Khamis, Jun 07, 2018

KADIR JASIN PATUT MINTA AMPUN KEPADA YANG DIPERTUAN AGONG



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap tokoh wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin berhubung pendedahan dakwaan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebanyak RM256.9 juta dalam tempoh 16 bulan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kertas siasatan berkenaan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Beliau berkata kertas siasatan berkenaan dibuka selepas polis menerima tiga laporan berhubung kes itu yang melibatkan Kadir.

“Polis terima hanya tiga laporan setakat ini dan mungkin ada banyak lagi laporan polis yang akan dibuat berhubung kes ini serta siasatan lanjut sedang dibuat.

“Oleh yang demikian, siasatan kes berkenaan akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya pada sidang akhbar pelancaran Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyiasat dakwaan yang dibuat Kadir menerusi blog peribadinya.

Di dalam blog itu, Kadir mendedahkan sebanyak RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, lembaran terperinci perbelanjaan itu juga turut tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Facebook Friends of Istana Negara kecewa dengan blog yang menyebarkan tentang perbelanjaan Yang Di-Pertuan Agong seolah-olah menimbulkan syak wasangka mengenai pentadbiran dan perbelanjaan Istana Negara.

Bekas ketua editor NST menyebut perbelanjaan adalah melebihi RM250 juta sebaliknya perbelanjaan rasmi dari 16 Disember 2016 sehingga 30 April 2018 adalah sebanyak RM79,284,717.50. Ini adalah kos sebenar  yang disahkan oleh kakitangan istana.

Ternyata angka yang diberi Kadir Jasin amat jauh berbeza. Maka beliau patut minta ampun kepada Yang Di-Pertuan Agong. Oleh itu teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beliau amat wajar kerana tulisan beliau boleh menghasut rakyat untuk membenci institusi Raja berpelembagaan di negara kita.