Memaparkan catatan dengan label setia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label setia. Papar semua catatan

Ahad, November 27, 2016

AHLI UMNO PERLU DIDIDIK SETIA KEPADA PARTI

KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Prihatin dengan ancaman perpecahan dalam kalangan anggota UMNO sehingga wujud parti serpihan, seorang veteran UMNO menyarankan agar program pendidikannya diperkasakan bagi mewujudkan anggota dan pemimpin yang sentiasa setia dengan perjuangan parti.


Pengerusi Veteran UMNO Kelantan Datuk Mohd Rozali Isohak berkata pemerkasaan program itu juga perlu untuk melahirkan anggota dan pemimpin yang lebih mengutamakan perpaduan yang kukuh dalam parti.

Sudah sampai masanya UMNO menumpukan perhatian kepada program pendidikan itu dengan mewujudkan pusat-pusat pendidikan sampai ke peringkat cawangan parti untuk mendidik para anggotanya secara sistematik dan menyeluruh seperti yang dilakukan PAS, katanya dalam satu temu ramah dengan Bernama di sini.

"UMNO juga perlu mengambil langkah segera untuk mendekatkan golongan Islamik kepada parti itu dengan menguasai institusi dalam masyarakat seperti masjid dan surau," katanya

Mohd Rozali berkata seluruh warga UMNO sekarang harus sedar bahawa kewujudan UMNO pada 1946 yang diasaskan Datuk Onn Jaafar, ketika itu telah menjadi wadah untuk orang Melayu terutama golongan Islamik dan nasionalis bersama-sama berjuang menentang Malayan Union hingga berjaya.

UMNO diasaskan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru diketuai Datuk Onn dengan matlamat mendukung cita-cita kebangsaan Melayu bagi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Penubuhan UMNO adalah hasil usul Kongres Melayu Se-Malaya pertama yang diaturkan Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 yang disertai wakil 41 pertubuhan Melayu.

Kongres tersebut diadakan bertujuan menentang Malayan Union yang dilihat menjadi ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Sultan-sultan Melayu.

"Sama ada mereka itu golongan agama atau profesional, UMNO perlu memenangi hati mereka kerana kejayaan menggarap tenaga daripada kesemua golongan itu dalam satu perjuangan dan kesetiaan yang satu, di bawah satu bumbung, akan menjadikan UMNO sebuah parti yang kuat untuk orang Melayu tanpa meminggirkan kaum lain," katanya.

Mohd Rozali berkata UMNO juga sebagai parti tunjang bagi masyarakat luar bandar perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menjaga kebajikan mereka dalam menempuh pelbagai cabaran termasuk kenaikan kos sara hidup.

Mohd Rozali yang juga Naib Pengerusi Kanan Veteran UMNO Malaysia dan anggota Jawatankuasa Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), turut berharap para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 dapat mengumpul idea dan pendekatan untuk memperkukuhkan perpaduan parti.

Mereka juga harus mengariskan kriteria calon pilihan raya boleh menang untuk persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14} dan bagaimana untuk menarik sokongan rakyat terutama golongan pengundi muda kepada UMNO dan BN, katanya.

Isnin, Jun 27, 2016

ZAHID SETIA KEPADA UMNO WALAUPUN DITAHAN DI BAWAH ISA

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengupas kisah hidupnya termasuk minatnya terhadap motosikal berkuasa tinggi, pendirian politik serta keluarganya dalam program 'Obviously Harith Iskander (OHI)' terbitan Astro Awani, malam ini.

Memasuki set rangkaman dengan menunggang motosikal Harley Davidson, Timbalan Perdana Menteri berkongsi keghairahannya terhadap superbike bersama penonton dalam rancangan bual bicara bersantai selama sejam.

"Saya mula menunggang motosikal pada tahun 1973 ketika mendaftar di Universiti Malaya. Motosikal pertama saya ialah Yamaha 250cc, hadiah daripada arwah ayah saya.

"Malah apabila tamat pengajian, saya tidak membeli kereta tetapi motosikal jenis scrambler. Teman wanita yang kini isteri saya sangat berminat dengan kedua-duanya....motosikal dan saya," katanya, sambil menambah beliau adalah presiden Persatuan Superbike Malaysia (SAM).

Menjawab soalan Harith mengenai pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Tun Dr Mahathir daripada UMNO semalam, naib presiden UMNO itu berkata ahli UMNO perlu setia kepada parti.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau setia kepada parti walaupun pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998.

"Saya sabar, ikut arus dan setia kepada parti dan kini saya berada di sini...kesetiaan adalah penting," katanya.

Menurutnya arena politik masa kini lebih canggih dengan cabaran baharu perlu diberi perhatian terutama melibatkan generasi muda.

"Perubahan minda berlaku dan emosi mereka juga berubah kerana golongan ini kini lebih cerdik, pandangan yang lebih kritikal...ini apa yang kita panggil Gen Y dan Z,' katanya. Semasa segmen tersebut, Ahmad Zahid dihadiah kek sempena sambutan Hari Bapa oleh tujuh orang cucunya kerana beliau tidak sempat menyambutnya pada hari berkenaan kerana sibuk dengan jadual tugasnya.

Rancangan bual bicara itu turut menampilkan artis komedi pentas, Butch Bradley dan Dasha Logan, anak perempuan vokalis kumpulan Alleycats, mendiang Loganathan Arumugam.

-- BERNAMA

Ahad, November 07, 2010

PBS MENANG KERANA ORANG MELAYU SETIA DENGAN BN


BN menang di Batu Sapi bukan kerana masyarakat Cina menolak calon Cina tetapi kerana pengundi Melayu setia dengan BN walaupun calon BN adalah orang Cina.

Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi kelmarin membuktikan masyarakat Cina di negara ini tidak dapat menerima pemimpin yang angkuh.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, perkara itu terbukti apabila calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang mendakwa mendapat sokongan 80 peratus pengundi Cina di kawasan itu kalah dengan memperoleh undi paling sedikit.

"Teck Lee hanya mendapat 20 peratus undi daripada pengundi Cina di kawasan terbabit dan ini menunjukkan pemimpin yang angkuh dan tidak mesra rakyat akan ditolak," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Ahli Seumur Hidup Gerakan di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, BN mengekalkan kerusi itu dengan majoriti besar 6,359 undi apabila calonnya, Datin Linda Tsen Thau Lin memperoleh 9,773 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansaari Abdullah (3,414 undi) dan Teck Lee (2,031 undi).

Pada tarikh sama, BN turut merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dengan majoriti 1,190 undi apabila calonnya, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi menewaskan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamed (4,134 undi).

Dalam pada itu, Tsu Koon memberitahu, keangkuhan Presiden SAPP itu terbukti apabila beliau sering menghentam kerajaan dalam ucapannya yang berapi-api sambil memainkan sentimen Sabah untuk penduduk Sabah.

"Apabila bekas Ketua Menteri Sabah itu dengan angkuh mendakwa bahawa partinya sahaja yang membela nasib rakyat negeri itu, pengundi akan mula mempersoalkan kewibawaan beliau kerana tidak berbuat apa-apa ketika berada dalam kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai kemenangan di dua kawasan terbabit kelmarin, beliau berkata, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk BN bersikap berpuas hati.

"Seperti kata pepatah, kehadiran dua ekor burung pipit bukan bererti musim bunga sudah tiba.

"Ini kerana mungkin haiwan terbabit berada di situ disebabkan terselamat daripada cuaca dingin musim sejuk yang masih lagi belum berakhir," ujarnya.

Tegas beliau, jentera BN perlu terus menumpukan amalan pendekatan mesra rakyat seperti ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia sedikit sebanyak berjaya memenangi hati pengundi.

"Kemenangan ini juga kerana usaha Perdana Menteri mempromosikan gagasan 1Malaysia sudah ada kesannya, tetapi ini bukan jaminan kita akan terus menang kerana kesan ini belum sampai ke tahap yang cukup tinggi lagi.

"Kita perlu berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan kesan gagasan 1Malaysia benar-benar dapat dirasai oleh pengundi," katanya.