Khamis, November 20, 2008

MENERIMA MENANTU


Saat yang paling bahagia selepas bergelar suami ialah apabila isteri melahirkan anak sulung. Saat paling bahagia selepas menjadi ayah apabila menerima menantu sulung. Saya tidak terkecuali rasa amat seronok menerima menantu pada hari Sabtu, 15 November lalu.

Majlis akad nikah anak sulung saya, Siti Zuhairatun, 26, diadakan di masjid Taman Melati, Kuala Lumpur. Oleh kerana pengantin lelaki meminta majlis akad nikah diadakan di Kuala Lumpur, maka ia diadakan di masjid yang berdekatan dengan rumah anak saya.

Kenduri sebenar akan diadakan pada hari Sabtu, 13 Disember di rumah kami di Taman Mohd. Noor, Chukai, Kemaman. Oleh itu kepada semua rakan-rakan yang terbaca kolum ini saya jemput datang ke Kemaman pada bulan hadapan. Saya jemput semua rakan-rakan yang pernah belajar dengan saya di Sekolah Kebangsaan Pusat Dungun (1966-1967), Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Kuala Terengganu(1968-1971), Maktab Rendah Sains MARA, Seremban(1972-1976), Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (1977-1978), Maktab Adabi Terengganu (1979) dan Universiti Malaya (1980-1983).

Juga saya jemput rakan-rakan yang pernah bekerja dengan saya di FELCRA(1983-1986), Kumpulan Karangkraf (1987-1992), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (1997-2001), Perbadanan Nasional Berhad (2001-2002),Terengganu Bestari (2006), Warta Parlimen Kepala Batas (2007-2008) dan akhbar WATAN (kini) datang ke Kemaman pada hari tersebut.

Dalam zaman siber ini, nak hantar kad satu persatu memang tidak ada masa . Cara menjemput kenduri pun sudah berubah sama ada melalui e mail atau sms. Oleh itu kepada rakan-rakan lama yang pernah belajar dan bekerja setempat dan sewaktu dengan saya bolehlah hubungi saya untuk pengesahan kehadiran pada 13 Disember ini. Hubungi handphone saya atau sms saya kepada nombor 0139419072.

Sewaktu mengadakan majlis akad nikah dan minum petang di rumah adik saya di Taman Melawati pada 15 November lalu, saya jemput ramai juga rakan-rakan tetapi ramai yang tak dapat datang termasuk rakan-rakan sepejabat yang ada deadline.

Saya sendiri pun terpaksa datang ke pejabat sebelah pagi dan jam 5 petang selepas selesai majlis, kena datang semula ke pejabat. Begitulah sibuknya bekerja dengan suratkhabar. Anak nikah pun tak ada masa nak ambil cuti.

Saudara mara yang berada di Kuala Lumpur ramai yang datang termasuk dua pupu saya, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ahmad Haji Ismail. Apabila ada kenduri nikah begini, baru dapat bertemu dengan saudara mara. Dua pupu saya, Norehan yang bekerja di CIMB Pandan Jaya sudah 20 tahun tak jumpa. Saya baru terjumpa nombor handphonenya. Dia datang dengan anak-anaknya yang sudah besar dan dulu bukan main langsing tubuhnya kini tubuhnya masya Allah, sihat betul.

Ramai saudara mara kecil hati kerana tak jemput mereka ke majlis akad nikah itu. Sebenarnya jamuan sebenar akan diadakan di Kemaman bulan hadapan. Jadi semua saudara mara saya yang berada di semua negeri akan dijemput ke majlis tersebut.

Menantu saya, Hairul Faizal bekerja di Hospital UKM, Cheras. Kenduri sebelah pengantin lelaki akan diadakan di rumah bapanya di Batu Gajah, Perak pada hari Ahad, 28 Disember 2008.


Akhirnya anak saya memilih orang Perak sebagai suaminya. Saya dan isteri merestui pilihannya. Yang penting biar mereka berdua bahagia hingga ke anak cucu. Saya tak memilih sangat orang mana yang jadi menantu saya asalkan pilihan itu menyenangkan anak kami.