Memaparkan catatan dengan label semua. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label semua. Papar semua catatan

Jumaat, September 13, 2013

SEMUA JAWATAN UTAMA DI KEMAMAN DICABAR

Umno Bahagian Kemaman dijangka menyaksikan tiga jawatan utamanya dicabar Oktober ini. Menurut sumber, seorang tokoh politik veteran dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian. Tanpa menyebut nama tokoh tersebut, sumber itu berkata beliau akan membuat kejutan pada 19 Oktober nanti walaupun beliau tahu peluang untuk menang adalah sukar. Sumber itu menambah, jika tokoh veteran itu jadi menentang Ahmad Said, ini bermakna Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu gagal mengawal ahlinya supaya menjadikan Umno Kemaman sebagai contoh kepada tujuh bahagian lain di Terengganu. Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula dijangka menerima cabaran daripada seorang ahli perniagaan bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Cabaran dari ahli perniagaan itu dikatakan direstui Ahmad Said kerana Ahmad Shabery dijangka mencabar Ahmad Said pada tahun 2016 jika benar Ahmad Said dikekalkan Menteri Besar untuk satu tahun sahaja. Sumber itu menambah, maka politik Ahmad Shabery perlu dimatikan pada 19 Oktober jika Ahmad Said mahu kekal sebagai Ketua Bahagian pada tahun 2016. Manakala bagi jawatan naib ketua pula, ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar (gambar) dikatakan akan mencabar Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid. Sumber itu memberitahu FMT bahawa Wan Hakim dikatakan mendapat sokongan daripada Ahmad Shabery yang mahu melihat karier politik Setiausaha Politik Menteri Besar itu berakhir. Manakala Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim,29, dijangka menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Hisham Zubir. Hisham dikatakan merestui Fikri Ibrahim atau nama glamournya, Bulat, 37, untuk jawatan tersebut yang akan menyaksikan pertandingan dua penjuru. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)

Jumaat, Jun 28, 2013

SEMUA JAWATAN BOLEH DITANDINGI

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam berkata semua jawatan tertinggi dalam parti itu terbuka untuk ditandingi pada pemilihan yang dijadualkan hujung tahun ini. "Siapa sahaja yang mahu bertanding untuk jawatan tertinggi, daripada Majlis Tertinggi ke jawatan presiden, boleh mendaftarkan diri mereka sebagai calon," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Rakyat, di ibu negara. Kenyataannya itu menyusuli gesaan beberapa pemimpin dan bekas pemimpin Umno yang mahu jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar. Berdasarkan format baharu pemilihan, beliau berkata antara 148,000 dan 150,000 anggota Umno dari 199 bahagian akan mengundi calon yang berkenaan. Mengenai mekanisme pengundian, Tengku Adnan berkata satu bahagian dikira sebagai satu undi. "Sebagai contoh, jika (Perdana Menteri dan Presiden Umno) Datuk Seri Najib Tun Razak ada pencabar, mereka harus bertanding di semua bahagian kerana setiap bahagian merupakan satu undi (kepada calon yang menang), sekalipun setiap bahagian mempunyai jumlah perwakilan berbeza," katanya. Katanya taklimat Umno mengenai format baru itu akan diakhiri dengan Umno Sabah esok. Ini merupakan kali pertama Umno menggunakan mekanisme baru pada pemilihannya susulan pindaan perlembagaan parti pada 2009. Sebelum ini hanya sejumlah perwakilan dibenar mengundi bagi memilih pemimpin parti itu.

Sabtu, Julai 09, 2011

TANGKAP SEMUA YANG ENGKAR


Bersih tetap mahu berhimpun di Stadium Merdeka petang ini. Pada masa yang sama pemuda UMNO mahu berarak dari Bukit Bintang ke Stadium Merdeka. Oleh itu polis hendaklah bertegas. Tangkap semua yang engkari arahan polis pada hari ini tak kira sama ada penyokong Bersih atau pemuda UMNO.

Sementara itu Perkasa mahu bersantai di Tasik Titiwangsa kerana permit untuk berhimpun di Stadium Selayang boleh diluluskan lagi. Kepada semua pemimpin yang telah disenaraikan oleh polis seramai 91 orang jika engkari masuk Kuala Lumpur dari jam 8 pagi hingga 6 petang, mereka hendaklah ditangkap tidak kira siapa sahaja.

Anwar Ibrahim kata dia ada cara untuk muncul di Stadium Merdeka petang ini.Oleh itu pihak polis hendaklah bertegas menangkap siapa sahaja yang melanggar perintah itu. Seperti kata Ibrahim Ali, ada orang yang menyamar berpakaian polis akan cetuskan huru-hara dalam perhimpunan Bersih petang ini kerana kononnya polis yang buat kacau.

Jika benar ia berlaku, ramai yang akan mati petang ini dan pihak tentera akan mengambilalih Kuala Lumpur petang ini jika darurat diisytiharkan. Amatlah malang bila Bresih enggan berhimpun di Stadium Melawati, Shah Alam sedangkan Tan Sri Khalid Ibrahim sudah pun bersetuju beri kebenaran kepada mereka berhimpun.

Apa motif sebenar Bersih buat perhimpunan haram di Stadium Merdeka sedangkan Ambiga sebagai peguam tahu bila permit polis tidak diluluskan tak perlulah buat perhimpunan di situ. Kalau peguam tidak hormati undang-undang siapa lagi yang mahu hormati undang-undang?

Rabu, Januari 26, 2011

TAHNIAH BUAT SEMUA






Tahniah buat semua yang dilantik sebagai setiausaha, bendahari dan ketua penerangan UMNO Terengganu yang baru seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Ahmad Said semalam.

Pengekalan Datuk Tengku Putera Awang sebagai setiausaha perhubungan tidak memeranjatkan kerana beliau adalah penyokong setia Ahmad Said. Beliau aktif dalam politik pada tahun 1993 sebagai ketua pemuda UMNO Hulu Terengganu yang mana ketika itu Ahmad Said adalah ketua pemuda UMNO Bahagian Kemaman.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Zaaba Datuk Adib dilantik sebagai bendahari perhubungan yang baru menggantikan Datuk Abdul rahin Datuk Said manakala Razif Abdul Rahman pula dilantik sebagai ketua penerangan perhubungan yang baru menggantikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk seri ahmad Shabery cheek.

wajarlah Shabery digantikan kerana beliau terlalu sibuk dengan tugas di kementeriannya. Saya masih ingat Datuk Seri idris Jusoh ketika mwnjadi pengerusi perhubungan UMNO Terengganu pada tahun 2004-2008 pernah bersungut Shabery sebagai ketua penerangan jarang buat program kerana dia sibuk di Kuala Lumpur sedangkan ketika itu beliau adalah Setiausaha Parlimen di Kementerian Luar.

Dengan Yahya Khatib sebagai timbalan pengerusi, ini bermakna tiga orang Exco Kerajaan negeri berada dalam pucuk pimpinan UMNO negeri. Semoga mereka dapat bertugas dengan baik dalam kerajaan dan dalam parti.

Perlantikan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan sebagai pengarah strategik merupakan satu jawatan baru. sebagai bekas setiausaha perhubungan, Rosli amat berpengaruh dan memang orang yang boleh buat kerja. oleh itu beliau sesuai menyandang jawatan tersebut walaupun sebelum ini beliau ditohmah dengan pelbagai gelaran termasuk sebagai timbalan menteri besar.

Siapa yang digugurkan jawatan tidak perlu dijadikan isu. Yang penting yang dapat jawatan kena kerja kuat untuk memenangi pilihanraya umum akan datang. Tak ada makna dapat jawatan tapi bila pilihanraya negeri Terenganu jatuh semula ke tangan PAS.

sampailah masanya bagi kita semua bersatu kembali. jangan fikirkan soal calon. kalau majoriti ketua cawangan dalam DUN kita masih mahu kita, selamatlah kita sebagai calon. Pengerusi perhubungan kena akur kepada kehendak majoriti ketua cawangan walaupun calon itu tidak ngam dengan pengerusi perhubungan. dan sudah sampai masanya bagi kita jangan fikir dia ini orang Ahmad Said atau orang idris, kerana kita perlu kena ambil iktibar dari kekalahan pada tahun 1999.

Selasa, Oktober 19, 2010

KALAU SEMUA IKHLAS,BN TERENGGANU TETAP MENANG


Kalau semua ikhlas dan jujur dengan kata-kata yang mereka ucap dalam konvensyen UMNO Terengganu minggu Sabtu lalu, BN Terengganu tetap menang dalam pilihanraya umum akan datang.

Janganlah ucapan ini sekadar lakonan sahaja. Di hadapan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, mereka setuju berdamai tetapi bila tiba pilihanraya, orang UMNO sendiri yang pangkah pembangkang kerana tidak mahu Ahmad Said kekal sebagai MB buat penggal kedua.

Oleh itu kita tunggu pilihanraya umum 2012 untuk lihat sejauh mana cakap mereka serupa bikin. Kita doakan apa yang mereka lafazkan dalam konvesyen itu diamalkan pada hari mengundi nanti. Jangan jadi seperti pilihanraya umum 1999 apabila ada calon BN pangkah PAS kerana tidak mahu calon BN yang bertanding di kampungnya menang. Kebetulan calon BN itu bertanding di DUN lain maka dia kena mengundi di DUN asalnya.Dia mahu calon BN itu kalah kerana dia yang bertanding di DUN lain sudah berangan jadi Exco bila BN memerintah nanti. Rupa-rupanya BN kalah di semua DUN kecuali empat DUN.

Umpama "biduk lalu, kiambang bertaut," itulah ungkapan yang digunakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi menggambarkan hubungan pemimpin Umno di negeri itu ketika ini.

Beliau berkata semangat perpaduan di kalangan golongan terbabit semakin pulih dan dirasai, termasuk wakil rakyat dan pemimpin parti apabila terdapat kesungguhan untuk bersatu, walaupun hubungan di antara mereka sebelum ini agak tegang.

"Saya harap masalah dulu dapat dilupakan. Bak kata orang, biduk lalu, kiambang bertaut. Kita sebagai pemimpin dan orang politik, perlu berjiwa besar.

"Jangan mudah berkecil hati, berasa hati atau berjauh hati, dan dalam masa yang sama, kita perlu berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Terengganu 2010 semalam.

Konvensyen yang dirasmikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi tadi, disertai 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin sayap parti serta jemputan khas.

Ahmad Said berkata konvensyen yang pertama kali diadakan di Terengganu sejak Pilihan Raya Umum 2008 itu, boleh dijadikan sebagai persediaan Umno negeri bagi mengikuti pemilihan parti di Kuala Lumpur Selasa depan, dan bekalan ketika menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya amat berpuas hati dengan persiapan dan resolusi yang dikemukakan perwakilan dari bahagian-bahagian yang bertujuan untuk mengukuhkan perjalanan dan kepimpinan Umno di Terengganu.

"Saya harap pemimpin di Terengganu, khususnya wakil rakyat, menjadikan harapan perwakilan ini sebagai, dan peluang untuk, muhasabah diri dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Sementara itu, sebanyak 19 resolusi dicapai dalam konvensyen yang bertujuan memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Selain itu, satu deklarasi, dinamakan Deklarasi Primula 2010, turut diputuskan serta diserahkan kepada Ahmad dan Hishammuddin, yang merupakan pengerusi badan perhubungan UMNO Terengganu.

Sabtu, Ogos 01, 2009

AMANAH SAHAM 1MALAYSIA UNTUK SEMUA


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan peruntukan sebanyak 100 unit percuma Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) kepada hampir 50,000 pelajar tahun satu peringkat ijazah pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi pengajian 2009.


Peruntukan yang membabit sejumlah RM5 juta disumbangkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Pos Malaysia.


Pengumuman khas itu dibuat sempena pelancaran AS1M dengan jumlah dana sebanyak RM10 bilion, saiz terbesar unit amanah yang pernah ditawarkan PNB setakat ini.


AS1M yang dibuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas adalah dana berharga tetap pada RM1 seunit yang dibuka untuk langganan dalam tempoh tawaran awal selama 30 hari mulai 5 Ogos hingga 3 September.


Pelancaran AS1M itu mengotakan janji Najib kepada rakyat yang dibuat semasa ucapan 100 hari pentadbirannya tiga minggu lalu.


Najib berkata, sebagai pewaris negara, kerajaan mahu melihat golongan muda yang mendapat pendidikan peringkat ijazah menjadi warganegara berwawasan dan progresif serta bijak dalam bidang pelaburan dan perancangan kewangan.


Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus diperuntukkan untuk bumiputera, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan selebihnya untuk kaum-kaum lain.


''Penetapan peruntukan ini dibuat berdasarkan pola kependudukan rakyat Malaysia.


''Selepas tamat tempoh tersebut, unit-unit AS1M yang masih ada akan dibuka untuk langganan semua rakyat Malaysia.


''Saya berpendapat cara ini adalah yang paling adil dan telus untuk PNB mendapatkan pelabur-pelabur yang benar-benar berminat, sementara rakyat Malaysia semua mempunyai peluang yang sama untuk melabur,'' katanya ketika berucap pada majlis pelancaran AS1M di sini semalam.


Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.


Dana amanah terbaru itu boleh dilanggan dengan jumlah pelaburan permulaan minimum 100 unit dan pelaburan tambahan minimum pula sebanyak satu unit.


Bagi memastikan penyertaan menyeluruh daripada rakyat Malaysia, had langganan maksimum bagi AS1M ditetapkan pada 50,000 unit bagi setiap pelabur berumur 18 tahun hingga 55 tahun.
Had langganan maksimum bagi mereka yang berumur melebihi 55 tahun pula 100,000 unit dengan tujuan memberi pilihan kepada golongan itu mempelbagaikan pelaburan bagi merancang keperluan persaraan mereka.


Perdana Menteri berkata, pelancaran AS1M akan memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia, sekali gus mencapai sasaran tebaran pelabur yang lebih luas dan saksama.


Tambahnya, agihan yang besar diberikan kepada warga emas sebagai anugerah sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi selama ini.


Beliau berkata, selain itu pelancaran dana tersebut dapat meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat melalui pemegangan dana amanah serta membantu merangsang ekonomi negara melalui pelaburan dalam pasaran saham dan instrumen-instrumen lain.


''Dengan adanya tabung yang menawarkan saiz dana terbesar ini, ia bukan sahaja memberi suntikan kepada pasaran ekuiti sebaliknya menjadi kepada pemangkin pertumbuhan negara.


''Malah, dengan adanya dana ini, PNB berupaya melabur dalam syarikat-syarikat tertentu yang kukuh dan membentuk syarikat-syarikat baru.


''Akhirnya rakyat juga yang akan mendapat faedah,'' ujar beliau.


Dalam ucapannya, Najib berkata, meskipun PNB sudah membuktikan kejaguhannya di negara sendiri tetapi kerajaan berharap kejayaan itu dapat dilebarkan ke peringkat antarabangsa.


Hamad Kama Piah dalam satu sidang akhbar berasingan berkata, langganan AS1M boleh dibuat di semua pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan Pos Malaysia mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.


Manakala urus niaga dengan ejen-ejen ASNB seperti Maybank, CIMB Bank dan RHB Bank pula pada pukul 9.15 pagi hingga 4.30 petang, bergantung kepada waktu urus niaga masing-masing.