Sabtu, Jun 02, 2018

DATUK SYED AHMAD DALAM KENANGAN

MELAKA: Petang semalam jam 4.30 saya terima whatsapp dari kawan saya, Tengku Azman Tengku Hashim bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Syarikat Air Terengganu (SATU), Datuk Syed Ahmad Syed Kassim, 70, meninggal dunia pada waktu pagi semalam.

Isteri beliau, Toh Puan Fauziah wasap saya beritahu tak sempat datang dah Zabidi kerana arwah sedang dikebumikan di Bukit Piatu, Melaka selepas waktu asar. Anaknya, Datuk Syed Fariq yang rapat dengan saya tak sempat beritahu saya kematian ayahnya di waktu pagi kerana sibuk uruskan jenazah ayahnya di Hospital Melaka.

Kalau saya dapat tahu berita kematiannya dari pagi memang sempat saya sampai di Melaka kerana jaraknya dua jam dari Semenyih. Sebagai bekas pegawai tadbir Terengganu (TCS), Syed Ahmad yang juga Pengerusi Belia 4B Terengganu amat berjasa besar kepada belia kampung saya, Pasir Gajah.

Ketika itu Pengerusi 4B Pasir Gajah, arwah Azmi Sidek telah memohon 100 ekar tanah berkelompok untuk 100 orang belia kampung kami. Syed Ahmad selaku Ketua Pentadbir Tanah Daerah Kemaman telah meluluskan permohonan tersebut. Itulah jasa beliau kepada penduduk Pasir Gajah yang tak pernah kami lupakan.

Saya tak sempat bekerja di bawah Syed Ahmad tetapi pada 31 Disember 1996 saya dijemput ke pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) kerana ada majlis rasmi walaupun saya sepatutnya melaporkan diri sebagai penolong pengarah YPK pada hari esoknya 1 Januari 1997.

Saya dibawa oleh seorang staff YPK menemui Syed Ahmad yang juga Timbalan Pengarah YPK. Hari itu adalah hari terakhir beliau di YPK kerana esoknya beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan).

Selepas saya memperkenalkan diri sebagai Zabidi orang Pasir Gajah, saya masih ingat soalan pertamanya, u masuk ke sini melalui siapa. Saya jawab melalui MB, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Dia pun berkata nak masuk YPK kena melalui dua YB sahaja sama ada Wan Mokhtar atau Datuk Tengku Mahmud Mansor. Sokongan YB lain tak laku di YPK katanya lagi.

Hari itu hari pertama dan terakhir saya bersama arwah di YPK. Selepas itu beliau berpindah ke pejabat SUK sebagai Timbalan SUK dan akhirnya beliau berpindah ke SATU sebagai CEO. Beliau pencen pada tahun 2003 ketika berusia 55 tahun.

Oleh kerana beliau orang kuat 4B Malaysia, maka Tan Sri Ali Rustam yang menjadi Ketua Menteri Melaka mengajaknya bekerja dengan beliau di Melaka. Beliau yang berasal dari Chabang Tiga, Kuala Terengganu akhirnya berhijrah ke Melaka sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di Melaka dan disemadikan jenazahnya di negeri tersebut.

Arwah amat rapat dengan kawan saya Kisfi Zainal. Setiap kali beliau datang ke Kuala Lumpur arwah akan hubungi Kisfi untuk berbual politik. Apabila arwah jatuh sakit tahun lepas, saya dan Tengku Azman menziarahi beliau di Hospital Melaka pada 7 Oktober 2017.  Malah apabila bekas MB, Datuk Seri Razif Abdul Rahman ada tugas rasmi di Melaka saya whatsapp MB suruh ziarahi Syed Ahmad seorang pegawai TCS yang terbilang. Razif pergi ke rumah arwah kerana ketika itu arwah sudah keluar dari Hospital Melaka.

Apabila berita kematiannya diketahui petang semalam, saya beritahu penduduk kampung saya. Mereka mengucapkan takziah kepada keluarga arwah kerana jasa arwah kepada penduduk Pasir Gajah tetap tidak dilupakan. Al fatihah buat arwah Syed Ahmad.