Memaparkan catatan dengan label pendakwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pendakwa. Papar semua catatan

Khamis, September 08, 2016

DAHULU JADI PENDAKWA, SEKARANG JADI PEMBELA ORANG RASUAH PULA



KUALA LUMPUR 7 Sept. - Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd. Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan me­lakukan pecah amanah terhadap Peruntukan Kumpulan Perbelanjaan Pemasaran berjumlah hampir RM15 juta, Mac lalu.


Pengerusi bank tersebut, Tan Sri Abdul Aziz Zainal, 65, turut membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Mustafha, 48, untuk me­lakukan pecah amanah terhadap harta yang sama.

Mustafha didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh didenda sementara Abdul Aziz menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 109 akta sama dibaca dengan Seksyen 409 akta tersebut yang membawa hukuman serupa.

Hakim Madihah Harullah mem­benarkan setiap tertuduh diikat jamin RM400,000 de­ngan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 10 Oktober ini bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Bahagian Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Masri Mohd. Daud dan Timbalan Pendakwa Raya agensi tersebut, Anas Mahadzir.

Mustafha diwakili peguam, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin manakala Abdul Aziz yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera ke-16 diwakili peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.

Terdahulu, Masri mencadangkan ikat jamin RM2 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin kerana kes itu membabitkan kesalahan serius dan pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap penyera­han pasport, Kamarul Hisham ba­gai­ma­napun membantah jumlah jaminan yang dicadangkan kerana disifatkan sebagai keterlaluan.




“Anak guam saya tidak mampu untuk mengemukakan wang ikat jamin sebegitu tinggi meman­dang­kan kesemua akaun simpanannya di ASB (Amanah Saham Bumiputera), ASN (Amanah Saham Nasional), Bank Rakyat dan CIMB telah dibekukan, malah akaun milik isterinya di Bank Rakyat juga telah dibekukan.

“Tertuduh telah menerima pelbagai anugerah atas pencapaiannya sepanjang kerjayanya dan ini me­nunjukkan anak guam saya adalah seorang yang sangat profesional, mempunyai latar belakang yang baik dan tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri,” katanya.

Atas tujuan sama, Muhammad Shafee turut menyenaraikan pelbagai penghargaan dan peng­anugerahan yang diterima oleh Abdul Aziz sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Darat selain menyatakan bahawa jawatan anak guamnya sebagai Pengerusi Bank Rakyat telah digantung sejak ditahan untuk siasatan sehingga kini.

Membalas hujah tersebut, Masri menyatakan, latar belakang yang baik, pelbagai penganugerahan dan penghargaan yang dite­ri­ma tidak boleh dijadikan asas untuk mengenakan kadar jamin yang rendah atau dijadikan jaminan bahawa kedua-dua tertuduh tidak akan melarikan diri atau akan terus hadir pada setiap kali kes dibicarakan.

Sebaik sahaja mahkamah menetapkan jumlah jaminan itu, Muhammad Shafee bangkit sekali lagi dan memohon mahkamah merekodkan bahawa pada sesi soal jawab oleh tiga pegawai SPRM dengan dua daripadanya dikenali dengan nama Azrul dan Buya, anak guamnya telah ‘dipujuk’ untuk memberikan ketera­ngan yang tidak wajar.

Peguam itu juga secara tiba-tiba memohon agar Abdul Aziz diberikan pelepasan sehingga pukul 3 petang esok untuk membuat bayaran wang jaminan menyebabkan Masri membantah keras permohonan ad hoc tersebut dan menyatakan bekas Duta Malaysia ke Perancis itu perlu ditahan sehingga wang ikat jamin dilunaskan.

Madihah bagaimanapun membenarkan penangguhan pembayaran jaminan bagi Abdul Aziz tetapi memerintahkan agar segala urusan jamin diselesaikan sebelum pukul 3 petang esok.

Kamarul Hisham memaklumkan anak guamnya tidak bantahan dan bersedia untuk membayar jumlah wang jaminan itu.

Ulasan saya, dahulu Muhammad Shafee menjadi pendakwa kes Anwar Ibrahin, Hari ini beliau tukar watak menjadi penentang kes kerajaan pula membela orang yang melakukan rasuah. Pelik juga Tan Sri berwatak dua muka. Sebab itu lain kali Peguam Negara tak payah lantik orang macam Shafee jadi pendakwa kerana beliau telah memalukan kerajaan apabila kerajaan kalah dalam kes mahkamah seperti kes Tan Sri Kasitah Gadam dan Datuk Ramli Yusof.

Inilah kesilapan Tan Sri Ghani Patail kerana mahu mengenakan Anwar Ibrahim, maka orang terdesak macam Shafee digunakan. Ternyata senjata makan tuan kerana akhirnya Shafee menentang kerajaan pula dalam kes SPRM ini. Cukup cukuplah Peguam Negara.

Khamis, Ogos 13, 2009

PENDAKWA SPRM TIDAK CEKAP?


Nampaknya banyak kes SPRM yang dibawa ke mahkamah kalah sejak akhir-akhir ini. Kes Datuk Ramli Yusof, bekas Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia tersungkur bila peguamnya, Datuk Muhammad Shafee berjaya membuktikan bahawa Ramli tidak bersalah.


Semalam Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas Menteri Tanah dan Koperasi terlepas. Kalau begini gayanya orang besar yang didakwa oleh SPRM terlepas, maknanya orang tidak akan hormati SPRM lagi. Sebaliknya bila orang kecil didakwa di mahkamah, tersangkut pula.


Oleh itu Pesuruhjaya PSRM, Datuk Ahmad Said Hamdan perlu melihat hal ini secara serius. Kalau perlu semua pendakwa SPRM hendaklah dilatih supaya semua kes yang dibawa ke mahkamah biarlah tersangkut supaya orang segan dan gerun kepada SPRM.


Sejak kebelakangan ini SPRM begitu serius menyiasat sebarang aduan. Yang peliknya orang ramai pertikai bila asyik menyiasat wakil rakyat pembangkang sedangkan aduan terhadap wakil rakyat BN tidak disiasat. Orang ramai mula menyamakan SPRM dengan BPR yang tiada taring dan jadi alat kepada BN. Bila ADUN Kemasik, Ir Rosli ditahan SPRM, Datuk Seri Najib berkata ia bukti SPRM bukan alat kepada BN. Jika Ir Rosli ambil peguam terkenal seperti Datuk Muhammad Shafee, saya yakin beliau akan terlepas juga.


Oleh itu sebelum mendakwa seseorang SPRM kena pastikan mereka punya kekuatan untuk menangi kes. Jika tidak, buang masa saja bawa kes itu ke mahkamah. Kita harap SPRM tidak jadi seperti BPR yang hilang wibawanya. Kita lihat dulu kes Datuk Dr. jeffrey Kitingan. Bila dia bersama PBS dan merancang membawa Sabah keluar dari Malaysia, beliau didakwa oleh BPR ketika menjadi Pengarah Yayasan Sabah. Sebaliknya bila dia menyertai parti komponen BN dan dilantik timbalan menteri, kesnya ditarik balik. Kini beliau bersama PKR dan kesnya sudah selamat. Jadi di mana letaknya kewibawaan BPR? Oleh itu SPRM jangan jadi seperti BPR yang membuat pendakwaan terpilih.