Isnin, Ogos 24, 2009

PENDAKWA TAK TAHU TINDAKAN PEGUAM NEGARA


Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar hari ini terkejut dan tidak tahu menahu mengenai penangguhan hukuman sebat terhadap seorang peragawati, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah minum arak di tempat awam baru-baru ini.



Menurut beliau, pihaknya tidak menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak supaya hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi ditangguhkan.



Jika mahu ditangguh atau dibatalkan, tegas beliau, ia haruslah diputuskan oleh mahkamah, bukan boleh ditarik begitu sahaja.




Pelik juga macam mana ketua pendakwa tidak tahu penangguhan itu dibuat oleh Peguam Negara? Tentu aneh Peguam Negara boleh ambil keputusan untuk menangguhkan hukuman kerana kononnya ia menghormati bulan Ramadhan.

LETAKLAH JAWATAN EXCO


Apa pula permainan ADUN Lunas, Mohd. Razhi Salleh? Beliau keluar dari PKR tetapi tidak letak jawatan sebagai Exco. Tak payahlah menyusahkan Sultan. Exco itu dilantik di kalangan wakil rakyat PAS dan PKR. Awak bukan lagi wakil rakyat PKR, jadi buat apa kekal sebagai Exco?


Lebih baik letak jawatan semua termasuk ADUN Lunas supaya pilihanraya kecil baru dapat diadakan untuk menunjukkan sama ada rakyat Lunas masih dapat menerima awak. Kesian pada Menteri Besar, Azizan Razak yang sedang bersiap sedia dengan pilihanraya kecil kota Siputih.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd. Radzhi Salleh masih ahli Exco kerajaan negeri sehingga Sultan Kedah menentukan kedudukan jawatannya dalam tempoh terdekat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.


Azizan berkata, beliau telah menyampaikan surat memaklumkan kepada Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mengenai permintaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk melucutkan jawatan ADUN Lunas itu sebagai Exco kerajaan negeri.


“Tuanku telah berkenan menerima surat itu dan kena tunggu jawapan daripada Tuanku,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini selepas menghadap Sultan Kedah di pejabat baginda di bangunan Menara Zakat di sini hari ini.

KHALID AKAN DIMUFLISKAN?



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan membuat rayuan dengan tuntutan Bank Islam Malaysia untuk membayar hutangnya sebanyak RM66 juta. Sebagai tokoh korporat, beliau mungkin ada wang untuk membayar balik wang itu.


Jika beliau gagal membayarnya, Bank Islam mungkin mengambil tindakan memufliskan beliau. Bila beliau muflis beliau tidak dapat jadi ahli politik lagi. Beliau kena letak jawatan ADUN dan ahli parlimen Bandar Tun Razak dan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.


Seperti mana ramalan orang ramai Selangor akan memiliki Menteri Besar baru tidak lagi jadi kenyataan bila Khalid dimufliskan.Tetapi usaha ini akan makan masa juga. Oleh itu kita tunggu nasib Khalid selepas ini.

UMNO TAKUT DENGAN PILIHANRAYA KECIL?


Kenapa UMNO takut dengan pilihanraya kecil Kota Seputeh? Jelas ADUNNya, Dr. Abdul Isa Ismail tidak menghormati Speaker Dewan Undangan Negeri kerana tidak hadiri sidang dewan tanpa memberi sebarang alasan. Malah katanya beliau telah sms kepada ketua pembangkang, Mahazir Khalid memaklumkan ketidakhadirannya. Adakah Mahazir jadi spekaer Dewan Undangan negeri?

Ini susahnya bila ada juga wakil rakyat BN tidak tahu peraturan. BN nampaknya salah pilih calon sedangkan Dr. Isa sudah empat penggal jadi wakil rakyat.


Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail diminta menimbang semula keputusan beliau yang mahu wakil rakyat Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif mengosongkan kerusinya berdasarkan Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.


Anggota Parlimen yang juga Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd. Johari Baharom berkata, kerajaan Kedah pimpinan Pas seharusnya menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri itu daripada memenuhi kepentingan diri semata-mata.


"UMNO tidak menafikan kesalahan Abu Hassan tetapi perkara itu boleh diselesaikan tanpa melalui pilihan raya kecil," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jitra semalam.


Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kedua-dua pihak sepatutnya memberi tumpuan untuk menunaikan tuntutan rakyat dan usaha mengukuhkan ekonomi negeri.


Isu Abu Hassan menjadi kontroversi selepas Abdul Isa menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 17 Ogos lepas memaklumkan kerusi Kota Siputeh kosong kerana Abu Hassan dua kali berturut-turut tidak hadir persidangan DUN tanpa kebenaran Speaker pada 9 April dan 9 Ogos tahun ini.


Mengikut Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, mana-mana anggota DUN yang tidak hadir persidangan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker hendaklah mengosongkan kerusinya.


Abdul Isa sebelum ini bertegas dengan keputusannya dan menolak penjelasan Abu Hassan bahawa beliau sakit dan menolak permohonan maafnya.

Jumaat, Ogos 21, 2009

NASIB PENERBIT MAJALAH MELAYU


Malaysia sudah 52 tahun merdeka tetapi penerbit majalah kecil Melayu seperti BUSINESS KINI amat malang nasibnya. Bukan mudah untuk menerbitkan sebuah majalah yang mempunyai 66 muka surat. Apatah lagi majalah itu adalah majalah berwarna sepenuhnya.


Kos mencetaknya agak mahal. Jadi untuk menampung kos cetak sudah tentu iklan adalah sumber utamanya. Alangkah seksanya mencari iklan bagi majalah Melayu. Majalah ekonomi dan bisnes dalam bahasa Inggeris bukan main mudah dapat iklan. Sebut saja THE EDGE bukan main tebal dengan iklan berwarna.


Pengalaman saya sebulan lebih di BUSINESS KINI amat susah dapatkan iklan. Apatah lagi agensi kerajaan sendiri tidak ada semangat Melayu untuk menolong penerbit majalah kecil seperti kami. Bukannya kami minta iklan bernilai RM3 juta. Kami minta iklan bernilai RM3 ribu satu muka surat sahaja. Itu pun susah nak lulus. Pelbagai alasan yang diberi oleh pihak berkenaan.


Kebetulan saya pernah berurusan dengan beberapa agensi kerajaan di masa lalu untuk penerbitan lain dengan orang lain. Pegawai yang incharge di masa lalu sudah bertukar ke bahagian lain. Maka beliau sudah tidak ada kuasa untuk merekomen penerbit kecil seperti kami dapatkan iklan bernilai RM3 ribu. Pegawai baru memang tak kenal kami. Maka dijawabnya pengurusan tidak berminat membeli iklan.


Kalau pegawai baru ada semangat nak bantu penerbit majalah Melayu, apa salahnya mereka rekomen kami untuk dapatkan iklan bernilai RM3 ribu. Tetapi nak buat macam mana kerana mereka samakan BUSINESS KINI dengan THE EDGE yang begitu besar pasarannya. Ini susahnya bila minda pegawai samakan penerbit jerung dengan penerbit ikan bilis.


Kalau begini gayanya memang susah penerbit kecil macam kami untuk bertahan. Tetapi kejadian ini tidak mematahkan semangat kami. Kami akan terus mencari iklan di semua agensi kerajaan. Jika mereka ada semangat seperti Puan Suzana dan Encik Suhaimi Othman di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), mereka dapat menolong penerbit kecil seperti kami. Terima kasih MTIB yang sudi membeli iklan kami walaupun saya tak kenali mereka. Juga terima kasih kepada Prof Madya Jalaludin Harun, Ketua Pengarah MTIB yang ada semangat Melayu.


Semoga selepas sungutan ini agensi kerajaan dapat menanamkan semangat Melayu untuk menolong penerbit kecil Melayu seperti kami.


Khamis, Ogos 20, 2009

MELAYU TAK PERNAH LUPA


Dr. Mahathir kata Melayu mudah lupa rupanya tidak tepat. Apa yang berlaku 20 tahun dulu sewaktu Muhyiddin jadi Menteri Besar Johor orang melayu masih tidak lupa. Kini ia jadi kempen pilihanraya kecil Permatang Pasir.


Inilah bahananya bila masuk politik. Benda yang lama pun orang boleh korek balik. Kita dengar apa kata Muhyiddin?


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan tohmahan pembangkang kononnya beliau pernah menjual sebidang tanah kepada Singapura semasa menjadi Menteri Besar Johor.


Katanya fitnah itu sengaja dilemparkan kepadanya bagi menaikkan kebencian rakyat kepada beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


"Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi Menteri Besar Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata," kata beliau pada ceramah Perdana di Tanjong Putus sempena pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini malam Rabu.


Timbalan Perdana Menteri berkata pembangkang membuat fitnah itu kerana tidak tahu sejarah sebenar wujudnya sebuah pusat penyelenggaraan air di kawasan Sungai Lingu iaitu di Bandar Tenggara Johor.


"Saya terpaksa menjawab kerana pembangkang telah membuat fitnah... apa yang berlaku sebenarnya ialah semasa saya menjadi Menteri Besar, satu hari saya menerima panggilan daripada Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya.


Muhyiddin berkata Perdana Menteri ketika itu (Dr Mahathir) telah memanggilnya secara mengejut ekoran kunjungan Lee Kuan Yew (Perdana Menteri Singapura ketika itu) ke Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai dua perkara iaitu saluran gas dan bekalan air.


Katanya dalam pertemuan antara Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ketika itu), Lee dan beliau di Kuala Lumpur itu, Perdana Menteri Singapura telah mendesak mahukan bekalan air yang cukup dari Johor.


"Lee Kuan Yew sehingga berkata Singapura sanggup berperang jika Malaysia tidak mahu menyalurkan bekalan air yang cukup dan kesal dengan projek saluran air dari Sungai Lingu itu telah lama tergendala.


"Saya menyatakan bahawa kita tidak mempunyai wang dan Lee Kuan Yew berkata Singapura sanggup menganggung semua kos dan setelah siap kelak, bangunan dan harta yang dibina itu adalah milik Malaysia sehingga hari ini, jadi Singapura cuma mengeluarkan wang," kata beliau.


Muhyiddin berkata isu kononnya beliau menjual tanah kepada Singapura sebenarnya adalah satu dakwaan yang bodoh dan dilemparkan oleh orang yang tidak tahu sejarah.Sehubungan itu, beliau menggesa agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan pembangkang semasa kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu.

Rabu, Ogos 19, 2009

PAS TAK ADA MODAL


PAS nampaknya tidak ada modal lain dengan mencabar pemimpin UMNO berdebat dengan pemimpinnya.


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berdebat mengenai isu pembatalan lesen guaman sivil calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya keci Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman.


Salahuddin memberi tempoh 24 jam kepada naib presiden Umno itu untuk memberikan jawapan sama ada beliau bersedia menyahut cabaran itu.


"Malam ini saya cabar untuk berdebat satu lawan satu dengan Zahid. Saya nak dedahkan tentang calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu," katanya pada ceramah di Permatang Tok Kandu di sini, malam tadi.


Beliau mendakwa Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, tidak teliti dalam pemilihan calon BN yang bertanding pada pilihan raya itu.Lesen guaman Rohaizat dibatal berikutan masalah yang ditimbulkan oleh bekas rakan kongsi firma guamannya.


Mengenai kenyataan Ahmad Zahid bahawa PAS tidak perlu mempertikai pemilihan calon BN, Salahuddin berkata: "Ini menjadi masalah kepada penduduk di Permatang Pasir kerana jika calon ini menang ia akan mewakili mereka," katanya.


Pada pilihan raya kecil itu, Rohaizat, 38, yang merupakan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, berdepan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Salleh Man, 52.Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada PAS pada 31 Julai lepas kerana sakit jantung.

AHLI UMNO TERENGGANU KEMBALI BERSATU


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein gembira kerana kepimpinan UMNO serta ahlinya di negeri ini kembali bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima dan pemerhatiannya, kesemua pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini ' bertaut kembali'.

Menurut beliau, selepas mengetuai UMNO di Terengganu banyak usaha dan program jangka panjang dan pendek dilakukan yang menampakkan hasil positif dan menyakinkan.

''Maklum balas yang diterima kini begitu baik sekali dan usaha-usaha sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

''Bagaimanapun, saya sekali lagi merayu kepada semua pemimpin dan ahli agar tampil ke depan secara bersama dan sudah tiba masanya kita ke depan dalam 'mengganyang' setiap cubaan jahat parti lawan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di pejabat UMNO Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Semua pemimpin UMNO negeri termasuk Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Said, Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh hadir dalam mesyuarat selama dua jam itu.

Hishammuddin menambah, untuk mengerakkan UMNO di Terengganu, pendekatan dilakukan dengan cara muhasabah bagi memastikan transisi kepimpinan berjalan lancar.

Katanya, isu kepimpinan dilihat perkara penting dalam Perhubungan UMNO negeri bagi melahirkan pemimpin pelapis yang benar-benar berwibawa membawa UMNO dengan semangat dan kesedaran.

''Lupakan peristiwa lalu, muhasabah diri, melihat kelemahan dan tidak lagi menuding jari kepada sesiapa sebaliknya melihat dalam diri sendiri dengan penuh keinsafan.

''Masanya telah tiba untuk sesama kita kembali bersatu hati dengan penuh jiwa raga sambil mengukuhkan barisan dan hala tuju baru,'' katanya.

Katanya, beliau yakin UMNO Terengganu masih cukup terpelihara dan boleh diperkukuhkan sekali gus menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, UMNO Terengganu berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menghadapi isu saman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menambah, UMNO Terengganu tetap berada di barisan hadapan dalam menghadapi isu itu kerana ia menyentuh pucuk pimpinan tertinggi parti.

''Kami seratus peratus di belakang Timbalan Presiden parti tanpa berbelah bagi.
''Begitu juga dalam pelbagai isu semasa lain, UMNO Terengganu akan menentang habis-habisan usaha pelbagai pihak termasuk tindakan menodai kesucian perlembagaan negara," katanya.

Selasa, Ogos 18, 2009

ORANG PAS PUN TAK MASUK SYURGA


Heboh satu negara bila Nik Aziz kata orang UMNO tak masuk syurga. Hari ini beliau nafikannya kerana dia kata dia tak kata kepada ahli UMNO cuma kata kepada orang Islam yang asingkan agama dari pegangan hidupnya. Jadi siapa yang putarbelit kenyataan Nik Aziz? Adakah wartawan yang putarbelit atau Nik Aziz sendiri buat penafian setelah diberi fatwa oleh Mufti Perak bahawa syurga bukan ditentukan oleh manusia.


Susah apa dengan kenyataan Nik Aziz. Orang UMNO boleh jawab juga orang PAS pun tak masuk syurga kalau dia hidup bukan cara Islam. Islam suruh bertegur sapa di antara umat Islam tetapi ada orang PAS tak tegur orang UMNO lebih dari tiga hari. Layakkah orang PAS macam ini masuk syurga? Orang PAS pulau kenduri orang UMNO. Layakkah orang PAS macam ini masuk syurga?


Baru-baru ini Nik Aziz sudah beri lesen kepada orang DAP hina Islam kerana katanya orang DAP itu tak faham Islam. Sepatutnya Nik Aziz pertahankan Islam dari dihina oleh orang DAP. Biarlah rakyat menilai sendiri kenyataan Nik Aziz itu. Biarlah semua pemimpin DAP yang anti Islam pi permatang pasir hina Islam, nak tengok boleh menang tak PAS di Permatang Pasir pada 25 Ogos ini. Di bawah ini diperturunkan semula berita Nik Aziz yang kata orang UMNO tak masuk syurga walaupun telah dinafikannya hari ini untuk makluman kita semua.


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.


Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.


"Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam di sini semalam selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.
Pengundian ialah pada 25 Ogos ini.

PADAN MUKA UNDI PAKATAN RAKYAT


''Kami tidak akan undi pakatan pembangkang lagi.'' Itu adalah luahan perasaan marah penduduk Islam di Seksyen 23 di Shah Alam semalam setelah kecewa dengan keputusan kerajaan negeri membina kuil berhampiran kawasan kediaman mereka.


Menurut penduduk, keputusan itu tidak wajar kerana majoriti penduduk kawasan itu beragama Islam manakala penganut Hindu hanya berjumlah 40 orang.


Tegas mereka, sekiranya kerajaan negeri berkeras untuk membina kuil di tanah seluas 0.2 hektar itu, ia jelas menunjukkan pimpinan pakatan pembangkang tidak peka dan tidak menghormati sensitiviti umat Islam di kawasan itu.


Berikutan itu, penduduk menyerahkan memorandum membantah pembinaan kuil itu ke pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang terletak berhampiran tapak kuil itu.


Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi Badan Bertindak Persatuan Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahyuddin Manaf kepada Pegawai Khas kepada Rodziah, Naim Yusri.


Ketika ditemui selepas itu, Ahmad Mahyuddin berkata, keputusan kerajaan negeri itu jelas bertentangan dengan janji pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu yang kononnya akan menghormati sensitiviti semua kaum dan agama dalam dasar pentadbiran mereka.


Jelasnya, penduduk kesal dengan keputusan itu kerana pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah memutuskan tiada sebarang pembinaan dilakukan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu.


Malah, cadangan pembinaan kuil itu telah dipindahkan ke Seksyen 22 yang mempunyai ramai penganut Hindu selaras dengan keputusan kerajaan negeri ketika itu.


''Kita bertegas tidak mahu kuil Hindu dibina di kawasan ini kerana tidak kena pada tempatnya. Malah ketika keputusan pembinaan kuil ini dibuat, kerajaan negeri tidak mengadakan perbincangan dengan penduduk terlebih dahulu,'' ujarnya.


Ahmad Mahyuddin turut menyalahkan Rodziah serta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kerana bersikap seolah-olah 'tutup mata' dan membiarkan sahaja keputusan kerajaan negeri itu sedangkan mereka boleh memberi pandangan dalam isu itu.


Malah jelasnya, kedua-dua pemimpin itu gagal memberikan sebarang jawapan atau tindakan walaupun surat bantahan telah dikemukakan kepada mereka pada 26 Mei lalu.


Sebaliknya, Exco kerajaan negeri, Xavier Jayakumar telah mengumumkan pembinaan kuil di kawasan itu yang disiarkan oleh akhbar pada 11 Ogos lalu.


Seorang lagi wakil penduduk, Ramzi Abdul Rahman, 40, pula memberitahu, bantahan penduduk dibuat berasaskan kepada masalah dan kehendak majoriti penduduk di kawasan itu, bukannya didorong oleh mana-mana parti politik termasuk BN.


Beliau meminta kerajaan negeri tidak terus menuduh tindakan penduduk itu bermotifkan politik dan dipengaruhi mana-mana parti.


''Bantahan ini datang dari hati penduduk. Kita tidak mahu kerajaan negeri berikan alasan politik dalam hal ini tetapi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.


''Kita tidak ada niat untuk bersifat perkauman atau menghalang kaum lain mengamalkan agama mereka, tetapi kita mahu mereka turut menghormati umat Islam di kawasan ini,'' ujarnya.

Isnin, Ogos 17, 2009

UMNO TERENGGANU SUDAH PULIH?


Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Umno Terengganu kini berpecah dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.


Sebaliknya, Hishammuddin yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perpaduan serta semangat anggota Umno negeri itu ketika ini begitu tinggi.


"Sejak kebelakangan ini, ada tuduhan daripada pihak-pihak tertentu bahawa Umno Terengganu berpecah, pemimpin-pemimpin bertelagah dan bersengketa."Tuduhan itu tidak berasas kerana Umno masih lagi mendapat tempat bagi membela bangsa Melayu," katanya semasa melancarkan Gerak Kepimpinan Terengganu di hadapan kira-kira 5,000 anggota Umno empat peringkat di Stadium Negeri, di sini Isnin.


Turut hadir, Menteri Besar Datuk Ahmad Said yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.


Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun mengakui bahawa sebelum ini wujud persengketaan di kalangan pemimpin Umno Terengganu namun perselisihan faham itu telah diselesaikan.


Katanya bagi memastikan masalah itu tidak berlarutan, beliau telah mengadakan pertemuan dengan semua anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ketua-ketua Bahagian Umno di negeri itu, supaya mereka kembali memperkukuhkan parti.


"Malah di peringkat akar umbi, mereka mahu melihat Umno Terengganu kembali bersatu dan utuh. Maka, pemimpin-pemimpin Umno perlu rapatkan barisan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum (ke-13) akan datang," katanya.


Dalam pada itu, beliau mahu anggota Umno Terengganu terus bersatu dan menunjukkan semangat luar biasa bagi memastikan parti itu terus relevan dalam membela nasib bangsa Melayu.


"Inilah harapan saya selepas dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Oleh itu, mulai hari ini saya mengarahkan Umno Terengganu supaya bangkit dengan semangat dan kesedaran yang luar biasa (untuk memenangi hati rakyat)," katanya.

ROHAIZAT SEDIA JAWAB TUDUHAN


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman sudah bersedia menghadapi pihak pembangkang sepanjang tempoh berkempen bermula hari ini.


Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sudah menjangka akan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan bersifat peribadi tetapi menganggapnya sebagai cabaran yang perlu dihadapi ekoran kesediaannya bertanding pada pilihan raya kecil tersebut.


''Saya sudah bersedia untuk menghadapi tuduhan (pembangkang) dan sedar bahawa mereka akan menggunakan serangan peribadi (ketika kempen), saya akan menjawab apabila tiba masanya.


''Bagaimanapun, pada masa ini, saya serahkan kepada Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun menjelaskannya. Satu kenyataan mengenai perkara ini akan dikeluarkan beliau petang ini," katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan UMNO Bahagian Permatang Pauh di sini kelmarin.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa beliau disenaraihitamkan oleh Majlis Peguam Malaysia.


Rohaizat bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada Hafarizam untuk menjelaskannya.


Ditanya sama ada isu itu akan menjejaskan peluang BN di Permatang Pasir, Rohaizat berkata, '' Saya tidak fikir begitu."


Tambahnya, perkara tersebut tidak menjadi masalah dan menganggapnya sebagai satu isu lama yang sudah selesai dan tiada kaitan dengannya.


''Saya memang seorang peguam, tetapi tidak mengamalkannya sejak hampir dua tahun lalu," kata Rohaizat sambil menambah, beliau sedar isu yang cuba hendak dibangkitkan oleh Pas itu.


Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Rohaizat yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh sebagai calon BN yang bakal dicabar Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man, 52 tahun.


Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.

PERTANDINGAN DUA PENJURU DI PERMATANG PASIR


Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Permatang Pasir 25 Ogos ini melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.


BN diwakili Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, manakala calon Pas ialah Mohd Salleh Man Mat Aji, 52, atau lebih dikenali sebagai Salleh Man, yang merupakan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.


Selepas tamat tempoh bantahan di akhir proses penamaan calon di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Jalan Berapit di sini hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Roslan Yahaya berkata sebanyak 15 bantahan diterima daripada kedua-dua pihak yang bertanding tetapi kesemuanya ditolak.


Pencalonan Rohaizat, seorang ahli perniagaan dan muka baru dalam pilihan raya, dicadangkan oleh Abdul Majid Othman dan disokong Ng Tong Hye.Anak kelahiran Mengkuang Titi itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di sekitar kawasan Penanti dan Permatang Pauh.


Calon Pas, Salleh Man, dilahirkan di Kepala Batas dan pernah mewakili parti itu sebanyak enam kali pada pilihan raya bermula tahun 1986 sehingga pilihan raya umum 2008 lalu tetapi tewas dalam kesemuanya.Pencalonan beliau dicadangkan oleh Mahdi Abdullah dan disokong Shamsul Kamal Md Shafie.


Hasrat seorang pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris untuk bertanding sebagai calon Bebas tidak kesampaian setelah beliau tiba lewat di pusat penamaan calon.Kamarul Ramizu, 42, yang telah membeli borang pencalonan dari Pejabat Pilihan Raya negeri Jumaat lepas, bagaimanapun berkata beliau tidak kecewa dengan insiden yang berlaku.


"Saya terlambat kerana kesesakan lalulintas dan sebaik sahaja saya masuk ke dalam , dewan itu dah tutup," katanya.


Kerusi Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 31 Julai akibat serangan jantung.


Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Hamdan, yang mewakili kawasan itu selama tiga penggal sejak 1999, memperoleh 11,004 undi mengalahkan Ahmad Sahar Shuib dari BN dengan majoriti 5,433 undi.


Permatang Pasir mempunyai 20,290 pemilih berdaftar termasuk seorang pengundi pos, dan daripada jumlah itu, 72.34 peratus adalah pengundi Melayu, 25.86 peratus Cina, 1.64 peratus India dan keturunan lain 0.16 peratus.

Sabtu, Ogos 15, 2009

SALLEH MAN CALON PAS


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi mengumumkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dipilih sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Dengan pengumuman ini, beliau akan bertanding melawan calon BN, Rohaizad Otman, Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh.


Sehingga kini, Kamarul Ramizu, bekas calon bebas Penanti dan Bukit Gantang akan turut serta dalam pilihan raya kecil ini sebagai calon bebas.


Penamaan calon pilihan raya ini akan diadakan pada 17 Ogos ini manakala pilihan raya akan diadakan pada 24 Ogos.


Pemilihan calon PAS itu diumumkan oleh Abdul Hadi di hadapan ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat.


Kerusi Permatang Pasir kosong apabila penyandangnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman, wakil PAS yang memenanginya sejak tahun 1999, meninggal dunia hujung bulan lalu.


Turut hadir dalam majlis pengumuman calon itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow dan Pengarah Induk Pilihanraya Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar.


Sementara itu sebagai permulaan program pilihanraya kecil Permatang Pasir program besar-besaran akan diadakan.


Ia akan dimulakan dengan Program Pelancaran Jentera Dan Bilik Gerakan PRK Permatang Pasir pada 16 Ogos 2009 (Ahad) bertajuk �Anwar akan jawab siapa pengkhianat Melayu� di Permatang Pasir.
Antara penceramahnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Dr Mansor Othman, Saifudin Nasution, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Zahrain Hashim. Ceramah besar-besaran juga akan diadakan di Taman Cermai, Permatang Pauh. Antara penceramahnya adalah Anwar, Abdul Hadi, Lim Kit Siang dan Mohd Sabu

Jumaat, Ogos 14, 2009

RUMAH PEMILIK WATAN MUNGKIN DISITA


Pemilik akhbar WATAN, Wan Bahador Wan Ismail atau Baha Azuwan akan dipanggil ke Jabatan Tenaga Manusia Bangi pada 20 Ogos ini berikutan aduan pekerja-pekerja akhbar tersebut kononnya beliau tidak membayar gaji selama lima bulan.



Menurut jurucakap jabatan tersebut, jika Baha tidak datang ke pejabat ini, beliau akan dikenakan waran tangkap kerana beliau sudah mengengkari panggilan pertama ke pejabat itu baru-baru ini.



Sehingga ini empat orang bekas pekerja akhbar WATAN telah membuat tuntutan di pejabat itu yang berjumlah hampir RM50 ribu. Ramai lagi yang belum buat tuntutan akan berbuat demikian dalam masa terdekat.



Akhbar WATAN telah diterbitkan semula oleh Naluri Teratai Sdn. Bhd. mulai 15 Ogos tahun lepas dan ia dihentikan penerbitannya pada bulan April lalu. Sebelum ini ia dimiliki oleh Kumpulan Krangkraf dan Kumpulan Krangkraf telah menjualnya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada tahun 1992.



Akhbar itu sudah tidak diterbitkan selama 13 tahun dan Baha yang rapat dengan Tengku Adnan telah menjaya mengambilalih penerbitan akhbar tersebut yang sudah lama mati permit penerbitannya.



Menurut jurucakap jabatan itu, jika Baha enggan membayar tunggakan gaji para pekerjanya, mungkin jabatan itu tidak ada pilihan selain menyita rumahnya di Selayang.



Baha dikaitkan dengan Tengku Adnan kerana sudah tiga kali beliau menolong Baha. Pertama, Tengku Adnan sebagai ahli lembaga pengarah Hyundai telah memberi dealership kereta Hyundai di Selayang. Kali kedua Tengku Adnan sebagai Menteri pelancongan telah memberi syarikat Baha, Dalamasa Sdn Bhd menjadi operator teksi eksekutif Pempena anak syarikat Tourism Malaysia dan kali ketiga, Tengku Adnan memberikan Baha akhbar WATAN.



Tiga kali tengku Adnan menolong Baha tetapi ketiga-tiga perniagaan Baha lingkup.

ROHAIZAT CALON BN


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemilihan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.


Beliau membuat pengumuman tersebut di Bukit Merah, Permatang Pasir pada jam petang ini.
Nama Rohaizat pernah disebut-sebut akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti baru-baru ini.


Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding di kerusi tersebut.


Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula akan mengumumkan calonnya pada jam 9 malam ini.


Salah satu yang disebut-sebut mungkin dipilih mewakili PAS kali ini ialah Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.


Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman kerana serangan jantung pada 31 Julai lalu.Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 17 Ogos ini.


Sebelum ini, Umno bahagian Permatang Pauh menyenaraikan empat calon termasuk Mohd Zaidi kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang terbaik untuk mewakili parti itu.Manakala jawatankusa PAS pula bermesyuarat hujung minggu lalu membicangkan lima orang calon termasuk Salleh.

SHAH RUKH KHAN RAI ALI RUSTAM


Superstar Bollywood Datuk Shah Rukh Khan telah meraikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Mumbai Isnin lalu.


"Saya makan malam di rumahnya. Beliau hidang masakan India terbaik termasuk briyani and thosai. Boleh saya katakan, masakan Malaysia kurang 20 peratus sedap daripada masakan asli India," kata Mohd Ali kepada Bernama semasa berkunjung ke Hyderabad.


Mohd Ali dan ahli rombongan kecilnya berada kira-kira dua jam di rumah besar Shah Rukh di Banjara Hills di Mumbai.


Beliau berkata Shah Rukh turut bersetuju untuk melakukan satu atau dua penggambaran filem untuk filem terbarunya bertajuk Happy New Year di Melaka lewat tahun ini.Filem ini diarah sendiri Shah Rukh dan isterinya Gauri Khan.


Shah Rukh Khan menerima gelaran Datuk daripada kerajaan negeri Melaka akhir tahun lalu.Semasa di sini, Shah Rukh dan Mohd Ali juga berbincang untuk menubuhkan studio filem di Melaka bagi membangunkan bakat untuk industri filem Malaysia.


"Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang lakonan dan pengeluaran filem. Beliau telah memberi persetujuan, kita berharap beliau dapat memberi syarahan dan berkongsi pengetahuan dengan kita," kata Mohd Ali.


Dua filem Shah Rukh "One Two Ka Four" dan "Don" dibuat penggambaran di Melaka.

Khamis, Ogos 13, 2009

ASRI RABANI DAN DHARMALA N.S MENINGGAL


Semalam negara kehilangan sasterawan Dharmala N.S, hari ini negara kehilangan seorang penyanyi nasyid terkenal, Asri Ibrahim pula.

Penyanyi utama Kumpulan Rabbani, Asri Ibrahim yang meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi ini telah rebah sebelum beliau memulakan persembahan pada pelancaran program Syahadah musim kelima di Angkasapuri di sini.

Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Pantai selepas tidak sedarkan diri. Sementara itu
sasterawan dan budayawan tanah air, Abdul Muluk Daud atau lebih dikenali sebagai Dharmala NS, 62, meninggal dunia di Hospital Selayang semalam akibat serangan sakit jantung.

Menurut isterinya, Adiah Mat Lana, 54, suaminya meninggal dunia pada pukul 8.41 pagi selepas dimasukkan ke Hospital Selayang pada Selasa lalu setelah mengadu sakit dada.

''Arwah baru sahaja selesai bersahur kerana berniat untuk berpuasa sunat,'' jelasnya.

Anak lelaki Allahyarham, Idham Khalil, 27, pula berkata, dia tidak menyangka yang bapanya ketika itu diserang sakit jantung.
''Setelah mendapati sakit dadanya itu tidak hilang, kami mengambil keputusan untuk menghantar arwah ke Hospital Selayang.

''Di Hospital Selayang beliau terus dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU) sehingga menghembuskan nafas terakhir pagi ini,'' katanya.

Tambah Idham lagi, malam sebelum mengadu sakit dada itu, ayahnya tidak boleh tidur malah sempat mengemaskini blog peribadinya.

''Malam itu arwah kelihatan bertenaga malah sempat mengemas kini blognya sehingga pukul 4 pagi sebelum bersahur bersama ahli keluarga,'' tambahnya ketika ditemui di Masjid Sri Gombak di sini.

Selepas dimandikan di Masjid Sri Gombak, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bachang Mantin, Petaling di Jelebu, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Turut menziarahi jenazah di Masjid Sri Gombak ialah wakil kepada Undang Luak Rembau, Kamaruzzaman Salleh; Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Baharuddin Zainal (Baha Zain) serta Ahli Jawatankuasa Pena, Dr. Ibrahim Ghaffar.

Semasa hayatnya, Allahyarham aktif dalam penulisan novel, cerpen, sajak serta penulisan skrip drama televisyen dan filem.

Saya mengenali Dharmala pada tahun 1976 ketika beliau berceramah dalam satu kursus penulisan di Seremban. Ketika itu saya belajar di tingkatan lima di MRSM Seremban. Kami pernah bekerja sebumbung di WATAN pada tahun 1988. Ketika itu saya adalah Penolong Editor akhbar WATAN dan beliau adalah sub editor akhbar yang sama.

Beliau pernah bekerja dengan ahli parlimen DAP dan satu-satunya Melayu yang menyertai DAP. Tetapi akhirnya beliau meninggalkan parti itu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.




UMNO AKAN PECAT AHLI SABOTAJ PARTI


UMNO akan memecat mana-mana pemimpin atau ahlinya yang mensabotaj jentera parti dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.


Sehubungan itu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan memantau secara serius perjalanan jentera Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil itu dan tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan kepada parti.


Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang menegaskan, mana-mana ahli UMNO di Permatang Pauh atau di mana-mana tempat di Pulau Pinang yang mensabotaj parti dalam pilihan raya akan dipecat dalam tempoh 60 hari.


''Saya tidak main-main dalam hal ini dan saya harap semua faham mesej ini," katanya pada sidang akhbar sebelum mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua peti undi BN untuk Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir di Permatang Pauh semalam.


Ahmad Zahid berkata, perpaduan parti perlu menjadi keutamaan dan segala persengketaan terutamanya yang bersifat peribadi perlu diketepikan bagi memastikan jentera parti betul-betul mantap.


Katanya, semua pemimpin sama ada yang sudah lama atau baru mesti mempamerkan kesungguhan dan diberi peranan masing-masing bagi melicinkan jentera pilihan raya.


''Kita perlu ingat, sebelum kita hendak mempengaruhi pengundi lain, kita mesti mempengaruhi ahli-ahli UMNO terlebih dahulu," katanya.

PENDAKWA SPRM TIDAK CEKAP?


Nampaknya banyak kes SPRM yang dibawa ke mahkamah kalah sejak akhir-akhir ini. Kes Datuk Ramli Yusof, bekas Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia tersungkur bila peguamnya, Datuk Muhammad Shafee berjaya membuktikan bahawa Ramli tidak bersalah.


Semalam Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas Menteri Tanah dan Koperasi terlepas. Kalau begini gayanya orang besar yang didakwa oleh SPRM terlepas, maknanya orang tidak akan hormati SPRM lagi. Sebaliknya bila orang kecil didakwa di mahkamah, tersangkut pula.


Oleh itu Pesuruhjaya PSRM, Datuk Ahmad Said Hamdan perlu melihat hal ini secara serius. Kalau perlu semua pendakwa SPRM hendaklah dilatih supaya semua kes yang dibawa ke mahkamah biarlah tersangkut supaya orang segan dan gerun kepada SPRM.


Sejak kebelakangan ini SPRM begitu serius menyiasat sebarang aduan. Yang peliknya orang ramai pertikai bila asyik menyiasat wakil rakyat pembangkang sedangkan aduan terhadap wakil rakyat BN tidak disiasat. Orang ramai mula menyamakan SPRM dengan BPR yang tiada taring dan jadi alat kepada BN. Bila ADUN Kemasik, Ir Rosli ditahan SPRM, Datuk Seri Najib berkata ia bukti SPRM bukan alat kepada BN. Jika Ir Rosli ambil peguam terkenal seperti Datuk Muhammad Shafee, saya yakin beliau akan terlepas juga.


Oleh itu sebelum mendakwa seseorang SPRM kena pastikan mereka punya kekuatan untuk menangi kes. Jika tidak, buang masa saja bawa kes itu ke mahkamah. Kita harap SPRM tidak jadi seperti BPR yang hilang wibawanya. Kita lihat dulu kes Datuk Dr. jeffrey Kitingan. Bila dia bersama PBS dan merancang membawa Sabah keluar dari Malaysia, beliau didakwa oleh BPR ketika menjadi Pengarah Yayasan Sabah. Sebaliknya bila dia menyertai parti komponen BN dan dilantik timbalan menteri, kesnya ditarik balik. Kini beliau bersama PKR dan kesnya sudah selamat. Jadi di mana letaknya kewibawaan BPR? Oleh itu SPRM jangan jadi seperti BPR yang membuat pendakwaan terpilih.