Memaparkan catatan dengan label bajet. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bajet. Papar semua catatan

Sabtu, Oktober 16, 2010

BUKAN BAJET PILIHANRAYA


Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat, sekali gus mampu meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Sambil menegaskan ia bukan bajet pilihan raya, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2011 itu juga merupakan satu lonjakan ke arah mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, Bajet 2011 itu turut melakar harapan baru bagi rakyat apabila pelaksanaannya kali ini mengambil kira input serta cadangan daripada mereka.

''Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri atas pembentangan Bajet 2011 yang bagi saya cukup istimewa serta bakal memberi kesan yang maksimum kepada rakyat.

''Saya yakin semua pihak yang mendengar bajet kali ini akan berpuas hati kerana seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Bajet 2011 adalah bajet rakyat hasil maklum balas yang diterima oleh kerajaan daripada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Ringkasnya Muhyiddin berkata, pengumuman Perdana Menteri melalui Bajet 2011 bukan sahaja melibatkan rakyat bandar dan luar bandar malah ia turut mencakupi sektor-sektor utama yang akhir berperanan menyediakan landasan jelas ke arah menjadikan Malaysia negara maju.

"Saya amat menyanjungi segala usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri ini. Selain berusaha memberi yang terbaik untuk rakyat kesediannya memberi respons terhadap cadangan rakyat juga amat memberangsangkan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan pembangkang bahawa Bajet kali ini bajet pilihan raya Muhyiddin berkata:

''Ini bukan bajet pilihan raya tetapi apa yang penting melalui pengumuman Perdana Menteri itu semua peringkat rakyat jelata tahu bahawa mereka akan memperoleh nikmat dan faedahnya."

Beliau berkata, Bajet 2011 bukan disebabkan tujuan tertentu tetapi semata-mata memastikan rakyat dapat hidup selesa pada masa akan datang.

Sementara itu ditanya mengenai pembangunan projek-projek berimpak tinggi Muhyiddin berkata, maklumat mengenai projek-projek yang akan dilaksanakan, termasuk projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) akan diumumkan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Mengenai projek pembangunan Warisan Merdeka, iaitu pembangunan menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia, Muhyiddin berkata, ia dijangka akan dibina di sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Projek itu yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020 bernilai RM5 bilion dan menaranya dijangka siap pada 2015.

Selasa, Disember 22, 2009

TERENGGANU BENTANG BAJET RM1.8 BILION


Dana Khas Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.731 bilion, mewakili sebahagian besar peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Terengganu untuk Bajet 2010 yang keseluruhannya berjumlah RM1.881 bilion.

Menteri Besar Terenganu Datuk Ahmad Said berkata jumlah dana yang diunjur daripada sumber kerajaan pusat, termasuk royalti petroleum itu mewakili 92 peratus daripada peruntukan bajet tahun hadapan manakala bakinya RM163 juta atau lapan peratus, daripada sumber kerajaan negeri sendiri.

Ahmad berkata selain menerima tempias kelembapan ekonomi global, kerajaan negeri sebagai penerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau royalti minyak, juga berdepan cabaran keadaan harga bahan api itu yang tidak menentu di pasaran dunia dan sumber yang tidak kekal.

Oleh itu, Ahmad ketika membentangkan Bajet 2010 bertema "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan", pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Isnin, berkata kerajaan negeri akan meneruskan dasar pengurusan bajet yang seimbang meskipun masih menghadapi kekangan hasil.

"Kerajaan akan memastikan perbelanjaan dilakukan secara lebih berhemah dan melaksanakan langkah jimat cermat tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan penjawat awam serta projek yang telah dirancang dilaksanakan mengikut jadual," katanya.

Bagaimanapun katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Terengganu dijangka bertambah baik daripada tahun sebelumnya dan berada pada paras 1.8 peratus hingga 2.6 peratus pada 2010 jika dilihat kepada tanda-tanda pemulihan ekonomi negara.

Berhubung kedudukan kewangan negeri, beliau menjelaskan Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit sebanyak RM424.96 juta pada tahun 2008 berbanding defisit RM278.42 juta pada tahun 2007, antara faktor utamanya ialah disebabkan kerajaan tidak menerima sepenuhnya pemberian dana khas berkenaan seperrti anggaran dalam tahun 2007 dan 2008.

"Kekurangan dalam Akaun Hasil Disatukan ini menyebabkan baki kumpulan wang disatukan negeri susut daripada RM492.35 juta tahun 2007 kepada RM404.65 juta pada 31 Dis 2008.

Bagaimanapun, kerajaan berharap defisit dalam akaun ini akan dapat dikurangkan secara berperingkat dengan penerimaan dana khas daripada kerajaan pusat," katanya.

Kedudukan Kumpulan Wang Pembangunan pula menjadi lebih baik kerana baki defisit RM79.16 juta pada tahun 2007 telah dapat dipulihkan menjadi positif RM28.62 juta pada 31 Dis 2008 setelah mengambil kira RM713.35 juta perbelanjaan pembangunan pada tahun tersebut, katanya.

"Kumpulan Wang Bekalan Air juga mengekalkan baki positif tetapi menurun sedikit daripada RM134.72 juta pada tahun 2007 kepada RM128.43 juta pada 31 Dis 2008.

Penurunan ini disebabkan perbelanjaan pembangunan projek bekalan air yang meningkat kepada RM86.52 juta pada 2008 berbanding RM46.92 juta pada 2007," katanya.

Beliau berkata daripada jumlah RM1.881 bilion yang diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan mengurus, sebanyak RM64.40 juta adalah untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.817 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

Menerusi perbelanjaan bekalan katanya, sebanyak RM1.401 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, emolumen (RM208.77 juta), perkhidmatan dan bekalan (RM168.99 juta), aset negeri (RM37.27 juta) dan RM1.16 juta untuk perbelanjaan lain.

Beliau berkata hala tuju Rancangan Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013 ialah dengan memberi penekanan terhadap sektor yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi di samping membasmi kemiskinan.

Empat sektor yang diberi tumpuan ialah pendidikan dan pembangunan sumber manusia, pertanian dan asas tani, pelancongan serta industri, perdagangan, perkhidmatan dan teknologi maklumat dan komunikasi.

"Bajet kali ini juga tertumpu trehadap tiga strategi utama iaitu membangunkan modal insan berkualiti, menjamin kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri," katanya.