Memaparkan catatan dengan label kadir jasin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kadir jasin. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 11, 2018

APA MOTIF KADIR JASIN UNGKIT ISU SULTAN KELANTAN TARIK BALIK GELARAN DK DR MAHATHIR?



Hakikat bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah pun diperkatakan secara meluas selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menang Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei lalu.

Wan Azizah sendiri pernah mendedahkannya tidak lama selepas PRU tersebut.

Namun begitu, tindakan beliau mengulangi hal itu ketika berucap kepada rakyat Malaysia di Jakarta semalam adalah berguna kerana bukan semua orang tahu dan faham peristiwa yang terjadi pada malam 9-10 Mei itu.

Wan Azizah dilaporkan oleh akhbar New Straits Times sebagai berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V membuat tawaran tersebut kerana beliau (Wan Azizah) ketika itu adalah Presiden PKR yang simbolnya digunakan oleh HARAPAN sebagai simbol tunggal untuk pilihan raya.

“Bagaimana pun saya menolak tawaran itu kerana saya memegang janji kita, iaitu Tun Dr Mahathir (Mohamad) akan menjadi perdana menteri dan saya timbalan beliau,” katanya di majlis yang diadakan di Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Pengesahan dan ulang sebut ini penting kerana rakyat, khususnya pengundi yang memilih HARAPAN, berhak mengetahui tindak balas Yang di-Pertuan Agong terhadap keputusan mereka memilih HARAPAN.

Dalam manifesto HARAPAN dan kempen-kempennya dinyatakan dengan jelas bahawa jika parti itu menang maka yang akan menjadi perdana menteri ialah Dr Mahathir.

Di dalam manifesto yang sama dinyatakan juga bahawa selepas Dr Mahathir maka yang akan menjadi perdana menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memanglah pada waktu kemenangan HARAPAN itu ketua parti ialah Wan Azizah dan parti-parti HARAPAN memutuskan untuk mengguna lambang PKR setelah usaha mereka mendaftar dan menggunakan lambang HARAPAN digagalkan oleh Pendaftar Pertubuhan.


Secara konvensyen, ketua parti yang menang diangkat menjadi perdana menteri. Tetapi di sisi undang-undang, mana-mana ahli dewan yang mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat boleh dilantik menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun dalam konteks PRU ke-14, persetujuan telah pun dicapai awal-awal lagi dan dihebahkan kepada umum bahawa yang akan menjadi perdana menteri bukanlah ketua parti (PKR) tapi Dr Mahathir yang merupakan pengerusi HARAPAN.

Jadi rakyat tahu dan satu dunia juga tahu bahawa calon perdana menteri ialah Dr Mahathir dan bukan orang lain.

Cuma timbul persoalan kerana tiga bulan sebelum PRU 9 Mei, Istana Kelantan telah menarik balik gelaran Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi Kelantan yang dianugerahkan kepada Dr Mahathir.

Gelaran itu diberikan oleh bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra. Baginda adalah ayahanda kepada Sultan Muhammad V dan masih hidup.

Penarikan balik darjah tertinggi Kelantan itu dilihat sebagai penolakan terhadap Dr Mahathir oleh Istana Kelantan. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa beberapa orang sultan secara tersurat dan tersirat “berkempen” menghalang kepulangan Dr Mahathir ke arena politik tanah air.

Saya menyokong ulang sebut Dr Wan Azizah itu kerana ia memperjelaskan dan mengesahkan apa yang menjadi tekaan orang ramai pada malam 9 dan 10 Mei 2018.

Setiap perkataan yang dikeluarkan dan gerak tubuh (body language) yang dipamerkan pada saat genting itu perlu dirakamkan secara rasmi agar menjadi panduan kepada kerajaan yang ada hari ini dan petunjuk bagi generasi akan datang.

Pada malam itu rakyat Malaysia mengubah sejarah yang tiada siapa pun boleh menghalangnya.

Alhamdulillah itulah yang terjadi.

Ulasan saya, apa motif A Kadir Jasin mengungkit isu Sultan Kelantan menarik balik gelaran DK kepada Dr Mahathir dalam posting blog beliau di atas? Adakah beliau mahu menghasut rakyat membenci Sultan Kelantan?

Mujur Menteri Komunikasi dan Multi Media, Gobind Deo Singh menjelaskan bahawa Akta Hasutan digantung maka Kadir Jasin selamat dari siasatan polis di bawah Akta Hasutan. Beliau tidak serik kerana di awal PH menang beliau mendedahkan perbelanjaan Istana Negara dalam tulisannya yang menyebabkan beliau disiasat di bawah Akta Hasutan.

Kadir Jasin anti raja tetapi yang anehnya beliau menerima gelaran Dato. Oleh itu Sultan yang menganugerahkan gelaran Dato kepada beliau patut menarik balik gelaran tersebut.

Khamis, Jun 07, 2018

KADIR JASIN PATUT MINTA AMPUN KEPADA YANG DIPERTUAN AGONG



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap tokoh wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin berhubung pendedahan dakwaan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebanyak RM256.9 juta dalam tempoh 16 bulan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kertas siasatan berkenaan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Beliau berkata kertas siasatan berkenaan dibuka selepas polis menerima tiga laporan berhubung kes itu yang melibatkan Kadir.

“Polis terima hanya tiga laporan setakat ini dan mungkin ada banyak lagi laporan polis yang akan dibuat berhubung kes ini serta siasatan lanjut sedang dibuat.

“Oleh yang demikian, siasatan kes berkenaan akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyiasat dakwaan yang dibuat Kadir menerusi blog peribadinya.

Di dalam blog itu, Kadir mendedahkan sebanyak RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, lembaran terperinci perbelanjaan itu juga turut tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Facebook Friends of Istana Negara kecewa dengan blog yang menyebarkan tentang perbelanjaan Yang Di-Pertuan Agong seolah-olah menimbulkan syak wasangka mengenai pentadbiran dan perbelanjaan Istana Negara.

Bekas ketua editor NST menyebut perbelanjaan adalah melebihi RM250 juta sebaliknya perbelanjaan rasmi dari 16 Disember 2016 sehingga 30 April 2018 adalah sebanyak RM79,284,717.50. Ini adalah kos sebenar  yang disahkan oleh kakitangan istana.

Ternyata angka yang diberi Kadir Jasin amat jauh berbeza. Maka beliau patut minta ampun kepada Yang Di-Pertuan Agong. Oleh itu teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beliau amat wajar kerana tulisan beliau boleh menghasut rakyat untuk membenci institusi Raja berpelembagaan di negara kita.