Khamis, Oktober 21, 2010

APA SALAHNYA SAYUTI JADI JUTAWAN


Siapa yang tidak mahu jadi jutawan? Semua orang mahu jadi jutawan. Cara mana nak jadi jutawan, terpulanglah kepada individu itu sendiri. Sudah ramai wartawan jadi jutawan. Ada yang jadi jutawan selepas menyertai dunia korporat seperti Datuk Ahmad Sebi, Datuk Nazri Abdullah.

Tetapi kalau ada jadi jutawan selepas menjual permit penerbitan seperti Mohd Sayuti Omar ini, maka saya kira inilah kali pertama pemilik permit penerbitan jadi jutawan. Datuk Hishamuddin menjual permit akhbar Watan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan harga RM1 juta tetapi Hishamuddin sudah jadi jutawan ketika itu dengan pelbagai akhbar dan majalah terbitan syarikatnya, Kumpulan Karangkraf.

Khabarnya rundingan sedang dibuat di antara Sayuti sebagai pemilik permit dengan PKR.

PKR sudah bosan dengan permit Suara Keadilan yang tidak mendapat kelulusan KDN. Maka PKR sedang memikirkan untuk mengambilalih akhbar tabloid Siasah yang begitu popular di kalangan para pembaca. Permit Siasah itu adalah milik Sayuti yang merupakan penulis buku terkenal.

Khabarnya tawaran pengambilalihan permit itu menjangkau jutaan ringgit. Jika ini benar, tahniah Sayuti kerana beliau adalah pemilik permit pertama yang jadi jutawan. Tidak sia-sia beliau memiliki permit penerbitan sendiri.

Peduli apa pada prinsip. Wartawan memang tidak ada prinsip. Dahulu memang Sayuti hentam Anwar Ibrahim melalui buku ANWAR: ANTARA REALITI DAN MIMPI tetapi Anwar dijulang hebat oleh Sayuti yang dimusuhi Anwar sebelum ini dalam buku REFORMIS BANGSA: SUMPAH DAN AIR MATA.

Buku itu dicetak berulang kali dan khabarnya Sayuti beli cash kereta Hondanya hasil jualan buku tersebut.Sayuti gadai prinsipnya kerana menentang arus. Ketika itu apa sahaja yang ditulis tentang Anwar akan mendapat duit. Maka strategi Sayuti mengena.

Sayuti lupakan prinsipnya selama ini yang menghentam Anwar kerana ketika itu dia yakin Anwar tidak bersalah dalam kes pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Apa yang dibuat Sayuti sama dengan tingkahlaku orang politik. Dalam politik kawan tidak kekal dan musuh tidak abadi. Hari ini berkawan, esok bermusuh. Hari ini bermusuh, esok berkawan.

Oleh itu apa yang dibuat oleh Sayuti bukanlah benda pelik kerana itulah sikap dan sifat orang politik. Sayuti bukanlah penulis sesumpah. Dia membela Anwar di saat Anwar tersungkur dari kerusinya. Ketika itu baru Anwar tahu betapa mulianya Sayuti yang sudi membelanya. Sepatutnya Sayuti menghentam terus Anwar jika dia berpegang kepada prinsip. Tetapi langkah yang diambil Sayuti itu menguntungkan jualan bukunya.

Sayuti memanglah seorang penulis buku yang hebat. Beliau berkawan dengan ramai orang politik. Tetapi beliau konsisten apabila menolak Datuk Husham Musa dan Datuk Ibrahim Ali sebagai kawannya. Sayuti yang lebih tahu kenapa dia kini bermusuh dengan kedua-dua pemimpin itu.

Rabu, Oktober 20, 2010

50 KERUSI BN DALAM BAHAYA


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 50 kerusi parlimen BN yang sedia ada berada dalam bahaya sekiraya Umno masih lagi berkhayal boleh menang dalam pilihan raya tanpa sokongan bukan Melayu.

Katanya, sekiranya tidak ada usaha untuk mengamalkan kepimpinan yang inklusif lagi moderat, kepimpinan Melayu Umno akan hilang pada pilihan raya akan datang "bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi."

"Kita harus belajar dari keputusan pilihanraya umum yang lalu di mana jelas kita hampir kalah sebab hilang sokongan bukan Melayu," katanya yang juga ahli parlimen Rembau.

Ketika berucap dalam perhimpunan agung 2010 pergerakan itu, Khairy berkata, keadaan itu bermakna, untuk menang mestilah dengan sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

"Kalau kita mengharapkan undi orang Melayu semata-mata, kita harus ingat bahawa hanya 73 kerusi parlimen sahaja yang mempunyai majoriti dominan Melayu 70 peratus ke atas. Inilah hakikat dan realitinya," katanya.

Sementara itu, berhubung isu ekonomi, Khairy mempersoalkan kenapa terdapat anggota parti itu yang takut dengan gusar dengan ekonomi berteraskan merit melalui Model Baru Ekonomi (MBE),



"Mengapa kita perlu gusar apabila mereka yang berkebolehan, yang genuine, diberi peluang untuk ke depan? Apakah kita terlalu dengki dengan bangsa sendiri yang rajin dan berbakat sehingga kita sanggup menghalang kejayaan mereka?

"Adakah kita umpama ketam di dalam bakul yang menarik turun sesama sendiri?" soal Khairy bertubi-tubi.

Beliau juga mengakui terdapat persepsi negatif terhadap pendekatan terdahulu Dasar Ekonomi Baru (DEB) di kalangan anak muda.

"Apabila saya ceritakan soal DEB dan perjuangan bangsa, mereka jawab: 'Minta maaf. Apa yang saya dapat dari DEB?' Gaji mereka di bawah paras kemiskinan, ramai di kalangan mereka berhijrah ke bandar di mana kos sara hidup meningkat dengan lebih pantas dari pendapatan. Mereka Melayu, Bumiputera tetapi nikmat DEB tidak mereka rasai.

"Tanggapan mereka – persepsi yang mereka ada – DEB hanya menguntungkan segelintir Bumiputera elit yang ada kabel besar. Bagi golongan ini, sasaran ekuiti 30 peratus tidak bermakna kerana kebanyakkan mereka tidak pernah dan tidak mampu untuk membeli saham," katanya.

Sehubungan itu, Khairy berkata, realiti itu menuntut kerajaan membuat perubahan melalui MEB yang didakwa sebagai "pengemaskinian terhadap cara pelaksanaan agar segala kelemahan DEB dapat diatasi".

Selasa, Oktober 19, 2010

KARIM GHANI KELUAR DARI UMNO


Seorang ahli politik veteran utama yang membawa Umno masuk ke Sabah, Datuk Karim Ghani, mengumumkan beliau keluar dari parti itu semalam.

Karim adalah antara bekas pemimpin Usno (United Sabah National Organization), termasuk Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun (pengasas Usno), yang memainkan peranan membawa Umno masuk ke Sabah pada 1990an.

Usno dibubarkan untuk memberi laluan kepada Umno.

Karim berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya ke ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur dan pejabat negeri parti itu di sini, awal semalam.

"Saya telah keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta hari ini. Saya tetap dengan keputusan ini dan dalam pada itu saya tidak berparti sehingga menemui parti politik yang sesuai," katanya pada sidang akhbar di sini.

Karim berkata beliau kecewa dengan kegagalan Umno untuk mencapai objektif memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Sabah.

Bekas naib presiden Usno itu menyertai kumpulan yang setia kepada Usno yang baru-baru ini meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar mengkaji semula keputusannya menolak permohonan mereka memulihkan Usno.

Ada laporan menyatakan majoriti bekas pemimpin Usno merasa mereka dipinggirkan dan mahu parti itu dipulihkan untuk membolehkan mereka meneruskan perjuangan politik mereka.

KALAU SEMUA IKHLAS,BN TERENGGANU TETAP MENANG


Kalau semua ikhlas dan jujur dengan kata-kata yang mereka ucap dalam konvensyen UMNO Terengganu minggu Sabtu lalu, BN Terengganu tetap menang dalam pilihanraya umum akan datang.

Janganlah ucapan ini sekadar lakonan sahaja. Di hadapan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, mereka setuju berdamai tetapi bila tiba pilihanraya, orang UMNO sendiri yang pangkah pembangkang kerana tidak mahu Ahmad Said kekal sebagai MB buat penggal kedua.

Oleh itu kita tunggu pilihanraya umum 2012 untuk lihat sejauh mana cakap mereka serupa bikin. Kita doakan apa yang mereka lafazkan dalam konvesyen itu diamalkan pada hari mengundi nanti. Jangan jadi seperti pilihanraya umum 1999 apabila ada calon BN pangkah PAS kerana tidak mahu calon BN yang bertanding di kampungnya menang. Kebetulan calon BN itu bertanding di DUN lain maka dia kena mengundi di DUN asalnya.Dia mahu calon BN itu kalah kerana dia yang bertanding di DUN lain sudah berangan jadi Exco bila BN memerintah nanti. Rupa-rupanya BN kalah di semua DUN kecuali empat DUN.

Umpama "biduk lalu, kiambang bertaut," itulah ungkapan yang digunakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi menggambarkan hubungan pemimpin Umno di negeri itu ketika ini.

Beliau berkata semangat perpaduan di kalangan golongan terbabit semakin pulih dan dirasai, termasuk wakil rakyat dan pemimpin parti apabila terdapat kesungguhan untuk bersatu, walaupun hubungan di antara mereka sebelum ini agak tegang.

"Saya harap masalah dulu dapat dilupakan. Bak kata orang, biduk lalu, kiambang bertaut. Kita sebagai pemimpin dan orang politik, perlu berjiwa besar.

"Jangan mudah berkecil hati, berasa hati atau berjauh hati, dan dalam masa yang sama, kita perlu berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Terengganu 2010 semalam.

Konvensyen yang dirasmikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi tadi, disertai 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin sayap parti serta jemputan khas.

Ahmad Said berkata konvensyen yang pertama kali diadakan di Terengganu sejak Pilihan Raya Umum 2008 itu, boleh dijadikan sebagai persediaan Umno negeri bagi mengikuti pemilihan parti di Kuala Lumpur Selasa depan, dan bekalan ketika menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya amat berpuas hati dengan persiapan dan resolusi yang dikemukakan perwakilan dari bahagian-bahagian yang bertujuan untuk mengukuhkan perjalanan dan kepimpinan Umno di Terengganu.

"Saya harap pemimpin di Terengganu, khususnya wakil rakyat, menjadikan harapan perwakilan ini sebagai, dan peluang untuk, muhasabah diri dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Sementara itu, sebanyak 19 resolusi dicapai dalam konvensyen yang bertujuan memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Selain itu, satu deklarasi, dinamakan Deklarasi Primula 2010, turut diputuskan serta diserahkan kepada Ahmad dan Hishammuddin, yang merupakan pengerusi badan perhubungan UMNO Terengganu.

Sabtu, Oktober 16, 2010

BUKAN BAJET PILIHANRAYA


Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat, sekali gus mampu meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Sambil menegaskan ia bukan bajet pilihan raya, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2011 itu juga merupakan satu lonjakan ke arah mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, Bajet 2011 itu turut melakar harapan baru bagi rakyat apabila pelaksanaannya kali ini mengambil kira input serta cadangan daripada mereka.

''Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri atas pembentangan Bajet 2011 yang bagi saya cukup istimewa serta bakal memberi kesan yang maksimum kepada rakyat.

''Saya yakin semua pihak yang mendengar bajet kali ini akan berpuas hati kerana seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Bajet 2011 adalah bajet rakyat hasil maklum balas yang diterima oleh kerajaan daripada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Ringkasnya Muhyiddin berkata, pengumuman Perdana Menteri melalui Bajet 2011 bukan sahaja melibatkan rakyat bandar dan luar bandar malah ia turut mencakupi sektor-sektor utama yang akhir berperanan menyediakan landasan jelas ke arah menjadikan Malaysia negara maju.

"Saya amat menyanjungi segala usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri ini. Selain berusaha memberi yang terbaik untuk rakyat kesediannya memberi respons terhadap cadangan rakyat juga amat memberangsangkan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan pembangkang bahawa Bajet kali ini bajet pilihan raya Muhyiddin berkata:

''Ini bukan bajet pilihan raya tetapi apa yang penting melalui pengumuman Perdana Menteri itu semua peringkat rakyat jelata tahu bahawa mereka akan memperoleh nikmat dan faedahnya."

Beliau berkata, Bajet 2011 bukan disebabkan tujuan tertentu tetapi semata-mata memastikan rakyat dapat hidup selesa pada masa akan datang.

Sementara itu ditanya mengenai pembangunan projek-projek berimpak tinggi Muhyiddin berkata, maklumat mengenai projek-projek yang akan dilaksanakan, termasuk projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) akan diumumkan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Mengenai projek pembangunan Warisan Merdeka, iaitu pembangunan menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia, Muhyiddin berkata, ia dijangka akan dibina di sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Projek itu yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020 bernilai RM5 bilion dan menaranya dijangka siap pada 2015.

Jumaat, Oktober 15, 2010

DUA PEKERJA DIPENJARA TUJUH TAHUN



Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pagi ini atas empat tuduhan berasingan melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain.

Mereka ialah U Suresh, 26, dan K Sarawanan, 19, kedua-duanya pekerja ladang masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.

Kelmarin, seorang peguam, N. Pathmanabhan didakwa di mahkamah sama dengan niat bersama-sama dengan tiga lelaki lain termasuk seorang remaja belasan tahun membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Semua mereka juga didakwa membunuh pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB, Norhisham Mohammad, 38.

Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan dan tiga lagi tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.

TAK PERLU PANGKAH BN


Nampaknya pengundi DUN Galas tidak perlu pangkah BN. Kalau BN kalah pun, BN tetap menunaikan janji yang ditabur pada pilihanraya kecil ini. Hal yang sama berlaku di DUN Manek Urai pada tahun lepas.

Walaupun BN tewas dalam pilihanraya kecil itu, BN tetap menunaikan pelbagai janji yang dibuat sewaktu kempen pilihanraya kecil tersebut. Inilah untungnya rakyat Kelantan. PAS menang tetapi BN yang buat pembangunan.

Sepatutnya BN menghukum pengundi Manek Urai dengan tidak menunaikan janji. Buat apa tunai janji, BN sudah kalah. Biarlah PAS yang buat pembangunan sebaliknya BN tidak zalim. BN tidak mahu jadi munafik. Justru itu BN tetap tunaikan janji walau kalah di Manek Urai.

Jika trend Manek Urai tidak berubah di Galas, maka biar PAS menang dan BN tetap tunaikan janji yang ditabur menjelang pilihanraya kecil ini. Oleh itu sudah sampai masanya BN menghukum para pengundi Galas. Kalau BN menang, baru BN tunaikan janjib dan kalau BN kalah, tak perlulah BN tunaikan janji.

Dakwaan pemimpin Pas bahawa Barisan Nasional (BN) belum menunaikan janji-janji yang dibuat semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang lalu hanya satu fitnah.

Menurut bekas calon BN yang bertanding bagi kawasan tersebut, Tuan Aziz Tuan Mat, 40, semua janji yang diberikan semasa kempen itu telah pun ditunaikan, malah pelbagai lagi bantuan akan menyusul.

"Saya mahu mereka beritahu apa lagi yang kita tidak tunaikan. Walaupun saya kalah tetapi semua janji-janji itu telah pun dilaksanakan untuk manfaat rakyat di situ.

"Sebab itulah saya menyeru pengundi di Galas agar tidak tertipu dengan kata-kata pemimpin Pas ini yang hanya fitnah semata-mata," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada kempen pilihan raya kecil itu 14 Julai tahun lalu, Kerajaan Pusat telah berjanji untuk membawa pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan antaranya pembinaan jambatan di Kampung Manek Urai Lama membabitkan kos RM10 juta, menaik taraf Masjid Temalir bernilai RM600,000, membaik pulih rumah (RM1.5 juta) dan membina gelanggang sukan di Kampung Manjor (RM300,000).

Tuan Aziz berkata, walaupun hanya pembinaan jambatan itu yang masih belum ditunaikan kerana beberapa masalah yang timbul, pemimpin Pas tidak melepaskan peluang apabila menjadikannya sebagai isu utama mereka untuk berkempen di Galas.

Beliau yang juga penyelaras DUN Guchil berkata, beberapa masalah pemilikan tanah adalah punca kelewatan pembinaan jambatan itu, namun ia akan tetap diteruskan meskipun kosnya dikatakan telah meningkat sehingga RM17 juta.

"Masjid Temalir sudah hampir siap. Proses pemilikan tanah di Kampung Manjor sudah siap dan tidak lama lagi gelanggang sukan akan dibina.

"Di seluruh Manek Urai lebih 500 buah rumah penduduk miskin telah diganti dan dinaik taraf, jadi apa lagi yang Pas nak cakap," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta lebih 11,000 pengundi di DUN Galas dapat membuat keputusan terbaik ketika hari pengundian nanti supaya memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu membangunkan kawasan mereka.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 November ini berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 September lalu.

Khamis, Oktober 14, 2010

BLOGGERS TAK PERLU BOIKOT PILIHANRAYA KECIL GALAS


Ada blogger yang pro Rocky Bru mencadangkan supaya semua blogger memboikot pilihanraya kecil DUN Galas. Saya kira tindakan ini tidak wajar kerana apa yang berlaku kepada Rocky Bru adalah di antara beliau dengan menteri BN secara peribadi.

Oleh kerana Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah membuat laporan polis, maka kita serahlah kepada siasatan polis. Rocky Bru yang buat tuduhan bahawa anak Dr. Rais ada terbabit dalam syarikat yang didakwanya hendaklah membuktikan kebenaran. Oleh itu beliau tidak perlu takut jika apa yang ditulisnya itu benar.

Penulis blog Rocky's Bru, Datuk Ahirudin Attan semalam memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini berhubung laporan polis yang dibuat oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berhubung projek jalur lebar.

Ahiruddin mula memberi keterangan pada pukul 11.30 pagi kepada seorang pegawai SKMM dan hanya selesai satu jam setengah kemudian.

Beliau yang ditemui pemberita selepas memberikan keterangan berkata, kerjasama penuh telah diberikan kepada pihak SKMM bagi membolehkan siasatan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Saya memberikan kerjasama kepada SKMM seperti yang diarahkan dan tidak timbul sebarang masalah mengenai perkara itu.

"Soalan yang ditanya oleh pegawai itu adalah berdasarkan perkara rutin seperti memastikan adakah blog itu milik saya dan beberapa lagi perkara rutin lain," katanya.

Semalam, Rais membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung dakwaan blog Rocky's Bru kononnya anak beliau mempunyai kepentingan dalam kementerian terbabit dengan memperoleh geran RM1 bilion bagi menaik taraf akses jalur lebar di seluruh negara.

Difahamkan, beliau turut membuat laporan sama terhadap blog Taikors and Taikuns (TnT) dan bigdogdotcom.

Ahiruddin berkata, beliau juga bersedia menyerahkan komputer peribadinya kepada SKMM seperti yang dikehendaki bagi siasatan lanjut.

Katanya, sehingga kini beliau belum dihubungi polis untuk memberikan keterangan mengenai perkara tersebut dan yakin akan dipanggil dalam masa terdekat ini.

Rabu, Oktober 13, 2010

PERTEMUAN CUCU CICIT HAJI ABDUL LATIF



Hari Sabtu lalu, 9 Oktober lalu, buat kali pertama cucu, cicit,cuit Haji Abdul Latif bin Haji Abdullah berkumpul di rumah anak bongsunya, Mohd. Lutfi di Taman Selasih, Kuala Lumpur.

Mohd. Lutfi,51, adalah anak bongsu dari tujuh beradik dilahirkan di Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan.Mohd. Lutfi atau lebih dikenali sebagai Pak Su Pi adalah pegawai MTD di Ajil, Terengganu. Beliau mengambil inisiatif mengumpulkan sanak saudaranya yang berada di Kuala Lumpur menghadiri majlis rumah terbukanya di samping mengumpul semula saudara mara yang lama terpisah.

Ayah Pak Su Pi, Tok Latif atau Tok Teh sepanjang hayatnya tinggal di rumahnya di tepi masjid Padang Pak Amat. Beliau mempunyai tujuah orang anak,Ayah Long (Haji Mohd. Amin) yang pernah tinggal di Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mempunyai 10 anak. Anak kedua, Ayah Ngah (aruah Haji Saidi) adalah ayah saya bekerja di Kuala Berang, Terengganu dan selepas pencen aruah menetap di Balok, Kuantan, Pahang mempunyai enam orang anak.

Anak ketiga,Ayah Su (aruah Haji Safawi) menetap di Selinsing, Kelantan mempunyai lima orang anak. Mereka bertiga, Ayah Long, Ayah Ngah dan Ayah Su dari satu emak. Selepas emaknya meninggal dunia, Tok Teh menikahi emak baru dan memperolehi empat orang anak,Mak Cik Dah, Mak Doh,Mak Yoh dan Pak Su Pi. Mak Cik Dah menetap di Padang Pak Amat mempunyai 13 orang anak. Mak Doh tinggal di Gua Musang mendapat lima orang anak. Mak Yoh duduk di Wakaf Lichong memperolehi lapan orang anak dan Pak Su Pi mempunyai tiga orang anak.

Ini bermakna Tok Teh mempunyai 7 orang anak, 50 orang cucu,200 orang cicit dan 1 orang cuit yang merupakan cucu sulong saya, Insyirah Balqish binti Mohd. Faizal. Tok Teh meninggal dunia pada tahun 1991 ketika berusia 80 tahun.

Sewaktu Tok Teh masih hidup, kami sering berkumpul di rumahnya di Padang Pak Amat. Kini oleh kerana cucu dan cicitnya ramai yang menetap di Kuala Lumpur maka di rumah Pak Su Pi lah tempat kami berkumpul. Oleh itu usaha Pak Su Pi mengumpulkan sanak saudara cucu,cicit Tok Teh wajar diteruskan di masa-masa akan datang. Tahniah Pak su Pi.

Selasa, Oktober 12, 2010

UMNO TAKKAN TUNTUT KERUSI BATU SAPI


Biarpun majoriti pengundi Bumiputera Islam adalah sebanyak 60 peratus di parlimen Batu Sapi, UMNO tidak akan menuntut kerusi parlimen tersebut.

Menurut bekas ahli jawatankuasa UMNO bahagian Batu Sapi, Sapari Idal, UMNO tetap mengutamakan semangat setiakawan dengan memberi laluan kepada PBS untuk bertanding pada pilihanraya kecil yang dijangka diadakan pada bulan hadapan.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, pada Sabtu lalu.

Chong, seorang perunding kejuruteraan adalah bendahari PBS dan pengerusi cawangan Elopura parti itu.


Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

Menurut Sapari yang juga timbalan pengarah peti undi DUN Sekong, UMNO sedia menerima siapa sahaja calon yang akan diletakkan oleh PBS.

BN dijangka ditentang oleh calon PKR pada pilihanraya kecil itu.

Sapari yang tewas dalam pertandingan naib ketua UMNO Bahagian Batu Sapi pada dua tahun lalu yakin BN akan menang dengan majoriti yang lebih besar kali ini.

"Pada pilihanraya umum lalu, majoriti pengundi Cina tidak mengundi BN, tetapi calon BN tetap menang dengan majoriti yang besar, " katanya lagi.

KARIM GHANI MASUK PKR?


Pengasas UMNO Sabah, Datuk Haji Karim Ghani dijangka menyertai PKR menjelang hari penamaan calon pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi tidak lama lagi.

Bekas Ketua Penerangan UMNO Sabah itu dikatakan kecewa dengan UMNO kerana beliau telah dipinggirkan oleh pucuk pimpinan UMNO Sabah sejak Datuk Seri Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah.

Baru-baru ini beliau telah dilantik oleh para penyokong USNO untuk membuat kajian ke arah mana mereka mahu pergi setelah mereka kecewa dengan UMNO. Dahulu USNO dibubarkan untuk memberi laluan kepada UMNO masuk di Sabah setelah PBS keluar dari BN pada pilihanraya umum 1990. Mereka lebih suka menghidupkan semula USNO tetapi Pendaftar Pertubuhan tidak mungkin meluluskan pendaftaran semula USNO. Oleh itu mereka terpaksa menyertai PKR sebagai wadah untuk menentang BN di Sabah kerana PAS tidak begitu kuat di Sabah.

Menurut beliau, dahulu UMNO masuk kerana nak tumbangkan PBS.

"Misi itu berjaya tetapi akhirnya PBS masuk BN, kami kena pinggir. Datuk Seri Pairin dapat masuk istana, kami dipinggirkan di luar istana. Jadi apa guna kami bertahan dengan UMNO," katanya yang juga bekas Senator dan bekas Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC).

Sudah setahun lebih saya tidak bertemu dengan Datuk Karim. Dua hari lepas beliau hubungi saya tetapi saya berada di Kemaman. Malam tadi saya berpeluang menemui Datuk Karim yang merupakan anak campuran Semenanjung-Sabah. Ayahnya Haji Ghani adalah guru berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, orang minang yang berhijrah ke Sabah dan bertemu jodoh dengan emaknya orang Sabah.

Saya temuinya di KL International Hotel bersama dua orang pengikut USNO, Nani bin Sakam dan seorang lagi yang saya lupa namanya. Beliau menunggu ketibaan seorang lelaki yang bernama Rahman yang beliau tidak pernah jumpa. Rupa-rupanya Rahman Botak bekas ahli parlimen PKR Kemaman (1999-2004) yang kini setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seperti biasa Datuk Karim suka makan di Restoran Hokkaido di depan Hotel Vistana. Kami makan berlima. Kemudian penulis buku politik Sabah, Musli Oli tiba menyertai kami bersama anaknya, Gaddafi bekas pembaca berita RTM dengan tunangnya anak Deddy M. Borhan dan Junainah M. Amin. Gaddafi dan tunangnya makan di meja lain.

Inilah kali pertama saya berpeluang bertemu dengan Rahman Botak walaupun saya juga orang Kemaman kerana kami berlainan parti. Beliau tidak popular ketika menjadi ahli parlimen Kemaman kerana beliau bukan orang Kemaman. Beliau orang Kuala Terengganu. Beliau pernah dimarahi oleh kawan saya yang memohon pasir kerana beliau berkata siapa yang memohon pasir adalah penipu. Kawan saya hampir menumbuknya di pejabat tanah Kemaman pada tahun 2000 dahulu.

Musli yang juga Pengerusi Perkasa Sabah mencuri perhatian dalam perbualan kami malam tadi sambil beliau mempromosi buku barunya DILEMA NAJIB yang bakal dilancarkan oleh Presiden Perkasa, Datuk Haji Ibrahim Ali pada 18 Oktober ini.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kota belud kecewa kerana kehadiran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Afdal ke Kota Belud tidak disambut oleh Ketua Bahagian, Datuk seri salleh Said Keruak dan semua wakuil rakyat atas arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman. Nampaknya pertelingkahan di antara Musa dengan Shafie sudah menjadi pertelingkahan terbuka sekarang sedangkan kedatangan Shafie adalah sebagai menteri pusat dan Naib Presiden UMNO.

Isnin, Oktober 11, 2010

PILIHAN KU LI KENA DISOKONG


Semua pihak hendaklah memberi sokongan kepada calon yang dikemukakan Ketua Umno bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang pada pilihan raya itu.

Yang Dipertua Majlis Veteran Umno Kelantan, Datuk Rozali Isohak berkata dengan sokongan padu semua pihak, tidak mustahil kawasan yang menjadi kubu kuat Umno dan BN Kelantan kembali dikuasai Umno selepas ini.

"Secara tradisinya DUN Galas milik Umno, disebabkan wakil rakyat sebelum ini tidak mengambil tahu masalah rakyat, Umno kalah kepada PAS pada pilihan raya umum lalu," katanya ketika ditemui di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata DUN Galas merupakan jantung dan hati kepada Umno Kelantan kerana tidak pernah kalah termasuk pada pilihan raya umum 1990 di mana kerusi Umno dan BN tinggal dua sahaja.

"Tidak mustahil Umno dan BN Boleh menang sekiranya calon yang dikemukakan oleh Ku Li mendapat sokongan semua pihak," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau meminta mana-mana calon yang dipilih dan menang pada pilihan raya itu bekerja kuat demi masa depan Umno dan BN di Kelantan.

"Jangan ada lagi wakil rakyat yang mengabaikan tanggungjawab mereka tetapi wakil rakyat yang cakna rakyat," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Chek Hashim Sulaima, 46 kerana barah usus pada 27 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan 26 Okt ini sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, hari mengundi ialah pada 4 Nov.

Sabtu, Oktober 09, 2010

SEMAKIN RAMAI MUSUH KU NAN


Pemuda dan Puteri UMNO kesal dan kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang membuat kritikan terbuka terhadap kedua-dua pergerakan itu melalui media.

Sepatutnya, menurut mereka, Tengku Adnan perlu menggunakan platform parti untuk membuat teguran kerana ia melibatkan isu-isu dalaman yang boleh dimanipulasikan oleh pihak pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya tiada masalah untuk menerima kritikan atau teguran tetapi ia perlu spesifik dan tidak sepatutnya dibuat secara umum kerana ia tidak akan membantu sesiapa pun.

"Jika ada cadangan, teguran kenalah spesifik, jangan buat kenyataan sweeping general (teguran umum) kerana ia tidak akan membantu sesiapa.

"Tadi saya sudah memberi maklum balas kepada Tengku Adnan, ini masalah dalaman dan saya cakap apa reaksi saya kepada beliau, terpulang dan terserah kepada beliau untuk menerimanya," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Tun Razak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur semalam.

Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Hadir sama, Tengku Adnan.

Tengku Adnan semalam menyatakan kesedihannya terhadap Pemuda dan Puteri UMNO yang dianggapnya seperti tidak bermaya dan hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, masalah itu berpunca apabila mereka yang bertanding merebut jawatan dalam kedua-dua pergerakan tersebut mempunyai matlamat mendapat jawatan dalam kerajaan.

Khairy bagaimanapun ketika ditanya mengenai butiran percakapannya dengan Tengku Adnan semasa majlis itu, berkata:

"Itu bukan urusan anda (pemberita), bagi saya apabila beliau membuat kenyataan dan saya beri pandangan, maka dikira selesailah."

Ditanya adakah beliau akan membuat aduan mengenai perkara itu kepada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Khairy berkata, tiada keperluan bagi pihaknya berbuat demikian.

"Kita bukannya ingin isytihar perang, harap dapat diselesaikan secara kekeluargaan. UMNO bukannya macam Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila tidak berpuas hati, mengamuk dan baling kerusi," katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kritikan melalui media tidak sepatutnya dilakukan berdasarkan pada senario politik semasa yang tidak mengizinkan.

Jelas beliau, sepatutnya dalam keadaan politik negara yang bergolak semua pihak perlu muhasabah diri dan bekerjasama untuk menguatkan parti, bukan mengambil sikap menuding jari menyalahkan pihak lain.

"Kenyataan sebegini langsung tidak membantu parti dan ia tidak adil seolah-olah Pemuda dan Puteri hanya berjuang semata-mata untuk merebut jawatan, sedangkan hakikatnya kita di peringkat akar umbi bertungkus-lumus bekerja membantu parti dan kerajaan.

"Mungkin Tengku Adnan mempunyai pengalaman peribadi tetapi bagi saya jangan kerana 'nila setitik rosak susu sebelanga.'

"Bagaimanapun saya yakin pimpinan lain tidak berpandangan sedemikian dan saya nasihatkan ahli Puteri supaya jangan mudah lemah semangat dan jadikannya sebagai iktibar," katanya yang akan membawa perkara itu ke MT bagi mengelak ia kembali berulang pada masa hadapan.

KU Nan nampaknya menjadi Setiausaha Agung UMNO yang tidak popular. Baru-baru ini beliau berbalah dengan Perkasa. Beliau yang pernah menjadi ahli lembaga pengarah Berjaya Group milik Tan Sri Vincent Tan agak lantang menyelar Perkasa. Kenyataan Ku Nan itu membuatkan ramai ahli Perkasa marah kepadanya.

Kini musuh Ku Nan makin bertambah bila beliau mengkritik pemuda dan wanita melalui media. Sepatutnya Khairy Jamaluddin dan Datuk Rosnah tidak perlu marah dengan kenyataan Ku Nan kerana itulah kenyataan yang sebenar kerana pemuda dan puteri UMNO terlalu lemah, lembik, lesu dan longlai.

Cuma mereka mahu Ku Nan menggunakan saluran parti untuk menegur pemuda dan wanita. Bukan salah Ku Nan kerana media yang minta komennya. Tak perlu takutlah Ku Nan. Tegurlah pemuda dan puteri supaya mereka berada di landasan yang betul. Soal menegur melalui media tidak perlu dijadikan isu.

Jumaat, Oktober 08, 2010

BERHATI_HATI DENGAN PEREMPUAN INI




Kepada semua rakan-rakan facebook, anda kena berhati-hati dengan perempuan bernama Mamarini Husin ini. Saya tak kenali dia yang berasal dari Kuantan. Dahulu saya add dia tetapi banyak kali dia menyinggung saya, maka saya reject dia. Kini dia selalu berhubung melalui mesej saya bercakap lucah. Segan saya.

Tengok orangnya sudah berumur. Yang pelik dia tahu latarbelakang saya tetapi saya tidak pernah kenalinya. Oleh itu berhati-hatilah dengan perempuan gila ini.

JANGAN MARAH TOK GURU


Pelik juga tok guru macam Nik Aziz boleh marah juga. Sepatutnya bila SPR umum tarikh pilihanraya kecil bagi DUN Galas, beliau kena terima tarikh itu dengan hati yang terbuka dan bukan memarahi SPR konnnya tarikh itu menguntungkan pihak BN.

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan 4 November ini sebagai tarikh membuang undi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ia kerana kata beliau, tiga hari sebelum itu sidang DUN diadakan mulai 1 November.

"SPR tidak fikir langsung cerita orang lain, dia fikir cerita UMNO dia sahaja. Saya sebut ini terang-terang, kita sudah tetapkan sidang DUN yang perlu dihormati.

"Itulah bendanya. Ini menimbulkan kebencian masyarakat Kelantan terhadap SPR," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, SPR tidak pernah bertanya kepada kerajaan negeri tentang tarikh tersebut yang sudah pun ditetapkan sebelum ini.

SPR semalam menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN Galas pada 26 Oktober ini manakala hari pengundian pada 4 November.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar selepas mempengerusikan mesyuarat khas suruhanjaya itu di Putrajaya.

Khamis, Oktober 07, 2010

PAS PERLI ORANG ASLI?


Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husham Musa tidak menolak kemungkinan meletakkan calon orang asli sebagai calon pilihanraya kecil DUN Galas.

Kenapa Husham berkata demikian? Adakah PAS tidak yakin menang jika Ku Li jadi calon BN maka PAS meletakkan calon orang asli. Atau adakah PAS memperli orang asli yang menuntut supaya calon dari orang asli diletakkan di situ.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam kenyataannya semalam mengumumkan tarikh penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Galas pada 26 Oktober, manakala hari pengundian ialah 4 November.

Jika BN meletakkan Ku Li sebagai calon maka BN tidak perlu kerja kuat kerana beliau yang sudah jadi ahli parlimen sejak tahun 1974 sudah dikenali oleh penduduk di situ. Jika BN meletakkan orang baru yang belum dikenali maka sudah tentu dalam masa sembilan hari agak sukar BN merampas kembali kerusi DUN Galas dari tangan PAS.

Dalam pada itu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad mencabar Perkasa bertanding di DUN Galas jika benar Perkasa mendapat sokongan majoriti orang Melayu. Khalid tidak cerdik orangnya. Perkasa bukan parti politik. Ia adalah NGO. Kenapa Perkasa perlu masuk bertanding dalam pilihanraya?

Kalau Perkasa masuk sebagai calon Bebas, sudah tentu undi BN akan pecah dua kepada BN dan calon Bebas, maka yang menang ialah PAS. Oleh itu kemasukan Perkasa dalam pilihanraya tidak menguntungkan BN. Perkasa ditubuhkan bukan untuk menyaingi UMNO kerana ia adalah NGO Melayu. Oleh itu Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden Perkasa tidak perlu melayan cabaran Khalid Samad ini.

Rabu, Oktober 06, 2010

BUAT APA LAYAN AZMIN


Pelbagai pihak hari ini mendesak calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali supaya memohon maaf secara terbuka terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tegas mereka, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak bukan setakat perlu membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi turut wajib bersemuka dengan negarawan itu bagi memohon keampunan.

Selain itu, orang kepercayaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat negara ini yang amat menyayangi dan menyanjungi Dr. Mahathir tetapi tersinggung akibat dihina oleh Azmin.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Omardin ternyata amat kecewa, sedih dan tersinggung dengan kenyataan Azmin yang menggunakan istilah 'tersungkur' ketika merujuk kepada Dr. Mahathir yang dirawat di Australia.

Beliau menyelar Azmin itu yang disifatkan sebagai lebih hina dan teruk daripada binatang kerana tidak tahu bersyukur dan berterima kasih terhadap sumbangan Dr. Mahathir.

"Binatang pun tahu berterima kasih apabila kita berbuat baik terhadapnya, contohnya anjing apabila kita memberinya tulang, binatang ini akan mengerak-gerakkan ekornya sebagai tanda terima kasih.

"Segala kekayaan dan kesenangan yang diperoleh Azmin kini semuanya dikaut semasa era Dr. Mahathir iaitu semasa bekerja dengan Anwar yang pada ketika itu menjadi anggota kerajaan, jadi kenalah bersyukur dan berterima kasih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengulas kenyataan Azmin kelmarin yang mengakui individu yang dimaksudkan sebagai sedang 'tersungkur' dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak ialah Dr. Mahathir.

Malah, Azmin dengan angkuhnya berkata, perkataan 'tersungkur' itu langsung tidak kasar, sebaliknya amat lunak dirujuk kepada Dr. Mahathir berikutan kedegilan beliau bersekongkol dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Sementara itu, bekas rakan karib Anwar, Datuk S. Nallakarupan berkata, walaupun berlainan pendirian politik tetapi Azmin masih perlu menghormati Dr. Mahathir yang banyak berjasa kepada negara.

Beliau menarik perhatian bahawa agama Islam sendiri mengajar penganutnya supaya menghormati orang lain yang lebih berusia sama ada beragama Islam atau sebaliknya.

"Azmin kena ingat dulu dia langsung tiada apa-apa, Dr. Mahathirlah yang mencadang namanya supaya diambil oleh Anwar untuk bekerja dan membantunya.

"Malah saya semasa ditahan oleh kerajaan (Dr. Mahathir) bersama dengan Anwar pada 1998, tidak pernah berdendam atau memaki-hamun Dr. Mahathir kerana saya tahu jasanya terlalu besar kepada negara," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Datuk Mohd. Ali Baharom menyifatkan Azmin sebagai pemimpin 'tidak sedar diri' yang langsung tidak layak menghina atau mengkritik Dr. Mahathir jika dibandingkan dengan jasa dan sumbangan calon Timbalan Presiden PKR itu.

"Azmin terlalu kerdil. Orang muda 'tidak sedar diri' ini perlu memohon maaf secara terbuka kepada Dr. Mahathir dan seluruh rakyat negara ini. PVTM tidak boleh sampai bila-bila menerima penghinaan ini," katanya.

Pada pendapat saya, buat apa layan Azmin Ali. Dia kini berdepan dengan Datuk Zaid Ibrahim dalam pertandingan Timbalan Presiden PKR. Maka dia perlu cari publisiti untuk meraih undi para perwakilan PKR.

Bila semua pemimpin UMNO mengecamnya sedikit sebanyak grafnya naik dan ini akan memberi kelebihan kepada beliau untuk memenangi kerusi itu. Oleh yang demikian, tidak perlulah kita layan Azmin ini. Beliau hanya mencari publisiti murah sahaja untuk kepentingan politiknya.

Selasa, Oktober 05, 2010

SAMSURI ROSLAN DALAM KENANGAN


Petang semalam rakan lama di karangkraf, Armazi Ahmad datang ke pejabat saya memberitahu berita kematian Samsuri Roslan dua hari lepas. Saya terkejut mendengar berita kematian itu kerana empat hari lepas ketika saya ke Kapar menemui seorang rakan saya teringat padanya kerana sudah lama kami tidak bertemu.

Saya cadang nak singgah di rumahnya di Meru tetapi saya tak tahu rumahnya dan tak tahu nombor handphonenya. Sudah dua tahun kami lost contact setelah akhbar Watan ditutup pada April 2008.Saya rasa terkilan kerana tak sempat menemuinya sedangkan menurut blogger Mohd sayuti Omar, beliau telah masuk ke hospital sejak dua minggu kerana diserang angin ahmar.


Beliau adalah kolumnis Watan ketika Baha Azwan menhgidupkan semula Watan pada tahun 2007 yang mana saya menjadi editornya. Kami hanya bertemu sekali sahaja ketika menawarkannya untuk menulis di Watan. Kami lebih banyak berhubunmg melalui telefon dan e mail.

Saya mengenalinya sejak menyertai akhbar Watan di Karangkraf pada tahun 1987. Ketika itu saya adalah wartawan baru Watan yang diketuai oleh Haji Khairune Ali, kini penerbit Warta Perdana. Sejak itu kami berkawan rapat. Beliau adalah seorang yang rapat dengan setiausaha politik Menteri pelajaran, Datuk Seri anwar Ibrahim ketika itu iaitu Datuk Mohd. Sarit Jusoh.

Aruah juga adalah saudara kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Miskon Sutero. Ketika saya dilantik sebagai penolong editor akhbar watan pada tahun 1988 selepas permit Watan yang diharamkan sewaktu operasi lalang 1987 , Samsuri membantu saya sebagai pengarang rencana.

Beliau ditugaskan memilih rencana untuk disiarkan oleh akhbar watan. Pernah saya berpolimik dengan Mohd. Shiffi mengenai politik Terengganu. Saya tanya dia siapa Mohd. Shiffi, sampai ke sudah dia kuat menyimpan rahsia tidak memberitahu saya siapa penulis yang menggunakan nama samaran Mohd. Shiffi itu walaupun saya adalah bossnya.

Pada tahun 1998, beliau ada permit majalah Detik yang dikendalikan oleh Ahmad Lutfi Othman yang kini merupakan editor akhbar Harakah. Detik begitu panas sebaik-baik sahaja Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO. Detik akhirnya tidak disambung permit kerana kononnya ia menggugat keselamatan negara.

Sejak Detik berkubur, kami tetap berhubung dan akhirnya bila Watan diterbitkan semula pada tahun 2008 kami bertemu kembali. Tetapi sayangnya nyawa Watan tidak kekal lama. Sejak itu kami terputus hubungan.

Lima hari lepas saya ke Kapar dan saya teringat padanya. Saya ingin ketemunya tetapi tak tahu rumahnya dan tak tahu nombor handphonenya. Saya masih ingat pada tahun lepas menjelang hariraya aidilfitri beliau lama menelefon saya menceritakan perkembangan terbaru dirinya. Kami janji nak jumpa tetapi hingga ke saat-saat akhir saya tidak sempat menemuinya. Itu yang membuatkan saya terkilan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.Al fatihah.

Isnin, Oktober 04, 2010

KISAH SEORANG JUTAWAN


Saya ada seorang kawan yang sudah haji berusia 60 tahun baru dapat kawasan balak. Bila dia jual kawasan itu kepada taukeh Cina, dia dapat RM2 juta. Maka kayalah kawan saya ini.

Sejak dia kaya dia sudah lupa kepada kawan-kawan lama yang pernah menghulur duit kepadanya. Masa dia susah naik bas, selalu kawan-kawan hulurnya duit RM50 kepadanya untuk beli rokok dan lain-lain keperluan.Sekarang ini dia masih pakai kereta Gen 2 tapi sudah mula berubah. Dia kata dia mahu beli kereta mercedez compressor pada tahun depan selepas rumahnya yang sedang dibina bernilai RM300 ribu siap nanti.

Jutawan baru ini ada seorang kawan di Kuala Lumpur. Oleh kerana isterinya sakit maka dia suruh kawannya memperkenalkan seorang janda kepadanya. Maka kawannya perkenalkan seorang janda anak dua berumur 35 tahun.

Dalam pada itu semasa kawannya temui jutawan di sebuah hotel di Chow Kit, kawannya bawa isterinya yang berusia 48 tahun. Jutawan ini memang sudah lama kenal isteri kawannya itu. Bila kawannya masuk tandas, maka dia minta nombor handphone isteri kawannya dan hulur duit belanja RM50 kepada isterinya tanpa pengetahuan kawannya itu.

Maka dia selalulah bersms dengan isteri kawannya itu. Dia pandai pujuk perempuan, top up prepaid dan beri duit belanja kepada isteri kawannya itu. Atas sebab-sebab ekonomi yang tidak kukuh, kawannya yang bekerja di Kuala Lumpur itu tidak bawa isteri ke Kuala Lumpur.

Tinggallah isterinya di kampung yang kebetulan sedaerah pula dengan jutawan ini. Maka jutawan ini ambil kesempatan menggoda isteri kawannya itu yang mana suaminya balik kadangkala dua minggu sekali ke kampung.

Sewaktu hari raya dia nak beri RM2,000 kepada isteri kawannya itu atas alasan untuk belanja raya. Isteri kawannya yang pergi temuinya bersama emak saudaranya menolak tawaran itu dan dia hanya beri duit raya sebanyak RM250 kepada isteri kawannya itu.
Katanya, dia beri ikhlas duit raya itu.

Bila rahsia sudah terbongkar maka kawannya itu mengamuklah. Kini jutawan itu tuduh isteri kawannya itu pula yang gatal, minta duit selalu dengannya. Dia kata nak saman isteri kawannya itu. Kawannya kata samanlah isterinya itu supaya rahsianya ada skandal dengan isteri orang terbongkar di mahkamah.Biar semua orang satu daerah tahu.

Dia cerita kepada isteri kawannya itu bahawa suaminya telah memperkenalkan seorang janda kepadanya. Dia kata setiap hari suaminya ajak janda itu berzina sedangkan janda itu bukan mudah menyerah dirinya kepada orang lelaki.

Dia cerita kepada isteri kawannya itu bahawa dia sudah berzina tiga kali dengan janda itu. Isteri kawannya itu nasihati jutawan itu tak baik berzina kerana dia sudah tua sedangkan dia pakai kopiah putih.Dia jawab soal dosa antara dia dengan Tuhan.

Jutawan itu selalu sms kepada isteri kawannya itu ajak dia berzina tetapi isteri kawannya itu masih kuat imannya. Sekarang dia marah kerana duit sudah banyak habis tetapi hajatnya untuk berzina tidak dapat.

Dia tuduh kawannya jahat tetapi siapa yang lebih jahat kerana kawannya tak pernah hantar sms kepada isteri kawannya itu. Dia cerita dia sudah lama tidak dapat bersama isterinya kerana isterinya tidak mahu. Bila dia bawa isterinya ke bilik, isterinya panggil anaknya yang berusia 13 tahun bawa penyapu memukulnya.Maka sudah lama air naik ke kepala dan tidak keluar.

Sebab itulah dia jadi tak keruan. sampai isteri kawan sendiri pun sanggup dia goda. Kawannya tanya janda itu betul ke jutawan itu sudah tiga kali berzina dengannya. Maka janda itu sms kepada jutawan itu marahinya kerana selama ini dia kelentong sahaja.

Jutawan itu mengamuk kerana kerana kawannya itu tanya janda itu sudah berapa kali mereka berzina. Yang pelik sekarang sudah ada banyak wang kenapa perlu berzina di usia senja begini. Sepatutnya nikahilah secara halal. Ini yang susahnya takut kepada isteri.

Maka putuslah persahabatan baik mereka berdua kerana tindakannya menggoda isteri kawan sendiri tidak masuk akal langsung. Dia cuba ambil kesempatan di atas kedudukan tidak stabil kewangan kawannya itu.

Kesimpulannya, bila sudah kaya ingatlah zaman susah. Dahulu dia susah kerana derhaka kepada ayahnya sendiri. Sanggup saman ayahnya di mahkamah kerana harta bila ayahnya nikah lain. Ramai kawannya masa dia susah dulu kini sudah malas berkawan dengannya kerana dia tidak berubah.

Bila jumpa, dia asyik kutuk orang lain yang dapat projek dari kerajaan. Patutnya dia insaf bila dia sudah kaya janganlah kutuk orang kata bangsat kerana rezeki itu tidak akan kekal jika kita berzina. Bila Allah tarik semula rezekinya itu baru dia tahu langit tinggi rendah. Gunakanlah peluang terakhir dari Allah ini untuk kebaikan dan bukannya untuk berzina.

Jumaat, Oktober 01, 2010

KALAU ISA SAMAD BOLEH JADI CALON, MASAKAN KU LI TIDAK?


Kalau bekas Menteri Wilayah Persekutuan,Tan Sri Isa Samad boleh dijadikan calon BN bagi pilihanraya kecil Bagan Pinang pada tahun lepas, apa salahnya BN kali ini mencalonkan ahli parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon bagi pilihanraya kecil DUN Galas.

BN lebih mudah bekerja kalau Ku Li dijadikan calon kerana semua orang sudah kenal Ku Li. Kalau letak orang baru, menjadi masalah bagi Bn untuk memperkenalkan calon baru dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Justru itu cadangan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian wajar diambil kira oleh pucuk pimpinan parti. Ku Li bukannya mahu jadi Menteri Besar Kelantan pada pilihanraya umum akan datang tetapi beliau diperlukan di saat-saat ini untuk merampas kembali kerusi DUN Galas.

Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, pihaknya yakin kewibawaan dan kepemimpinan Tengku Razaleigh di Gua Musang satu kelebihan bagi BN untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PAS.

Saya percaya dengan berkat kepimpinan beliau sebagai Ahli Parlimen selama lebih 30 tahun serta sudah memimpin UMNO Gua Musang selama lebih 20 tahun akan memberikan kekuatan baru kepada UMNO Kelantan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Sudah tiba masanya Ku Li diberi peranan yang lebih termasuk sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan keupayaan beliau sebagai orang lama parti selain boleh memainkan peranan yang lebih di DUN Kelantan, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima yang merampas kerusi itu daripada BN pada pilihan raya umum lalu apabila menewaskan calon BN, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Pada pilihan raya umum 2004 Mohamad Saufi memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,729 undi. Kerusi itu sebelum ini adalah kubu kuat BN dan peranan Tengku Razaleigh diperlukan bagi merampasnya kembali.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Ketua UMNO bahagian Gua Musang itu sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN bagi pilihan raya kecil itu.
Anuar berkata, pucuk pimpinan parti perlu memikirkan perkara itu dengan serius kerana khidmat bakti Tengku Razaleigh diperlukan bagi membantu masyarakat Kelantan terutama di Gua Musang.

Rakyat Kelantan, sedikit sebanyak memerlukan orang seperti Ku Li untuk membantu negeri ini keluar dari kepompong kedaifan dan fahaman songsang PAS yang menular dikalangan masyarakat luar bandar dengan perpecahan yang boleh menyebabkan masa depan orang Melayu hancur, katanya.

Bagaimanapun, katanya, Pemuda Kelantan menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon yang akan bertanding dan pihaknya akan memberi sepenuh sokongan bagi memastikan kemenangan BN.