Selasa, Oktober 19, 2010

KARIM GHANI KELUAR DARI UMNO


Seorang ahli politik veteran utama yang membawa Umno masuk ke Sabah, Datuk Karim Ghani, mengumumkan beliau keluar dari parti itu semalam.

Karim adalah antara bekas pemimpin Usno (United Sabah National Organization), termasuk Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun (pengasas Usno), yang memainkan peranan membawa Umno masuk ke Sabah pada 1990an.

Usno dibubarkan untuk memberi laluan kepada Umno.

Karim berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya ke ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur dan pejabat negeri parti itu di sini, awal semalam.

"Saya telah keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta hari ini. Saya tetap dengan keputusan ini dan dalam pada itu saya tidak berparti sehingga menemui parti politik yang sesuai," katanya pada sidang akhbar di sini.

Karim berkata beliau kecewa dengan kegagalan Umno untuk mencapai objektif memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Sabah.

Bekas naib presiden Usno itu menyertai kumpulan yang setia kepada Usno yang baru-baru ini meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar mengkaji semula keputusannya menolak permohonan mereka memulihkan Usno.

Ada laporan menyatakan majoriti bekas pemimpin Usno merasa mereka dipinggirkan dan mahu parti itu dipulihkan untuk membolehkan mereka meneruskan perjuangan politik mereka.