Isnin, April 19, 2010

EZAM AKAN DEDAH HUBUNGAN ANWAR DENGAN ARKITEK PERANG ISRAEL


Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Noor akan mendedahkan bukti hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pihak Israel di Hulu Selangor dalam masa terdekat ini.

Menurut beliau, antara yang akan didedahkan adalah salinan surat membuktikan hubungan rapat Anwar dengan Pengerusi Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang pernah bertugas sebagai arkitek perang Israel dan teman wanitanya, Shaha Ali Riza.

Dakwa Ezam, salinan surat itu mengandungi permintaan Anwar agar Shaha ditukarkan ke Foundation for the Future di mana penasihat PKR itu menjadi pengerusinya untuk menyelamatkan imej Wolfowitz daripada skandalnya dengan wanita itu.

Kata beliau, salinan surat itu diperolehnya daripada sumber di Bank Dunia.

"Anwar sebelum ini menuduh Kerajaan Pusat bekerjasama dengan Israel ekoran hubungan dengan Apco Worldwide tetapi pada saya ia hubungan profesional yang tidak memberi keuntungan kepada Israel tetapi kepada negara.

"Tetapi bagaimana hubungan rapatnya dengan Wolfowitz hingga sanggup melindungi lelaki itu daripada skandalnya," katanya.

Beliau ditemui selepas pengumuman peletakan jawatan dan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua pemimpin AMK, Nor'isham Manap dan Muhammad Ali Mukhtar di sini hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan yang mengatakan calon PKR Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim dapat membantu rakyat di kawasan itu kerana hubungan baiknya dengan kerajaan negeri, Ezam menjawab:

"Ahli Parlimen PKR sebelum ini juga mempunyai hubungan yang baik malah sangat rapat dengan kerajaan negeri, tetapi apa yang telah dilakukan kepada rakyat?"

MINUM ARAK CERITA LAMA


Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Datuk Zaid Ibrahim berkata dakwaan beliau meminum arak adalah cerita lama.

"Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah S.W.T.

"Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen dari rumah ke rumah di Kerling di sini.

Zaid berkata apa yang membezakan antara beliau dengan pemimpin lain ialah beliau tidak bersikap hipokrit.

"Kalau orang tanya kes-kes tertentu, mereka kata terlalu kecil. Tetapi bagi saya, saya jawab. Saya percaya rakyat Hulu Selangor boleh menilai manusia Zaid Ibrahim ini sama ada dia layak jadi wakil rakyat. Kalau layak saya menang lah, kalau tak layak, tak layaklah," katanya.

Zaid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beliau adalah seorang kaki botol tegar seperti dilaporkan oleh beberapa blog.

Pada pilihan raya kecil 25 April ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zaid, calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan dan dua calon Bebas iaitu V.S. Chandran dan Johan Md Diah.

Kerusi Parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Ahad, April 18, 2010

SIAPA MENANG AHAD DEPAN?


Siapa menang dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor Ahad depan menarik perhatian kita. Adakah calon BN, Kamalanathan atau calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim? Dua calon Bebas dikatakan tidak ada harapan untuk menang setakat 100 undi sorang bolehlah pungut.

Jika kedua calon Bebas ini berjaya memecahkan undi para penyokong BN, maka calon PKR yang menang. Ahli-ahli UMNO kecewa kerana BN meletakkan calon MIC untuk merampas kerusi itu dari PKR. Pada masa yang sama para penyokong bekas ahli parlimen mereka, Palanivel turut kecewa kerana Planivel tidak dicalonkan semula.

Sewaktu Zaid dalam BN tidak timbul dia peminum arak. Bila masuk PKR, barulah timbul isu ini. Kenapa sewaktu beliau dalam BN tidak pernah disebut bahawa dia adalah peminum arak tegar? Itulah politik. BN tidak ada isu lain terpaksa membawa isu peribadi Zaid kerana dia adalah seorang menteri yang berprinsip.

Kalau mahu dengar suara kuat di Dewan Rakyat, hantarlah Zaid ke sana. Jika tidak bila BN menang, Palanivel terpaksa mencari kerusi lain pula dalam pilihanraya umum akan datang. Selamat mengundi para pengundi Hulu Selangor/

Jumaat, April 16, 2010

DIN ADAM BUKAN ORANG BESUT


Pada minggu lepas ketika berada di Tingkat 4, The Mall saya ternampak buku KEMELUT POLITIK TERENGGANU oleh Zainal Yusof di sebuah kedai buku. Saya terus membelinya. Saya pun tak kenal siapa Zainal Yusof ini kerana saya tak pernah dengar namanya walaupun dia ada blognya sendiri, citrabangsa.

Saya terus membaca buku yang tebal itu. Banyak isu diulang beberapa kali dalam tulisan sebelumnya. Ini tidaklah menghairankan kerana ia dipetik dari tulisannya yang tersiar dalam blognya. Malah blog lesungbatu pun turut dipetiknya yang dimiliki oleh Zakaria Bidin.

Saya tidak mahu mengulas panjang buku ini yang kononnya Datuk Din Adam telah beri amaran kepada Hambali Latif yang kononnya dia terlibat dalam penulisan buku tersebut. Ada beberapa fakyat yang silap dalam buku itu kononnya Din Adam berasal dari Besut. Sedangkan dia berasal dari jerung, Marang.

Saya pernah duduk satu asrama dengannya di Sekolah menengah Sultan Sulaiman pada tahun 1978. Beliau adalah junior saya. Din memang seorang pelajar yang nanor di asrama ketika itu. Siapa sangka dia yang nanor boleh masuk politik dan jadi Exco Kerajaan Negeri. Itulah tuah badan Din Adam.

Dia bukan orang Bukit Besi. tetapi oleh kerana dia bekerja di Ketengah sebagai juruteknik, maka dia masuk UMNO di cawangan Bukit Besi. Nasibnya baik bila dia menentang wahab untuk jawatan ketua pemuda bahagian Dungun, maka dia menang pada tahun 1998.

Selepas itu dia dilantik ketua pemuda UMNO negeri terengganu yang kebetulan ketika itu Datuk Seri Hishamuddin jadi Ketua [pemuda UMNO Malaysia. Pada tahun 2004, beliau bertanding kali pertama di DUN Bukit besai dan terus dilantik Exco Kerajaan Negeri oleh menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Seperti kata Zainal Yusof dalam bukunya itu, Datuk Ahmad said pernah menawarkan jawatan Exco kepada Din tetapi Din menolaknya kerana terlalu patuh kepada Idris. Kini idris sudah meninggalkan Idris kerana dilantik pegawai khas kepada Hishamuddin.

Banyak yang menarik ditulis oleh Zainal dalam buku itu. syabas kepadanya.

ORANG LAMA -Vs- ORANG BARU


BN telah mengumumkan calon baru bagi pilihanraya kecil Hulu Selangor, Kamalanathan, 44, berbanding dengan calon PKR, Datuk zaid Ibrahim, 59 tahun. Langkah BN tidak meletakkan semula wakil rakyat empat penggal sebagai calon, G. palanivel merupakan satu langkah yang bijak.

Jika Palanivel bertanding dan kalah ia akan menjejaskan nama baik MIC kerana Palanivel akan mewarisi kepimpinan MIC dalam tempoh 12 bulan akan datang. Oleh itu jika Kamalanathan kalah, ia tidak akan menjejaskan masa depan politik Palanivel.

Sebagai Presiden baru MIC, Palanivel boleh pilih kawasan lain yang lebih selamat untuknya pada pilihanraya umum akan datang. Mampukah MIC merampas kembali kerusi Hulu Selangor pada 24 April ini?

Zaid adalah bekas ahli parlimen Kota Bharu dari tahun 2004 hingga 2008. Pada pilihanrayaumum 2008, beliau tidak dipilih sebagai calon tetapi dilantik senator oleh Pak Lah dan dilantik menteri di jabatan perdana menteri yang menjaga undang-undang.

tetapi beliau adalah menteri yang berprinsip. Apabila menteri dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar menahan beberapa ahli politik dalam ISA, maka beliau meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan ISA. Memang susah nak cari menteri yang berprinsip seperti Zaid.

Sebab itu PKR merasakan perlu menghantar orang seperti zaid ke parlimen supaya suaranya yang lantang terus kedengaran di parlimen. Mampukah Zaid mengekalkan kerusi PKR ini berhadapan dengan Kamalanathan yang merupakan anak tempatan?

Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad bekas ahli parlimen Hulu Selangor bukan anak tempatan. Beliau orang Hulu langat tetapi menang dengan majoriti tipis 108 undi sedangkan semua tiga kerusi DUN dimenangi oleh UMNO dan MCA. Jadi dapatkah Kamalanathan menyekat kemaraan Zaid ini dengan isu anak tempatan?

Pilihanraya kecil ini amat penting kepada MIC sama ada MIC masih relevan dalam BN atau tidak. Jika BN kalah, kedudukan MIC perlu dikaji semula kerana masa ada kerusi majoriti pengundi India di negara ini. Selama ini MIC menang kerana bertanding di kerusi Melayu. Tetapi PKR bijak meletakkan calon Melayu kerana mahu menarik undi orang UMNO yang mahu BN meletakkan calon UMNO bertanding di situ. Setakat ini PKR yang meletakkan calon melayu menang dua kerusi di kerusi MIC, Hulu Selangor dan Teluk Kemang. Apakah PKR dapat mengekalkan kerusi Hulu Selangor ini?

Khamis, April 08, 2010

SEPERTI DIDUGA BN KEKALKAN STATUS QUO


Seperti diduga BN mengekalkan status quo untuk bertanding pada pilihanraya kecil hujung bulan ini. Datuk Seri Najib tidak bernai buat perubahan. Jika dia buat perubahan, ini bermakna dia tidak menyokong gagasan 1Malaysia yang dilaung-laungkannya.

Biarpun Hulu Selangor penuh dengan majoti pengundi Melayu,biarlah MIC yang bertanding kerana itulah status quo sebelum ini. Siapa calonnya sudah pasti Timbalan Presiden MIC. G. Palanivel yang sudah empat penggal jadi ahli parlimen kawasan tersebut.

Adakah orang UMNO yang pada mulanya menuntut kerusi tersebut akan beri sokongan kepada G. Palanivel yang bakal mewarisi MIC daripada Datuk Seri Samy Vellu? Adakah orang India akan solid mengundi BN? Bagaimana pula sokongan kaum Cina? Jika semua kaum bersatu ada harapan bagi BN untuk merampas kembali kerusi itu dari PKR dalam suasana PKR berpecah.

Ini semua bergantung kepada siapa calon PKR? Adakah PKR akan meletakkan orang Melayu sekali lagi sebagai calon? Ini semua yang akan dijawab pada hari pengundian nanti.

Rabu, April 07, 2010

DUA KALI DIGODAM

Mulai hari ini blog saya memo-belakang.blogspot.com sudah ditukar nama kepada catatanzabidi.blogspot.com. Ini adalah bertujuan untuk keselamatan setelah dua kali blog saya digodam. Kali pertama pada bulan Januari lalu dan paling terbaru, pada 1 April lalu.

Walaupun blog saya tidak popular, ia menjadi phobia kepada sesetengah orang sehingga dia sanggup menggodam blog saya dengan menukar namanya kepada belakangmain.blogspot.com. Saya tahu siapa yang menggodam blog saya. Oleh itu saya minta orang itu bertaubatlah. Kalau tidak puas hati dengan tulisan saya, jawablah dalam majalahnya dan bukannya mengkhianati blog saya.

Saya beri amaran terakhir kepada manusia durjana ini. Jika dia buat lagi selepas ini, saya tidak teragak-agak akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada manusia yang tidak berhati perut ini.

Khamis, April 01, 2010

JANGAN LAYAN PEREMPUAN INI


Perempuan ini selalu berada di parlimen. Oleh itu semua ahli parlimen berhati-hatilah dengan perempuan ini. Dia adalah seorang penipu. Dia kata majalahnya BUSINESSKINI mencapai 10 ribu naskhah tetapi cetak tak sampai 2 ribu naskah.

Dia kata saya kena pecat padahal saya letak jawatan. Sudah sah perempuan ini gila. Kalau nak tahu siapa perempuan ini, dia ialah Azizah Mat Hassan, penerbit majalah BUSINESSKINI yang tak laku. Saya tanya kedai mamak banyak mana majalah ini dihantar ke kedainya. Mamak tu jawab, sepuluh. Saya tanya lagi berapa laku. Dia jawab hantar 10, return 10. Saya tergelak mendengar jawapan mamak itu.

Dia tak bayar gaji saya. Jawablah di akhirat nanti. Ada dua tiga iklan yang saya bawak masuk dalam majalah itu dia tidak komisennya kepada saya. Jawablah di akhirat nanti. Biarlah Allah memberi balasan kepadanya.

Dia ni muka tak malu. Dia nak add saya dalam facebook, mana saya nak layan perempuan gila ini.

Rabu, Mac 31, 2010

NOH OMAR DILANTIK MENTERI PELAJARAN?


Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) di sebuah hotel terkemuka. Ramai yang telah memuji langkah yang diambil oleh Najib untuk menaikkan pendapatan per kapita rakyat.

Seperti kata CEO CIMB, Datuk Nazir Tun Razak, siapa yang akan melaksanakan MEB itu yang penting. Apa sahaja dasar yang diumumkan oleh kerajaan memang bagus tapi pelaksanaan dasar yang menjadi masalah. Oleh itu MEB akan berjaya jika pelaksananya memegang kepada falsafahnya.

Sekembalinya dari Hong Kong baru-baru ini, Najib kata dia akan buat pengumuman penting pada 31 Mac ini. Adakah rombakan kabinet akan dilakukan oleh Najib setelah setahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dikatakan akan menjadi Menteri Pelajaran yang baru. Tan Sri Muhyiddin akan meninggalkan kementerian tersebut untuk menjadi Menteri Kewangan yang baru. Najib yang melepaskan Kementerian Kewangan akan mengambilalih Kementerian Dalam Negeri.

Tempat Datuk Seri Hishamuddin belum pasti ke mana. Tetapi ada beberapa menteri akan digugurkan manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang baru.

Rombakan juga akan melibatkan MCA kerana MCA mendapat Presiden yang baru, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada hari Ahad lepas. Beliau mungkin dilantik sebagai Senator dan dilantik Menteri Pengangkutan yang baru menggantikan Datuk Ong Tee Keat yang tewas dalam pertandingan tiga penjuru itu.

Pada masa yang sama Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan, Datuk Chong Ko Ha yang tewas dalam pertandingan timbalan presiden kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Low Tiong Lai dijangka meletakkan jawatan itu memberi laluan kepada Timbalan menteri kewangan, datuk Cheur Ho Cheoung dilantik menteri penuh.

Sama-samalah kita tunggu rombakan kabinet ini untuk melihat siapa yang gugur dan siapa yang naik?Semuanya terletak di tangan Najib untuk menggugurkan mana-mana menteri yang difikirkannya gagal memenuhi piawaian yang digariskannya.

Ahad, Mac 28, 2010

PERWAKILAN MCA SUDAH MAAFKAN SOI LEK


Kemenangan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden MCA yang baru membuktikan bahawa para perwakilan MCA sudah memaafkan bekas Menteri Kesihatan itu yang terlibat dalam skandal seks.

Bekas timbalan presiden MCA itu mendapat 901 undi manakala bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong ka Ting mendapat 833 undi manakala Presiden MCA, Datuk Seri Ong tee Keat mendapat 578 undi.

Para perwakilan MCA menolak Menteri pengangkutan untuk memimpin parti itu dengan memilih bekas menteri yang tidak menjadi ahli parlimen pun. Beliau tidak dipilih sebagai ahli parlimen pada pilihanraya umum 2008.

Usaha Ong ka Ting untuk memimpin MCA semula ditolak oleh para perwakilan dan nampaknya mereka lebih suka ia dpimpin oleh Dr Chua. UMNO sebagai rakan utama BN perlu menerima Dr. Chua sebagai presiden MCA yang baru dan Datuk Seri najib selaku Perdana Menteri perlulah melantik Dr Chua sebagai senator dan membawanya semula ke kabinet kerana itulah kehendak majoriti ahli-ahli MCA.

Dalam pertandingan timbalan presiden pula, Menteri kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengalahkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Kong Cho Ha dengan majoriti 65 undi. Liow mendapat 1,171 undi manakala Kong memungut 1,106 undi.

Berikutan kelahnya Ong Tee keat dan Kong Cho Ha, dua kementerian akan kosong iaitu Menteri pengangkutan dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Adakah Najib akan melantik Dr Chua sebagai Menteri pengangkutan yang baru? Dan adakah naib presoden baru, Chor Chee heung akan dilantik sebagai Menteri perumahan dan kerajaan Tempatan?

Segala-galanya terjawab pada 31 Mac ini yang mana Najib kata ada satu kejutan besar akan berlaku pada hari tersebut. Mungkinkah rombakan kabinet baru dibuat pada hari tersebut yang bukan sahaja melibatkan MCA malah melibatkan semua parti komponen BN.

BERANIKAH BN UBAH STATUS QUO?


Berdasarkan status quo, MIC yang patut mewakili BN pada pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor pada akhir April ini.Tetapi sudah ada desakan supaya UMNO meletakkan calonnya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu selangor bertanding di situ.

Beranikah BN mengubah status quo yang ada? Jika kerusi MIC diserahkan kepada kepada UMNO, ini bermakna UMNO Selangor terpaksa mengorbankan kerusi lain kepada MIC pada pilihanraya umum akan datang.53 peratus pengundi Hulu Selangor adalah pengundi Melayu, maka peluang BN untuk menang adalah cerah jika BN meletakkan calon yang popular seperti Mat Taib. Seperti juga nama bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad popular di Bagan Pinang begitulah juga nama bekas MB Selangor ini popular di Hulu Selangor. Tambahan pula beliau menjadi ADUN Batang Kali, salah satu kerusi DUN dalam parlimen Hulu Selangor ketika Mat Taib menjadi MB Selangor.

BN ada harapan untuk menang jika BN meletakkan Mat Taib. Tambahan pula calon PKR, arwah Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad menang dengan majoriti yang tipis. Meletakkan semula G.Palanivel bukannya mudah kerana MIC pun berpecah kepada pelbagai puak, puak Samy vellu dan S. Subramaniam.

Sanggupkah Samy Vellu mengorbankan kerusi MIC kepada UMNO? MIC ternyata gagal menawan Bukit Selambau pada pilihanraya kecil tahun lepas. Maka MIC perlu beri laluan kepada UMNO untuk menang di Hulu Selangor. Seperti kata Timbalan perdana Menteri, BN perlu menang kali ini dalam suasana PKR yang sedang berpecah. Jika BN gagal menawan Hulu Selangor, maka misiBN untuk menawan negeri Selangor pada pilihanraya umum 2012 hendaklah dilupakan saja.

Beranikah Najib selaku Pengerusi BN ubah status quo? Sama-samalah kita tunggu

Sabtu, Mac 27, 2010

ORANG MELAYU TAK PERCAYA KEPADA UMNO LAGI


Kepercayaan orang Melayu terhadap Umno sebagai pelindung nasib mereka kini terhakis dan Melayu kini perlu berusaha untuk melindungi diri mereka sendiri, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.


"Maaf saya katakan, wujudnya begitu ramai NGO Melayu yang memberi tumpuan masalah Melayu kerana terhakisnya kepercayaan mereka kepada UMNO sebagai pelindung nasib mereka,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Menurut Mahathir, prestasi Umno pada pilihan raya tahun 2008 adalah terlalu buruk dan Barisan Nasional (BN) hanya mampu menubuhkan kerajaan yang lemah, yang dilihat sebagai tidak berupaya mempertahankan kedudukan orang Melayu.

“Kita lihat seolah-olah kerajaan memberi layanan kepada mereka daripada apa yang ada pada kita. Saya tak kata kerajaan berat sebelah tetapi lemah kerana ada sipolan yang tak tau Umno dan BN hampir kalah.

Jangan biadap

“Masa saya jadi PM, ada juga tuntutan, tapi jangan la biadap ,” kata Mahathir.


Beliau berkata tuntutan dan desakan pada zaman itu tidaklah sebiadap seperti hari ini.

“Saya bukan rasis, saya keturunan orang Melayu.nak aman,hidup rukun dan damai.negara dapat dibangunkan. hampir 50 tahun tak ada masalah yang besar dihadapi kecuali tahun 1969 dan 1987. Tak ada tuntutan yang bukan bukan dari mana-mana pihak..

“Zaman Tunku (Abdul Rahman), Tun Razak, (Tun) Hussein dan zaman saya, tak ada tuntutan yang bukan-bukan. Apa yang saya perkatakan adalah benar belaka, negara kita unik, penduduk pelbagai kaum, negara lain, penduduk tempatan tak akan beri hak kepada pendatang,orang lain melainkan guna syarat-syarat yang ketat seperti guna bahasa tempatan, budaya tempatan,” kata Mahtahir.

Katanya, orang Melayu amat bermurah hati dan sanggup berkongsi negara ini hampir tanpa sebarang syarat yang ketat.

Umno lemah

Bagaimanpun akibat kerajaan BN yang ditunjangi oleh Umno adalah lemah, maka golongan berkenaan mula berani menuntut perkara-perkara yang tidak sepatutnya dan ia ditambah burukkan lagi dengan bantuan parti pembangkang yang memuatr-belitkan perkara itu.

“10 peratus anak Melayu yang berada di universiti, anak Melayu yang melanjutkan pengajian ke luar negeri, pun tak ramai. Kita boleh buat banci,,siapa yang lebih ramai?


“Ramai penuntut Melayu dapat biasiswa.kita beri sebab tak ada duit atau duit tak cukup. Yuran setahun RM60 ribu, mana ibu bapa Melayu yang mampu. Zalimkah kita bagi biasiswa untuk tambah Melayu berpelajaran?” soal Mahathir lagi.

Selain itu, menurut Mahathir, bukan Melayu juga tidak seharusnya mempertikaikan kedudukan Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.

“Keris ialah simbol bangsa kita. Kita hargai. nak guna simbol kita pun tak kan nak kena minta maaf? Hanya kerana satu kaum nak hidup bahagia, kaum satu lagi hidup sengsara?” soalnya.

Justeru, kerana keadaan sedemikian orang Melayu, kata Mahathir memerlukan NGO seperti Perkasa bagi memperjuangkan hak mereka.

Rintihan rakyat

Kata beliau lagi, tanpa menamakan pihak yang bertanggungjawab: “Kita taklah tuntut banyak banyak..dia dah pergi, biarlah dia pergi.”

Mahathir bagaimanapun mengingatkan kerajaan supaya perlu mendengar pandangan dan rintihan daripada semua rakyat tanpa mengira kaum. Ini kerana, katanya, sebagai sebuah negara yang demokratik, membentuk sebuah kerajaan bergantung kepada sokongan undi.

“Oleh itu, penting bagi kerajaan dengar rintihan rakyat, di samping cuba mengambil kira pandangan mereka (rakyat). Bukan daripada satu kaum tetapi daripada semua kaum.


“Orang Melayu perlu mengambil kira orang India serta Cina dan di Sabah atau Sarawak,” katanya.

Beliau berkata walaupun jumlah mereka tidak ramai dan tidak dapat menentukan siapa yang akan memerintah, namun orang Melayu perlu beringat bahawa kemenangan bukan bergantung kepada ratusan ribu undi tetapi kelebihan satu undi sahaja,

“Satu undi itulah yang akan menentukan menang atau kalah seseorang atau sesebuah parti.
Hendak menang atau kalah bukan kerana ribuan undi, dua tiga undi pun boleh menentukan menang atau kalah.

"Kalau mereka ada rintihan dan perasaan tidak puas hati, harus dengar. Kalau tutup telinga atau desakan mereka tidak didengar, dalam pilihan raya, akan kalah," katanya.

Media Cina, India diberi amaran

Pada ucapannya itu, Mahathir turut meminta media bahasa Cina dan India supaya melapor dengan benar.

“Tolong buat laporan yang benar. jangan putar belit kenyataan saya. Saya harus prihatin kepada nasib orang Melayu. Saya yakin ahli perkasa bukan berniat tidak adil terhadap bukan Melayu tapi tuntut hak mereka. Tuntut hak adalah tindakan yang adil,” katanya.

Beliau juga mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya jangan melupakan rintihan dan tuntuan orang Melayu.

“Nak negara berada dalam keadaan aman, adil, saksama sesama kaum, nak keadilan dalam pengagihan kekayanaan dalam negara kita. Bukan kita nak rebut tapi jangan ambil yang sedikit yang kita ada untuk diberi kepada mereka yang dah ada,” katanya lagi.


Mahathir mengakhiri ucapannya dengan meminta Perkasa supaya berperanan secara bijak, dan bukan untuk mendabik dada.

Selesai ucapannya, Mahathir dianugerahkan 'Bintang Perkasa Pribumi Negara' yang pertama oleh presiden NGO itu.

Ia diikuti dengan laungan “Hidup Tun” sebanyak tiga kali.
(dipetik dari malaysiakini.com)

Jumaat, Mac 26, 2010

HULU SELANGOR MENGUJI KEKUATAN PKR


Pilihanraya kecil parlimen kawasan Hulu Selangor akan menentukan sejauh mana kuatnya BN selepas beberapa Ahli Parlimen PKR keluar dari parti tersebut baru-baru ini.

Ia juga satu ujian buat MIC kerana sudah pasti BN akan meletakkan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel sekali lagi menentang calon PKR. Ini berikutan kematian ahli parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras,Kajang, kira-kira 9.27 malam Khamis lalu akibat barah otak, demikian menurut adiknya Md. Hambali Ahmad.

Oleh kerana PKR menang tipis 198 undi manaka BN akan buat apa sahaja untuk pastikan BN merampas semula kerusi tersebut. Jika palanivel menang, ia akan memjudahkan Datuk Seri S. Samy Vellu berundur dari MIC untuk memberi laluan kepada Palanivel.

Zainal Abidin, 71, meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak.

Beliau memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008 di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor ketika dalam UMNO.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Zainal pernah menjawat jawatan exco negeri, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Zainal Abidin adalah seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Dalam UMNO, Zainal Abidin pernah menjadi Pengerusi, cawangan UMNO Cheras (1987) serta pernah mengetuai UMNO Bahagian Hulu Langat untuk beberapa penggal.

Zainal Abidin menyertai PKR pada tahun 2005 dan menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi penggal 2007/2010.

Zainal turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.



Semasa dalam UMNO, Zainal memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.

Pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Zainal digugurkan daripada menjadi calon.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Sementara itu, anak kedua allahyarham Azri Zin, 36, berkata ayah sempat meninggalkan pelbagai pesan dan nasihat kepada anak-anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Tiga lagi anaknya ialah Azura, 37, Aznizah, 29 dan Azizah, 25.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kehilangan seorang rakan seperjuangan yang sanggup mengambil risiko bersama-sama PKR dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

"PKR bersedih atas kehilangan ahli akademik ini dan takziah kepada keluarga," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi rumah allayarham.

Jenazah dijangka disembahyangkan di Masjid Batu 10, Cheras, di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9, Cheras, kira-kira pukul 11 pagi esok.

Rabu, Mac 24, 2010

TAHNIAH BUAT AHMAD SAID


Tahniah kepada Datuk Haji Ahmad Said yang menyambut ulangtahun kedua sebagai MB Terengganu semalam. Semalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian menyiarkan sisipan khas sempena genap dua tahun beliau menjadi MB.

Oleh itu saya tidak perlu mengulangi semula apa yang telah dilakukan oleh Ahmad Said sepanjang dua tahun lalu.Semuanya sudah tercatat dalam kedua-dua akhbar bahasa Melayu tersebut.

Setelah dua tahun beliau menjadi MB, beliau perlu menilai kembali kekuatan dan kelemahannya supaya dua tahun berbaki sebelum pilihanraya umum ke 13, BN terus kekal memerintah Terengganu. Tahniah Ahmad Said!

Kebetulan semalam saya berada di Kuala Terengganu menemui pegawai penyelidik kanan MB, Hambali Latif di pejabatnya. Pada masa yang sama, rakan lama Zahani Sulong datang bersama Hambali.

Banyak cerita menarik yang diluahkan oleh bekas Ketua Biro Berita Harian Kelantan itu kepada kami yang membuatkan kami ketawa terbahak-bahak. Dia ceritakan pengalamannya bersama bekas MB, Allahyarham Datuk Nik Hassan Nik Abdul Rahmna.

Katanya, Nik Hassan suka berjoget. Siang dia rasmikan Simposium Sastera Islam, pada malamnya pula dia buat majlis joget.

Beliau ceritakan juga pengalamannya bersama seorang lagi bekas MB, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Selepas beliau berhenti kerja dengan Berita Harian pada tahun 1980an, beliau menemui Wan Mokhtar. Wan Mokhtar tak tahu nak letak Zahani di mana maka Wan Mokhtar kata ambillah bantuan kebajikan masyarakat. Terkejut Zahani mendengar kata-kata Wan Mokhtar itu menyebabkan kami semua ketawa.

Banyak lagi pengalaman lucu Zahani jika dibukukan boleh dijadikan pedoman kepada wartawan-wartawan baru. Pada masa yang sama, saya terlihat berita kematian Bapak Pujangga atau Pak Husin dalam akhbar. Saya pernah bersamanya dalam Persatuan Wartawan melayu Terengganu pada tahun 1998 dahulu.

"Nasib baik berita kematiannya tersiar dalam akhbar. Bila kita mati nanti, ada tak orang tulis berita kematian kita?" tanya Zahani yang membuatkan kamisemua tertawa.

Saya terpaksa minta diri apabila rakan saya, Marzuki Muda tiba di pejabat Hambali pada jam 2.15 petang. Memang tidak puas berbual dengan Zahani selama satu jam di pejabat Hambali.

Sepanjang perjalanan dari pejabat Hambali menuju ke kereta Marzuki, saya hairan dengan sikap Unit Komunikasi yang tidak membuat liputan majlis MB sedangkan unit itu diketuai oleh Setiausaha Akhbarnya, Rosli Zakaria. Hairan bin ajaib!

Sabtu, Mac 20, 2010

SYUKURLAH DAPAT SAMBUT HARIJADI


Hari ini genap usia saya, 51 tahun. Syukurlah saya masih dapat bernafas di bumi Allah ini.Pagi ini jam 8 saya bertolak ke Kuantan menemui rakan lama, Drs. Kamaruzaman Zainal.

Sudah lama saya tidak temuinya. Kami pernah bekerja sebumbung dahulu di akhbar WATAN pada tahun 1987. Kini beliau adalah kontraktor maintainance di sebuah ladang di Pahang. Sudah lama beliau menduda. Kini beliau ada teman baru berusia 23 tahun bernama Shidah. Inilah kelebihan Drs. Kamaruzaman yang sebaya dengan saya dapat bakal isteri yang sebaya dengan anak sulungnya.

Menilai kembali 51 tahun lalu, saya bersyukur dengan apa yang dianugerahi Allah walaupun apa yang saya lalui sekarang tidaklah stabil mana. Jika saya tidak berhenti kerja dengan FELCRA pada tahun 1986, mungkin saya kini adalah Naib Presiden FELCRA bersama rakan-rakan seangkatan seperti Jahare Abu Bakar, Haji Ahmad Shaari dan sebagainya. Tetapi tak ada rezeki saya di FELCRA. Jika tidak sudah 27 tahun saya bersama FELCRA.

Selepas berhenti dengan FELCRA, saya menyertai akhbar WATAN sebagai wartawan. Saya dilantik menjadi penolong editor akhbar WATAN dalam usia yang muda, 27 tahun pada tahun 1988 setelah akhbar WATAN yang dibatalkan permit beroperasi semula. Dengan akhbar itu saya dapat mengenali Sabah apabila dilantik sebagai wakil akhbar WATAN di Sabah pada tahun 1989-1991.

Bila ada akhbar, semua orang politik hormati dan cari kita. Bila sudah tidak jadi wartawan, tiada siapa yang peduli.Itulah nasib wartawan. Sekarang sebagai blogger, kini saya bebas menulis tentang apa saja.Oleh itu sempena harijadi saya yang ke 51 ini, saya akan terus menulis melalui blog ini.

Jumaat, Mac 19, 2010

KU LI NAFI SERTAI PEMBANGKANG


Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan beliau antara lapan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang pada 16 September 2008.

"Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Anggota Parlimen Bebas bagi Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah menamakan lapan Anggota Parlimen BN di Dewan Rakyat semalam, dengan mendakwa mereka bersedia menyertai pakatan.

Tengku Razaleigh berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang dipimpin Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam dakwaan itu, Zahrain telah menamakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar), Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan salah seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dikatakan akan melompat menyertai pembangkang.

Beliau berkata disebabkan dakwaan itu ibarat satu cerita dongeng, iaitu sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Tengku Razaleigh juga menafikan beliau ada didatangi pihak berkenaan agar keluar BN untuk menyertai PKR bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Khamis, Mac 18, 2010

CHINA PRESS PATUT DIHARAMKAN


Senangnya buat berita palsu. Tak perlu apa-apa tindakan dari Kementerian Dalam negeri (KDN. Apa dah jadi pada menterinya, Datuk Seri Hishamuddin tun Hussein? China Press telah buat berita palsu bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah hantar surat peletakan jawatan tetapi tiba-tiba KDN berpuas hati dengan penjelasan China Press.

Sepatutnya KDN kena bertindak tegas kepada China Press. Haramkan saja surat khabar berbahasa Cina itu kerana ia sengaja menyiarkan berita palsu. Kontrak Musa dijangka tamat pada September ini jadi sama ada beliau disambung atau tidak, itu soal lain. Yang hairannya kenapa China Press sanggup siar berita kononnya Musa sudah hantar surat peletakan jawatan?

Oleh itu KDN janganlah lembik. Hisham pun janganlah jadi menteri Dalam Negeri yang tidak tegas. Buat malu UMNO sahaja.

Bacalah berita penuh Bernama ini:-

The Home Ministry is satisfied with the explanation given by the China Press and will not take action against the newspaper for its report on the purported resignation of the Inspector-General of Police.

The newspaper was also prepared to apologise to Minister Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Home Ministry Deputy Secretary-General Datuk Ahmad Fuad Ab Aziz said.

Ahmad Fuad said it would be up to China Press to take internal action on the report, the content of which has been denied by Hishammuddin and IGP Tan Sri Musa Hassan.

Isnin, Mac 15, 2010

JANGAN LAYAN SMS KARUT


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta orang ramai supaya tidak melayan sebarang spekulasi melalui SMS berhubung kedudukan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said yang tersebar dengan meluas sejak akhir-akhir ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak yang sengaja mahu melaga-lagakan Umno Perhubungan Terengganu dan menggugat keharmonian badan itu.

"Sejak saya turun ke Terengganu, saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mendengar cerita dari kedua-dua pihak (dalam UMNO) dan pembangkang mengenai kedudukan Menteri Besar.

"Ia bukan datang dari puak-puak dalam Umno negeri, tetapi saya tidak tolak kemungkinan ia dilakukan oleh individu tertentu. Namun ia tidak akan menentukan jatuh bangunnya Umno Negeri Terengganu," katanya selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kemaman di Chukai semalam.

Hishammuddin berkata sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, beliau hanya mengiktiraf mereka yang diterima rakyat, menjalankan kerja bersunggguh-sungguh dan menolak politik sempit seperti politik peribadi dan bahagian.

Beliau turut meminta supaya media tidak mudah terpengaruh dengan khabar-khabar angin dan SMS yang tersebar berhubung perkara itu.

"Kenapa nak percaya SMS sedangkan media berdepan dengan MB hari-hari, kalau MB meletakkan jawatan, beliau tidak akan berada bersama kita hari ini.

"Jangan terikut-ikut dengan mereka yang sengaja nak memperalatkan media dan media jangan benarkan mereka memperkudakan (media) supaya kita berlaga," katanya.

Terdahulu, Hishamuddin mengetuai kira-kira 30,000 orang daripada 405 kontinjen yang terdiri daripada badan kerajaan, swasta, NGO serta pelajar sekolah berarak sejauh tujuh kilometer itu mengelilingi Bandar Chukai.

Turut serta dalam perarakan tersebut ialah Ahmad Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Anggota Parlimen Kemaman.

Jumaat, Mac 12, 2010

KAWINI KANAK-KANAK BUKAN SUNNAH


Perkahwinan kanak-kanak perempuan 11 tahun dengan lelaki berusia 40-an yang berlaku di Kelantan adalah tidak mengikut sunnah sebaliknya berdasarkan nafsu semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata enakman Majlis Agama Islam di Malaysia jelas menunjukkan lelaki boleh berkahwin apabila berumur 18 tahun ke atas manakala perempuan pula berusia 16 tahun ke atas.

"Bayangkan bagaimana budak perempuan berusia 11 tahun dikahwinkan dengan seorang lelaki yang berusia 40 tahun lebih, dia menggunakan kalimah iaitu sunnah tetapi kita tengok sunnah itu pun tidak dilaksanakan...hanya mengikut nafsu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program mencari Imam Muda Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini hari Khamis.

Mengenai program mencari Imam Muda Astro Oasis dan Jawi itu, Jamil Khir berkata ia dapat membentuk generasi muda ke arah perilaku yang baik dan berakhlak.

Khamis, Mac 11, 2010

LESEN KONTRAKTOR PATUT DIGANTUNG


Semalam Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said telah mengumumkan laporan siasatan kenapa bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh. Sila baca berita penuh berikut:-

Kegagalan semua pihak yang dilantik untuk membina Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) mengikut spesifikasi yang ditetapkan di dalam kontrak menjadi punca kejadian bumbung stadium itu runtuh pada 2 Jun tahun lepas.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata laporan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut mendapati semua pihak menyumbang kepada keruntuhan bumbung stadium SSMZA itu.

"Tidak ada satu pihak pun yang ditunjukkan benar-benar paling bersalah. Semua bahagian pun ada (salah). Semua pihak menyumbang ke arah runtuhnya bumbung stadium itu," katanya ketika mendedahkan laporan kertas siasatan kejadian itu di Kuala Terengganu semalam.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, bagaimanapun berkata, kontraktor utama adalah pihak yang bertanggungjawab penuh kerana telah mereka bentuk, membimbing dan membina struktur kerangka bumbung SMZA mengikut terma syarat reka dan bina.

"Sekarang ini berdasarkan penjanjian, kontraktor adalah orang yang bertanggungjawab sepatutnya. Kita (kerajaan negeri) akan ikut pada perjanjian," katanya.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Penyiasat, Ahmad Said berkata punca utama bumbung stadium berkenaan runtuh adalah berikutan bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi, faktor reka bentuk yang tidak memadai dan bumbung yang tidak dibina dengan sempurna.

Beliau berkata kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek serta pengawasan yang lemah semasa proses pembinaan stadium sedang dijalankan dan faktor kekurangan pekerja mahir juga menyumbang kepada kejadian tersebut.

Selain itu, Ahmad Said berkata kekurangan jurutera pakar dan konsultan yang berpengalaman selain sikap ambil mudah dan cuai di semua bahagian turut menjadi punca kepada kejadian itu.

"Masalah kita, kita selalu anggap apabila kita lantik konsultan, konsultan itu lebih hebat dari kita dan kita selalu ambil mudah. Bila ada sikap begitu, kita tidak akan periksa balik reka bentuk yang dicadangkan itu," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada notis telah dikeluarkan kepada kontraktor terbabit untuk menyelenggara semula stadium berkenaan, Ahmad Said berkata:" kontraktor dah dimaklumkan dan kita dah bagi notis kepada kontraktor supaya baiki semula, tapi (sehingga kini) masih belum ada jawapan".

Berikutan notis tersebut masih belum mendapat jawapan daripada kontraktor utama, beliau berkata tender bagi proses membersihkan dan penyelenggaraan runtuhan bumbung berkenaan akan dikeluarkan selewat-lewatnya minggu ini.

"Kita akan keluarkan tender secepat mungkin sebab kita dah setuju dalam minggu ini. Kita dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan keluarkan tender untuk kerja pembersihan. Kalau dah dibersihkan, kita tengoklah, kalau ia boleh digunakan, kita gunakanlah.

"Selain itu, kita juga kena tengok balik sama ada bangunan itu masih selamat atau tidak untuk digunakan," katanya.

Dalam kejadian pada 2 Jun lepas, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Kejadian itu berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina dan menjadi venue utama sukan termasuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2004.

Sekadar menyuruh kontraktor bertanggungjawab terhadap peristiwa bumbung runtuh itu tidak mencukupi. Sepatutnya PKK mengantung terus lesen kontraktor berkenaaan sebagai satu pengajaran kepada semua kontraktor lain supaya berhati-hati di masa akan datang.