Ahad, November 27, 2016

AHLI UMNO PERLU DIDIDIK SETIA KEPADA PARTI

KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Prihatin dengan ancaman perpecahan dalam kalangan anggota UMNO sehingga wujud parti serpihan, seorang veteran UMNO menyarankan agar program pendidikannya diperkasakan bagi mewujudkan anggota dan pemimpin yang sentiasa setia dengan perjuangan parti.


Pengerusi Veteran UMNO Kelantan Datuk Mohd Rozali Isohak berkata pemerkasaan program itu juga perlu untuk melahirkan anggota dan pemimpin yang lebih mengutamakan perpaduan yang kukuh dalam parti.

Sudah sampai masanya UMNO menumpukan perhatian kepada program pendidikan itu dengan mewujudkan pusat-pusat pendidikan sampai ke peringkat cawangan parti untuk mendidik para anggotanya secara sistematik dan menyeluruh seperti yang dilakukan PAS, katanya dalam satu temu ramah dengan Bernama di sini.

"UMNO juga perlu mengambil langkah segera untuk mendekatkan golongan Islamik kepada parti itu dengan menguasai institusi dalam masyarakat seperti masjid dan surau," katanya

Mohd Rozali berkata seluruh warga UMNO sekarang harus sedar bahawa kewujudan UMNO pada 1946 yang diasaskan Datuk Onn Jaafar, ketika itu telah menjadi wadah untuk orang Melayu terutama golongan Islamik dan nasionalis bersama-sama berjuang menentang Malayan Union hingga berjaya.

UMNO diasaskan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru diketuai Datuk Onn dengan matlamat mendukung cita-cita kebangsaan Melayu bagi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Penubuhan UMNO adalah hasil usul Kongres Melayu Se-Malaya pertama yang diaturkan Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 yang disertai wakil 41 pertubuhan Melayu.

Kongres tersebut diadakan bertujuan menentang Malayan Union yang dilihat menjadi ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Sultan-sultan Melayu.

"Sama ada mereka itu golongan agama atau profesional, UMNO perlu memenangi hati mereka kerana kejayaan menggarap tenaga daripada kesemua golongan itu dalam satu perjuangan dan kesetiaan yang satu, di bawah satu bumbung, akan menjadikan UMNO sebuah parti yang kuat untuk orang Melayu tanpa meminggirkan kaum lain," katanya.

Mohd Rozali berkata UMNO juga sebagai parti tunjang bagi masyarakat luar bandar perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menjaga kebajikan mereka dalam menempuh pelbagai cabaran termasuk kenaikan kos sara hidup.

Mohd Rozali yang juga Naib Pengerusi Kanan Veteran UMNO Malaysia dan anggota Jawatankuasa Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), turut berharap para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 dapat mengumpul idea dan pendekatan untuk memperkukuhkan perpaduan parti.

Mereka juga harus mengariskan kriteria calon pilihan raya boleh menang untuk persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14} dan bagaimana untuk menarik sokongan rakyat terutama golongan pengundi muda kepada UMNO dan BN, katanya.