Isnin, Ogos 17, 2009

PERTANDINGAN DUA PENJURU DI PERMATANG PASIR


Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Permatang Pasir 25 Ogos ini melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.


BN diwakili Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, manakala calon Pas ialah Mohd Salleh Man Mat Aji, 52, atau lebih dikenali sebagai Salleh Man, yang merupakan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.


Selepas tamat tempoh bantahan di akhir proses penamaan calon di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Jalan Berapit di sini hari ini, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Roslan Yahaya berkata sebanyak 15 bantahan diterima daripada kedua-dua pihak yang bertanding tetapi kesemuanya ditolak.


Pencalonan Rohaizat, seorang ahli perniagaan dan muka baru dalam pilihan raya, dicadangkan oleh Abdul Majid Othman dan disokong Ng Tong Hye.Anak kelahiran Mengkuang Titi itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di sekitar kawasan Penanti dan Permatang Pauh.


Calon Pas, Salleh Man, dilahirkan di Kepala Batas dan pernah mewakili parti itu sebanyak enam kali pada pilihan raya bermula tahun 1986 sehingga pilihan raya umum 2008 lalu tetapi tewas dalam kesemuanya.Pencalonan beliau dicadangkan oleh Mahdi Abdullah dan disokong Shamsul Kamal Md Shafie.


Hasrat seorang pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris untuk bertanding sebagai calon Bebas tidak kesampaian setelah beliau tiba lewat di pusat penamaan calon.Kamarul Ramizu, 42, yang telah membeli borang pencalonan dari Pejabat Pilihan Raya negeri Jumaat lepas, bagaimanapun berkata beliau tidak kecewa dengan insiden yang berlaku.


"Saya terlambat kerana kesesakan lalulintas dan sebaik sahaja saya masuk ke dalam , dewan itu dah tutup," katanya.


Kerusi Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 31 Julai akibat serangan jantung.


Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Hamdan, yang mewakili kawasan itu selama tiga penggal sejak 1999, memperoleh 11,004 undi mengalahkan Ahmad Sahar Shuib dari BN dengan majoriti 5,433 undi.


Permatang Pasir mempunyai 20,290 pemilih berdaftar termasuk seorang pengundi pos, dan daripada jumlah itu, 72.34 peratus adalah pengundi Melayu, 25.86 peratus Cina, 1.64 peratus India dan keturunan lain 0.16 peratus.