Isnin, Ogos 19, 2013
TARIK DUIT
Selepas banyak kali gagal menjual barang berkhadam, Latif berhenti membuat kerja tak berfaedah itu. Tetapi Ali masih tidak putus asa. Dia terus menjadi broker barang mistik.
Kali ini saya mahu ceritakan pengalaman Ali terlibat dalam tarik duit. Mungkin anda pernah mendengar kisah ini. Selepas Latif berhenti, Ali mengenali Zaki. Zaki yang mempunyai anak bini di Perak menyewa sebuah bilik di Kepong. Ali menumpang tidur di bilik Zaki.
Zaki tidak ada kerja tetap. Maka dia tertarik dengan cara Ali mencari makan dengan menjadi broker barang mistik. Oleh kerana Ali pernah berjaya dalam kes tarik duit, ia merangsang minat Zaki untuk bekerja bersama Ali.
Harapan Zaki bila semua dealnya dengan Ali berjaya, dapat dia bayar hutang. Malah bilik sewaannya itu sudah empat bulan tidak dibayar. Cina taukeh bengkel di tingkat bawah biliknya sudah bising kerana gagal dapat RM1,000 yang mana sewa bulanannya ialah RM250.
Zaki terpesona mendengar cerita Ali yang pernah terlibat dalam tarik duit. Ali pernah berjaya. Dengan rakan-rakannya menggunakan batu kebal kulit. Tetapi tarik duit yang dilakukan oleh Ustaz Mahri itu tak banyak dapat. Dapatlah RM22,000 seorang.
Ustaz Mahri menggunakan Surah al-Waqiah. Maka muncullah duit di bawah sejadah. Laju duit itu masuk di bawah sejadah. Bunyinya macam mesin teller di bank mengira duit. Itulah kali pertama Ali berjaya dalam tarik duit yang istilahnya dipanggil “proses”.
Mereka tak kata Ustaz, tolong tarik duit. Sebaliknya mereka akan kata, Ustaz tolong proses.
Itulah kali pertama Ali berjaya. Lepas itu banyak kali dia gagal dalam tarik duit. Tapi Ali tetap bersemangat. Ada peluang tarik duit dia tetap pergi.
Keris bergerak
Pernah berlaku tarik duit dibuat dengan keris bergerak. Bila keris bergerak, maka duit pun muncul. Nampak sudah tinggi duit not RM100 muncul dalam rumah itu di hadapan semua ahli jemaah. Agaknya ratusan juta. Ahli jemaah seramai 10 orang berzikir sepanjang Ustaz Zahir prosesnya.
Tiba-tiba Ustaz Zahir suruh tuan punya keris yang duduk di hadapan baca ayat Qursi dan Surah Quliya. Tuan punya keris panik dan mulutnya terkumat-kamit tak dapat baca ayat Qursi dan Surah Quliya. Maka duit yang sudah tinggi itu semakin lama semakin turun dan hilang.
Maka selesailah proses tarik duit tersebut. Ustaz Zahir diam. Dia pun kecewa juga kerana dia sudah sedaya upaya proses keris itu menarik duit. Ahli-ahli jemaah menyumpah tuan punya keris kerana tak tahu baca ayat Qursi dan Surah Quliya. Kalau dari awal mereka tahu, mereka suruh orang yang hafal kedua-dua surah itu duduk di hadapan Ustaz Zahir.
Impian mereka untuk jadi jutawan hancur berkecai. Apatah lagi mereka keluar modal RM100 seorang untuk memanggil Ustaz datang ke rumah tuan keris. Ustaz Zahir dapat RM1,000 kosnya datang ke Batu Pahat dari Kuala Lumpur.
Bila proses selesai, jika dapat RM10 juta, Ustaz Zahir tak boleh ambil duit itu. Sebaliknya 10 jemaah akan dapat RM1 juta seorang. Dengan duit RM1,000 itu Ustaz Zahir buat belanja, isi minyak keretanya dan makan minum sepanjang perjalanan.
Zaki teruja mendengar pengalaman Ali dalam tarik duit. Maka dia mahu ikut Zaki. Manalah tahu ada rezeki dia jadi jutawan.
Hari yang ditunggu pun tiba. Kebetulan Zaki kenal Ustaz Mahmud. Zaki memperkenalkan Ali kepada Ustaz Mahmud yang duduk di Kepong juga.
Besi kuning
“Ustaz malam esok ada orang nak bawa besi kuning untuk proses di rumah ustaz,” kata Ali.
“Datanglah jam 9 malam,” kata Ustaz Mahmud.
Malam esoknya tuan punya besi kuning, Dollah datang lapan orang dengan dua buah kereta dari Kuantan.
Ali yang kenali Dollah memperkenalkan Dollah kepada Ustaz Mahmud.
Ustaz Mahmud pun pegang besi kuning Dolah. Lama Ustaz Mahmud memegang besi kuning itu. Sebelum proses, ustaz akan uji besi kuning terlebih dahulu. Potong rambut tak putus, baru boleh diproses.
Zaki dan Ali siang tadi telah membeli persiapan untuk proses. Mereka beli tiga jenis pisang, pisang tanduk, pisang raja dan pisang emas; tujuh jenis bunga dan sebiji kelapa muda.
“Khadam ada tapi dia ada di bawah. Tak naik. Enta pergi panggil khadam masuk,” kata Ustaz Mahmud. Dollah turun ke bawah. Rumah Ustaz Mahmud di tingkat empat rumah kedai itu.
Dollah puas memujuk khadamnya tetapi khadam enggan masuk ke rumah Ustaz Mahmud. Maka proses tarik duit tak dapat dilakukan.
“Pisang ini macam mana Ustaz?” tanya Zaki.
“Kita makanlah,” kata Ustaz Mahmud sambil disambut ketawa ahli-ahli jemaah.
Dalam ketawa, ahli-ahli jemaah kecewa kerana mereka tak dapat duit tarik malam itu. Apatah lagi mereka datang dari jauh.