Memaparkan catatan dengan label menantu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label menantu. Papar semua catatan

Isnin, Disember 27, 2010

BAKAL MENANTU KEDUA





Syukurlah pada petang 25 Disember lalu, selesai majlis pertunangan anak perempuan saya yang kedua, Siti Zuraifah,26 tahun. Angah adalah seorang pensyarah di TATIUC, Kijal, Kemaman, Terengganu yang baru tamat menyudahkan Masternya di UPM, Serdang.

Angah bertunang dengan orang Kulim Bharu, Kedah bernama Syam. Syam bekerja di Agensi Maritime Malaysia dan knbi sedang belajar memandu helikopter di Ipoh. Kursusnya dijangka tamat pada bulan Mei 2011. Selepas habis kursus baru Syam dibenarkan bernikah.

Dalam usia 51 tahun, saya rasa semakin tua kerana sudah menerima seorang menantu, Faizal orang Batu Gajah, Perak suami kepada Siti Zuhairatun, 28 tahun. Mereka sudah mendapat anak sulung, Insyirah Balqish, 6 bulan yang merupakan cucu sulung saya yang pertama.

Majlis pertunangan diadakan di rumah Along di Bukit Mahkota, Bangi kerana memudahkan rombongan dari Kedah datang. Kalau mereka hendak pergi Kemaman agak jauh. Kenduri pada bulan Jun nanti diadakan di rumah kami di Kemaman. Oleh itu biarlah majlis pertunangan diadakan di Kuala Lumpur manakala kenduri perkahwinan nanti dibut di Kemaman, Terengganu.

Selasa, Disember 30, 2008

SAMBUT MENANTU DI BATU GAJAH



Maaf sudah tiga hari saya tak update blog ini kerana kebetulan Ahad lalu (28 Disember) saya berada di Batu Gajah, Perak menghantar anak saya, Siti Zuhairatun ke rumah pengantin lelaki, Hairul Faizal Haji Ahmad di Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah.
Meriah juga majlis kenduri yang diadakan oleh besan saya, Haji Ahmad, seorang bekas polis. Dia pesan kepada saya suruh pengantin datang awal ke rumahnya jam 12.30 tengah hari kerana di sebelah Perak biasanya sebelah petang orang sudah kurang datang kenduri. Kami sampai jam 1.30 tengah hari kerana mak andam datang lambat menyolek pengantin lelaki dan perempuan.
Ketika kami sampai orang masih ramai. Bila kami pulang pada jam 3.30 petang, orang sudah kurang. Di Terengganu lain, sampai jam 6 petang masih ramai yang datang kenduri tetapi cara orang Perak lebih suka datang awal kenduri. Seperti biasa majlis diserikan dengan karaoke. Kami rombongan lelaki tidak lepaskan peluang berkaraoke dengan adik ipar, Fauzi, biras saya, Kak Ma dan anak saudara, Nana turut menyanyi. Saya turut menyumbangkan tiga buah lagu Biar Bulan Bicara, Lamunan Terhenti dan Usang.
Pendek kata majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki amat meriah walau pun kami datang dengan empat buah kereta sahaja. Mak saudara saya, Hajah Zawiah dan suami, Syed Sarifuzen yang tidak dapat pergi ke Kemaman dua minggu lepas turut datang dari Kuala Ketil, Kedah.
Adat orang Terengganu bila sambut menantu tetamu wanita akan bersalam dengan menantu perempuan dan bila bersalam akan hulur wang kepada menantu perempuan dan wang itu jadi milik pengantin perempuan. Tetapi saya tak tahu adat sambut menantu perempuan di Perak macam mana. Ketika adik perempuan saya nikah dengan orang Kelantan bila pergi ke rumah mertuanya di Kota Bharu, Kelantan terkejut bila menerima wang yang banyak dalam majlis sambut menantu. Adat orang Kelantan sama dengan orang Terengganu.
Maka selesailah majlis perkahwinan anak saya bermula dengan akad nikah di Kuala Lumpur pada 15 November, kenduri di Kemaman pada 13 Disember dan sambut menantu di Batu Gajah pada 28 Disember. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir terutamanya kepada ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali; ahli parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim; calon EXCO pemuda UMNO, Datuk Hazali Tan Sri Abu Hassan; bekas Ketua UMNO Bahagian tenom, Datuk Rizalman Abdullah dan penulis buku politik terkenal, Syed Husein Al Atass. Terima kasih daun keladi.


Khamis, November 20, 2008

MENERIMA MENANTU


Saat yang paling bahagia selepas bergelar suami ialah apabila isteri melahirkan anak sulung. Saat paling bahagia selepas menjadi ayah apabila menerima menantu sulung. Saya tidak terkecuali rasa amat seronok menerima menantu pada hari Sabtu, 15 November lalu.

Majlis akad nikah anak sulung saya, Siti Zuhairatun, 26, diadakan di masjid Taman Melati, Kuala Lumpur. Oleh kerana pengantin lelaki meminta majlis akad nikah diadakan di Kuala Lumpur, maka ia diadakan di masjid yang berdekatan dengan rumah anak saya.

Kenduri sebenar akan diadakan pada hari Sabtu, 13 Disember di rumah kami di Taman Mohd. Noor, Chukai, Kemaman. Oleh itu kepada semua rakan-rakan yang terbaca kolum ini saya jemput datang ke Kemaman pada bulan hadapan. Saya jemput semua rakan-rakan yang pernah belajar dengan saya di Sekolah Kebangsaan Pusat Dungun (1966-1967), Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Kuala Terengganu(1968-1971), Maktab Rendah Sains MARA, Seremban(1972-1976), Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (1977-1978), Maktab Adabi Terengganu (1979) dan Universiti Malaya (1980-1983).

Juga saya jemput rakan-rakan yang pernah bekerja dengan saya di FELCRA(1983-1986), Kumpulan Karangkraf (1987-1992), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (1997-2001), Perbadanan Nasional Berhad (2001-2002),Terengganu Bestari (2006), Warta Parlimen Kepala Batas (2007-2008) dan akhbar WATAN (kini) datang ke Kemaman pada hari tersebut.

Dalam zaman siber ini, nak hantar kad satu persatu memang tidak ada masa . Cara menjemput kenduri pun sudah berubah sama ada melalui e mail atau sms. Oleh itu kepada rakan-rakan lama yang pernah belajar dan bekerja setempat dan sewaktu dengan saya bolehlah hubungi saya untuk pengesahan kehadiran pada 13 Disember ini. Hubungi handphone saya atau sms saya kepada nombor 0139419072.

Sewaktu mengadakan majlis akad nikah dan minum petang di rumah adik saya di Taman Melawati pada 15 November lalu, saya jemput ramai juga rakan-rakan tetapi ramai yang tak dapat datang termasuk rakan-rakan sepejabat yang ada deadline.

Saya sendiri pun terpaksa datang ke pejabat sebelah pagi dan jam 5 petang selepas selesai majlis, kena datang semula ke pejabat. Begitulah sibuknya bekerja dengan suratkhabar. Anak nikah pun tak ada masa nak ambil cuti.

Saudara mara yang berada di Kuala Lumpur ramai yang datang termasuk dua pupu saya, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ahmad Haji Ismail. Apabila ada kenduri nikah begini, baru dapat bertemu dengan saudara mara. Dua pupu saya, Norehan yang bekerja di CIMB Pandan Jaya sudah 20 tahun tak jumpa. Saya baru terjumpa nombor handphonenya. Dia datang dengan anak-anaknya yang sudah besar dan dulu bukan main langsing tubuhnya kini tubuhnya masya Allah, sihat betul.

Ramai saudara mara kecil hati kerana tak jemput mereka ke majlis akad nikah itu. Sebenarnya jamuan sebenar akan diadakan di Kemaman bulan hadapan. Jadi semua saudara mara saya yang berada di semua negeri akan dijemput ke majlis tersebut.

Menantu saya, Hairul Faizal bekerja di Hospital UKM, Cheras. Kenduri sebelah pengantin lelaki akan diadakan di rumah bapanya di Batu Gajah, Perak pada hari Ahad, 28 Disember 2008.


Akhirnya anak saya memilih orang Perak sebagai suaminya. Saya dan isteri merestui pilihannya. Yang penting biar mereka berdua bahagia hingga ke anak cucu. Saya tak memilih sangat orang mana yang jadi menantu saya asalkan pilihan itu menyenangkan anak kami.