Memaparkan catatan dengan label tindakan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tindakan. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 22, 2016

SHAHRIZAT KESAL TINDAKAN MELULU PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Tindakan majoriti anggota Parlimen pembangkang keluar daripada Dewan Rakyat ketika pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, membuktikan mereka tidak menghormati persidangan dewan.

Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu amat kecewa dan kesal dengan tindakan melulu sebahagian besar anggota Parlimen pembangkang itu sebelum pembentangan Bajet 2017 selesai.

"Tindakan mereka menolak bajet yang belum pun dibahaskan bukan sahaja menunjukkan mereka kurang pengetahuan mengenai proses di Parlimen malah tidak menghormati perjalanan sidang Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan semalam.

Khamis, September 03, 2009

TINDAKAN BIAR SEIMBANG


Kita menyokong penuh tindakan KDN merampas penerbitan yang tidak ada permit penerbitan. Apa yang berlaku pada Gedung Kartun patut jadi ikhtibar kepada semua penerbit. Baru submit dummy, belum dapat kelulusan KDN dah cetak majalah merupakan satu tindakan yang tidak betul.


Di zaman Syed Hamid Albar jadi menteri yang jaga permit akhbar, beliau luluskan banyak permit penerbitan akhbar termasuk yang condong kepada pembangkang. Tetapi di zaman Hishamuddin nampaknya penerbit tidak boleh sebebas di zaman Syed Hamid. Oleh itu kelambatan Hishamuddin meluluskan permit penerbitan Gedung Kartun menunjukkan zaman liberal yang dinikmati di zaman Pak Lah tidak akan berulang di zaman Najib.


Janganlah kita ambil tindakan kepada satu pihak sahaja. Bagaimana siasatan polis kepada Harian Metro yang menyiarkan berita palsu di muka depan baru-baru ini. Kenapa belum didakwa Harian Metro itu. Malah Kosmo juga menyiarkan berita yang menyinggung keluarga Yasmin Ahmmad. Kenapa Kosmo tidak diambil tindakan oleh KDN. Oleh itu KDN perlu bersikap adil kena ambil tindakan kepada semua Gedung Kartun, Harian Metro dan Kosmo.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) Rabu menyangkal dakwaan Ketua Pengarang Gedung Kartun, Zulkiflee Anwar Ulhaque atau kartunis Zunar bahawa majalah itu memiliki permit penerbitan yang sah.


"Kesemua kenyataan Zunar tidak berasas sama sekali, kerana 'dummy' Gedung Kartun yang dihantar untuk penilaian masih di peringkat perbincangan KDN. Tetapi kelihatannya Zunar telah ke hadapan mencetak lebih awal," menurut KDN dalam satu kenyataan Rabu.


Kenyataan itu turut menyebut jika apa yang didakwa Zunar bahawa permit penerbitan daripada KDN telah diperoleh maka beliau seharusnya mempunyai resit pembayaran.


Bagaimanapun, rekod KDN tidak ada menunjukkan sebarang transaksi daripada Gedung Kartun atau Sepakat Effektif Sdn Bhd.


KDN juga menolak dakwaan pengarang majalah itu bahawa tindakan yang diambil terhadap majalah itu bermotifkan politik.Pada 25 Ogos lepas, sebanyak 408 naskhah edisi pertama majalah Gedung Kartun dirampas mengikut Seksyen 5(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau penerbitan tanpa permit.

Isnin, Ogos 24, 2009

PENDAKWA TAK TAHU TINDAKAN PEGUAM NEGARA


Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar hari ini terkejut dan tidak tahu menahu mengenai penangguhan hukuman sebat terhadap seorang peragawati, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah minum arak di tempat awam baru-baru ini.



Menurut beliau, pihaknya tidak menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak supaya hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi ditangguhkan.



Jika mahu ditangguh atau dibatalkan, tegas beliau, ia haruslah diputuskan oleh mahkamah, bukan boleh ditarik begitu sahaja.




Pelik juga macam mana ketua pendakwa tidak tahu penangguhan itu dibuat oleh Peguam Negara? Tentu aneh Peguam Negara boleh ambil keputusan untuk menangguhkan hukuman kerana kononnya ia menghormati bulan Ramadhan.

Ahad, Februari 15, 2009

AMBIL TINDAKAN KEPADA SEMUA PENDERHAKA


Pihak berkuasa perlu bertindak tegas termasuk mengheret ke muka pengadilan para penderhaka yang bertindak secara terang-terangan atau berselindung di sebalik mana-mana pihak.


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, reaksi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah isyarat jelas untuk memberitahu semua pihak yang membuat onar supaya berfikir dan memberhentikan terus segala penderhakaan.


Menurut beliau, bersesuaian dengan peringatan baginda supaya mana-mana pihak tidak terlajak perbuatan, adalah amat wajar bagi pihak berkuasa menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan dan pembendungan dengan segera.


‘‘Kita tidak mahu rakyat terus terperangkap dengan permainan politik persepsi sebegini. Mereka yang salah, sama ada mereka yang di belakang tabir atau pun yang jelas tingkah lakunya perlu dibawa ke muka pengadilan.


‘‘Kita tidak mahu rakyat fikir bahawa perkara ini dipandang mudah atau dijadikan mainan politik, perkara ini serius,’’ katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.


Berdasarkan kenyataan Hishamuddin, saya berharap kalau hendak ambil tindakan, ambillah kepada semua. Jangan ambil tindakan kepada Karpal Singh, Nizar Jamaluddin sahaja. 22 ADUN Terengganu yang menentang keputusan Sultan Terengganu melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu tahun lepas pun kena ambil tindakan.


Nanti orang kata Peguam Negara berat sebelah pula. Dulu masa krisis perlembagaan, bukan main UMNO hina Raja. Setiap minggu RTM siarkan filem Melayu yang menunjukkan Raja wajar disanggah seperti filem Hang Jebat, Sultan Mahmud mangkat dijulang. Hari ini UMNO pula sanjung Raja kerana ada kepentingan.


Jadi kita kena adil. Jangan dakwa Karpal Singh seorang. Dakwa semua.