Jumaat, November 21, 2008

PERTEMUAN DENGAN BLOGGER DARI SABAH


Petang semalam dalam hujan lebat saya menunggu kawan saya, seorang blogger, Mubin Ismail di stesen LRT Terminal Putra. Tepat jam 6 petang dia tiba dengan kawannya. Selepas itu kami pergi ambil seorang lagi blogger, Sayuti Omar di rumahnya yang tidak jauh dari situ.

Tepat jam 7 malam kami tiba di Janda Baik, rumah Pak Habib, Syed Husein Alatas. Tetamu istimewanya, Datuk Salleh Said Keruak sudah sampai dengan tiga orang rakannya. Datuk Salleh juga seorang blogger dan bekas Ketua Menteri Sabah. Bulan lepas beliau menang semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud.Pak Habib memberitahu kami bahawa beliau berkawan dengan bapa Datuk Salleh, Tun Said Keruak sejak zaman USNO lagi.

Sewaktu saya di Sabah (1989-1991), Datuk Salleh agak rapat dengan saya. Ketika beliau meraikan jamuan perpisahan untuk saya, dia adakan majlis itu yang dihadiri oleh rakan-rakan wartawan, di istana. Kebetulan ketika itu bapanya, Tun Said Keruak adalah Yang Dipertua Negeri Sabah. Sejak itu kami tak pernah putus hubungan walaupun beliau sudah tidak ada kuasa lagi.

Lama juga kami berbincang bersama Pak Habib. Datuk Salleh memberi pandangan yang agak kritikal di mana beliau kecewa dengan prestasi UMNO masa kini. Baginya, UMNO perlu diperkasakan semula untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau lebih percaya kepada clear thinking daripada creative thinking. Selepas solat maghrib berjemaah di surau tepi sungai, kami berbincang di rumah. Lepas itu kami makan nasi dengan ikan talapia bakar, kambing yang menyelerakan semua tetamu di luar rumah.

Tepat jam 9.30 malam kami meninggalkan Janda Baik.Walaupun sebentar sahaja di rumah Pak Habib, kami puas hati dapat bersembang dengan Datuk Salleh yang akan bertanding kerusi ahli majlis tertinggi UMNO pada Mac hadapan.

RAFIDAH RELA KALAH DI GELANGGANG


Rafidah Aziz hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti Mac depan.


Rafidah, 65, berkata beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.


"Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu," katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.


Semalam, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.Keputusan itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 yang diumumkan Rafidah Ogos lepas.


Dalam kenyataan itu, Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan kuasa telah dipertikai dan ditolak selepas tiga bulan beliau mengumumkannya


."Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya."Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:


a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan


b) beliau patuh kepada pelan peralihan


c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar partid) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)," kata beliau.


Rafidah berkata beliau tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.Beliau berkata sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam mana-mana perbincangan, sekiranya terdapat pihak yang tidak bersetuju atau membantah pelan peralihan yang dianjurkannya, perkara itu wajar dibangkitkan.


Rafidah berkata sekiranya perkara itu dilakukan sebelum proses pencalonan, maka Exco Wanita Umno pasti akan membatalkan pelan peralihan tersebut.


"Dan, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua," katanya.


Bagaimanapun, katanya, "bantahan" cuma ditimbulkan selepas mereka mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding.


"Maka barulah pihak-pihak yang berkenaan membantah dengan pelbagai alasan yang tidak berasas," katanya.


Mengenai cadangan supaya pelan peralihan itu dipercepatkan dari Jun ke Mac, Rafidah berkata itu tidak lojik.Beliau berkata jika dibuat pada bulan Mac, bererti tiada lagi "pelan peralihan", yang pada asasnya melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan.


"Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangkamasa itu ialah antara bulan Januari hingga Jun 2009 kerana Perhimpunan Agung dijadualkan pada Disember 2008."


Ia telah diganjak kepada Mac, tetapi pelan peralihan kuasa tidak terjejas," katanya.Rafidah juga berkata sekiranya pelan peralihan itu "dipercepat" kepada Mac, ia juga bererti beliau menyerahkan jawatan "secara bulat-bulat" kepada Shahrizat, yang akan menang tanpa bertanding."


Ini menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009," katanya.


Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984, melainkan untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.Beliau yang memenangi semula jawatan itu daripada Siti Zaharah pada pemilihan 2000, buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lepas.


Mesyuarat Exco Wanita Umno minggu lepas mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.


"Sekarang kerana pelan peralihan telah diingkari dan jawatan Ketua (Wanita) akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang disandang sekarang," katanya.


Rafidah menyarankan agar semua pertandingan jawatan dalam Pergerakan Wanita Umno dijalankan dengan tertib, beradab, ikhlas tanpa menjejaskan sesiapa atau parti.


"Jangan sekali-kali mengada-adakan dan menabur fitnah dan pembohongan, atau membawa pecah-belah," katanya.


Rafidah tetap lawan kerana dia rela kalah di gelanggang daripada memberi laluan percuma kepada Shahrizat. Maka Shahrizat kena pastikan Rafidah tumbang. Jika tidak karier Shahrizat berakhir pada Mac depan.

SHAHRIZAT MEMANG ANAK JANTAN


Tahniah kepada Shahrizat Jalil yang telah menunjukkan kejantanannya untuk menentang Rafidah Aziz dalam pertandingan ketua wanita UMNO pada Mac depan. Saya kira ia adalah langkah yang tepat kerana beliau menyahut cabaran 73 bahagian yang mencalonkannya bagi jawatan tersebut.

Sehingga ini Rafidah belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankannya atau berundur walaupun desakan di bawah begitu kuat supaya beliau berundur. Walaupun majoriti bahagian sebanyak 117 bahagian berpihak kepada Rafidah tetapi pada hari pengundian sebenar belum tentu Rafidah dapat mengekalkan sokongan yang sama.

Sebaik-baiknya berundurlah Rafidah jika kita benar-benar ikhlas mahu berundur. Tak perlu tunggu Jun 2009 baru nak berundur. Jika Rafidah berdegil nak pertahankan jawatan, maka lawanlah Shahrizat. Kita tengok siapa yang kuat. Inilah kali kedua Rafidah ditentang. Pada tahun 1996, Dr. Siti Zaharah Sulaiman pernah mengalahkan Rafidah dan kita nak tengok dapatkah Shahrizat mengulangi kejayaan Dr. Siti Zaharah itu?

Khamis, November 20, 2008

MENERIMA MENANTU


Saat yang paling bahagia selepas bergelar suami ialah apabila isteri melahirkan anak sulung. Saat paling bahagia selepas menjadi ayah apabila menerima menantu sulung. Saya tidak terkecuali rasa amat seronok menerima menantu pada hari Sabtu, 15 November lalu.

Majlis akad nikah anak sulung saya, Siti Zuhairatun, 26, diadakan di masjid Taman Melati, Kuala Lumpur. Oleh kerana pengantin lelaki meminta majlis akad nikah diadakan di Kuala Lumpur, maka ia diadakan di masjid yang berdekatan dengan rumah anak saya.

Kenduri sebenar akan diadakan pada hari Sabtu, 13 Disember di rumah kami di Taman Mohd. Noor, Chukai, Kemaman. Oleh itu kepada semua rakan-rakan yang terbaca kolum ini saya jemput datang ke Kemaman pada bulan hadapan. Saya jemput semua rakan-rakan yang pernah belajar dengan saya di Sekolah Kebangsaan Pusat Dungun (1966-1967), Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Kuala Terengganu(1968-1971), Maktab Rendah Sains MARA, Seremban(1972-1976), Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (1977-1978), Maktab Adabi Terengganu (1979) dan Universiti Malaya (1980-1983).

Juga saya jemput rakan-rakan yang pernah bekerja dengan saya di FELCRA(1983-1986), Kumpulan Karangkraf (1987-1992), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (1997-2001), Perbadanan Nasional Berhad (2001-2002),Terengganu Bestari (2006), Warta Parlimen Kepala Batas (2007-2008) dan akhbar WATAN (kini) datang ke Kemaman pada hari tersebut.

Dalam zaman siber ini, nak hantar kad satu persatu memang tidak ada masa . Cara menjemput kenduri pun sudah berubah sama ada melalui e mail atau sms. Oleh itu kepada rakan-rakan lama yang pernah belajar dan bekerja setempat dan sewaktu dengan saya bolehlah hubungi saya untuk pengesahan kehadiran pada 13 Disember ini. Hubungi handphone saya atau sms saya kepada nombor 0139419072.

Sewaktu mengadakan majlis akad nikah dan minum petang di rumah adik saya di Taman Melawati pada 15 November lalu, saya jemput ramai juga rakan-rakan tetapi ramai yang tak dapat datang termasuk rakan-rakan sepejabat yang ada deadline.

Saya sendiri pun terpaksa datang ke pejabat sebelah pagi dan jam 5 petang selepas selesai majlis, kena datang semula ke pejabat. Begitulah sibuknya bekerja dengan suratkhabar. Anak nikah pun tak ada masa nak ambil cuti.

Saudara mara yang berada di Kuala Lumpur ramai yang datang termasuk dua pupu saya, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ahmad Haji Ismail. Apabila ada kenduri nikah begini, baru dapat bertemu dengan saudara mara. Dua pupu saya, Norehan yang bekerja di CIMB Pandan Jaya sudah 20 tahun tak jumpa. Saya baru terjumpa nombor handphonenya. Dia datang dengan anak-anaknya yang sudah besar dan dulu bukan main langsing tubuhnya kini tubuhnya masya Allah, sihat betul.

Ramai saudara mara kecil hati kerana tak jemput mereka ke majlis akad nikah itu. Sebenarnya jamuan sebenar akan diadakan di Kemaman bulan hadapan. Jadi semua saudara mara saya yang berada di semua negeri akan dijemput ke majlis tersebut.

Menantu saya, Hairul Faizal bekerja di Hospital UKM, Cheras. Kenduri sebelah pengantin lelaki akan diadakan di rumah bapanya di Batu Gajah, Perak pada hari Ahad, 28 Disember 2008.


Akhirnya anak saya memilih orang Perak sebagai suaminya. Saya dan isteri merestui pilihannya. Yang penting biar mereka berdua bahagia hingga ke anak cucu. Saya tak memilih sangat orang mana yang jadi menantu saya asalkan pilihan itu menyenangkan anak kami.

Rabu, November 19, 2008

SATU KEMATIAN




Setiap manusia yang hidup pasti mati. Oleh itu terimalah kematian sebagai satu ujian dari Allah. Apatah lagi yang mati itu adalah orang yang terdekat dengan kita.

Saya menerima berita kematian datuk saudara saya pada hari Isnin ,10 November lalu dengan tenang. Tidak seperti menerima berita kematian bapa saya enam tahun lalu dengan lelehan air mata. Saya terkilan kerana bapa saya tidak pernah sakit. Tiba-tiba saya menerima berita kematian bapa sewaktu sedang mengikuti perhimpunan agung UMNO pada tahun 2002 yang mana Dr. Mahathir tiba-tiba mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan dipujuk oleh ahli-ahli majlis tertinggi UMNO supaya menarik balik perletakan jawatan tersebut.

Bapa saya meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menunggang motorsikal ke surau di kampung pada petang tersebut.

Isnin lalu, ayah sepupu saya, Abang Mat call saya pada jam 9.30 pagi memaklumkan datuk saudara saya, Haji Abu Bakar bin Yusof, seorang jurunikah di Bukit Goh, Kuantan baru sekejap meninggal dunia kerana terjatuh di biliknya ketika mahu pakai seluar.Hari itu dia mahu pergi ke Pejabat Tanah Kuantan untuk uruskan tukar milik tanah

Sebenarnya Haji Abu Bakar adalah adik nenek saya. Oleh kerana saya dibesarkan oleh nenek saya yang mana saya dianggap anaknya, maka Haji Abu Bakar saya anggap sebagai bapa saudara sendiri yang saya panggil Ayah Ngah Bukit Goh.

Kali terakhir saya menemui Ayah Ngah pada hari raya keempat lalu. Dia bersungut kerana saya datang lambat. Biasanya pada hari raya pertama atau kedua saya sudah muncul di rumahnya. Saya muncul pada jam 6 petang. Banyak kali saya panggil namanya. Saya ingatkan tiada orang di rumah. 10 minit kemudian Ayah Ngah muncul dari biliknya. Dalam usia 82 tahun Ayah Ngah kurang sihat tapi masih mampu berjalan perlahan-lahan. Petang itu emak saya yang uzur turut datang menziarahi Ayah Ngah.

“Lama betul tak tengok Ayah Ngah,” kata emak saya yang terpaksa tinggal di Kuala Lumpur selepas kematian ayah. Emak saya tidak dapat hadiri majlis pengkebumian Ayah Ngah dan mewakilkan saya dan adik saya, Mahir.

Biras Ayah Ngah, Che Da yang tinggal di Kemasik adalah kakak kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Ini bermakna adik ipar Ayah Ngah, arwah Ustaz Husein adalah abang ipar Ahmad Said. Sewaktu kecil Abang Mat, anak Ayah Ngah duduk di rumah emak Ahmad Said di Teluk Kalung. Mereka berdua adalah rakan sepermainan yang mana kedua-duanya bernama Ahmad. Ahmad Said dan Ahmad Abu Bakar.

Oleh kerana hari itu adalah hari deadline, saya tak dapat meninggalkan pejabat pagi itu. Jika saya terus bertolak ke Kuantan pagi itu saya sempat melihat jenazah Ayah Ngah dikebumikan pada jam 5 petang. Jenazahnya lambat dikebumikan kerana menanti anak-anaknya yang bekerja di Kelantan sampai. Jam 5 baru kami bertolak ke Kuantan dengan. Dalam kesesakan jalan raya, jam 6.45 petang baru kami melepasi tol Gombak

Kami tiba di Bukit Goh tepat jam 9.45 malam. Ketika itu sepupu saya, Abang Nawawi sekeluarga baru tiba dari Kajang. Dia baru pencen dengan KTM. Sepupu saya dulu kaki rugged. Selepas nikah dengan saudara kami juga, dia masuk dakwah. Dulu Abang Awi mirip kepada Darul Arqam.

Begitu juga adik mak saya, Che Da baru sampai dari Kuala Ketil, Kedah dengan suaminya, Syed Saripuzen. Orang jauh sampai lebih awal dari kami.

Bila ada kematian begini, baru kami dapat bertemu dengan saudara mara yang jauh. Kalau tidak memang susah mahu berjumpa. Saya tak sempat menemui dua pupu dari Paloh, Kuala Terengganu, Radzi, Kamal dan Nasir yang tiba lebih awal di Bukit Goh.

Zaman sudah berubah. Kalau zaman dulu, ada kematian dan nikah kahwin, kami biasanya tidur dua tiga malam di rumah saudara yang menghadapi kematian dan pernikahan itu.

Tetapi kini masa sudah berubah. Semua sudah ada kenderaan. Walau pun datang jauh, malam itu kami tetap pulang ke destinasi masing-masing. Ini yang menyebabkan kami semua lebih mesra sesama sepupu kami sedari kecil sedangkan anak-anak kami sudah tidak mesra lagi dengan pupu-pupu mereka kerana mereka tidak ada peluang untuk berinteraksi selama dua tiga hari. Mengenang kembali zaman dulu, saya amat rindukan saat-saat itu!

Selasa, November 18, 2008

TERENGGANU NEGERI TERAWAL

Terengganu merupakan negeri pertama di negara ini yang akan membuat retreat di Genting pada Khamis ini untuk menghadapi pilihan raya umum 2012. Langkah yang diumumkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Rosli Mat Hassan wajar dipuji.

Walaupun cuma ada satu sahaja pertukaran ketua bahagian (di Marang) tetapi usaha awal ini wajar diberi pujian kerana ia mengambil masa yang agak lama untuk menyembuhkan luka-luka yang berlaku dalam pertandingan bahagian baru-baru ini.
Justru itu semua negeri terutamanya yang kalah seperti Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor patut mencontohi usaha Terengganu ini.

Oleh itu bagi yang kalah terimalah retreat ini sebagai tempat muhasabah kerana tidak ada makna menang dalam pertandingan bahagian tetapi kalah dalam pilihan raya. Adakah ketua UMNO Bahagian Marang yang baru, Yahya dapat mempastikan kerusi Ru Rendang dan Bukit Payong ditawan kembali dalam pilihan raya umum akan datang? Dapatkah Alor Limbat dan Pengkalan Berangan dikekalkan?

Justru itu usaha yang dibuat oleh UMNO Terengganu wajar disokong kerana ia merupakan langkah awal untuk menyatupadukan para pemimpin UMNO yang berpecah gara-gara pertandingan baru-baru ini. Insaflah wahai pemimpin UMNO. UMNO Terengganu perlu dipertahankan. Kita pertahankan UMNO bukan kerana pengerusinya, Ahmad Said tetapi kerana kita tidak mahu diperintah oleh PAS lagi. Kita dah serik weh!

VIP KENA DEMAM DENGGI

Lucu juga bila Timbalan Menteri Penerangan, Tan Lian Hoe masuk Hospital Kuala Lumpur kerana sakit demam denggi. Dalam suasana kerajaan menjalankan kempen kepada rakyat supaya memerangi demam denggi, lucu juga bila pemimpin kerajaan sendiri kena demam denggi.

Bila sakit begini, Tan Lian Hoe perlulah insaf kerana dia terlalu celupar menyinggung perasaan orang Melayu baru-baru ini. Sedangkan kerusi timbalan menteri menjadi miliknya kerana dia menang di kawasan Melayu. Pada pilihan raya umum lalu, Menteri Besar Perak, Tajol Rosli menangis bersama ahli jawatan kuasa UMNO Bahagian Gerik apabila mengorbankan kerusi parlimen Gerik kepada Gerakan.

Tetapi Tan Lian Hoe manusia yang tidak bersyukur dan tidak mengenang budi jasa ketua UMNO bahagian Gerik, Tajol Rosli. Oleh itu bila sakit begini, bolehlah beliau letak jawatan atas sebab-sebab kesihatan. Amat memalukan pemimpin kerajaan sakit kerana demam denggi. Jadi sudah sampai masanya dia berundur dari politik. Para pengundi Gerik tidak mahu pemimpin yang hipokrit seperti Lian Hoe yang berpura-pura pakai baju kurung untuk ambil hati pengundi Melayu.

Ahad, November 16, 2008

BERI BETIS NAK PAHA

Anggota Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin berkata beliau tidak berniat mengancam kedudukan sesiapa apabila menyatakan hasrat mahu bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Larut.

Hamzah berkata, beliau setuju untuk bertanding apabila meyakini bahawa majoriti anggota di kawasan Parlimen itu mahukan perubahan dan telah meminta agar beliau bertanding jawatan itu. Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah 70 peratus daripada ketua cawangan dan perwakilan UMNO bahagian itu mahukan supaya beliau bertanding.

"Soalnya adakah kemasukan saya ke bahagian Larut dan kemudian bertanding Ketua UMNO Bahagian Larut mengancam kedudukan sesetengah pihak?," tanya Hamzah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Hamzah sebelum ini merupakan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, tetapi pada pilihan raya umum lepas beliau bertanding kerusi Parlimen Larut dan kemudian memindahkan keanggotaannya ke UMNO Bahagian Larut.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menolak pencalonan Hamzah atas alasan Hamzah tidak layak bertanding kerana menjadi anggota bahagian itu selepas 31 Disember 2007.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan keputusan membenarkan Hamzah bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Larut berdasarkan kepada peraturan parti.

Tengku Adnan berkata, ia adalah sebagaimana kebenaran diberikan kepada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bertanding di Kulim/ Bandar Baharu, Kedah setelah bertukar dari UMNO Bahagian Baling.

Selain itu, katanya, bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Osman Desa juga dibenarkan bertanding di UMNO Bahagian Sik setelah bertukar dari Kepala Batas, Pulau Pinang manakala Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad dibenarkan bertanding apabila bertukar ke bahagian Parit Sulong, Johor.

Memang betul Hamzah tidak ada niat untuk ancam sesiapa. Sepatutnya dia tak payahlah kacau tempat orang. Beri Datuk Raja Ahmad Zainuddin jadi ketua, dan beliau masuklah di bahagian itu jadi timbalan apa salahnya. Dahlah tempat orang dirampasnya untuk tanding pilihan raya, kerusi dalam UMNO pun nak dirampasnya juga. Jangan tamak dalam politik. Beri tumpuan jadi ahli parlimen Larut cukuplah. Jangan ibarat beri betis, nak paha pula.

Macam mana Perak nak dirampas kembali dalam pilihan raya umum akan datang jika pemimpinnuya lebih utamakan rebutkan jawatan dalam parti? Sepatutnya sebagai bekas Ketua UMNO Ipoh Barat, beliau kaji kenapa BN melalui MCA tak pernah menang di situ. Apa peranan UMNO yang dipimpinnya kerana tak dapat membantu MCA untuk menang kawasan parlimen Ipoh Barat?

Ini yang silapnya pemimpin UMNO. Dahlah diberi peluang tanding pilihan raya di tempat orang, nak rampas pula kerusi ketua bahagian. Soal majoriti ketua cawangan yang minta tak timbul kerana ketua cawangan memang ada kepentingan dengan ahli parlimen pasal mahu projek dan sebagainya.

Raja Ahmad Zainuddin pun tak kesah kalau Hamzah tukar cawangan sebelum 31 Disember 2007 tetapi dia tukar selepas jadi ahli parlimen pada Mac 2008 yang mana itu sudah tidak ikut perlembagaan UMNO. Yang hairannya kenapa ibu pejabat UMNO boleh melanggar peraturan ini?

Sabtu, November 15, 2008

RAMASAMY TAK ADA MODAL


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. P. Ramasamy bahawa UMNO sebagai punca berlakunya ketidakseimbangan kaum dalam sektor awam merupakan tuduhan melulu.


Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut memandangkan CUEPACS sebelum ini pernah membuat kajian mengenai masalah itu dan mendapati ia bukan berpunca daripada parti pemerintah atau pun UMNO sendiri.


Katanya, masalah tersebut berlaku disebabkan sektor kerajaan hanya mampu menawarkan pembayaran gaji yang rendah berbanding sektor swasta.


''Kita tidak bersetuju UMNO dipersalahkan, ini kerana berdasarkan tinjauan CUEPACS mendapati orang bukan Melayu lebih berminat bekerja dengan sektor swasta atau pun berniaga sendiri kerana pendapatannya lebih lumayan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Kelmarin dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Ramasamy mengatakan bahawa ketidakseimbangan pekerja perkhidmatan awam di Pulau Pinang adalah berpunca dari rejim lama kerajaan Barisan Nasional (BN) dan dasar yang diamalkan UMNO.


Bagaimanapun, Ramasamy tidak menafikan ada banyak punca lain menyebabkan perkara itu berlaku, namun faktor dominan yang menentukan arah tuju politik negara didominasi oleh parti itu.


Dalam pada itu, Omar turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mana-mana individu mengenai surat permohonan bukan Melayu telah dikoyak oleh ketua jabatan.


Beliau berkata, proses permohonan dan pengambilan pekerja di dalam sektor awam diurus dengan baik oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.


''JPA merupakan satu badan bebas yang bertanggungjawab melakukan penilaian sama ada pemohon benar-benar layak untuk mengisi jawatan yang dipohon atau pun sebaliknya.


''Malah setakat ini, CUEPACS tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak yang mendakwa borang permohonan mereka dikoyak,'' tegasnya.


Beliau memberitahu, pihaknya mendapati setelah kerajaan memutuskan untuk menaikkan gaji kakitangan awam pada tahun lalu, ada berlaku sedikit peningkatan terhadap bilangan pemohon bukan Melayu.


Namun begitu, katanya, jumlah permohonan daripada bukan Melayu masih lagi kecil jika dibandingkan dengan orang Melayu walaupun terdapat peningkatan dari segi bilangannya.

Jumaat, November 14, 2008

BIAR KALAH DI TANGAN RAFIDAH DARIPADA KALAH DI TANGAN KAMALIA


Pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan wajar diteruskan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, pertandingan sedemikian tidak akan membawa masalah kepada parti sekiranya ahli pergerakan itu mementingkan perpaduan.


Menurutnya, mana-mana calon yang tewas dalam pertandingan itu kelak tidak sepatutnya bersikap bermusuhan kerana ia perbuatan yang tidak demokratik.


''Kalau dia nak bertanding, biarlah dia bertanding, saya fikir tiada masalah, lepas itu rapatkan balik barisan.


''Itu adalah proses demokrasi... ini bila dah bertanding yang kalah tak mahu bercakap dengan yang menang, susahlah, itu tidak demokratik,'' katanya .


Kita bersetuju dengan pandangan Dr. Mahathir bahawa Shahrizat perlu lawan Rafidah. Jika Shahrizat tak lawan Rafidah, dia akan kalah di tangan Kamalia bagi jawatan naib ketua wanita. Shahrizat dijangka menang jika dia lawan Rafidah kerana Rafidah terlalu lama memipin wanita. Jika Shahrizat kalah, ini bukanlah kerana Rafidah kuat tetapi wanita tidak mahu bergerak maju seperti pemuda dan puteri. Wanita bersifat konsevatif. Biar Shahrizat kalah di tangan Rafidah daripada kalah di tangan Kamilia.

MAHATHIR PERLU KEMUKAKAN BUKTI


Bekas Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohamad hairan bagaimana tiba-tiba Ali Rustam dan Muhammad Muhd. Taib melepasi kuota untuk bertanding jawatan timbalan presiden UMNO. Dia kata mungkin berlaku politik wang untuk membeli pencalonan.


Tuduhan Dr Mahathir amat serius . Sebab itulah Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta mengemukakan bukti jika benar terdapat calon-calon yang bertanding pada pemilihan UMNO Mac depan termasuk jawatan Timbalan Presiden UMNO terbabit dalam politik wang.


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tuduhan tersebut dianggap serius dan tidak adil kepada calon-calon yang bertanding pada pemilihan parti.


"Tuduhan calon Timbalan Presiden UMNO main duit ini satu yang serius dan ia memberi kesan ke atas calon dan parti.


"Kalau tidak ada bukti itu hanya satu spekulasi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.


Mohamed Nazri diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir semalam yang berkata terdapat kemungkinan besar pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti nanti membabitkan politik wang.


Dr. Mahathir turut mendesak UMNO mengambil tindakan drastik menyingkirkan calon yang terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti.


Oleh itu Dr Mahathir perlu kemukakan bukti jika benar Ali dan Muhammad terlibat dalam pembelian pencalonan. Jangan hanya menuduh sebarangan sahaja. Mentang-mentanglah beliau menyokong Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Kita harap seorang calon Naib Presiden UMNO yang disokong Dr. Mahathir, Dr. Rais Yatim turut menang dalam pemilihan Mac akan datang.

Khamis, November 13, 2008

PENJELASAN ISU KETUA BAHAGIAN LARUT





Seorang ahli jawatankuasa UMNO di bahagian saya, Jumaat lepas mengirim pesanan khidmat ringkas (SMS) dari Kota Bahru mengatakan seluruh Malaysia sedang melihat perkembangan di Larut.

Editor WATAN, Mohd Zabidi Haji Saidi ada meminta saya selaku Ketua UMNO Bahagian Larut agar menerangkan kedudukan sebenar mengenai masalah yang sedang melanda bahagian Larut.

Pada mulanya saya agak keberatan, khuatir nanti ada yang mengatakan saya mengambil kesempatan menjelang mesyuarat agung pemilihan bahagian kerana akan mempertahankan jawatan tersebut.

Namun bagi mengelakkan kekeruhan berpanjangan, saya bersetuju untuk memberitahu kedudukan yang sebenarnya terutama berhubung dengan kehadiran Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke bahagian Larut.

Seperti yang umum sedia maklum, nama Hamzah muncul bertanding di parlimen Larut pada pilihanraya umum ke 12 yang baru lalu, walaupun tanpa pengetahuan saya dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian yang lain dan kami amat terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Perak ketika itu, kerana langsung tidak diperbincangkan mengenai pencalonan beliau itu bagi bertanding di tempat kami.

Hamzah yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat. Parlimen ini merupakan kubu kuat bukan Melayu, justeru wakilnya adalah dari MCA.

Walaupun pada peringkat awal, ramai yang kecewa dengan kehadiran Hamzah dan di bahu saya memikul tanggung jawab yang besar, tetapi demi maruah parti, seluruh jentera BN di Larut dikerah bekerja keras bagi mempastikan kemenangan hamzah. Akhirnya beliau memperolehi majoriti lebih kurang 1,900 undi. Ketika saya bertanding di tempat yang sama pada pilihanraya umum 2004, saya memperolehi majoriti 7,435 undi.

Kini saya ditukarkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah yang juga dalam parlimen Larut. Kawasan ini adalah kawasan baru yang mula diwujudkan pada pilihanraya 2004 dan merupakan kerusi panas.

Begitupun, jawatankuasa bahagian sekali lagi dikejutkan apabila diberitahu juga tanpa pengetahuan bahagian bahawa keahlian Hamzah ke Larut sudah diterima pada 3 April. Lebih mengejutkan lagi beliau dikatakan boleh bertanding dalam pemilihan tahun ini juga, sedangkan surat pekeliling Setiausaha Agung yang menyatakan sebarang penjelasan yuran, pertukaran cawangan dan bahagian hanyalah dilakukan sehingga berakhir 31 disember 2007 bagi melayakkan mereka mengambil bahagian dalam persidangan agung cawangan dan bahagian tahun 2008.

Dan keadaan ini cukup mengelirukan lantas jawatankuasa bahagian mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut dan membuat keputusan menangguhkan persidangan agung kesemua 97 cawangan sehingga diberitahu kerana ingin menyelesaikan perkara tersebut terlebih dahulu.

Masalah itu yang mendapat bantahan jawatankuasa bahagian turut juga dibangkitkan ke mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Perak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Tajol Rosli yang kemudian memutuskan membawa perkara itu ke peringkat atasan.

Pada ketika masalah itu berbangkit, berlaku pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh. Kemudian ia sekali lagi dibangkitkan dalam mesyuarat Perhuhungan UMNO negeri pada hari yang kebetulan Perdana Menteri mengadakan lawatan berbuka puasa di Ipoh.

Ramai yang bertanya kepada saya apa sudah jadi dengan bahagian Larut, Hamzah kata dia tidak mahu bertanding, Cuma sekadar mahukan jawatan Bendahari bahagian semasa beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Ipoh dan kebetulan turut mengetahui ialah Perdana Menteri, Tajol Rosli, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua bahagian yang kebetulan berada semasa beliau menyatakan hasratnya itu di hadapan saya dan disambut dengan pujian. Turut hadir dalam rombongan Perdana Menteri itu ialah Menteri Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Anuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Saya masih ingat ketika menghadiri jamuan hari raya Hamzah di Selama dengan tidak disangka-sangka beliau telah menarik saya naik ke pentas dalam dewan tempat jamuan tersebut sambil meminta mereka yang hadir supaya menyokong saya mempertahankan jawatan ketua bahagian.

Beliau juga telah telah secara terbuka menyatakan kepada ramai ahli UMNO bahagian termasuk timbalan ketua, Datuk Mohd Daud Mohd Yusof, yang juga ADUN Selama dan Datuk Najmuddin Alias yang juga ADUN Batu Kurau yang beliau tidak akan mencampuri urusan bahagian termasuk bertanding apa-apa jawatan, kecuali jika ditawarkan jawatan Bendahari.

Namun masalah ini sebenarnya timbul bukanlah semata-mata kerana soal pertandingan tetapi menjadi tanggungjawab bahagian mengikut perlembagaan parti ke atas perjalanan semua persidangan cawangan dan wajar mempastikan hanya mereka yang berhak sahaja dibenarkan bertanding.

Justeru atas tanggung jawab itu dan berdasarkan surat pekeliling yang disebutkan tadi, bahagian membuat keputusan untuk menolak pencalonan yang telah diberikan kepada Hamzah bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan pembatalan mesyuarat agung bahagian.

Keputusan diambil secara konsensus itu dan keputusan menangguhkan persidangan termasuk beberapa hal lain yang masih lagi belum dapat diselesaikan, maka jawatankuasa bahagian yang bermesyuarat minggu lalu telan bersetuju menangguhkan persidangan pada 9hb nov. dan permohonan penangguhan itu telah dihantar kepada perhubungan umno negeri dan ibu pejabat umno Malaysia, bagi mendapatkan kebenaran.

Lagi pun, Datuk Seri Abdullah telah membuat kenyataan akhbar yang menyarankan mana-mana bahagian yang bermasalah, elok membuat permohonan menangguhkan persidangan daripada terbatal dan terpaksa mengadakan mesyuarat semula.

Berpegang kepada kenyataan tersebut, jawatankuasa bahagian Larut telah memohon kebenaran daripada UMNO Malaysia bagi menggelakkan sebarang kesulitan di kemudian hari.

Namun, keputusan bahagian itu telah dijawab oleh Setiausaha agung UMNO yang mengatakan bahawa Hamzah boleh bertanding dan berhak bercakap, memilih dan dipilih, sekiranya beliau tidak menggunakan haknya bercakap, memilih dan dan dipilih di bahagian asalnya pada tahun yang sama. (SUA UMNO merujuk kepada perkara 6.3.8. perlembagaan UMNO) dalam kenyataan akhbar.

Satu pertanyaana timbul, bagaimana sekiranya, Hamzah telah didapati menggunakan haknya di bahagian asalnya dalam tahun yang sama, sedangkan beliau telah diterima oleh ibu pejabat UMNO menjadi ahli UMNO bahagian Larut?

Atau dalam kata-kata lain, selepas menjadi ahli di bahagian Larut, beliau masih lagi menggunakan haknya di bahagian yang lama iaitu Ipoh Barat.

Justeru bagi meleraikan kemelut tersebut, dalam mesyuarat jawatankuasas bahagian yang diadakan pada hari Jumaat (7hb November lalu) telah mengambil keputusan juga secara consensus untuk menemui pengerusi jawatankuasa pengurusan bagi memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

Malah jawatankuasa bahagian bersedia berhadapan dengan pihak atasan untuk berbuat demikian, sekiranya diberikan peluang dan sememangnya itulah yang diharapkan agar dapat diberikan peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenar-benarnya.

Bahagian hanya mahukan keadilan dan berharap pihak jawatankuasa pengurusan sudi menerima penjelasan ini bagi mengembalikan semula kekeruhan yang berlaku demi masa depan UMNO bahagian dan juga parti.

Ramai yang berpendapat adalah mustahil, Hamzah boleh diterima bertanding dalam tempoh beliau diterima ahli pada tahun yang sama dengan begitu cepat, tidak sampai sebulan bertanding dalam pilihanraya pada 8 Mac, sedangkan masih ada mereka yang bertahun lamanya membuat permohonan, tetapi belum lagi mendapat kelulusan.

Perkara ini berlaku di Larut, bagaimana kalau di kemudian hari berjangkit di tempat lain, apakah layanan yang sama akan diberikan?

Agak aneh, kenapa bahagian Larut menjadi sasaran pertandingan merebut jawatan ketua bahagian sedangkan dalam pilihanraya umum lalu, kepimpinan bahagian telah berjaya mempertahankan kemenangan keempat-empat kerusi yang di pertandingkan iaitu parlimen dan tiga DUN, selain Kubu Gajah adalah Selama dan Batu Kurau.

Di bahagian berhampiran, Parit Buntar ketiga-tiga kerusi yang dipertandingkan, kesemuanya tewas, tetapi ketua bahagian, Datuk Abdul Rahman Suliman, tidak pula ditentang, sebaliknya pemimpin-pemimpin di situ berpakat demi perpaduan.

Perlu diingat dalam keghairahan berlakunya perebutan jawatan ini jangan dilupa tanggung jawab sebenar ahli-ahli parti bagi mempastikan matlamat utama untuk merampas semula negeri-negeri yang BN kalah.

Di Perak setakat ini, dua ADU telahpun tewas dalam perebutan jawatan ketua bahagian. Mereka ialah, bekas ketua bahagian Beruas, Datuk Hamdi Abu Bakar yang gagal mempertahankan jawatannnya dan Datuk Nasaruddin Hashim merebut ketua bahagian di Parit.

Satu pertanyaan timbul, apakah BN dan UMNO Perak mampu merampas semula negeri tersebut daripada tangan pembangkang dalam masa terdekat ini atau dalam pilihanraya umum akan datang? Tepuk dada tanya selera.

Penjelasan ini telahpun saya sampaikan semasa berucap merasmikan persidangan pemuda, wanita dan puteri bahagian Larut pada hari Sabtu bagi menggelakkan sebarang tanggapan buruk terhadap kepimpinan bahagian.


(Rencana ini ditulis oleh Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin dalam kolumnya, Salam Kubu Gajah yang tersiar dalam akhbar WATAN, Ahad 16-22 November 2008)

MUHYIDDIN TAK PERLU TAGIH JANJI


Muhyiddin Yassin tidak perlu menagih janji dari Najib Razak dalam pertandingan timbalan presiden UMNO pada Mac depan. Ini adalah kerana Najib tidak pernah berjanji apa-apa dengan Muhyiddin.

Lagipun kenapa Muhyiddin harus takut kepada pertandingan tiga penjuru? Biar perwakilan memutuskan siapa yang layak jadi timbalan presiden. Pada tahun 1981, bakal presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad kononnya berkecuali dalam pertandingan timbalan presiden UMNO di antara Menteri Kewangan, Ku Li dengan Menteri Pelajaran, Musa Hitam.

Tetapi apabila pegawai khas Dr. Mahathir, Aziz Shamsuddin berkempen untuk Musa, ini menunjukkan Dr. Mahathir mahu Musa dan bukannya Ku Li, maka menanglah Musa dalam pertandingan tersebut.

Dalam pertandingan tiga penjuru ini, Najib tak perlu bersuara siapa yang dia mahu jadi timbalannya. Namun demikian, apabila setiausaha politik Najib, Shafie Abdullah yang menang tanpa bertanding sebagai ketua bahagian Wangsa Maju mencalonkan Muhyiddin untuk jawatan timbalan presiden, ini boleh ditafsirkan bahawa Najib menyokong Muhyiddin. Muhyiddin masih tak faham ke?

DR. KHIR REDAKAN KETEGANGAN PAK LAH-MAHATHIR


Saya berpeluang bertemu dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo pada petang Rabu lalu untuk menemubual calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu. Sebelum ini saya sudah bertemu dengan ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukriz Mahathir dan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Bagi saya, di antara mereka bertiga, Khairy paling petah berhujah tetapi kemampuan anak Jawa ini untuk menjadi Ketua Pemuda tidak boleh dipandang enteng. Beliau mahu mengembalikan kegemilangan pemuda di zaman Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar.

Dapatkah Dr. Khir diterima oleh para perwakilan? Sebagai bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir telah berjaya membangunkan Selangor seperti Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Abu Hassan Omar. Kemiskinan tegar berjaya dikurangkannya. Begitu juga bilangan setinggan di Selangor berjaya dikurangkannya.

Beliau sepatutnya tanding naib presiden UMNO kerana pada tahun 2004 beliau menang ahli majlis tertinggi UMNO nombor 1. Biasanya ahli majlis tertinggi nombor 1, mudah menang kerusi naib presiden seperti mana Ali Rustam dan Tengku Ahmad Riathaudeen. Tetapi oleh kerana beliau tidak ada jawatan dalam kerajaan, beliau rasa jawatan ketua pemuda lebih sesuai untuk beliau.

Beliau adalah calon alternatif di antara menantu Perdana Menteri, Pak Lah dan anak bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad. Sebagai anak orang kampung, Dr. Khir lebih tidak ada protokol berbanding Khairy dan Mukhriz. Beliau pernah hidup susah. Jadi apabila pemuda mahu memperjuangkan masalah kemiskinan, Dr. Khir lebih memahami masalah orang miskin berbanding dengan Khairy dan Mukhriz. Oleh itu kemungkinan Dr. Khir menang pada Mac depan tidak boleh dinafikan. Sampai bila ahli-ahli UMNO mahu lihat pergeseran Pak Lah-Mahathir berterusan? Jadi Dr. Khir menawarkan diri untuk menghentikan pergeseran ini.

Dr. Khir suka di kalangan exco pemuda yang tidak yes men. Dia suka dia diargue dalam mesyuarat. Oleh itu jika Dr. Khir terpilih sebagai ketua pemuda, beliau mahu pemuda lebih kritikal dan beliau dari dulu bersikap kritikal dalam apa jua isu.

Dr. Khir pernah diserang dengan isu Bukit Cherakah tapi beliau menang dalam isu itu walaupun pada mulanya ia menimbulkan kemarahan Perdana Menteri. Tetapi anak Jawa ini tidak jatuh walaupun setiap hari Utusan Malaysia menyerangnya seolah-olah ada agenda untuk menjatuhkannya. Itulah kelebihan Dr. Toyo.

Saya kira jika Dr. Khir diberi peluang memimpin pemuda, beliau akan menjadi ketua pemuda yang berani dan lantang seperti Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar. Terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat keputusan.

SHAHANIZA TIDAK AKAN TARIK DIRI


Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Shahaniza Shamsuddin tidak akan tarik diri dari bertanding merebut jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia pada Mac depan.

Katanya, beliau tetap bertanding walaupun bakal Presiden UMNO adalah orang Pahang.

“Ada yang mengatakan bahawa oleh kerana Presiden UMNO orang Pahang, jadi Ketua Puteri berilah kepada orang lain, bukan orang Pahang,” kata beliau dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur minggu lalu. Beliau adalah ADUN Kuala Sentul di Maran, Pahang.

Shahaniza adalah cucu peneroka FELDA Jengka 3, Pahang . Seorang peguam lulusan dari Universiti Kebangsaan Malaysia rasa berbangga kerana dapat berbakti sebagai wakil rakyat di kampung kelahirannya. Beliau adalah ADUN wanita kedua di Pahang selain daripada Senator Maznah Mazlan yang masih seorang ADUN walaupun sudah dilantik timbalan menteri.

Beliau berkata walaupun sibuk sebagai ADUN, beliau tidak ada masalah untuk menerajui Pergerakan Pututeri UMNO Malaysia kerana beliau tahu membahagikan masa sama ada di Pahang atau di Kuala Lumpur.

Beliau lebih suka supaya Nolee Ashilin menjadi regunya dalam pertandingan naib ketua puteri kerana katanya lebih mudah bekerja dengan orang yang serasi dengannya.

Shahaniza berharap para perwakilan puteri dapat mengundi dengan matang. Jangan undi kerana sentimen kenegerian. Ada yang menggunakan isu kononnya beri peluang kepada orang Sabah untuk menerajui puteri (Rosnah Shirlin), Shahaniza berkata soal beri peluang kepada orang Sabah tidak timbul kerana yang penting perwakilan diberi peluang untuk memilih pemimpin yang berwibawa.

“Pemimpin hendaklah diterima secara menyeluruh. Saya pun dapat pencalonan dari Sabah. Jadi sebagai pemimpin nasional, kita jangan terpengaruh dengan sentimen kenegerian,” katanya sambil mengakui bahawa tanggungjawab yang akan digalasnya amat besar untuk menarik golongan puteri menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.

MB PERAK TAK PROFESIONAL


Nampak sangat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin tidak professional apabila beliau bertindak di luar dugaan apabila memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya yang diambil ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam semalam.


Kejadian berlaku semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dewan makan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini apabila jurugambar, Mohd. Najib Mohd. Nor, 28, merakamkan gambar Mohammad Nizar menerima surat tuntutan maaf daripada peguam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.


Surat itu disampaikan oleh wakil firma guaman Shafee & Co. menuntut Menteri Besar menarik balik tuduhannya bahawa Mohd. Tajol Rosli terlibat dalam konspirasi politik membabitkan penangkapan dua Exco kerajaan negeri ini oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, jurugambar Utusan Malaysia telah diherdik dan diminta keluar dengan berkata ''Go.. go..".


Selepas meminta Mohd. Najib keluar, Mohammad Nizar kemudian dengan memanggil semula Mohd. Najib.


''Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera tu," katanya.


Mohd. Najib bagaimanapun enggan menyerahkan kad tersebut tetapi bersedia memadamkan gambar yang diambilnya itu di depan Mohammad Nizar.


Bagaimanapun, Menteri Besar itu meminta kamera untuk memastikan gambar- gambar tersebut telah dipadamkan.


Selepas membuat pemeriksaan, beliau menyerahkan kamera itu kepada Setiausaha Akhbarnya, Anuar Hashim bagi membuat pemeriksaan lanjut.


Tidak lama selepas itu, barulah kamera berkenaan diserahkan semula kepada Mohd. Najib.
Mohammad Nizar kemudian bertanya lagi kepada jurugambar itu ''Siapa beri keizinan ambil gambar ini? Awak dari mana?"


Wakil syarikat guaman Shafee & Co. itu kemudiannya diminta menyerahkan surat tuntutan tersebut di pejabat Menteri Besar.


Penyerahan surat tuntutan yang sama juga dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air, Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Ngeh Koo Ham di pejabatnya.

Rabu, November 12, 2008

MUSA ADALAH OBAMA MALAYSIA



Obama berdarah campuran. Dia bukan berdarah negro tulen. Oleh itu tidak hairanlah dia dapat sokongan dari orang kulit putih untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat kerana emaknya orang kulit putih. Oleh itu saudara mara emaknya yang berkulit putih sudah tentu mahu melihat Obama berada di puncak kuasa.


Oleh itu bila Ong Tee Keat menunggu rakyat Malaysia matang macam rakyat Amerika Syarikat yang boleh menerima Obama sebagai Presiden, saya rasa ia adalah satu tanggapan yang salah. Di Malaysia sudah ramai bukan Melayu tulen yang jadi Perdana Menteri.


Tunku Abdul Rahman yang jadi perdana menteri dari tahun 1957-1990 adalah darah campuran Melayu dan Siam. Orang Siam boleh claim bahawa keturunannya sudah jadi PM Malaysia. Dr. Mahathir Mohamad juga bukan Melayu tulen. Dia ada darah campuran India. Orang India boleh claim orang India sudah jadi PM Malaysia.Pak Lah juga darah campuran Arab. Orang Arab boleh dakwa bahawa orang Arab jadi PM Malaysia.


Malah jika Ong Tee Keat mahu lihat orang Cina pernah jadi orang penting di negara ini,orang Cina pernah dapatnya dulu. Musa Hitam berdarah Cina. Ayah Melayu, emak Cina. Musa adalah Obama jika itu yang dimaksudkan dengan Obama Ong Tee Keat. Tapi dia tak sabar. Jika tidak hari ini dia jadi PM Malaysia jika dia sabar menunggu giliran selama 23 tahun di bawah Dr. Mahathir Mohamad.Oleh itu isu Obama ini tidak perlu digembar-gemburkan oleh Ong Tee Keat.

SHAHRIZAT KENA LAWAN RAFIDAH



Shahrizat perlu ambil tindakan tegas menentang Rafidah pada Mac depan walaupun exco wanita bersetuju dengan pelan peralihan kuasa di antara Shahrizat dengan Rafidah pada Jun tahun depan.


Jika dia tidak tentang Rafidah, Kamalia Ibrahim akan menentangnya untuk jawatan naib ketua wanita. Para penyokong Shahrizat yang sudah mencalonkan beliau untuk tanding ketua wanita sudah tentu kecewa dengan sikap bacul Shahrizat dan akan mengundi Kamalia.


Oleh itu Shahrizat perlu lawan Rafidah. Beliau jangan bimbang kerana beliau akan dapat sokongan jitu untuk mengalahkan Rafidah. Pendedahan Aishah Ghani bahawa mungkin Rafidah berhasrat jadi menteri selepas Najib Razak jadi Perdana Menteri, tak payahlah. Cukuplah jadi menteri. Sebaliknya jika Shahrizat menang ketua wanita, beliau mungkin dilantik senator dan menteri.


Biarlah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dikembalikan kepada UMNO supaya peruntukan kementerian dapat disalurkan kepada wanita UMNO. Sejak kerusi itu diberi kepada MCA, wanita UMNO sukar mendapat peruntukan kementerian. Oleh itu bila Najib jadi Perdana Menteri nanti pada April 2009, kembalikan semula kementerian itu kepada UMNO.

KHALED ISYTIHAR PERANG



Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin merupakan calon Naib Presiden UMNO yang pertama mengisytiharkan perang terhadap politik wang. Katanya, dia tidak akan keluarkan wang kepada para perwakilan yang memintanya.


Sehingga ini, tujuh calon lain masih membisu iaitu Hishamuddin, Dr. Zahid, Dr. Rais, Isa, Syed Hamid dan Shafie. Mereka perlu isytihar perang lagi terhadap politik wang.


Seorang perwakilan dari Sabah call saya petang tadi beritahu dia tak kan undi Khaled. Katanya, Khaled mungkin dapat nombor lapan dari kalangan lapan orang calon naib presiden.


G7 dari Sabah itu beritahu saya, dia sudah habis RM60 ribu untuk tanding ahli jawatan kuasa bahagian dan G7. Jadi apa salahnya dia mahu modalnya semula daripada calon-calon naib presiden. Kalau dari setiap calon naib presiden, dapat RM5 ribu, maknanya dia dah dapat RM40 ribu.


Kita lihat sejauh mana perang Khalid ini membuatkan dia kalah atau menang pada bulan Mac nanti. Ini yang menarik perhatian kita.

Isnin, November 10, 2008

SHABERY WAJAR BERTANDING


Dari senarai 25 orang calon ahli majlis tertinggi UMNO yang top, daripada 73 calon, nampaknya ada tujuh orang yang bukan ada jawatan kerajaan tapi mampu masuk dalam top 25. Mereka memang hebat.


Mereka ialah Zainal Abidin Osman, Azian Osman, Tajudin Rahman, Mahazir Khalid, Dr. Puad Zakarshi, Norza Zakaria dan Shahidan Kassim.


Dapatkah mereka kekalkan top 25 dalam pengundian pada Mac ini? Jika trend ini berterusan, para perwakilan amat matang memilih ahli majlis tertinggi tanpa memandang sama ada mereka ada jawatan dalam kerajaan atau tidak.


Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek dapat nombor 19 dari segi pencalonan. Beliau telah umumkan tidak mahu bertanding. Tetapi saya kira beliau patut kaji semula keputusannya itu.


Wajarlah beliau bertanding kerana jika dia menang, Najib akan kekalkan kedudukannya dalam kabinet. Dulu dia ingat Pak Lah tetap bertanding. Jika Pak Lah bertanding, memang dia tak mahu bertanding kerana Pak Lah akan lantiknya dalam majlis tertinggi.


Dari top 25, Shabery sorang yang selamat dari Terengganu. Terengganu kini ada lima orang ahli majlis tertinggi, Idris Jusoh (no. 33),Rahman Bakar (no. 26), Tengku Putera
(no. 71), Dr. Abdullah Mat Zin (no.68) dan Nordiana tetapi beliau tidak mahu bertanding.


Oleh itu jika Shabery tidak tanding, saya bimbang semua empat penyandang dari Terengganu kalah belaka. Oleh itu Shabery perlu tanding mewakili Terengganu kerana Menteri Besar, Ahmad Said yang juga ada di tangga 33 tidak mahu bertanding. Biarlah Shabery mewakili Terengganu kerana beliau ada harapan untuk menang berbanding empat penyandang jawatan.