Memaparkan catatan dengan label br1m. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label br1m. Papar semua catatan

Rabu, Januari 04, 2017

PENJARA SELURUH MALAYSIA DIPENUHI DENGAN PENERIMA BR1M?



Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno  mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad mengadukan penerima skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kenyataan dibuat bekas perdana menteri itu akhir-akhir ini semakin mengarut, terutama apabila mendakwa bantuan BR1M itu sebagai rasuah.

Menurut Ismail dengan pelbagai penjelasan diberikan kerajaan mengenai bantuan berkenaan Dr Mahathir tetap menganggap BR1M sebagai rasuah.

Justeru kata menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, lebih baik isu berkenaan diadukan secara rasmi kepada SPRM dan biarkan agensi terbabit menjalankan siasatan mereka dengan sepenuhnya.

“Kalau betul-betul (anggap) rasuah, saya harap Dr Mahathir buat laporan secara rasmi kepada SPRM bahawa penerima-penerima BR1M adalah penerima rasuah.

“Jadi apabila SPRM siasat, mereka akan tangkap semua kalau boleh.

"Rasuah itu bukan saja pemberi yang bersalah. Penerima pun salah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan hari pertama sesi baru persekolahan di Tabika Kemas Bandar Baru Salak Tinggi.

Sebelum ini Dr Mahathir dilaporkan memberitahu rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M adalah rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Beliau yang kini berseteru dengan kerajaan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Ismail berkata kenyataan Dr Mahathir itu kedengaran sungguh terdesak, malah boleh diumpamakan seperti menghina penerima bantuan berkenaan.



Katanya lagi semua bantuan daripada kerajaan tidak boleh dianggap rasuah kerana ia dilakukan untuk meringankan beban rakyat.

“Itu hari dia kata penerima BR1M tu rasuah… air di Selangor pun rasuah juga.

"(Sebenarnya) saya rasa BR1M adalah untuk membantu rakyat, tidak boleh dianggap sebagai rasuah," katanya.

Memberi contoh perbelanjaan yang diperlukan untuk menyekolahkan kanak-kanak di Tadika Kemas, Ismail berkata, seseorang pelajar sepatutnya dikenakan bayaran sehingga RM200.

Bagaimanapun, katanya, dengan bantuan kerajaan menanggung semua perbelanjaan berkenaan dan ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka secara percuma.


“Bantuan daripada kerajaan tak boleh dianggap rasuah. Jabatan Kebajikan Masyarakat pun bagi kepada orang kurang upaya dan kepada orang tua dan sebagainya… Saya rasa kenyataan Dr Mahathir itu menghina penerima BR1M semua,” katanya.

Sementara itu Ismail turut membidas Dr Mahathir yang turut mendakwa orang yang melaksanakan ibadah haji menggunakan wang 1MBD tidak akan mendapat haji yang mabrur.

Kata Ismail, Dr Mahathir tidak berhak berkata demikian kerana beliau tidak ada hak menentukan amal ibadah itu akan mabrur atau tidak.


“Tiada siapa pun ada hak (nak cakap mabrur atau tidak). Bukan saja Dr Mahathir, mufti atau sesiapa pun tak boleh menentukan haji seseorang itu mabrur dan tidak.

“Itu serah kepada Allah sebab Allah yang menentukan. Ibadah kita pun.

"Sembahyang rajin, lima kali sehari pun belum menentukan pahala dan sebagainya. Dosa, pahala, syurga itu hak Allah,” katanya.

Ulasan saya, jika Dr Mahathir buat aduan kepada polis bahawa BR1M itu rasuah maka mahkamah akan menentukan sama ada BR1M itu rasuah atau tidak. 

Jika mahkamah mendapati ia adalah rasuah maka semua penerima BR1M akan memenuhi penjara seluruh Malaysia kerana seperti kata Ismail Shabery bukan sahaja pemberi rasuah yang patut dihukum malah penerima rasuah.


Rabu, Disember 28, 2016

SPRM SAHKAN BR1M BUKAN RASUAH



PUTRAJAYA 27 Dis. - Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan bukan satu perbuatan rasuah kerana ia merupakan polisi yang telah ditetapkan kerajaan untuk kesejahte­raan rakyat.

Azam Baki

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, keputusan pemberian BR1M dibuat oleh Kabinet selepas melalui proses kajian secara menyeluruh atas faktor untuk me­ringankan beban rakyat yang memerlukan.

Menurutnya, BR1M tidak boleh diklasifikasikan sebagai rasuah kerana di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 ia bukannya satu perbuatan jenayah.

“Sebabnya kalau beri rasuah mesti ada tujuan atau dorongan yang menyalahi undang-undang seperti merasuah bagi mendapatkan sesuatu daripada satu pihak dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan.

“Dalam hal ini, kerajaan beri bantuan kepada orang ramai dan tiada niat untuk melakukan perbuatan jenayah, jus­teru ia tidak boleh dikatakan sebagai rasuah dan rakyat tidak dipengaruhi untuk membu­at sesuatu ke­­putusan apabila menerima BR1M,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata de­mikian sebagai mengulas kenya­taan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa pemberian BR1M adalah rasuah.

Ditanya adakan insentif pemberian BR1M itu bertujuan mempengaruhi keputusan pengundi semasa pilihan raya umum (PRU) kelak, beliau berkata, BR1M dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan dan bukan diberikan pada masa-masa tertentu.

“Sekiranya diberikan semasa PRU sahaja, ia mungkin dibuat atas tujuan tertentu untuk meraih undi tetapi BR1M diberikan sepanjang masa dan di luar waktu pilihan raya,” katanya.

Selain itu, katanya, hanya rakyat berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan sahaja yang layak menerima BR1M.