Selasa, Disember 07, 2010

ADUN BUAT FITNAH TAK DAPAT PERUNTUKAN


Semalam Teganuku memperkatakan ‘Setengah ADUN Terengganu Tidak Reti Bersyukur? ‘ sebagai entri awal memperkatakan mengenai tindakan segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu yang mendakwa peruntukan untuk mereka tidak memadai bagi melaksanakan program untuk rakyat.

Beberapa ADUN BN dikatakan membuat laporan kepada pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kononnya peruntukan tidak sampai ke kawasan mereka untuk melaksanakan projek bagi kemudahan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan terkejut apabila mendapat maklumat mengenai tindakan segelintir ADUN berkenaan.

Pertanyaan kini berlegar mengenai siapakah ADUN berkenaan dan benarkah mereka tidak mendapat peruntukan sedemikian?

Difahamkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu sudah menyediakan laporan penuh bagi dikemukakan kepada Menteri Besar mengenai peruntukan tahunan untuk ADUN sejak 2008 hingga akhir tahun ini.

Teganuku bertanyakan beberapa ADUN mengenai peruntukan selain menyelidik beberapa kenyataan Ahmad Said mengenai perkara itu sama ada melalui kenyataan akhbar, ucapan Bajet tahunan juga kenyataan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Seperti dilaporkan semalam, peruntukan yang diberikan sebenarnya cukup, malah kadangkalanya Menteri Besar bermurah hati untuk menambah peruntukan untuk musim perayaan dan sebagainya.

Perkara ini diakui oleh beberapa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang ditemui.

Memang benar peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar untuk ADUN bertambah 100 peratus dalam tempoh dua tahun – 2008 dan 2010.

Bantuan Am untuk setiap ADUN pada 2008 ialah RM200,000 kini menjadi RM400,000 setiap DUN sementara Bantuan Pembangunan pula juga bertambah pada jumlah yang sama.

Ini bermakna setiap DUN di bawah BN mendapat RM800,000 setahun pada 2010, iaitu pertambahan sekali ganda berbanding RM400,000 pada 2008.

Pada dasarnya peruntukan untuk ADUN dan Pegarah Pembangunan DUN ( di kawasan yang dimenangi pembangkang, peruntukan adalah seperti berikut:

Bantuan Am:
i) Tahun 2008 - RM200,000.00 setiap DUN
ii) Tahun 2009 - RM250,000.00 setiap DUN
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap DUN

Bantuan Pembangunan:
i) Tahun 2008 - RM200,000.00 setiap DUN
ii) Tahun 2009 - RM300,000.00 setiap DUN
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap DUN

Selain bantuan ini, mulai tahun 2010 setiap Ahli Parlimen / Pegawai Pembangunan Parlimen diberi peruntukan Bantuan Am sejumlah RM200,000.00 kecuali Parlimen Kuala Terengganu yang menerima RM400,000.00.

Exco juga dikatakan menerima tambahan peruntukan Bantuan Am sebagaimana berikut:

i) Tahun 2008 - RM250,000.00 setiap EXCO
ii) Tahun 2009 - RM300,000.00 setiap EXCO
iii) Tahun 2010 - RM400,000.00 setiap EXCO

Apa yang menarik di Terengganu, setiap ADUN dan PPD turut menerima bantuan seperti Peruntukan Jawatankuasa Kemajuan Agama Peringkat Daerah mulai 2010 sebanyak RM50,000 bagi setiap DUN.

Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan Ihya Ramadhan (untuk Exco & ADUN) mulai tahun ini (2010) iaitu RM10,000.00 setiap Exco dan RM 8,000.00 bagi setiap ADUN.

Malah Menteri Besar turut bersetuju menaikkan Peruntukan Sambutan Hari Raya Aidilfitri (Exco & ADUN) seperti berikut:

i) Tahun 2008 - RM10,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
(kecuali YB. Toh Chin Yaw RM5,000.00)
Tahun 2008 - RM 6,000.00 setiap ADUN

ii) Tahun 2009 - RM10,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
Tahun 2009 - RM 6,000.00 setiap ADUN

iii) Tahun 2010 - RM15,000.00 setiap EXCO & YDP Dewan
Tahun 2010 - RM10,000.00 setiap ADUN

Apakah peruntukan seperti ini belum mencukupi untuk ADUN Terengganu?

Berapakah lagi jumlah yang perlu mereka dapati untuk menjamin mampu berkhidmat kepada rakyat?

Atau apakah sesetengah ADUN ini jenis tamak. tidak tahu berterima kasih?

(dipetik dari www.teganuku.blogspot.com)

Isnin, Disember 06, 2010

TNB ANAYAI USAHAWAN MELAYU?




Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) didakwa telah menganayai sebuah syarikat Melayu.

Menurut Pengerusi I-Expo Sdn Bhd, Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor, pihaknya telah dianayai oleh pihak TNB yang mana TNB melalui anak syarikatnya TNEC (Tenaga Nasional Engineering Corporation) telah mencuri balik barangan yang telah mereka jual kepada pihaknya.


"Saya mengadakan sidang akhbar ini setelah mengambil kira usaha untuk menemui Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamed Noh tidak berhasil. Kami telah menghantar pelbagai surat rayuan untuk menemuinya tetapi hasrat kami tidak diendahkan," katanya dalam sidang akhbar yang dihadiri oleh pelbagai akhbar Melayu dan Cina. Malangnya akhbar Melayu tidak berani menyiarkan berita sidang akhbar itu kecuali akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 2 Disember telah menyiarkannya.

Katanya, syarikat kami telah mengikat kontrak meroboh sebuah stesen janakuasa TNB di Perai, Butterworth, Pulau Pinang pada 3 Februari 2006 dan pada 7 Mac 2006 kami telah membuat pembayaran bagi scrap metal sebanyak RM14 juta untuk kuantiti 29,100.000 tan/unit.

"Setelah selesai pengambilan pada 15 Mei 2009, sah sebagaimana yang kami jangkakan scrap metal ini didapati berkurangan sebanyak 9,665.058 tan/unit yang kami pasti telah dicuri balik oleh pihak TNB/TNEC," katanya lagi.

"Sebagai bukti ada gambar-gambar yang kita ambil semasa kejadian berlaku malah kami telah membuat laporan polis beberapa kali namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau mendakwa pihak TNB/TNEC telah menyalahgunakan kuasa dengan memakai uniform serta kenderaan TNB bagi mengangkut scrap-metal ini.

"Mereka juga sentiasa dapat keluarkan scrap-metal ini dari kawasan tapak dengan membuat beberapa permit material release palsu supaya dapat menipu pengawal keselamatan,' jelasnya lagi.

Kapten (B) Mahadzir amat dukacita kerana permohonan pihaknya untuk menemui CEO TNB bagi menyelsaikan perkara ini tidak dilayan.

"Apa yang kami mahu ialah mendapatkan kembali barangan kami dan kami pernah menerima tiga butir peluru hidup untuk menggertak kami," katanya lagi.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku adalah skandal terbesar TNB dalam menganayai usahawan Melayu seperti beliau.

Beliau menggesa para pemimpin kerajaan menyiasat perkara ini dan TNB memulangkan semula hak syarikat beliau yang melebihi RM51 juta.

"Datuk Seri Che Khalib telah diberi maklumat yang salah oleh para pegawai TNB yang menyebabkan beliau enggan berjumpa kami. Apa salahnya beliau bersifat terbuka menerima kami mengemukakan aduan untuk penyelesaian," katanya lagi.

Beliau hairan bagaimana Che Khalib dinobatkan sebagai CEO terbaik sedangkan perkara yang kami hadapi tidak diselesaikan yang boleh melumpuhkan syarikat Melayu seperti kami.

Jumaat, Disember 03, 2010

NATRAH MENGHIBURKAN


Sudah lama saya tidak berpeluang menonton teater. Malam tadi saya menonton teater Natrah lakonan Maya Karin, Remy Ishak, Sofea Jane, Aaron Aziz di Istana Budaya. Saya menontonnya kerana membuat liputan untuk akhbar baru Harian Mutiara.

Memang seronok menonton teater tersebut yang mengisahkan kisah perjuangan Natrah yang dibela oleh emak angkatnya, Che Aminah. Natrah menjadi rebutan di antara emak angkatnya dengan emak kandung, Adeline Hertogh.

Selama lapan tahun anak Belanda dibesarkan sebagai orang Islam, akhirnya dia dibawa lari ke Belanda yang sudah tentu akhirnya dia menjadi mangsa keadaan. Teater arahan Erma Fatima ini selama dua jam amat menghiburkan.

Sebagai anak Kemaman, saya rasa bangga menonton Natrah apatah lagi Natrah pernah dibesarkan di Kemaman. Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Hajah Rahmah salleh adalah kakak angkat Natrah.

terima kasih kepada PRO Istana Budaya, puan Puteri yang telah mengizinkan kami wartawan akhbar Harian Mutiara dan majalah Mindaniaga menonton teater Natrah sambil membuat liputan. Syabas Erma Fatima di atas kejayaannya mengarah teater ini.

Oleh itu bagi sesiapa yang belum menontonnya, cepatlah pergi ke Istana Budaya. Selamat menonton.

Rabu, Disember 01, 2010

MACAM MACAM CARA CARI PUBLISITI


Macam-macam cara cari publisiti. Ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berjalan kaki ke bangunan parlimen kerana tiada bas menuju ke sana.

Pelik juga kenapa Khairy tidak tahan teksi? Adakah teksi tidak mahu pergi kerana jarak dari LRT Masjid Jamek terlalu dekat? Menurut The Star hari ini, beliau berjalan kaki dari LRT tersebut kerana tiada siapa yang tahu ada perkhidmatan bas yang menuju ke parlimen.

Beliau baru menghadiri mesyuarat di Bukit Jalil dengan Kementerian Belia dan Sukan. Dari Bukit Jalil, beliau terus menaikki LRT ke Masjid Jamek.

Ahad, November 28, 2010

BENARKAH ANWAR ANUGERAH TUHAN?


Semalam Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan suaminyayang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai anugerah Tuhan untuk menyelamatkan Malaysia.

Benarkah Anwar adalah anugerah Tuhan? Bagi saya, zaman Anwar sudah berlalu. Seperti kata bekas Mufti Perlis, Dr.Asri, sudah sampai masanya bagi Anwar bersara dari politik kerana politik Anwar banyak merosakkan negara.Saya rasa Anwar perlu berehat dan lupakanlah politik.

Jika benar Allah mengkehendaki Anwar menjadi Perdana Menteri, Allah sudah lama mengangkatnya sebagai PM Malaysia. Kalau tidak bukan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi PM pada tahun 2003.

Mungkin Anwar sudah menjadi PM pada tahun 2003. Tetapi oleh kerana Allah hendakkan Pak Lah jadi PM, maka Allah jatuhkan Anwar dalam keadaan yang mengaibkan dengan kes liwat yang pertama.

Orang yang hampir-hampir jadi PM, tiba-tiba terlepas jawatan TPM dari tangannya, Anwar patut muhasabah kenapa Allah tarik rezekinya. Mesti ada sebab yang menyebabkan Allah tarik rezekinya. Mungkin beliau melakukan dosa besar yang dimurkai Allah apatah lagi kalau dosa liwat yang mana Nabi Muhammad tidak mengaku umatnya.

Setiap manusia diuji oleh Allah. Orang yang sabar dengan ujian seperti Pak Lah yang dapat jadi PM. Mungkin Anwar tidak sabar yang menyebabkan Allah tidak mengangkatnya sebagai PM.

Kita lihat sejarah kenaikan Anwar dalam UMNO begitu laju, drastik dan mendadak yang menyebabkan ramai pemimpin kanan UMNO kecil hati dan jauh hati dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bermula pada bulan Mac 1982 selepas Anwar menyertai UMNO, Anwar menang pilihanraya pada April 1982. Beliau terus dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Setahun kemudian, beliau dilantik Menteri Belia dan Sukan. Pada tahun 1984 ditukar ke Kementerian Pertanian. Pada tahun 1986, dilantik Menteri Pelajaran dan pada tahun 1991, Menteri Kewangan sebelum dilantik Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993.

Dalam politik pula, beliau menang Ketua Pemuda pada tahun 1982,1984 dan 1986. Pada tahun 1987 dan 1990, menyandang jawatan Naib Presiden UMNO dan pada tahun 1993 dan 1996, menang jawatan Timbalan Presiden UMNo dan dipecat pada September 1998 dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNBO.

Jika Anwar benar-benar anugerah Tuhan, pada tahun 2003 beliau sudah jadi PM. Tetapi Allah tidak mahu lihat Anwar jadi PM. Sebab itulah Anwar ditarik rezekinya sebagai TPM dan Timbalan Presiden UMNO.

Anwar yang merosakkan UMNO sedangkan dahulu UMNO yang beri dia makan sampai ke tahap orang kedua dalam negara dan hampir-hampir menjadi PM. Demonstrasi mingguan diadakan di Kg Baru yang marahi Dr Mahathir memecat Anwar dari UMNO. Orang Melayu tidak percaya kononnya Anwar meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar. Sebab itulah BN kalah di Terengganu dan Kelantan pada pilihanraya umum 1999.

Apabila Anwar dibebaskan dari penjara di zaman Pak Lah, Pakatan Rakyat bagaikan mendapat nafas baru di bawah naungan Anwar. DAP dan PAS yang tidak boleh duduk semeja dijinakkan oleh Anwar dalam Pakatan Rakyat.

BN menang tanpa majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum 2008 tetapi Allah masih menyayangi UMNO dan BN walaupun BN tewas di lima negeri di Kelantan, kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Padahal pilihanraya umum 2008 yang paling kritikal di mana orang Cina dan India tidak menyokong BN lagi.

Selagi orang China dan India tidak kembali menyokong BN, selagi itu PKR, PAS dan DAP kuat. Tetapi senario baru dalam PKR di mana makin ramai keluar dari parti itu menunjukkan bahawa BN mampu menang besar pada pilihanraya umum akan datang.

Oleh itu jangan mimpi Pakatan Rakyat dapat membentuk kerajaan baru pada pilihanraya umum 2012. Zaman Anwar sudah berlalu. Makin ramai pemimpin PKR meninggalkan parti itu kerana mereka sudah nampak tembelang Anwar. Oleh itu bagi saya, Anwar bukan anugerah Tuhan kepada rakyat Malaysia. Sebaliknya Anwar perlu percaya kepada qada dan qadar bahawa Allah tidak mahu beliau jadi PM. Oleh itu cukuplah beliau menghasut orang Cina dan India mendapat hak yang sama dengan orang Melayu.

Khamis, November 25, 2010

KEKALKAN EMPAT TAHUN SEKALI


Menurut perlembagaan negara, pilihanraya umum diadakan setiap lima tahun sekali. Tetapi biasanya di Malaysia pilihanraya umum dibuat setiap empat tahun sekali. Sebelum peristiwa 13 Mei 1969, pilihanraya umum diadakan setiap lima tahun iaitu 1959,1964 dan 1969.

Selepas demokrasi dipulihkan semula pada tahun 1970, pilihanraya umum diadakan setiap empat tahun iaitu 1974, 1978,1982,1986,1990,1995,1999,2004 dan 2008. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan tidak perlu terburu-buru mengadakan pilihanraya umum.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu akan bersara pada Januari 2011. Ini bermakna penggantinya, Datuk G Palanivel memerlukan sekurang-kurangnya satu tahun untuk membuktikan MIC terus relevan. Satu tahun sudah cukup bagi Palanivel untuk menstabilkan partinya. Maka pilihanraya umum dijangka diadakan pada tahun 2012 walaupun mandatnya akan berakhir pada tahun 2013.

Keputusan pilihanraya kecil Batu Sapi dan Galas tidak mengukur kekuatan BN. Oleh itu BN jangan terpengaruh dengan keputusan pilihanranraya kecil itu dan terus membubarkan parlimen. Silap-silap BN gagal menawan kembali dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat selagi orang China dan India tidak kembali ke pangkuan BN.

Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang baru memang memerlukan mandat yang baru tetapi beliau tidak perlu gopoh untuk membubarkan parlimen. Biar semua parti komponen BN sudah stabil, barulah PM boleh membubarkan parlimen.

Cuma yang untungnya bila diadakan pilihanraya sekarang, BN dapat aura keputusan pilihanraya kecil Batu Sapi dan DUN Galas. Seperti kata Dr Mahathir, jika saya masih PM, saya tak perlu terburu-buru bubarkan parlimen.

Isnin, November 22, 2010

KAJI SEMULA JUARA RAKYAT


Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dan UMNO perlu mengkaji semula keberkesanan program Juara Rakyat bagi memastikan ia sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, ia sangat penting bagi memastikan program yang baik itu mampu mencapai matlamat di samping benar-benar memberi kesan serta manfaat kepada rakyat.

“Kita tidak mahu ia sekadar cukup syarat dan hanya melibatkan aktiviti biasa yang tidak mencapai objektif asal pelancarannya secara keseluruhan,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO bahagian, di Beaufort semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian, Isnin Aliasnih; Ketua Wanita bahagian, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Ketua Pemuda bahagian, Mohd. Ishak Ibrahim.

Lajim berkata, sebagai contoh, terdapat beberapa kes program Juara Rakyat yang diadakan hanya melibatkan pertandingan badminton.

“Saya boleh terima jika itu hanya program sampingan tetapi jika program utama, ia memang satu pembaziran kerana kesannya tidak akan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Lajim yang juga Ketua UMNO bahagian menegaskan, matlamat program Juara Rakyat adalah mendekati rakyat di peringkat akar umbi selain membantu serta menyelami permasalahan dihadapi.

Katanya, penganjuran program tersebut juga alternatif parti bagi menyelesaikan masalah yang berlaku di setiap bahagian dan sebagai wadah memperkukuhkan perpaduan di kalangan ahli parti.

Menurutnya, apabila pengisian program Juara Rakyat hanya melepaskan batuk di tangga, sudah tentu matlamatnya tidak tercapai dan rakyat pula tidak menerima manfaat daripadanya.

“Kita kena kaji semula konsep dan pengisian program Juara Rakyat yang kita anjurkan.

“Jika tidak, ia akan hanya menjadi program yang tidak memberi kesan jangka panjang kepada rakyat dan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Lajim berkata, penyertaan parti komponen BN terhadap program Juara Rakyat setakat ini masih hambar.

Katanya, disebabkan penyertaan dingin parti komponen BN tersebut, ada pihak menganggap program Juara Rakyat hanyalah program UMNO

Jumaat, November 19, 2010

JIKA ORANG CINA KEMBALI KEPADA BN


BN boleh mendapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum akan datang jika pengundi Cina kembali menyokong BN. Jika mereka kekal menyokong DAP, jangan harap BN akan dapat majoriti dua pertiga.

Sehubungan dengan itu MCA dan Gerakan perlu bekerja kuat untuk memenangi undi orang Cina. Bagaimanapun Datuk Dr Rais Yatim yakin BN boleh mendapat majoriti dua pertiga semula pada pillihanraya umum akan datang.

Barisan Nasional (BN) boleh meraih majoriti dua pertiga yang minimum sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan seawal-awalnya pada hujung tahun depan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, masih terlalu awal bagi sesiapa membuat telahan yang tepat mengenai potensi parti pemerintah itu namun gelombang menyebelahi BN telah mula dirasai jika momentum ekonomi dan kestabilan negara ketika ini berterusan.

"Harga getah dan sawit masa ini hebat manakala ringgit kita kukuh.

"Faktor pencapaian BN ketika Kedah dilanda banjir dan masyarakat di Selangor yang sudah meluat dengan pelbagai kerenah pakatan pembangkang selain kemenangan di Batu Sapi dan Galas dan dengan penjenamaan BN yang dilakukan juga menjadi faktor penyumbang.

"Jadi, ini bergantung kepada tempoh bila pilihan raya itu hendak diadakan, jika pada hujung 2011 ia adalah tempoh logik bagi BN untuk mencatat prestasi mencapai majoriti dua pertiga yang minimum... bukan dalam margin yang tinggi," kata beliau.

Khamis, November 18, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA



Semalam kita menyambut hari raya aidiladha. Saya tak balik ke Kemaman beraya dengan isteri dan anak-anak memandangkan cuti hanya satu hari. Oleh itu saya beraya di rumah adik bongsu saya di Putrajaya, Dr. Noor Laily Shakimah.

Kebetulan emak saya, Hajah Zainun binti Haji Abdullah yang duduk bersama adik saya menunaikan ibadah korban. Maka semua enam orang anaknya berkumpul di rumah Dr. Noor Laily Shakimah iaitu Haji Mohd. Mahir (50), Ahmad Saifuddin (45), Noor Hafilah (43) dan saya sendiri (51). Seorang lagi adik, Noridah (48) datang sekejap sahaja ketika saya dan adik ipar, Shihabuddin pergi solat sunat aidiladha. Maka saya tak sempat jumpa Noridah yang terpaksa pulang ke rumah mertuanya di Ipoh sambil melawat anaknya yang belajar di Universiti Petronas di Tronoh, Perak.

Hari raya aidiladhha tidak semeriah dahulu. Kedua-dua masjid di Putrajaya penuh menunjukkan bahawa ramai yang tidak pulang ke kampung. Selamat Hari Raya Aidiladhha.

SABAH PALING MISKIN DI MALAYSIA?


Bekas pengasas Umno Sabah, Datuk Karim Ghani mengakui kesahihan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) oleh Bank Dunia, bahawa Sabah dikategori sebagai negeri paling miskin di Malaysia, lapor TV Selangor.


Laporan berkenaan menyebut Sabah yang mewakili 10 peratus penduduk Malaysia mempunyai 40 peratus daripada rakyatnya dikategorikan sebagai miskin.

Sehubungan itu, Karim juga yang menyanggah kenyataan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Negeri Sabah yang menafikan laporan MEM berkenaan.

Pemimpin yang pernah sama-sama berjuang bersama tokoh kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun itu berkata masalah wujud disebabkan perjanjian ketika pembentukkan Malaysia tidak ditunaikan.

"Sabah negeri kaya, yang miskin rakyatnya dan yang kaya juga pemimpinnya. Laporan Bank Dunia itu yang betul," katannya yang berhasrat menghidupkan semula Usno.


Berhubung tindakan EPU menyanggah laporan tersebut, Karim berkata ini kerana kerajaan BN sengaja tidak mahu mengakui rakyat Sabah miskin.

"Kenyataan yang asyik diulang-ulang oleh pemimpin Sabah, hujung tahun ini semua rakyat sudah keluar daripada kemiskinan.

"Sabah kaya...kita ada minyak, ada kayu balak, ada kelapa sawit tapi rakyatnya miskin disebabkan pentadbiran yang tidak betul.

"Yang dimajukan cuma bandar dengan bangunan yang mencakar langit tetapi di luar bandar, orang masih lagi merempat.

"Seperti di Batu Sapi, kalau kita tengok tempat orang Islam di sana, air mata saya pun menitis kerana merempat sedangkan Batu Sapi itu tempat Ketua Menteri, banyak dengan kayu balak dan kelapa sawit," katanya.

Dakwa Karim lagi, Umno-BN sengaja membiarkan rakyat Sabah di dalam keadaan daif supaya undi mereka senang dibeli setiap kali pilihan raya diadakan.


"Ini adalah soal kepimpinan, kalau pemimpin mentadbir dengan baik, apa parti pun baik tetapi sejak tahun 1985 keadaan rakyat Sabah bertambah buruk. Rata-rata pekerja di Sabah, berpendapatan kurang daripada RM 500 kecuali pegawai kerajaan dan para pimpinan atasan," katanya.

Beliau juga membidas projek mega seperti membina terminal lapangan terbang yang berharga RM 1.2 bilion yang dakwanya tidak memberikan manfaat kepada rakyat Sabah terutamanya yang tinggal di kampung-kampung yang langsung tidak pernah menjejak kaki ke terminal tersebut.

"Projek mega memang nampak indah tapi projek di kampung, apa yang ada.

"Buat jalan raya tapi tidak mendatangkan hasil kepada rakyat jadi macam mana hendak menambah pendapatan rakyat supaya dapat keluar daripada kemiskinan," katanya lagi.

Selasa, November 16, 2010

MINDANIAGA MUNCUL DI ICE AGE



Majalah Mindaniaga berada di zaman air batu semalam apabila saya selaku editornya mewawancara seorang usahawan kreatif, Jamal Nasir Awang yang membuat pameran ice age itu di tingkat tujuh, Berjaya Times Square.

Jamal adalah rakan lama saya ketika kami menjadi guru sementara di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang pada tahun 1979. Beliau telah menceburi bidang advertising sejak tahun 1985 lagi. Dahulu syarikatnya, Teracipta Sdn Bhd agak terkenal dalam membuat kereta berhias yang menyertai perarakan harikebangsaan dan pesta Flora dan Fauna. Antara pelanggannya ialah Petronas, TDC, kerajaan Terengganu, kerajaan Sarawak dan sebagainya.

Mulai Februari lalu Jamal terlibat secara langsung dalam pameran Ice Age yang sedang berlangsung. Oleh itu orang ramai yang belum melihat ice age, datanglah ke Berjaya Times Square untuk melihat kreativiti Jamal Nasir. Syabas Jamal.

Isnin, November 15, 2010

MINDANIAGA TERUS BUAT PROMOSI





Majalah baru Minda Niaga terus membuat promosi. Semalam bertempat di Pearl International Hotel di Jalan kelang Lama, majalah ini telah diberi percuma kepada para peserta seminar Law of Attraction anjuran pakar motivasi terkenal, Dr Ridzuan Noor.

Pakar motivasi itu juga adalah kolumnis Mindaniaga. Oleh itu jika usahawan tidak mahu ketinggalan mengikuti kolum Dr Ridzuan Noor setiap bulan, mereka bolehlah melanggan majalah itu dengan kadar RM120.00 setahun. Hubungi Wow Communications Sdn Bhd untuk langganan, telefon nombor 03-41088867.

Seminar satu hari ini dihadiri oleh 48 orang peserta. Editor majalah, Mohd Zabidi Saidi telah diberi peluang mempromosi majalah tersebut kepada para peserta seminar. Seminar ini juga meraikan harijadi Dr Ridzuan Noor yang menerima kek harijadi daripada Media Prima. Beliau akan muncul dalam siri motivasi TV3 tidak lama lagi.

Berita ini juga boleh diakses melalui blog mindaniaga,www.mingguanmindaniaga.blogspot.com. Malah gambar-gambar seminar boleh dilihat melalui album seminar loa di facebook, zabidi saidi. Jangan lupa para peserta seminar untuk add zabidi saidi, ubtuk melihat foto-foto tersebut.

Sabtu, November 13, 2010

ZAID BUKANNYA ADA PENGARUH


Kenapa harus takut kepada Datuk Zaid Ibrahim yang berura-ura menubuhkan Parti Keadilan Baru? Zaid bukannya ada pengaruh. Jika Zaid menubuhkan parti baru, ia tidak akan menggugat UMNO kerana ia sekadar memecahkan undi PKR.

Oleh itu Azmin tidak perlu bimbang dengan tindakan Zaid. Zaid bukannya ada pengaruh yang boleh menggegarkan PKR.Parti serpihan Zaid nanti tidak akan ke mana-mana. Memang pelik Zaid. Beliau masih dalam PKR,tetapi beliau membuat kenyataan menghentam PKR. Orang jenis apa ini?

Sepatutnya beliau gentleman keluar dari PKR dan barulah kritik PKR. Ini tidak masih dalam PKR tetapi tindak-tanduknya menyebabkan PKR tersinggung. Tindakan ini memang menyenangkan UMNO. Sebab itu beliau mendapat liputan utama akhbar Utusan Malaysia yang didokong oleh UMNO.

Naib Presiden PKR Azmin Ali meminta bekas pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim meneliti semula sebarang hasrat untuk menubuhkan parti baru sekiranya beliau dipecat atau disingkirkan daripada parti itu.

Katanya cadangan itu diharap tidak akan berlaku kerana mengikut fahamannya, Zaid menyertai PKR dengan semangat untuk bersama-sama dengan pimpinan dan ahli PKR untuk meneruskan agenda reformasi serta melakukan perubahan.

"Dalam konteks ini kita berharap beliau dapat meneliti semula keputusan itu dan dapat meneruskan perjuangan dalam semangat muafakat untuk bersama-sama dengan PKR bagi meneruskan agenda perubahan," katanya kepada pemberita di Shah Alam semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Zaid semalam yang tidak menolak kemungkinan menubuhkan parti baru sekiranya dipecat daripada PKR kerana membuat saranan supaya penasihat parti itu Datuk Anwar Ibrahim supaya berundur.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal dihadapi Zaid berikutan kenyataannya itu, Azmin berkata perkara itu akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk menentukan bentuk tindakan kepada mana-mana anggota PKR yang telah melakukan kesalahan berdasarkan perlembagaan dan peraturan parti.

"Jawatankuasa disiplin kena buat cadangan pada biro politik dan majlis pimpinan pusat untuk diputuskan dan setakat hari ini kita belum terima sebarang cadangan daripada jawatankuasa disiplin. Kita akan teliti sebaik sahaja kita terima," katanya.

Pada 8 November lalu, Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan juga melepaskan semua jawatan dalam parti itu dengan alasan "terdapat penipuan dalam pemilihan".

Berikutan keputusan Zaid itu, pertandingan merebut jawatan timbalan presiden PKR kini melibatkan Mohamed Azmin dan Mustaffa Kamil Ayub.

Jumaat, November 12, 2010

Khamis, November 11, 2010

SIASAT ORANG YANG GUNA GELARAN DR


Bukan Fazley Yaakob seorang yang perlu disiasat kononnya menggunakan ijazah doktor falsafah palsu.Ramai lagi yang perlu disiasat. pelik juga orang yang kita tak pernah dengar masuk universiti tib-atiba dipanggil doktor.

Malah ada orang yang seronok dipanggil doktor sedangkan cara pemikirannya tidak menggambarkan sebagai seorang ahli doktor falsafah. Begitu mudah sekarang ijazah Ph.D dibeli dari universiti dari Amerika Syarikat. Malah orang yang tak pernah sampai di Amerika Syarikat pun mendapat Ph.D dari negara itu sedangkan universiti yang kononnya dia dapat Ph.D tak pernah dengar namanya.

Penyanyi popular, Fazley Yaakob , 32, semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu diambil selepas dinasihatkan oleh ahli lembaga pengarah dan peguam untuk berbuat demikian.

"Saya bersetuju meletakkan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif selepas dinasihatkan untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini, saya tidak boleh mengulas lanjut tentang sebarang perkembangan kerana semuanya masih dalam siasatan.

"Hanya selepas siasatan dijalankan dan pihak University of Wales mencapai satu keputusan, barulah saya akan mengumumkan statusnya kelak," katanya.

Baru-baru ini, Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan universiti yang terletak di United Kingdom itu telah menggantung hubungannya dengan FIC selepas meragui kelayakan akademik penyanyi tersebut.

BBC dalam program Week In Week Out: University Challenged mendakwa Fazley memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Program itu turut menuduh Fazley memiliki kelulusan itu daripada sebuah universiti palsu, European Business School iaitu sebuah cawangan Universiti Antarabangsa Irish yang didedahkan BBC sebagai palsu pada 2008.

FIC juga merupakan salah sebuah daripada tiga buah institusi pendidikan yang menjalinkan kerjasama dengan universiti tersebut.

Ketika ditanya tentang masa depan graduan dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di FIC, Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob, memberitahu, semuanya masih berjalan dengan lancar.

Katanya, cuma pengambilan pelajar baru kolej yang mula beroperasi sejak tahun 2006 itu yang dihentikan seketika seperti dinyatakan oleh Naib Canselor University of Wales, Marc Clement.

"Tiada apa yang perlu diragui tentang segala kelayakan yang dimiliki FIC kerana semua sijil telah disahkan dan diperakui oleh University of Wales.

"Menerusi kenyataan universiti berkenaan juga, mereka memang tidak menyangkal FIC layak untuk menawar dan melaksanakan program pembelajaran setelah melalui proses tapisan yang ketat.

"Malah, mereka sendiri sudah menyatakan bahawa pelajar yang masih dalam pengajian di FIC tidak akan terjejas dengan proses arbitrasi dan rujukan semula ini," katanya.

Rabu, November 10, 2010

MINDA NIAGA SUDAH MUNCUL DI PASARAN


Pada 4 November lalu tepat jam 5.15 petang kami menerima naskhah sulung majalah MINDA NIAGA yang baru siap dicetak. Terima kasih kepada Encik Nasir yang buat kerja-kerja percetakan yang cepat. Siap dalam masa tiga hari sahaja. Petang Isnin saya beri pen-drive yang mengandungi artwork majalah dan pada petang Khamis sudah siap.

MINDA NIAGA adalah kebanggaan kami kerana kami terbitkan sendiri. Pemilik asal permit penerbitan majalah ini dipegang oleh Dewan Muda Publications sebuah syarikat enterprise yang dimiliki oleh Pak Abu Saim Daut dan Kamri Kamruddin.

Saya mengenali mereka berdua ketika bekerja di akhbar Warta Parlimen Kepala Batas pada tahun 2006.Pak Abu selaku bekas pegawai kanan di Kementerian Pelajaran mengepalai seksyen buku braille di Rodatra Sdn Bhd yang menerbitkan akhbar Warta Parlimen Kepala Batas itu. Manakala Kamri mengetuai bahagaian pengiklanan. Beliau pernah membawa iklan sebanyak RM700,000 setahun ke dalam dua-dua akhbar Rodatra, Warta Parlimen Kepala Batas dan Editor (sebuah akhbar bisnes). Saya pula mengetuai editorial Warta Parlimen Kepala batas dan Editor.

Bekerja dengan orang memang banyak risiko. Kamri yang begitu hebat membawa iklan sebanyak RM700,000 tidak dibayar komisyen yang dijanjikan. Maka Kamri berazam memiliki majalah sendiri. Maka setelah berbincang dengan Pak Abu, maka lahirlah hasrat mereka untuk menerbitkan majalah MINDA NIAGA.

Permohonan permit penerbitan dikemukakan ke KDN pada bulan November 2009. Tanpa menggunakan saluran politik, akhirnya KDN meluluskan permohonan mereka dalam tempoh tujuh bulan. Timbul pula masalah. Permit ada, modal tiada.

Kamri menemui saya minta tolong saya cari pelabur. Saya teringat pada Datuk Radzi Latif bekas partner Haji Khairune Ali, penernit akhbar Warta Perdana. Saya kenali Datuk Radzi pada tahun 1993 ketika memohon saham HICOM dahulu. Syarikat saya, Busara Teguh Sdn Bhd memperolehi 10 lot saham HICOM dan saya tidak ada wang untuk beli saham itu. Datuk Radzi yang perkenalkan saya kepada seorang setiausaha syarikat, Bilal yang menguruskan pinjaman untuk membeli saham itu.

Sejak itu saya berkawan dengan Datuk Radzi tetapi tidak rapat.Menjelang pilihanraya umum 2008, beliau hubungi saya untuk menyiapkan akhbar HARIAN MUTIARA. Saya sempat menyiapkan tiga keluaran Harian Mutiara yang diterbitkan dua hari sekali menjelang hari pembuangan undi yang dikhususkan untuk Pulau Pinang sahaja.


Saya terus call Datuk Radzi pada pagi 3 Ogos itu. Saya bawa Kamri bincang dengan Datuk Radzi. Datuk Radzi bukannya orang yang jenis suka cakap banyak. Bila dia melihat permit KDN dan mock up majalah, terus dia setuju melabur dan kami bersetuju menubuhkan syarikat baru WOW COMMUNICATIONS SDN BHD yang mana Datuk Radzi mempunyai 70 peratus saham manakala kami bertiga- Pak Abu,Kamri dan saya mendapat 30 peratus sahamnya. pada 19 Ogos kami menemui Datuk Radzi buat kali kedua untuk perbincangan lanjut.

Pada 1 September operasi majalah bermula di pejabat Datuk Radzi di Taman Melawati. Kami tidak lagi beroperasi di pejabat Dewan Muda Publications di Pandan Jaya. Bulan September umat Islam menyambut hari raya aidilfitri. Maka banyak temujanji dengan usahawan yamg mahu kami wawancara ditangguhkan selepas hari raya.

Maka majalah yang sepatutnya terbit pada 1 Oktober ditangguh kepada 1 November. Syukurlah akhirnya majalah MINDA NIAGA yang menjadi impian Kamri dan Pak Abu sejak setahun lalu menjadi kenyataan pada 4 November lalu. Semoga majalah ini dapat menyaingi pelbagai majalah bisnes yang ada di negara kita.

SPRM SETAKAT BUKA KERTAS SIASATAN BOLEHLAH


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang dibentangkan baru-baru ini dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak kertas siasatan akan dibuka berdasarkan laporan tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata setakat ini, sekurang-kurangnya 15 kertas siasatan dibuka berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan itu, termasuk perbelanjaan Kementerian Pertahanan untuk barangan mewah bagi bilik VVIP, Mawilla 3 di Pangkalan Tentera Laut Lumut dan Langkawi.

"Apa-apa dalam laporan audit itu yang ada kaitan dengan rasuah, tidak mematuhi spesifikasi dan tuntutan palsu di mana bekalan tidak dibuat, semua kita siasat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis perasmian Hari Inovasi SPRM 2010 di Putrajaya hari ini.

Majlis itu dirasmikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Shukri berkata sebahagian besar kandungan laporan itu telah disiasat sejak sebulan lepas, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

Beliau berkata beberapa pihak yang terlibat juga telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, SPRM mengumumkan telah membuka 13 kertas siasatan, 14 kertas penyiasatan awal serta lima kertas pemeriksaan dan perundingan, berdasarkan laporan audit tersebut.

Tiga daripada kertas siasatan dibuka di Johor, enam di ibu pejabat, dua di Terengganu, serta masing-masing satu di Sarawak dan Selangor.

Sementara itu, dalam ucapannya, Abu Kassim berkata aspek inovasi termasuk dari segi kaedah sistem dan prosedur yang digunakan oleh agensi itu, adalah penting bagi menyelesaikan kes rasuah.

Beliau berkata tiga prinsip utama iaitu kebebasan, ketelusan dan profesionalisme harus menjadi teras inovasi SPRM bagi merealisasikan visinya
sebagai agensi penguatkuasaan yang terunggul di rantau ini.

Pegawai SPRM juga diarah mendokumentasikan kejayaan inovasi yang dicatat organisasi itu kerana ia merupakan bahan rujukan bernilai tinggi berbanding buku sedia ada, katanya.

Selasa, November 09, 2010

BUKAN SATU KEJUTAN


Apa yang dibuat oleh Datuk Zaid Ibrahim bukan satu kejutan. Dia dah biasa letak jawatan. Dahulu dia letak jawatan menteri. Kini dia letak jawatan dalam PKR pula. Jadi apa yang dilakukannya bukanlah satu kejutan.

Yang orang terkejut kerana dia tarik diri bertanding jawatan timbalan presiden PKR selepas pengiraan undi dibuat. Sepatutnya dia tarik diri sebelum pengundian. Sudah tentu ia mengecewakan para penyokongnya. Zaid ini tak ada kerja. Cuma mencari publisiti saja.

Tak pernah dibuat orang tarik diri selepas pengiraan undi sudah berlangsung. Nampak sangat dia tidak demokratik tidak dapat menerima kenyataan sedang dikalahkan oleh Azmin Ali dalam pengiraan undi bagi jawatan tersebut.

Soal ada penipuan dan penyelewengan dalam pengiraan undi adalah soal lain. Yang dibincangkan kenapa dia tarik diri sekarang? takdirnya dia sedang mendahului Azmin, adakah dia akan tarik diri?

Oleh itu nampak sangat Zaid ini tak betul orangnya. kalau dia betul takkan dia jual bangunan UMNO Kota Bharu kepada orang PAS. Zaid orang baru dalam PKR. Nampak sangat dia gelojoh nak jawatan penting. Patutnya dia tanding ahli majlis tertinggi PKR sahaja.

Baru sehari dua dalam PKR terus nak tanding nombor dua, siapa nak beri kepadanya. Apa jasanya kepada PKR sedangkan Azmin sudah lama dengan Anwar. Pengorbanan dan kesetiaan Azmin kepada Anwar tidak perlu dipertikai lagi. Apa jasa Zaid kepada Anwar? Lain kali nak tanding jawatan nombor dua, kena cermin diri dulu. Jangan gelojoh sangat. Bila kalah tarik diri. Ini semua kerja orang yang ada kepentingan diri dan bukannya mnementingkan parti.

Datuk Zaid Ibrahim semalam menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Beliau yang merupakan pencabar terkuat kepada Azmin Ali iaitu ‘anak emas’ Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan itu turut melepaskan semua jawatannya dalam PKR walaupun baru satu pertiga cabang parti itu mengadakan pemilihan.

Bagaimanapun, Zaid menegaskan beliau tidak akan meninggalkan pembangkang dan akan terus bercakap serta memperjuangkan isu rakyat bagi memastikan masyarakat mendapat kerajaan yang lebih baik.

Dalam PKR, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Pusat dan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan selain bertindak sebagai penyelaras bagi pakatan pembangkang.

“Saya menarik diri sebagai calon daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden. Saya juga melepaskan semua jawatan dalam parti kerana pucuk pimpinan secara aktif membenarkan penyelewengan dan penipuan dalam pemilihan parti berlaku.

“Keputusan ini diambil kerana tiada usaha pucuk pimpinan parti untuk menangani manipulasi; amalan tidak adil serta penyelewengan dalam pemilihan meskipun ia telah dibangkitkan berulang kali,” kata beliau dalam blog http://www.zaiduntukrakyat.com, hari ini.

Dakwaan penyelewengan dalam pemilihan PKR semakin bertiup kencang apabila beberapa kali keputusan pengundian yang sebelum ini menunjukkan Zaid mendahului Azmin terpaksa diubah oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail atas alasan silap kiraan.

Kemudian, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, juga mendesak supaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung dan proses pemilihan parti ditangguh sehingga tindakan proaktif diambil bagi membaiki segala penyelewengan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi daripada 87 cabang yang telah mengadakan pemilihan, Azmin kini jauh mendahului dengan majoriti 2,620 undi selepas mengumpul 6,525 undi, Zaid mendapat 3,905 undi manakala Mustaffa pula sekadar meraih 1,215 undi.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, beliau tidak boleh meneruskan perjuangan dalam pemilihan yang cacat kerana yakin, parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit tidak mampu menawarkan sebarang pembaharuan bermakna kepada rakyat.

“Saya menyertai PKR atas kepercayaan saya boleh mengembangkan budaya politik berprinsip yang saya anggap dapat membangunkan demokrasi dan tadbir urus yang baik di negara ini, tetapi saya sebenarnya tersilap.

“Saya berharap peminat Anwar tidak lagi menganggap saya sebagai ‘spoiler’ (pengacau) yang akan menghalang usaha mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya.

Isnin, November 08, 2010

UMNO PATUT CONTOHI GERAKAN


UMNO sebagai tulang belakang BN perlu mencontohi salah satu parti komponennya, Gerakan yang akan memperkenalkan calon pada tahun hadapan. Oleh kerana pilihanraya umum dijangka diadakan pada tahun 2012 langkah Gerakan memperkenalkan calon lebih awal wajar dicontohi oleh semua parti komponen.

Dengan ini bakal calon boleh bekerja kuat di kawasan masing-masing supaya para pengundi mengenali mereka dengan lebih dekat. Apa yang berlaku calon kalah kerana para pengundi tidak kenali mereka. Apatalah lagi untuk memperkenalkan calon baru dalam masa 10 hari agak sukar melainkan pengundi memilih parti dan bukannya memilih calon.

Parti Gerakan akan mengenal pasti dan memperkenalkan calon-calon parti itu bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas Tahun Baru Cina, Februari tahun depan.

Sehubungan itu, Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, Gerakan telah melancarkan jentera parti untuk menjelajah ke seluruh negara sejak empat bulan lalu bagi bertemu dan mendengar suara hati pemimpin negeri dan peringkat akar umbi.

Jelasnya, melalui pertemuan tersebut, pengurusan parti akan membuat penilaian awal berhubung kedudukan politik semasa di setiap negeri.

"Bagaimanapun, banyak lagi harus diusahakan, kita akan melawat semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kami dalam tempoh tiga bulan ini bagi menilai prestasi wakil-wakil rakyat dan penyelaras sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2010 di Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Tsu Koon menegaskan, beliau tidak mahu ahli Gerakan melobi secara berlebihan untuk menjadi calon.

"Ini kerana penilaian dan pemilihan akan berdasarkan komitmen, integriti, kebolehan, prestasi dan faktor boleh menang," katanya.

Tambahnya, walaupun sokongan penduduk luar bandar, orang Melayu dan India mula kembali kepada Barisan Nasional (BN), beliau mendapati keyakinan pengundi di bandar dan kaum Cina masih belum pulih sepenuhnya.

Sehubungan itu, katanya, semua parti komponen BN perlu berusaha lagi untuk menyakinkan semula pengundi dan masyarakat Cina di negara ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Tsu Koon menegaskan, tindakan Gerakan mengenal pasti dan memperkenalkan calon itu tidak bercanggah dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya kerusi tradisi sesebuah parti komponen perlu diserahkan kepada parti lain jika mereka tiada peluang untuk menang.

Menurut Tsu Koon, cadangan Ahmad Zahid itu adalah pandangan peribadi yang belum dibincangkan di peringkat BN.

Ahad, November 07, 2010

PBS MENANG KERANA ORANG MELAYU SETIA DENGAN BN


BN menang di Batu Sapi bukan kerana masyarakat Cina menolak calon Cina tetapi kerana pengundi Melayu setia dengan BN walaupun calon BN adalah orang Cina.

Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi kelmarin membuktikan masyarakat Cina di negara ini tidak dapat menerima pemimpin yang angkuh.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, perkara itu terbukti apabila calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang mendakwa mendapat sokongan 80 peratus pengundi Cina di kawasan itu kalah dengan memperoleh undi paling sedikit.

"Teck Lee hanya mendapat 20 peratus undi daripada pengundi Cina di kawasan terbabit dan ini menunjukkan pemimpin yang angkuh dan tidak mesra rakyat akan ditolak," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Ahli Seumur Hidup Gerakan di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, BN mengekalkan kerusi itu dengan majoriti besar 6,359 undi apabila calonnya, Datin Linda Tsen Thau Lin memperoleh 9,773 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansaari Abdullah (3,414 undi) dan Teck Lee (2,031 undi).

Pada tarikh sama, BN turut merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan majoriti 1,190 undi apabila calonnya, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi menewaskan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamed (4,134 undi).

Dalam pada itu, Tsu Koon memberitahu, keangkuhan Presiden SAPP itu terbukti apabila beliau sering menghentam kerajaan dalam ucapannya yang berapi-api sambil memainkan sentimen Sabah untuk penduduk Sabah.

"Apabila bekas Ketua Menteri Sabah itu dengan angkuh mendakwa bahawa partinya sahaja yang membela nasib rakyat negeri itu, pengundi akan mula mempersoalkan kewibawaan beliau kerana tidak berbuat apa-apa ketika berada dalam kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai kemenangan di dua kawasan terbabit kelmarin, beliau berkata, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk BN bersikap berpuas hati.

"Seperti kata pepatah, kehadiran dua ekor burung pipit bukan bererti musim bunga sudah tiba.

"Ini kerana mungkin haiwan terbabit berada di situ disebabkan terselamat daripada cuaca dingin musim sejuk yang masih lagi belum berakhir," ujarnya.

Tegas beliau, jentera BN perlu terus menumpukan amalan pendekatan mesra rakyat seperti ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia sedikit sebanyak berjaya memenangi hati pengundi.

"Kemenangan ini juga kerana usaha Perdana Menteri mempromosikan gagasan 1Malaysia sudah ada kesannya, tetapi ini bukan jaminan kita akan terus menang kerana kesan ini belum sampai ke tahap yang cukup tinggi lagi.

"Kita perlu berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan kesan gagasan 1Malaysia benar-benar dapat dirasai oleh pengundi," katanya.