Memaparkan catatan dengan label jutawan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jutawan. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 08, 2016

DR VIDA SUDAH LAHIRKAN 50 JUTAWAN PAMOGA QU PUTEH



Belum pernah saya hadiri majlis sidang akhbar seperti majlis sidang akhbar Astro petang semalam  di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Biasanya selepas habis sidang akhbar wartawan bergegas pulang tetapi kali ini mereka menunggu penaja konsert Mega Gegar Vaganza yang akan diadakan di Istana Budaya minggu hadapan sehingga maghrib untuk wawancara eksklusif dengan Datuk Seri  Vida.

"QU Puteh, Barulah Putih', satu slogan yang mungkin agak kelakar pada pendengaran, malah sesetengah orang berasa terganggu apatah lagi apabila diulang berkali-kali. Hakikatnya, slogan tersebut telah berjaya melonjak kembali populariti pengasas produk kecantikan terkenal tanah air, Datuk Seri Dr. Hasmizah Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.


Slogan tersebut dilihat memberi impak besar kepada perniagaannya dan menjadi sebutan ramai tidak kira daripada anak kecil hinggalah dewasa, biarpun pada masa sama tidak kurang yang memperolok dan memperlekeh dengan melempar kata-kata kurang enak. Malah cucu saya yang baru berusia satu tahun setengah sudah pandai meniru aksi Dr Vida yang meletakkan dua jarinya di pipinya (lihat video).

Tidak cukup dengan itu, Vida turut dikritik hebat dengan penampilannya yang sentiasa ‘disinari’ kilauan dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki.

Berilah gelaran apa pun, bagi Vida, sedikit pun tidak menjadi ‘kudis’, malah dia amat berbangga kerana sekurang-kurangnya slogan yang dianggap kelakar serta penampilan yang dianggap keterlaluan menjadi sebutan ramai.

Itu sahaja sudah cukup bagus untuk mempopularkan kembali perniagaannya.

Bagaimanapun, ibu kepada empat orang cahaya mata ini mengakui, pada mulanya dia berasa agak tertekan, namun mengambil pendekatan secara positif.

“Tipu kalau saya kata saya tidak terasa hati dengan cakap-cakap orang tetapi demi perniagaan, saya ‘telan’. Hasilnya, sekarang saya cukup bersyukur kerana produk Qu Puteh semakin laris sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Mengenai penampilan saya pula, ‘blink-blink’ sudah sinonim dengan diri saya dan biarlah apa orang hendak cakap. Lagipun saya hanya berpenampilan begitu ketika acara formal sahaja, sedangkan pada hari-hari biasa saya seperti individu-individu lain, ringkas dan selesa.

“Yang pasti hari ini biarlah apa orang nak cakap kerana saya tahu apa yang saya lakukan dan saya positif,” katanya. Dr Vida mula dikenali umum selepas menaja Anugerah Juara Lagu terbitan TV3 pada tahun lepas dan fenomena ini berterusan apabila beliau menaja siaran langsung Gegar Vaganza bulan lepas di Astro Ria yang mendapat rating tertinggi.

Menyedari fenomena Gegar Vaganza, maka Astro membawa Mega Gegar Vaganza ke Istana Budaya selama tiga malam berturut turut mulai 15 Januari dengan membawa 13 orang artis yang menyertai final Gegar Vaganza 1 dan 2 seperti Ayai, Nana, Farahdiya, Acong, Ezad, Nasir Wahab, Haleeda, Haiza dan lain-lain.


Bercerita serba sedikit mengenai perniagaan yang diusahakan, jelas wanita kelahiran Machang, Kelantan, ini, dia memang seorang yang minat berniaga, malah mula menjual nasi lemak dan kuih muih seawal usia sembilan tahun.

Tidak terhenti setakat itu, ‘kerjayanya’ diteruskan sehinggalah beliau membuat keputusan untuk menjual barangan kecantikan pada usia 12 tahun dan berterusan sehingga melanjutkan pelajaran ke universiti.

Sememangnya seorang wanita yang tidak boleh duduk diam, Vida berkata, pelbagai jenis pekerjaan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan duit.

“Seawal darjah tiga saya sudah mula berniaga, tetapi waktu itu bukan niat untuk membantu orang tua sebab keluarga saya boleh dikatakan agak senang.

“Apa yang dilakukan waktu itu hanyalah semata-mata untuk dapat duit kerana saya bercita-cita tinggi ingin memiliki segala-galanya apabila dewasa nanti seperti kereta, motosikal, dan rumah sendiri.

“Jadi untuk mendapatkan apa yang dihajati, saya pernah bekerja di kilang, menjual pokok bongsai, dan tidak ketinggalan bekerja di restoran makanan segera,” katanya bersungguh.

Turut mengakui dirinya seorang yang sukakan cabaran, beliau memberitahu, segala yang dilakukan adalah kehendak dirinya sendiri malah bersyukur kerana keluarga sentiasa menyokongnya.

Setelah lama berbual dan bercerita mengenai pengalaman berniaga, dikejutkan pula dengan pengalaman kerjanya sebelum bergelar usahawan kosmetik.

Berkelulusan Ijazah Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM), menurut anak bongsu daripada tiga beradik ini lagi, beliau pernah bergelar cikgu sekolah selama 12 tahun di Sekolah Jenis Kebangsaan Pooi Lam. Inilah kelebihan Dr Vida yang boleh bercakap dalam bahasa mandarin.

Sanggup meletak jawatan ‘24 jam’ gara-gara ingin memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan yang diusahakan.

Vida bangga kerana sekurang-kurangnya segala perancangan yang diatur berjalan dengan lancar sehingga ke hari ini.

Setelah berhempas pulas menjual produk orang lain, akhirnya beliau tampil dengan produk jenama Vida Beauty yang terdiri daripada sabun, krim siang, dan krim malam.

Bertitik tolak daripada situ, beliau meneruskan langkah dengan mengeluarkan minuman kesihatan, Pamoga pada tahun 2010 dengan 
harapan ingin melawan pasaran antarabangsa.

Nasib menyebelahi apabila produk tersebut yang dihasilkan daripada gamat dan buah delima mendapat sambutan dan kekal sehingga hari ini.

Perjalanan Vida tidak terhenti di situ, malah selepas Pamoga dilancarkan beliau membuat perancangan seterusnya dengan mengeluarkan pula minuman untuk pencerahan pada tahun 2013.

Habis sahaja berbicara mengenai perjalanan kerjayanya, Vida tidak ketinggalan menceritakan serba sedikit kisah arwah anak-anaknya yang terkorban dalam kebakaran pada Ogos 2013.

Akibat daripada peristiwa tersebut, beliau menjadi sugul dan menyepikan diri selama setahun lebih kerana terlalu bersedih dan banyak memikirkan apa yang telah berlaku.

“Saya mengalami konflik identiti akibat daripada kematian anak-anak saya kerana berlaku secara tiba-tiba.

“Masa itu tiada apa yang difikirkan melainkan takut mati dan ketika itu jugalah segala-galanya (perniagaan) diuruskan oleh kakitangan saya.

“Saya bukan sahaja tidak mempedulikan perniagaan dan apa yang berlaku di sekeliling, malah saya juga tidak bertenaga untuk bekerja. Alhamdulillah segala-galanya dapat diatasi setelah mendapat nasihat daripada mereka yang berpengaruh dalam bidang agama,” ulasnya lagi yang turut memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Biologi dari Universiti Monash.

Menyentuh pula mengenai rumah tangganya, beritahu Vida, beliau telah melangsungkan perkahwinan terbaharu pada 3 Oktober 2014.

Menyatakan tiada jodoh dengan bekas suami sebelum ini, Vida berkata, hari ini dia cukup bahagia dengan Fairuz Ahmad Zainuddin di samping dua orang anaknya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 10, dan Muhammad Eric Zacquan, 8.

Menyatakan segala yang berlaku ada hikmahnya, Vida hari ini akan meneruskan perancangan yang telah diatur dalam bidang perniagaan dengan mengeluarkan lebih banyak produk kesihatan dan kecantikan.

Sebagai seorang usahawan, beliau telah melahirkan 50 orang jutawan Pamoga daripada 500 orang stokis. Beliau berazam melahirkan lebih ramai jutawan yang mahu berniaga produk beliau.

Sebagai usahawan yang berjaya, beliau menasihati bakal usahawan supaya berniaga sepenuh masa dan komited dengan perniagaan mereka dan jangan cepat putus asa jika gagal.

"Saya sudah tiga kali jatuh tetapi dengan pendekatan baru menaja program tv, perniagaan saya naik semula dan sebelum ini saya banyak tersalah beli iklan di akhbar yang merugikan saya," katanya.

Walaupun ada orang menganggap beliau over, tetapi sebagai usahawan beliau tidak boleh berdiam diri lagi dalam menjayakan perniagaannya.

"Apa guna saya menaja program sampai berjuta juta jika saya tidak dapat promosi produk saya," katanya.

Beliau bersyukur dengan peningkatan perniagaannya sekarang dan berazam akan memasuki pasaran antara bangsa tidak lama lagi.







Khamis, Oktober 21, 2010

APA SALAHNYA SAYUTI JADI JUTAWAN


Siapa yang tidak mahu jadi jutawan? Semua orang mahu jadi jutawan. Cara mana nak jadi jutawan, terpulanglah kepada individu itu sendiri. Sudah ramai wartawan jadi jutawan. Ada yang jadi jutawan selepas menyertai dunia korporat seperti Datuk Ahmad Sebi, Datuk Nazri Abdullah.

Tetapi kalau ada jadi jutawan selepas menjual permit penerbitan seperti Mohd Sayuti Omar ini, maka saya kira inilah kali pertama pemilik permit penerbitan jadi jutawan. Datuk Hishamuddin menjual permit akhbar Watan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan harga RM1 juta tetapi Hishamuddin sudah jadi jutawan ketika itu dengan pelbagai akhbar dan majalah terbitan syarikatnya, Kumpulan Karangkraf.

Khabarnya rundingan sedang dibuat di antara Sayuti sebagai pemilik permit dengan PKR.

PKR sudah bosan dengan permit Suara Keadilan yang tidak mendapat kelulusan KDN. Maka PKR sedang memikirkan untuk mengambilalih akhbar tabloid Siasah yang begitu popular di kalangan para pembaca. Permit Siasah itu adalah milik Sayuti yang merupakan penulis buku terkenal.

Khabarnya tawaran pengambilalihan permit itu menjangkau jutaan ringgit. Jika ini benar, tahniah Sayuti kerana beliau adalah pemilik permit pertama yang jadi jutawan. Tidak sia-sia beliau memiliki permit penerbitan sendiri.

Peduli apa pada prinsip. Wartawan memang tidak ada prinsip. Dahulu memang Sayuti hentam Anwar Ibrahim melalui buku ANWAR: ANTARA REALITI DAN MIMPI tetapi Anwar dijulang hebat oleh Sayuti yang dimusuhi Anwar sebelum ini dalam buku REFORMIS BANGSA: SUMPAH DAN AIR MATA.

Buku itu dicetak berulang kali dan khabarnya Sayuti beli cash kereta Hondanya hasil jualan buku tersebut.Sayuti gadai prinsipnya kerana menentang arus. Ketika itu apa sahaja yang ditulis tentang Anwar akan mendapat duit. Maka strategi Sayuti mengena.

Sayuti lupakan prinsipnya selama ini yang menghentam Anwar kerana ketika itu dia yakin Anwar tidak bersalah dalam kes pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Apa yang dibuat Sayuti sama dengan tingkahlaku orang politik. Dalam politik kawan tidak kekal dan musuh tidak abadi. Hari ini berkawan, esok bermusuh. Hari ini bermusuh, esok berkawan.

Oleh itu apa yang dibuat oleh Sayuti bukanlah benda pelik kerana itulah sikap dan sifat orang politik. Sayuti bukanlah penulis sesumpah. Dia membela Anwar di saat Anwar tersungkur dari kerusinya. Ketika itu baru Anwar tahu betapa mulianya Sayuti yang sudi membelanya. Sepatutnya Sayuti menghentam terus Anwar jika dia berpegang kepada prinsip. Tetapi langkah yang diambil Sayuti itu menguntungkan jualan bukunya.

Sayuti memanglah seorang penulis buku yang hebat. Beliau berkawan dengan ramai orang politik. Tetapi beliau konsisten apabila menolak Datuk Husham Musa dan Datuk Ibrahim Ali sebagai kawannya. Sayuti yang lebih tahu kenapa dia kini bermusuh dengan kedua-dua pemimpin itu.

Isnin, Oktober 04, 2010

KISAH SEORANG JUTAWAN


Saya ada seorang kawan yang sudah haji berusia 60 tahun baru dapat kawasan balak. Bila dia jual kawasan itu kepada taukeh Cina, dia dapat RM2 juta. Maka kayalah kawan saya ini.

Sejak dia kaya dia sudah lupa kepada kawan-kawan lama yang pernah menghulur duit kepadanya. Masa dia susah naik bas, selalu kawan-kawan hulurnya duit RM50 kepadanya untuk beli rokok dan lain-lain keperluan.Sekarang ini dia masih pakai kereta Gen 2 tapi sudah mula berubah. Dia kata dia mahu beli kereta mercedez compressor pada tahun depan selepas rumahnya yang sedang dibina bernilai RM300 ribu siap nanti.

Jutawan baru ini ada seorang kawan di Kuala Lumpur. Oleh kerana isterinya sakit maka dia suruh kawannya memperkenalkan seorang janda kepadanya. Maka kawannya perkenalkan seorang janda anak dua berumur 35 tahun.

Dalam pada itu semasa kawannya temui jutawan di sebuah hotel di Chow Kit, kawannya bawa isterinya yang berusia 48 tahun. Jutawan ini memang sudah lama kenal isteri kawannya itu. Bila kawannya masuk tandas, maka dia minta nombor handphone isteri kawannya dan hulur duit belanja RM50 kepada isterinya tanpa pengetahuan kawannya itu.

Maka dia selalulah bersms dengan isteri kawannya itu. Dia pandai pujuk perempuan, top up prepaid dan beri duit belanja kepada isteri kawannya itu. Atas sebab-sebab ekonomi yang tidak kukuh, kawannya yang bekerja di Kuala Lumpur itu tidak bawa isteri ke Kuala Lumpur.

Tinggallah isterinya di kampung yang kebetulan sedaerah pula dengan jutawan ini. Maka jutawan ini ambil kesempatan menggoda isteri kawannya itu yang mana suaminya balik kadangkala dua minggu sekali ke kampung.

Sewaktu hari raya dia nak beri RM2,000 kepada isteri kawannya itu atas alasan untuk belanja raya. Isteri kawannya yang pergi temuinya bersama emak saudaranya menolak tawaran itu dan dia hanya beri duit raya sebanyak RM250 kepada isteri kawannya itu.
Katanya, dia beri ikhlas duit raya itu.

Bila rahsia sudah terbongkar maka kawannya itu mengamuklah. Kini jutawan itu tuduh isteri kawannya itu pula yang gatal, minta duit selalu dengannya. Dia kata nak saman isteri kawannya itu. Kawannya kata samanlah isterinya itu supaya rahsianya ada skandal dengan isteri orang terbongkar di mahkamah.Biar semua orang satu daerah tahu.

Dia cerita kepada isteri kawannya itu bahawa suaminya telah memperkenalkan seorang janda kepadanya. Dia kata setiap hari suaminya ajak janda itu berzina sedangkan janda itu bukan mudah menyerah dirinya kepada orang lelaki.

Dia cerita kepada isteri kawannya itu bahawa dia sudah berzina tiga kali dengan janda itu. Isteri kawannya itu nasihati jutawan itu tak baik berzina kerana dia sudah tua sedangkan dia pakai kopiah putih.Dia jawab soal dosa antara dia dengan Tuhan.

Jutawan itu selalu sms kepada isteri kawannya itu ajak dia berzina tetapi isteri kawannya itu masih kuat imannya. Sekarang dia marah kerana duit sudah banyak habis tetapi hajatnya untuk berzina tidak dapat.

Dia tuduh kawannya jahat tetapi siapa yang lebih jahat kerana kawannya tak pernah hantar sms kepada isteri kawannya itu. Dia cerita dia sudah lama tidak dapat bersama isterinya kerana isterinya tidak mahu. Bila dia bawa isterinya ke bilik, isterinya panggil anaknya yang berusia 13 tahun bawa penyapu memukulnya.Maka sudah lama air naik ke kepala dan tidak keluar.

Sebab itulah dia jadi tak keruan. sampai isteri kawan sendiri pun sanggup dia goda. Kawannya tanya janda itu betul ke jutawan itu sudah tiga kali berzina dengannya. Maka janda itu sms kepada jutawan itu marahinya kerana selama ini dia kelentong sahaja.

Jutawan itu mengamuk kerana kerana kawannya itu tanya janda itu sudah berapa kali mereka berzina. Yang pelik sekarang sudah ada banyak wang kenapa perlu berzina di usia senja begini. Sepatutnya nikahilah secara halal. Ini yang susahnya takut kepada isteri.

Maka putuslah persahabatan baik mereka berdua kerana tindakannya menggoda isteri kawan sendiri tidak masuk akal langsung. Dia cuba ambil kesempatan di atas kedudukan tidak stabil kewangan kawannya itu.

Kesimpulannya, bila sudah kaya ingatlah zaman susah. Dahulu dia susah kerana derhaka kepada ayahnya sendiri. Sanggup saman ayahnya di mahkamah kerana harta bila ayahnya nikah lain. Ramai kawannya masa dia susah dulu kini sudah malas berkawan dengannya kerana dia tidak berubah.

Bila jumpa, dia asyik kutuk orang lain yang dapat projek dari kerajaan. Patutnya dia insaf bila dia sudah kaya janganlah kutuk orang kata bangsat kerana rezeki itu tidak akan kekal jika kita berzina. Bila Allah tarik semula rezekinya itu baru dia tahu langit tinggi rendah. Gunakanlah peluang terakhir dari Allah ini untuk kebaikan dan bukannya untuk berzina.