tuan punya batu delima menghubunginya untuk menjual barang tersebut.
“Datang ke FELDA Cherul. Bawa pembeli, Saya mahu RM3 juta sahaja,” kata Pak Wan melalui handphone.
“Okay saya akan bawa Datuk Munir ke rumah,” jawab Ali.
Barang kebal
Dari Muar, Ali naik bas ke Kuala Lumpur untuk menemui kawannya Latif yang mana dia yang ada hubungan terus dengan Datuk Munir yang suka membeli barang-barang kebal.
“Kamu pergi Cherul dulu tengok barangnya dan test delima itu. Jika confirm rambut tak putus, saya akan bawa duit RM5 juta ke rumah Pak Wan,” kata Datuk Munir kepada Latif dalam handphone.
Ali yang ada di sisi Latif senyum kerana mereka berdua akan dapat RM1 juta seorang. Esok mereka akan ke FELDA Cherul untuk melihat barang Pak Wan.
Esoknya, sebelum bertolak ke Kemaman dengan kereta buruk Latif, Ali ajak Latif singgah di sebuah kedai menjual kereta Mercedes Benz di Kampung Baru.
“Ini I punya, itu U punya,” kata Ali sambil memegang Mercedez Benz model terbaru berwarna biru manakala Latif memegang kereta warna merah.
“Esok balik dari Kemaman, dapat kami beli kereta ini,” kata Latif sambil memberitahu jurujualnya bahawa esok mereka datang beli kereta tersebut.
Mereka terus bertolak ke FELDA Cherul melalui Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Jerangau-Jabor. Empat jam kemudian mereka tiba di rumah Pak Wan.
“Ini Ali ke?” tanya Pak Wan.
“Ya saya Ali, Pak Wan. Ini Latif, partner saya,” kata Ali.
Malam itu Pak Wan ajak mereka berdua tidur di rumahnya. Mereka nak tidur di hotel bajet di Kuantan tetapi Pak Wan kata nak pergi ke sana, jauh juga, jadi lebih baik tidur di rumahnya. Lagi pun di rumah itu tiada orang hanya Pak Wan dan Mak Wan saja. Tiga orang anak mereka sudah berumah tangga dan duduk berasingan.
Malam itu Latif test batu delima Pak Wan. Ali berikan razor blade baru kepada Latif yang bersedia memotong rambut Pak Wan. Ternyata rambut Pak Wan tidak putus. Seronok Ali dan Latif melihat hasil test tersebut.
Pagi esoknya, Datuk Munir tiba di rumah Pak Wan membawa sebuah van Securicor yang membawa wang tunai sebanyak RM5 juta. Dua orang pengawal keselamatan bersenjata turut datang bersama van tersebut.
“Pak Wan, ini pembelinya, Datuk Munir,” kata Latif memperkenalkan Datuk Munir kepada Pak Wan.
Teratak buruk
“Sila masuk Datuk ke teratak buruk saya,” ujar Pak Wan sambil merendah diri.
“Buruk apa. Saya kira rumah ini yang paling besar di FELDA Cherul ini,” jawab Datuk Munir.
Selepas berbual sekejap, maka Pak Wan pun panggil Datuk Munir untuk menyerahkan batu delima merah itu. Oleh kerana Latif sudah menjalankan test malam tadi, maka Datuk Munir tidak mahu memotong rambut sekali lagi.
“Saya serah delima merah ini kepada Datuk,” kata Pak Wan. Tiba-tiba tubuh Pak Wan menggigil dan matanya sudah naik putih.
Rupa-rupanya khadam delima merah itu tidak mahu dipindahmilik. Khadam itu sudah sebati dengan Pak Wan. Dia tidak nak dipindahmilikkan kepada Datuk Munir. Puas Pak Wak memujuk khadamnya untuk pergi ke tuan baru, tetapi khadamnya berdegil sehingga mata Pak Wan naik putih.
Maka urusan jual beli itu tidak dapat diteruskan. Datuk Munir pulang hampa kerana dia tidak dapat membeli delima merah itu. Yang paling hampa sudah tentu Ali dan Latif yang sudah pegang kereta Mercedez Benz di Kuala Lumpur semalam.
“Memang susah jual barang berkhadam,” kata Latif memujuk Ali yang kecewa.
“Tak ada rezekilah tu,” jawab Ali dan mereka terus pulang ke Kuala Lumpur selepas satu jam Datuk Munir membawa balik van Securicor itu.
Peristiwa itu tidak mematahkan semangat Ali dan Latif. Mereka terus urus jual barang-barang kebal walaupun tidak pernah berhasil kerana khadam tak mahu beri kerjasama.
Di hadapan kita memang khadam tunjuk keindahan dengan membuatkan rambut tidak putus tetapi di hadapan pembeli khadam sengaja buat rambut putus supaya ia tidak berpindah ke tuan baru. (freemalaysiatoday.com)