Jumaat, Januari 06, 2017

PENGAMAL RASUAH PUN DILANTIK PENGERUSI BANK RAKYAT?



KUALA LUMPUR 5 Jan. – Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh dilantik menggalas jawatan Pe­nge­rusi Bank Rakyat yang baharu berkuatkuasa kelmarin.

Shukry Mohd. Salleh

Menteri Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin ber­kata, pihaknya merakamkan se­tinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Alias Ahmad yang bertanggungjawab sebagai Pengerusi Sementara Bank Rakyat bermula 30 Ogos 2016 sehingga Isnin lalu.

Katanya, Shukry ber­pengalaman luas dalam bidang pengurusan keselamatan dan pembangunan di peringkat negeri dan persekutuan menerusi kerjayanya bersama perkhidmatan awam selama ini.

“Shukry merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Dasar Sosial dari Universiti of Hull, Britain.

“Pelantikan beliau diharap dapat memperkukuhkan kedudukan Bank Rakyat selaku bank koperasi Islam terbesar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum menjawat jawatan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Shukry pernah meme­gang beberapa jawatan penting dalam perkhidmatan kerajaan an­taranya, Penolong Setiausaha Kementerian Pertahanan, Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Sabah, Pengarah Jabatan Pendaftaran Perak, Pengarah Pejabat Pembangunan Kelantan, Pengu­rus Besar Lembaga Kemajuan Ke­lantan (Kesedar) dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pe­lak­sanaan (UPP) Jabatan Perdana Menteri.

Ulasan saya, tak ada orang lainkah Hamzah nak lantik? Pengamal rasuah pun dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat yang baharu. Tak serikkah Hamzah dengan bekas Pengerusi Bank Rakyat yang sedang dibicarakan kes rasuah?

Semua orang tahu Shukry kaki rasuah ketika menjadi KSUS PM. Orang nak minta surat sokongan dari pejabat PM pun dia caj RM5,000.

Kawan saya call Shukry nak minta surat sokongan. Dia angkat no hp yang tidak dikenali. Itu yang bagus tentang beliau. Setiap hari Shukry call kawan saya bila nak datang KL jangan lupa bawa duit. Ini macam punya kaki rasuah pun menteri lantik Pengerusi Bank Rakyat. Lepas ini habislah Bank Rakyat kena jual.

Khamis, Januari 05, 2017

MEMALUKAN. ADAKAH SEMUA KSU MACAM INI?

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas dan menyita wang tunai serta wafer emas bernilai kira-kira RM3 juta susulan penahanan seorang ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian disyaki terlibat dalam rasuah dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata berikutan itu pihaknya turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 29 tahun.

Beliau berkata lelaki itu disyaki berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor bagi pihak KSU yang berumur 59 tahun dan bergelar 'Datuk' itu.

"Kedua-dua mereka ditahan di sekitar Subang Jaya pada 8 pagi tadi," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, KSU itu ditahan di kediamannya di USJ, Subang Jaya kerana disyaki menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.

Sementara itu, menurut sumber turut dirampas daripada mereka beberapa barangan mewah termasuk jam, beg tangan, pen dan sejumlah mata wang asing.

Ulasan saya, malu kita baca akhbar setiap hari SPRM menangkap jerung di agensi kerajaan seolah-olah penjawat awam berbangsa Melayu semua rasuah.

Seolah olah ia sudah jadi satu persepsi bahawa apabila orang Melayu jadi KSU maka akan terlibat dalam rasuah. Adakah jika bukan Melayu jadi KSU, tiada rasuah di kementerian berkenaan?

Kenapa KSU berani berbuat demikian? Adakah KSU itu proksi menteri? Jika seorang KSU ditangkap, apakah semua KSU macam ini belaka kaki rasuah?

Amat memalukan apabila orang Melayu jadi KSU terlibat dengan rasuah. Rasuah sudah jadi satu budaya di jabatan kerajaan. Nak suruh fail naik segera kena hulur duit kepada budak pejabat. Sampai bila budaya ini akan berterusan? Sebab itu KSN kena tegas hapuskan rasuah yang berleluasa di jabatan kerajaan.


Rabu, Januari 04, 2017

PENJARA SELURUH MALAYSIA DIPENUHI DENGAN PENERIMA BR1M?



Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno  mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad mengadukan penerima skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kenyataan dibuat bekas perdana menteri itu akhir-akhir ini semakin mengarut, terutama apabila mendakwa bantuan BR1M itu sebagai rasuah.

Menurut Ismail dengan pelbagai penjelasan diberikan kerajaan mengenai bantuan berkenaan Dr Mahathir tetap menganggap BR1M sebagai rasuah.

Justeru kata menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, lebih baik isu berkenaan diadukan secara rasmi kepada SPRM dan biarkan agensi terbabit menjalankan siasatan mereka dengan sepenuhnya.

“Kalau betul-betul (anggap) rasuah, saya harap Dr Mahathir buat laporan secara rasmi kepada SPRM bahawa penerima-penerima BR1M adalah penerima rasuah.

“Jadi apabila SPRM siasat, mereka akan tangkap semua kalau boleh.

"Rasuah itu bukan saja pemberi yang bersalah. Penerima pun salah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan hari pertama sesi baru persekolahan di Tabika Kemas Bandar Baru Salak Tinggi.

Sebelum ini Dr Mahathir dilaporkan memberitahu rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M adalah rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Beliau yang kini berseteru dengan kerajaan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Ismail berkata kenyataan Dr Mahathir itu kedengaran sungguh terdesak, malah boleh diumpamakan seperti menghina penerima bantuan berkenaan.



Katanya lagi semua bantuan daripada kerajaan tidak boleh dianggap rasuah kerana ia dilakukan untuk meringankan beban rakyat.

“Itu hari dia kata penerima BR1M tu rasuah… air di Selangor pun rasuah juga.

"(Sebenarnya) saya rasa BR1M adalah untuk membantu rakyat, tidak boleh dianggap sebagai rasuah," katanya.

Memberi contoh perbelanjaan yang diperlukan untuk menyekolahkan kanak-kanak di Tadika Kemas, Ismail berkata, seseorang pelajar sepatutnya dikenakan bayaran sehingga RM200.

Bagaimanapun, katanya, dengan bantuan kerajaan menanggung semua perbelanjaan berkenaan dan ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka secara percuma.


“Bantuan daripada kerajaan tak boleh dianggap rasuah. Jabatan Kebajikan Masyarakat pun bagi kepada orang kurang upaya dan kepada orang tua dan sebagainya… Saya rasa kenyataan Dr Mahathir itu menghina penerima BR1M semua,” katanya.

Sementara itu Ismail turut membidas Dr Mahathir yang turut mendakwa orang yang melaksanakan ibadah haji menggunakan wang 1MBD tidak akan mendapat haji yang mabrur.

Kata Ismail, Dr Mahathir tidak berhak berkata demikian kerana beliau tidak ada hak menentukan amal ibadah itu akan mabrur atau tidak.


“Tiada siapa pun ada hak (nak cakap mabrur atau tidak). Bukan saja Dr Mahathir, mufti atau sesiapa pun tak boleh menentukan haji seseorang itu mabrur dan tidak.

“Itu serah kepada Allah sebab Allah yang menentukan. Ibadah kita pun.

"Sembahyang rajin, lima kali sehari pun belum menentukan pahala dan sebagainya. Dosa, pahala, syurga itu hak Allah,” katanya.

Ulasan saya, jika Dr Mahathir buat aduan kepada polis bahawa BR1M itu rasuah maka mahkamah akan menentukan sama ada BR1M itu rasuah atau tidak. 

Jika mahkamah mendapati ia adalah rasuah maka semua penerima BR1M akan memenuhi penjara seluruh Malaysia kerana seperti kata Ismail Shabery bukan sahaja pemberi rasuah yang patut dihukum malah penerima rasuah.


Selasa, Januari 03, 2017

MRSM KE 53 AKAN DIBINA DI SIK, KEDAH




 KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sik, Kedah pertengahan tahun ini, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar dalam kenyataan semalam berkata pemilihan tapak pembinaan MRSM itu telah dimuktamadkan dua minggu lepas.

"Projek MRSM baharu ini akan dilaksanakan di satu tapak yang telah dikenal pasti di Dewan Undangan Negeri Jeneri bagi mengimbangi pembangunan Parlimen Sik," katanya.

Katanya ia merupakan MRSM ke-53 di seluruh negara dan ketujuh di Kedah dan mampu menampung kira-kira 750 pelajar.

Beliau berkata MRSM itu dijangka melaksanakan program Ulul Albab yang merupakan pendidikan integrasi antara program sains tulen dan agama termasuk tahfiz Al-Quran.

"Ia sekaligus menjadikannya MRSM kelima menjalankan program seumpama ini selepas MRSM Gemencheh, Kota Putra, Kepala Batas dan Sungai Besar," katanya.

Beliau berharap penubuhan MRSM Sik itu akan dapat menyumbang ke arah usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat, profesional, teknorat serta pemimpin dalam pelbagai lapangan perniagaan berteraskan sains, teknologi, agama, kesenian, kejuruteraan dan matematik.

- Bernama

Isnin, Januari 02, 2017

CEO INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA TIADA TELUR



KUALA LUMPUR 1 Jan. - Penguatkuasaan larang­an penjawat awam bermain golf di luar negara berupaya mengekang gejala penyelewengan dan salah guna kuasa.


Presiden Kongres Kesatuan Pe­kerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, kesediaan pengurusan tertinggi mematuhi larangan tersebut akan meningkatkan tahap integriti sektor awam.

Menurut beliau, se­mua penjawat awam perlu sedar bahawa pi­hak berkuasa terma­suk Suruhanjaya Pen­cegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) mempunyai maklumat tentang ke­giatan mereka.

“Kita sepatutnya melihat teguran Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad tentang kecenderungan penjawat awam bermain golf di luar negara secara positif.

“Peringatan itu dibuat secara ikhlas bagi memperbetulkan sistem sedia ada agar lebih telus, tiada prejudis sekali gus mengelakkan orang bercakap di belakang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dzulkifli dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malay­sia hari ini mengingatkan penjawat awam khususnya pengurusan tertinggi untuk meng­hentikan serta-merta aktiviti bermain golf di luar negara.

Beliau memberi­ta­hu, SPRM melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat tentang perge­rakan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan penjawat awam terbabit.

Dzulkifli menambah, selain bermain golf, perbe­lanjaan penjawat awam terbabit termasuk untuk membeli-belah turut dibiayai pihak tertentu.

Sementara itu, Presiden me­rang­kap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr. Anis Yuzal Yusoff ketika dihubungi enggan mengulas lanjut tentang isu berkenaan.

“Biarlah Ketua Pesuruhjaya SPRM sahaja yang keluarkan kenyataan,” ujarnya.

Ulasan saya, tahniah kepada Presiden CEUPACS yang berani beri komen mengenai penjawat awam main golf di luar negara. Tetapi CEO IIM nampaknya tiada telur tak berani komen. Tak payah jadi CEO IIM lah kalau benda yang baik tak berani komen.Lebih baik letak jawatan. Sepatutnya IIM lebih tegas dari SPRM dalam soal intergriti pegawai dan kakitangan kerajaan.

Ahad, Januari 01, 2017

TAHUN 2016 BERAKHIR DENGAN BANJIR DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 31 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Terengganu mencatat peningkatan 1,261 orang menjadikan jumlah terkini yang dipindahkan ke pusat pemindahan mencecah 3,292 mangsa berbanding 2,031 pada pukul 6 petang semalam.

Menurut laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 10 malam tadi
, terdapat 10 pusat pemindahan baharu dibuka menjadikan jumlah keseluruhan 43 di enam daerah negeri itu.

Pemangku Pengarah JKM Terengganu, Rusmi Mahmood berkata sehingga kini sejumlah 993 keluarga terjejas akibat banjir yang mula melanda negeri itu awal pagi tadi.

"Hulu Terengganu adalah daerah yang paling terjejas di mana 1,936 mangsa daripada 666 keluarga telah dipindahkan ke 21 pusat penempatan sementara yang disediakan.

"Ini diikuti daerah Marang (395 mangsa daripada 99 keluarga), Kemaman (380 mangsa daripada 84 keluarga), Besut (282 mangsa daripada 69 keluarga), Setiu (217 mangsa daripada 56 keluarga) dan Dungun (82 mangsa daripada 19 keluarga)," katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA

RATING TERTINGGI BAGI BULAN DISEMBER 2016

Selamat Tahun Baru 2017 dan posting "Che Wan Adnan Dalam Kenangan" yang disiarkan pada 15 Disember 2016 mendapat rating tertinggi 3,948 hits bagi tahun 2016. 10 rating tertinggi bagi bulan Disember 2016 ialah:-

1. Che Wan Adnan Dalam Kenangan (15 Disember)
2.Pakatan Harapan kena tunjuk kabinet bayangan sebelum tubuhkan kerajaan (16 Disember)
3.Sultan Muhammad V pakar sembelih lembu (13 Disember)
4. Perkataan Bersatu pada Umno jadi azimat (3 Disember)
5.Suara Nordin Ahmad gamatkan PAU (4 Disember)
6. Apa salahnya buat sesi "Teh Tarik Akta 355" di London? (29 Disember)
7. Kebimbangan Sultan Perak berasas (13 Disember)
8. SPRM sahkan BR1M bukan rasuah (28 Disember)
9. Zahid Hamidi bukan ditaja Anwar Ibrahim (2 Disember)
10. Satu kehilangan yang sukar dicari ganti (27 Disember)

Sabtu, Disember 31, 2016

SIAPA MAHATHIR YANG TENTUKAN ORANG YANG NAIK HAJI DAPAT HAJI MABRUR ATAU TIDAK?



KUALA LUMPUR 30 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan orang yang melaksanakan ibadah haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mendapat haji yang mabrur.



Mahathir Mohamad


Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu membuat dakwaan berkenaan sewaktu berceramah di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Katanya, haji yang tidak mabrur itu berpunca daripada duit penajaan program tersebut kononnya haram kerana dicuri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Najib boleh menghantar 1,000 orang ke tanah suci kerana dia menggunakan duit curi, jadi penghantaran mereka ini ke Mekah adalah tidak mabrur.

“Apa yang jadi saya ingat mereka tidak mendapat haji mabrur, tetapi Najib sanggup melakukan apa sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memburukkan Perdana Menteri kononnya tergamak menggunakan duit curi semata-mata mahu ‘membeli’ hati rakyat.

“Inilah sikap Najib yang sanggup melakukan apa sahaja dan sehingga hari ini, kerajaan kita kekurangan duit. Malah, rakyat terpaksa mengeluarkan wang sendiri contohnya ke hospital, kita terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli ubat,” katanya.

Tuduhan sedemikian tidak mengejutkan kerana Dr. Mahathir juga pernah mengatakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi manfaat kepada jutaan rakyat yang memerlukan sebagai salah satu bentuk rasuah dan haram diterima.

Ulasan saya, siapa Mahathir yang tentukan orang yang naik haji itu dapat haji mabrur atau tidak? Hanya Allah yang menentukannya dan bukan Dr Mahathir. Oleh itu seramai 8,000 orang yang menunaikan haji melalui 1MDB tidak perlu bimbang dengan kenyataan tersebut. Oleh itu Dr Mahathir tidak perlu berlagak menjadi Tuhan pula. Biar Tuhan Harun seorang sahaja yang mengaku jadi Tuhan.

Jumaat, Disember 30, 2016

S.M.SALIM TIDAK DAPAT PANDANG PANDANG, JELING JELING LAGI

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- "Ku sangka aur di pinggir tebing, kiranya tebu di pinggir bibir, ku sangka jujur pancaran batin, rupanya palsu penghias zahir".

Bait lirik lagu 'Tak Seindah Wajah' dendangan penyanyi legenda tanah air, Allahyarham Tan Sri SM Salim pastinya akan menjadi kenang-kenangan selamanya, bukan sahaja buat para peminat malahan rakan-rakan artis juga.

Penyanyi dan komposer terkenal M. Nasir berkata Allahyarham serius dalam menjiwai setiap bait lirik lagu dalam nyanyiannya terutama lagu irama Melayu asli dan perkara itu menjadikan setiap lontaran suara emasnya menusuk kalbu para pendengar.

"Kita tidak akan dapat lagi pengganti seperti permata seni negara ini dan kami akan terkesan akan kehilangannya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau yang pernah berkolaborasi bersama SM Salim menerusi lagu 'Seloka Cak Kun Cak' itu menyifatkan Allahyarham sangat periang dan merupakan kawan yang baik.

SM Salim meninggal dunia pada usia 88 tahun di kediamannya di Ukay Perdana akibat sakit tua pada 5.45 petang semalam selepas disahkan kritikal sejak awal pagi semalam.

Sementara itu, penyanyi tersohor negara Siti Nurhaliza Tarudin menerusi akaun Instagramnya '@ctdk', berkata kehilangan individu yang dianggap ayah kepadanya amat meninggalkan kesan dirinya serta industri muzik negara.

"Beliau seperti ayahanda yang banyak memberi nasihat dan contoh yang baik serta ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh generasi muda seperti saya dan rakan2 artis yg lain," katanya yang pernah berduet bersama Allahyarham menerusi beberapa lagu antaranya 'Pandang-pandang, Jeling-jeling'.

Siti Nurhaliza berkata pengalaman bersamanya merupakan pengalaman yang tak dapat dilupakan kerana penyanyi itu memang seorang yang banyak memberi nasihat dan lawak jenaka serta rajin memberi didikan yang baik untuk dicontohi.

Beliau yang kini berada di Jakarta, Indonesia atas urusan kerja turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Bagi penyanyi era 60-an, Datuk A Rahman Hassan pula berkata beliau pasti akan merindui ucapan hari lahir daripada Allahyarham kepadanya kerana mereka berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu 30 Julai.

"Saya dan dia rapat sejak 32 tahun lepas. Peribadi Allahyarham yang merendah diri walaupun beliau berpengalaman lebih daripada artis lain tetapi beliau tidak lokek ilmu," katanya yang menjadi seorang artis yang menjayakan Konsert Khas Kenang Jasa Tan Sri SM Salim pada Februari lepas.

Katanya, semalam (28 Dis) merupakan kali terakhir beliau berjumpa dengan Allahyarham di kediamannya dan sempat berbisik sesuatu dan Allahyarham memberi respons dengan menggerakkan jari tangannya.

Sementara itu, wartawan dan penulis Tan Sri Johan Jaaffar pula berkata pembabitan Allahyarham dalam dunia seni tanah air yang melangkaui enam dekad itu merupakan bintang gemilang di langit seni hiburan bangsa.

"Jasanya memberikan nilai baharu pada lagu-lagu berirama asli, tradisional dan zapin amat dihargai. Beliau sama selesanya membawakan irama moden dengan gaya sendiri. SM Salim unik dan istimewa," katanya.

Presiden Persatuan Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata kegigihan SM Salim dalam memperjuangkan industri muzik tradisional telah meninggalkan batu asas kepada pelapis muda untuk menjadikan Allahyarham dan muziknya sebagai rujukan masa depan.

Katanya, generasi baharu harus mengambil contoh kegigihan Allahyarham dalam memperjuangkan seni budaya masyarakat Melayu supaya ia tidak ditelan zaman.

"Saya dan Persatuan Karyawan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia Hafiz Nafiah turut menzahirkan rasa sedih akan kehilangan seorang lagi legenda seni tanah air dan juga perintis lagu irama Malaysia yang sentiasa menghiburkan rakyat.

Sementara itu, media sosial seperti Instagram turut dibanjiri dengan ucapan takziah daripada netizen dan selebriti tempatan seperti Faizal Tahir, Erra Fazira dan Amar Baharin.

-- BERNAMA

Khamis, Disember 29, 2016

APA SALAHNYA BUAT SESSI "TEH TARIK AKTA 355" DI LONDON?

Seorang blogger terkenal memperkecilkan usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengadakan sessi "Teh Tarik Akta 355" di London.Bagi saya, apa salahnya menteri berkenaan buat program santai seperti itu untuk menerangkan pindaan Akta 355 yang dibawa oleh ahli parlimen Marang, Haji Hadi Awang.

Kenapa usaha murni seperti itu dipersendakan kerana sessi seperti ini bukan sahaja perlu diadakan di London malah di New York, Tokyo, Moscow terutamanya kepada pelajar Malaysia yang berada di luar negara.

Soal tidak mendapat sambutan daripada orang ramai bukan salah Jamil Khir kerana mungkin penganjur yang membuat jemputan tidak kreatif untuk menjemput orang ramai. Yang penting usaha seperti ini sudah dibuat oleh Jamil Khir.

Sebaliknya dengan adanya sesi teh tarik ini rakyat Malaysia yang berada di luar negara dapat bersoal jawab dengan Jamil Khir dan wakil PAS, ahli parlimen Kuala Nerus, Dr Khairudin Aman Razali. Ini peluang terbaik bagi mereka yang kurang faham tentang Akta 355 yang ditentang oleh pihak pembangkang.

Sepatutnya blogger berkenaan memuji langkah kerajaan membuat program teh tarik supaya orang ramai jelas dengan isu ini. Ini yang peliknya bila ada majlis seperti ini penyokong DAP, PKR, Amanah dan
Bersatu tidak datang mendengarnya.

Rabu, Disember 28, 2016

SPRM SAHKAN BR1M BUKAN RASUAH



PUTRAJAYA 27 Dis. - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan bukan satu perbuatan rasuah kerana ia merupakan polisi yang telah ditetapkan kerajaan untuk kesejahte­raan rakyat.

Azam Baki

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, keputusan pemberian BR1M dibuat oleh Kabinet selepas melalui proses kajian secara menyeluruh atas faktor untuk me­ringankan beban rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, BR1M tidak boleh diklasifikasikan sebagai rasuah kerana di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 ia bukannya satu perbuatan jenayah.

“Sebabnya kalau beri rasuah mesti ada tujuan atau dorongan yang menyalahi undang-undang seperti merasuah bagi mendapatkan sesuatu daripada satu pihak dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan.

“Dalam hal ini, kerajaan beri bantuan kepada orang ramai dan tiada niat untuk melakukan perbuatan jenayah, jus­teru ia tidak boleh dikatakan sebagai rasuah dan rakyat tidak dipengaruhi untuk membu­at sesuatu ke­­putusan apabila menerima BR1M,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata de­mikian sebagai mengulas kenya­taan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pemberian BR1M adalah rasuah.

Ditanya adakan insentif pemberian BR1M itu bertujuan mempengaruhi keputusan pengundi semasa pilihan raya umum (PRU) kelak, beliau berkata, BR1M dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan dan bukan diberikan pada masa-masa tertentu.

“Sekiranya diberikan semasa PRU sahaja, ia mungkin dibuat atas tujuan tertentu untuk meraih undi tetapi BR1M diberikan sepanjang masa dan di luar waktu pilihan raya,” katanya.

Selain itu, katanya, hanya rakyat berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan sahaja yang layak menerima BR1M.

Selasa, Disember 27, 2016

SATU KEHILANGAN YANG SUKAR DICARI GANTI

oleh shahbuddin embun

(sudah disiarkan dalam Utusan Malaysia)


Kembalinya Prof Datuk Seri Dr Kamarudin Kachar ke rahmatullah merupakan satu kehilangan yang sukar untuk dicari ganti.Allahyarham pernah menyandang jawatan Dekan Pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Timbalan Naib Canselor dan Pemangku Naib Canselor UPM sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Biro Tata Negara.Selepas itu beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara, Dekan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah dan Naib Canselor Unisel



Semasa bertemu dengan beberapa orang yang pernah mengenali beliau, penulis tertarik dengan beberapa kisah yang diceritakan oleh bekas pelajarnya. Menurut salah seorang bekas pelajar UPM yang ditemui,Allahyarham terkenal dengan sifat displinnya dan tidak boleh berkompromi apabila melihat para pelajar Melayu duduk dan melepak di tembok kafetaria UPM. Ada yang menyatakan , nampak sahaja kelibat beliau, maka akan bertempiaranlah mereka lari menyelamatkan diri .Bagi Allahyarham, soal displin dan komitmen sebagai pelajar perlu diberikan keutamaan.



Dikatakan semasa kecilnya beliau sanggup mengayuh basikal 32 batu sehari ke sekolah di Singapura semata-mata berusaha untuk mengubah nasibnya. Itu mungkin sebabnya beliau tidak boleh berkompromi apabila melihat anak bangsa begitu manja dengan melepak tanpa melakukan perkara yang berfaedah.



Manakala penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh beliau semasa kecilnya , termasuklah merasai penderitaan akibat kekejaman tentera Jepun telah mendidik Allahyarham untuk memahami dan menghayati perjuangan bangsa yang telah lama diperjuangkan oleh pemimpin dan tokoh tokoh negara sebelumnya.



Dalam hal ini, Allahyarham yang lebih juga dikenali dengan panggilan Abang Long pernah menyarankan anak bangsanya supaya bersatu-padu dan menanamkan sifat sentiasa ingin bekerjasama yang mana ini akan memperkukuhkan lagi semangat dan jati diri mereka .



Sebagai Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), allahyarham pernah menyarankan bahawa orang Melayu semestinya sentiasa berani, tegas, bijak merancang dan berfikiran jauh.



“Orang Melayu harus berjuang habis-habisan dan bangkit memperjuangkan hak bangsa kita di bumi Malaysia ini. Ini bukan soal rasis, tetapi tentang membela agama, bangsa, dan budaya kita. Jangan pernah kata Melayu lemah”. Kata-kata seperti inilah yang akan sentiasa memberikan semangat kepada perjuangan anak bangsa agar tidak lalai dan sentiasa berjuang di landasan yang betul.



Melihatkan pada kata-kata beliau yang penuh bersemangat serta tidak ada rasa takut jika hendak menyampaikan apa yang termaksud, mungkin ramai yang menganggap Allahyarham ialah seorang yang terlalu tegas hinggakan sukar untuk diajak berbicara.



Sebenarnya daripada pengalaman yang dilalui oleh kami dalam Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPMM), Allahyarham merupakan seorang yang mesra dan mudah untuk kita semua bertanyakan pendapat dan diajak berbincang. Bahkan, beliau seorang yang ceria, rajin berseloroh dan suka mengusik serta bergurau dengan kami semua.Sebagai penasihat MPMM, terlalu banyak nasihat dan jasa yang dicurahkan oleh allahyarham.



Allahyarham merupakan antara contoh terbaik bagaimana seorang anak kampong boleh mencipta kejayaan. Mungkin ini disebabkan oleh semangat jati diri beliau yang kuat dan sentiasa mengamalkan falsafah hidupberusaha menjayakan diri, berbudi,bermuafakat dan berkhidmat,



Perjuangan beliau dalam memberi motivasi dan semangat serta meningkatkan pemikiran bangsa perlu diteruskan oleh kita semua. Dan mereka yang telah berjaya diasuh dan dididik oleh beliau sehingga berjaya perlu melihat kembali kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Allahyarham iaitu, “Yang sudah mengecapi kesenangan pula jangan terus leka dan berpeluk tubuh sebaliknya bantulah yang memerlukan dan jangan sesekali mengabaikan yang lain,” .Teruskanlah perjuangan beliau, dan jangan biarkan hasrat beliau untuk melaksanakan Program Lahirkan Sejuta Zaaba dan juga penubuhan Universiti Melayu Maori Polinesia di New Zealand berkubur begitu sahaja.Asas sudah dibina, terpulang pada kita untuk kita meneruskannya.



Negara kita kehilangan seorang tokoh dan pemimpin luar biasa yang sanggup berjuang demi mempertahankan prinsip perjuangannya. Saya mewakili Majlis Perundngan Melayu Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Profesor Datuk Seri Dr Kamarudin Kachar, dan semoga roh allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah. Al-Fatihah,

Isnin, Disember 26, 2016

LIM KIT SIANG HANYA BAZIRKAN MASA

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pemimpin DAP Lim Kit Siang perlu menghentikan permainannya bertanya soalan yang beliau sudah tahu jawapannya.

Beliau juga meminta Kit Siang supaya tidak lagi berpura-pura untuk bertanya soalan sedangkan beliau sebenarnya membuat kenyataan atau tuduhan, dan belajarlah untuk menerima perbezaan pandangan.

"Lim Kit Siang mengemukakan banyak soalan kepada saya: sudah 35 setakat ini. Tetapi, walaupun beliau mengolahnya supaya kelihatan seperti soalan, ia sebenarnya kenyataan yang bertopengkan soalan.

"Ini adalah taktik biasa untuk membuat kenyataan yang kelihatan seperti soalan untuk menyebabkan orang yang anda tanya soalan itu tidak mempunyai banyak ruang untuk memberi jawapan," kata Salleh dalam catatan terbaru melalui blog beliau semalam.


Salleh berkata jika Kit Siang ingin membuat kenyataan atau tuduhan, buatlah dengan berterus terang.

Kenapa hendak berpura-pura bertanya soalan sedangkan beliau sebenarnya bukan bertanya soalan? Beliau hanya ingin membuat tuduhan.

"Bagaimanapun, bagi mengelak daripada dikecam kerana membuat tuduhan palsu atau mengelirukan, beliau mengadunnya sebagai soalan dan jika diasak, beliau boleh mempertahankan diri dengan berkata beliau tidak membuat tuduhan, tetapi hanya bertanya soalan," kata Salleh.

Menurut beliau, kebanyakan 'soalan' yang Kit Siang kemukakan sebenarnya sudah dijawab anggota Kabinet lain dan pemimpin DAP itu juga tahu mengenainya, tetapi tetap berpura-pura tidak tahu mengenainya.

"Ini benar-benar membazirkan masa dan dirancang untuk mengalih perhatian kita daripada isu lebih penting seperti orang yang menjadi pilihan Pakatan Harapan sebagai perdana menteri. Kit Siang, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir Mohamad, PKR dan PAS kelihatan tidak sepakat tentang perkara ini.

"Adakah Kit Siang cuba mengalihkan perhatian kita daripada perkara itu? Soalan saya ini adalah soalan tulen, bukan soalan yang dibuat-buat," kata Salleh.

-- BERNAMA

Ahad, Disember 25, 2016

MAHATHIR TOLONG PROMOSI DAP BUKAN PARTI RASIS



ALOR SETAR 24 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini seolah-olah ter­desak menyakinkan rakyat Ma­­­laysia terutamanya orang Me­layu sehingga sanggup menjatuhkan maruah sendiri dengan mencanang kebaikan DAP yang tidak bersikap perkauman dalam program-program anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).


Pengerusi PPBM itu meng­akui pujian terhadap DAP tersebut bagaikan meludah ke langit sekali gus menjelaskan panda­ngan serta kritikan kepada parti yang disifatkan mengamalkan perkauman tebal suatu ketika dulu adalah tidak benar sama sekali.

Bukan sahaja memburuk-burukkan MCA malah Mahathir di hadapan kira-kira 1,000 orang yang majoriti orang Melayu sanggup menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah individu yang mahu membangkitkan sentimen perkauman.

“Baru-baru ini saya menghadiri perjumpaan DAP dan saya duduk di sebelah Lim Kit Siang. Saya terkejut semua ucapan dalam Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu... lagu parti dalam Bahasa Melayu.

“Rupa-rupanya dalam DAP ini bukan sahaja ada orang Cina tetapi juga orang Melayu dan India. Malah mereka buat kenya­taan secara terbuka bahawa DAP memyokong dan mendukung Perlembagaan Malaysia.

“Saya dulu pengerusi BN (Barisan Nasional) dan setiap kali mesyuarat agong saya perhati parti macam MCA tak guna Bahasa Melayu jadi MCA lebih Cina daripada DAP. MCA untuk orang Cina sahaja sedangkan DAP lebih terbuka kepada semua (kaum),” katanya dalam program Bicara Rakyat di sini semalam.

Menurutnya, Kit Siang me­ngakui orang Cina sebagai kaum minoriti tidak mungkin boleh menjadi Perdana Menteri.

“Tapi Najib kata kalau UMNO kalah, Kit Siang akan jadi Perdana Menteri. Ini cara (Najib) nak bangkitkan perasaan benci dan marah kepada orang Cina,” ujarnya.

Sabtu, Disember 24, 2016

MAJLIS DAERAH SUNGAI BESAR DOUBLE STANDARD?



SABAK BERNAM - Pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersama-sama puluhan pengikutnya menyerbu sebuah pusat mesin permainan judi elektrik di Pekan Sekinchan, petang semalam.

Serbuan yang dibuat Jamal kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan penjaga pusat itu dan beberapa pelanggan mereka bertempiaran lari.

Jamal dalam kenyataannya kepada media berkata, terdapat kira-kira lima pusat mesin permainan judi elektrik di Sekinchan yang beroperasi tanpa dikenakan apa-apa tindakan penguatkuasaan.

"Di mana MDSB...saya dah hubungi majlis daerah, saya nak tengok mereka datang atau tidak untuk gempur pusat perjudian ini," katanya.

Beliau mendakwa, kerajaan negeri Selangor selalu bermain politik hinggakan pusat judi dibiarkan berleluasa di Pekan Sekinchan.

"Resort saya yang jadi pusat pelancongan diroboh, tetapi pusat judi ini dibiarkan terus beroperasi," katanya.

Sehingga jam 6.30 petang semalam, Jamal masih menunggu kehadiran pihak berkuasa, bagaimanapun tiada kelibat pihak berkuasa di premis terbabit.

Ulasan saya, MDSB tidak sepatutnya double standard dalam melaksanakan penguatkuasaan. Kalau hotel Jamal boleh disita kenapa MDSB tidak sita pusat mesin judi haram? Adakah MDSB sudah dirasuah oleh taukeh judi haram?

Jumaat, Disember 23, 2016

RAZIF UMUM ANAK MUDA BOLEH MILIKI TANAH SATU EKAR



KUALA BERANG: Kerajaan negeri sedia mempertimbang untuk membo­lehkan anak watan negeri ini yang berusia 40 tahun ke bawah memiliki tanah dengan setiap seorang mendapat seluas satu ekar (0.4 hektar).

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman ketika mengumumkan khabar gembira itu berkata, usaha itu dibuat sebagai salah satu transformasi ekonomi kerajaan negeri bagi memanfaatkan tanah semaksimum yang boleh.


Pada masa sama, jelasnya, langkah itu juga dapat membantu golongan muda di Terengganu yang masih belum mempunyai tanah untuk dijadikan aset selain memberi peluang pekerjaan kepada golo­ngan tersebut.

Sehubungan itu, kata Ahmad Razif, beliau mengarahkan semua pentadbir tanah di setiap daerah agar mengenal pasti tanah yang berpotensi dimajukan sebelum diagihkan kepada golongan muda.

Sebagai permulaan, beliau menjelaskan, sebahagian daripada sejumlah 157 hektar tanah di Kampung Binjai Kertas dan Kampung Nasi Dingin dekat sini akan diagihkan kepada golongan muda di kawasan berkenaan.

“Pada masa ini, daripada keseluruhan tanah itu, 101 ekar (40.9 hektar) diusahakan oleh pihak RISDA Plantation manakala bakinya akan diagihkan kepada golongan muda di dua kampung berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri program Rancangan Khas Binjai Kertas-Nasi Dingin (RKBKND) di Kampung Binjai Kertas dekat sini semalam.



Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Exco Kerajaan negeri yang juga ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat; Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam dan Pengurus RISDA Plantation Terengganu, Mohd. Yusof Baijuri.

Ahmad Razif berkata, sebelum tanah itu diberi, mereka terlibat perlu mempunyai kesanggupan yang tinggi untuk mengusahakannya termasuk menjalankan aktiviti ekonomi yang mampu memberi pulangan menguntungkan.

“Mereka kena ada kesanggupan dan keinginan, paling mustahak mereka perlu ada kesanggupan yang tinggi untuk mengusahakan tanah masing-masing seperti membangunkan projek pertanian dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Khamis, Disember 22, 2016

AZIH MUDA MENANGI PRESIDEN CEUPACS BUAT PENGGAL KEDUA

KUALA LUMPUR : Datuk Azih Muda mengekalkan jawatan Presiden Ceupacs buat penggal kedua dalam mesyuarat agung Ceupacs di sini semalam.

Beliau menang dengan majoriti 694 undi mengalahkan  Haji Ahmad Shah. Datuk Azih mendapat 939 undi manakala Haji Ahmad Shah mendapat 245 undi. Terdapat 17 undi rosak manakala 1,201 perwakilan layak mengundi dari 13 buah negeri.

Manakala Haji Adnan Mat memenangi jawatan Setiausaha Agung  Ceupacs dengan majoriti 574 undi. Beliau mendapat 876 undi manakala lawannya Ku Azmi mendapat 302 undi dan terdapat 23 undi rosak.

Mesyuarat agung selama dua hari itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Azih yang merupakan pegawai Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merupakan anak Terengganu pertama yang menjadi Presiden Ceupacs.


Rabu, Disember 21, 2016

DAP, PKR DAN PAN TIDAK DIBENARKAN BERTANDING DI SABAH



KOTA KINABALU 20 Dis. - Belum pun selesai isu pembahagian kerusi antara pakatan pembangkang diketuai DAP de­ngan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Semenanjung, krisis dalam kalangan pembangkang menular ke Sabah apabila parti pembangkang tempatan ‘tidak membenarkan’ DAP, PKR dan PAN meletakkan calon di negeri itu pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14).



Lajim Ukin


Perkara itu yang diumumkan Ketua Pembangkang nege­ri, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) di Dewan Hakka di sini semalam, disifatkan satu tamparan kepada pakatan harapan.

Lajim yang merupakan Pre­siden Harapan berkata, keputusan itu bagi membolehkan parti pembangkang tempatan bergabung dan menang besar pada PRU-14 sekali gus mentadbir negeri ini.

“Setakat ini kita meminta supaya parti-parti berpusat di Semenanjung memberi ruang secukupnya kepada par­ti pembangkang tempatan un­tuk menggalas tanggungjawab bagi memastikan kita berdepan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

“Kita bimbang jika PKR dan DAP yang mempunyai kekuatan di negeri ini turut bertanding, perkara itu hanya akan menguntungkan BN kera­na memecahkan undi kepada pembangkang,” katanya.

Lajim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias menambah, apa yang pen­ting DAP dan PKR memberi fokus kepada kemenangan di Semenanjung serta menye­rahkan tanggungjawab pilihan raya umum di negeri ini kepada parti pembangkang tem­patan.

Beliau berkata, bagi kerusi yang dimenangi PKR dan DAP boleh diserahkan kepada parti pembangkang tempatan untuk menggalas tanggungjawab itu.

“Sebagai contoh, jika PKR kuat di Penampang, lebih baik perundingan dapat dilakukan agar mereka (PKR) tidak perlu bertanding dan meletakkan calon di sana. Biar kami menggalas tanggungjawab itu dan penyokong-penyokong mereka sokong parti pembangkang tempatan,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini empat parti pembangkang tempatan iaitu Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Reformasi Negeri (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Harapan telah membuat perjumpaan tertutup untuk membincangkan tindakan berdepan pilihan raya umum kecuali Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Walau bagaimanapun katanya, satu mesyuarat meja bulat akan diadakan bersama kesemua parti pembangkang tempatan termasuk Warisan yang dijangka diadakan pada pertengahan Januari tahun depan bagi memperhalusi manifesto, pembahagian kerusi dan sebagainya.

Lajim menjelaskan bersedia untuk bekerjasama dengan pembangkang di Semenanjung untuk membentuk kerajaan, tetapi mereka perlu mematuhi tuntutan dan hak rakyat negeri ini.

Isnin, Disember 19, 2016

PAS TETAP LAWAN AMANAH DAN DAP DALAM PRU 14

KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- PAS mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa tiada kerjasama akan terjalin dengan parti pembangkang seperti DAP dan PAN atau pihak yang bersikap keras terhadap Islam.

Hal ini telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama parti itu sebelum ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS juga tidak tertakluk kepada mana-mana pihak yang telah membuat sebarang perjanjian pilihan raya pada masa ini dan juga tidak dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan politiknya.

"Pada masa sama PAS sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang menghormati dasar perjuangannya," katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS juga menolak sebarang perkiraan dan percaturan politik yang merugikan masa depan Islam dan umatnya.

-- BERNAMA

Ahad, Disember 18, 2016

KECEMERLANGAN MRSM TETAP TERPELIHARA WALAUPUN SYARAT KEMASUKAN DILONGGARKAN

BANDAR SRI JEMPOL, 18 Dis (Bernama) -- Kualiti kecemerlangan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tetap terpelihara meskipun syarat minima kemasukan pelajar Tingkatan 1 dilonggarkan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya beliau percaya dengan kualiti guru-guru yang mengajar di MRSM, kecemerlangan yang sering diraih pelajar-pelajar berasrama penuh itu, akan dapat juga dirasai oleh pelajar luar bandar, terutamanya anak-anak orang miskin.

"Inilah peranan tenaga pengajar di MRSM, walaupun mereka (pelajar) masuk dengan kelayakan yang kurang, tetapi dengan keadaan lebih selesa dan kualiti guru, prestasi kecemerlangan dapat dikekalkan