Memaparkan catatan dengan label kamarudin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kamarudin. Papar semua catatan

Selasa, Disember 27, 2016

SATU KEHILANGAN YANG SUKAR DICARI GANTI

oleh shahbuddin embun

(sudah disiarkan dalam Utusan Malaysia)


Kembalinya Prof Datuk Seri Dr Kamarudin Kachar ke rahmatullah merupakan satu kehilangan yang sukar untuk dicari ganti.Allahyarham pernah menyandang jawatan Dekan Pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Timbalan Naib Canselor dan Pemangku Naib Canselor UPM sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Biro Tata Negara.Selepas itu beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara, Dekan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah dan Naib Canselor Unisel



Semasa bertemu dengan beberapa orang yang pernah mengenali beliau, penulis tertarik dengan beberapa kisah yang diceritakan oleh bekas pelajarnya. Menurut salah seorang bekas pelajar UPM yang ditemui,Allahyarham terkenal dengan sifat displinnya dan tidak boleh berkompromi apabila melihat para pelajar Melayu duduk dan melepak di tembok kafetaria UPM. Ada yang menyatakan , nampak sahaja kelibat beliau, maka akan bertempiaranlah mereka lari menyelamatkan diri .Bagi Allahyarham, soal displin dan komitmen sebagai pelajar perlu diberikan keutamaan.



Dikatakan semasa kecilnya beliau sanggup mengayuh basikal 32 batu sehari ke sekolah di Singapura semata-mata berusaha untuk mengubah nasibnya. Itu mungkin sebabnya beliau tidak boleh berkompromi apabila melihat anak bangsa begitu manja dengan melepak tanpa melakukan perkara yang berfaedah.



Manakala penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh beliau semasa kecilnya , termasuklah merasai penderitaan akibat kekejaman tentera Jepun telah mendidik Allahyarham untuk memahami dan menghayati perjuangan bangsa yang telah lama diperjuangkan oleh pemimpin dan tokoh tokoh negara sebelumnya.



Dalam hal ini, Allahyarham yang lebih juga dikenali dengan panggilan Abang Long pernah menyarankan anak bangsanya supaya bersatu-padu dan menanamkan sifat sentiasa ingin bekerjasama yang mana ini akan memperkukuhkan lagi semangat dan jati diri mereka .



Sebagai Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), allahyarham pernah menyarankan bahawa orang Melayu semestinya sentiasa berani, tegas, bijak merancang dan berfikiran jauh.



“Orang Melayu harus berjuang habis-habisan dan bangkit memperjuangkan hak bangsa kita di bumi Malaysia ini. Ini bukan soal rasis, tetapi tentang membela agama, bangsa, dan budaya kita. Jangan pernah kata Melayu lemah”. Kata-kata seperti inilah yang akan sentiasa memberikan semangat kepada perjuangan anak bangsa agar tidak lalai dan sentiasa berjuang di landasan yang betul.



Melihatkan pada kata-kata beliau yang penuh bersemangat serta tidak ada rasa takut jika hendak menyampaikan apa yang termaksud, mungkin ramai yang menganggap Allahyarham ialah seorang yang terlalu tegas hinggakan sukar untuk diajak berbicara.



Sebenarnya daripada pengalaman yang dilalui oleh kami dalam Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPMM), Allahyarham merupakan seorang yang mesra dan mudah untuk kita semua bertanyakan pendapat dan diajak berbincang. Bahkan, beliau seorang yang ceria, rajin berseloroh dan suka mengusik serta bergurau dengan kami semua.Sebagai penasihat MPMM, terlalu banyak nasihat dan jasa yang dicurahkan oleh allahyarham.



Allahyarham merupakan antara contoh terbaik bagaimana seorang anak kampong boleh mencipta kejayaan. Mungkin ini disebabkan oleh semangat jati diri beliau yang kuat dan sentiasa mengamalkan falsafah hidupberusaha menjayakan diri, berbudi,bermuafakat dan berkhidmat,



Perjuangan beliau dalam memberi motivasi dan semangat serta meningkatkan pemikiran bangsa perlu diteruskan oleh kita semua. Dan mereka yang telah berjaya diasuh dan dididik oleh beliau sehingga berjaya perlu melihat kembali kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Allahyarham iaitu, “Yang sudah mengecapi kesenangan pula jangan terus leka dan berpeluk tubuh sebaliknya bantulah yang memerlukan dan jangan sesekali mengabaikan yang lain,” .Teruskanlah perjuangan beliau, dan jangan biarkan hasrat beliau untuk melaksanakan Program Lahirkan Sejuta Zaaba dan juga penubuhan Universiti Melayu Maori Polinesia di New Zealand berkubur begitu sahaja.Asas sudah dibina, terpulang pada kita untuk kita meneruskannya.



Negara kita kehilangan seorang tokoh dan pemimpin luar biasa yang sanggup berjuang demi mempertahankan prinsip perjuangannya. Saya mewakili Majlis Perundngan Melayu Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Profesor Datuk Seri Dr Kamarudin Kachar, dan semoga roh allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah. Al-Fatihah,

Khamis, April 11, 2013

KAMARUDDIN LAWAN SHABERY CHEEK DI KEMAMAN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan Kamarudin Chik, yang berasal dari Kuala Terengganu sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Kemaman pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu pada satu majlis di sini lewat malam tadi, berkata Kamarudin, 47, dipilih kerana memenuhi kriteria, antaranya anggota parti yang setia dan tidak mudah khianat kepada parti. "Di Kemaman ini ada 1,000 lebih layak jadi calon (PKR)...ada tokoh lama, baru tapi saya bincang dan kaji kita nak orang tempatan, kita nak orang berkelayakan, kita nak orang muda yang bertenaga. "Sebab itu kita pilih orang Terengganu menetap di Kemaman...kita tidak mahu berlaku seperti 2008, khianat sebelum pilihan raya dan khianat selepas pilihan raya tak dapat jadi calon, kriteria penting kita adalah orang yang taat dan tidak belot dan tidak khianat parti," katanya Kamarudin yang menjadi anggota PKR sejak 1998 ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata beliau hanya maklum namanya dicalonkan kira-kira pukul 4 petang semalam. Pada pilihan raya umum 2008, calon Barisan Nasional (BN) yang kini Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengalahkan calon PKR Fariz Musa dengan majoriti 12,683 undi di kerusi Parlimen Kemanan. - Bernama

Sabtu, April 21, 2012

KAMARUDIN LUISIN DALAM KENANGAN

Pagi tadi jam 7.14 pagi saya menerima sms dari Mudi Dubing di Kota Kinabalu mengatakan wartawan Sabah Times, Kamaruddin Luisin sudah meninggal dunia. Beliau berusia 47 tahun dan masih bujang. Dua hari lepas saya menerima sms dari sahabat saya, Ghani Miyasin bahawa Kamaruddin dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu kerana koma akibat penyakit darah tinggi. Menurut Ghani, Kamaruddin tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital sebaliknya memakan ubat. Kali terakhir saya menemui Kamaruddn pada Jun tahun lepas di Kota Kinabalu. Setibanya saya di airport beliau telah mengambil saya dengan kereta Proton Saganya ke Hotel Century Inn. Saya kenali Kamaruddin sejak tahun 1989 ketika bekerja dengan Watan di Sabah. Saya ambilnya sebagai stringer Watan. Bila saya jejak kaki di Kota Kinabalu buat kali pertama pada tahun 1989, saya menyewa rumah di Mandarin Park. Rumah dua tingkat untuk dijadikan pejabat dan rumah kediaman. Kamaruddin duduk sekali dengan saya di bilik tingkat bawah. Bila saya balik ke Kuala Lumpur pada tahun 1991, hubungan saya dengan Kamaruddin tidak pernah putus. Setiap kali saya ke Kota Kinabalu saya akan temui Kamaruddin yang tetap membujang sampai ke akhir hayatnya. Dia seorang pendiam, soft spoken dan saya sendiri pun tak tahu kenapa dia tak pernah kahwin. Saya sendiri tak pernah nampak dia bawa kawan perempuan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.