Memaparkan catatan dengan label kekuatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kekuatan. Papar semua catatan

Rabu, Jun 01, 2016

BN PERLU YAKIN KEKUATAN SENDIRI

(sudah disiarkan dalam akhbar Berita Harian)


Oleh Shahbudin Haji Embun

Mungkin ada yang tidak setuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) akan turun sebagai ‘underdog’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang akan diadakan pada 18 Jun ini.Apatah lagi kerusi tersebut disandang oleh BN pada Pilihan Raya Umum  (PRU) yang lalu.

Sementara pukulan K.O yang diterima oleh parti-perti pembangkang dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini tentunya memberikan momentum kepada BN untuk terus membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa BN masih teguh dan sentiasa relevan di hati para pengundi di Malaysia.

Oleh itu, mengapa Zahid Hamidi menganggap BN sebagai “pasukan bukan pilihan”. Namun jika diteliti dengan lebih mendalam, kenyataan Zahid itu sebenarnya merupakan satu ungkapan taktikal yang mungkin akan memberi kemenangan kepada BN.

Ya, secara realitinya, pada PRU yang lalu,BN menang dengan undi yang tipis, iaitu hanya dengan kelebihan 399 undi sahaja. Manakala kerajaan negeri yang memerintah pula bukannya dimiliki oleh Barisan Nasional.Dari dua elemen ini, sememangnya BN boleh dianggap sebagai pasukan bukan pilihan.

Sungguhpun begitu, di sebalik status ‘underdog’ itu , ada hikmahnya yang tersembunyi kerana  status itu akan memberikan kelebihan kepada BN jika semua yang terlibat bekerja kuat untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Istilah ‘underdog’ mungkin sengaja dipilih oleh Zahid untuk terus memberi kesedaran kepada setiap warga BN untuk memberikan lebih daripada 100 peratus komitmen supaya dapat mempertahankan kerusi Sungai Besar ini.

Secara umumnya setiap pasukan yang bergelar ‘underdog’ akan memberikan segala-galanya untuk membuat kejutan. Dan mungkin inilah yang dimahukan oleh Zahid supaya jentera PRK BN bekerja sepenuh jiwa dan tidak lalai dengan kejayaan BN di Sarawak.

Itu sebabnya dalam hal ini, kenyataan Zahid Hamidi ini juga sebenarnya untuk mengingatkan kepada BN supaya jangan ambil jalan mudah walaupun pihak pembangkang sendiri mempunyai masalah untuk bertanding di kerusi ini berikutan kerumitan hubungan PKR-PAS-DAP-AMANAH di Selangor .

Itulah sebabnya, dalam hal ini juga BN bukanlah ‘underdog’ dalam pengertian yang sebenarnya. BN mempunyai kekuatan yang tersendiri  dan antara kelebihan yang dimiliki oleh BN ialah calon yang dipilih untuk bertanding di kerusi Sungai Besar iaitu Budiman Mohd Zohdi .

Nama Budiman yang dimilikinya benar-benar mewakili sikap dan sifatnya yang budiman.  Beliau  merupakan calon yang berwibawa dan telah membuktikan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Sungai Panjang.Beliau mempunyai track record yang cemerlang sebagai ADUN dan disenangi oleh semua kaum di Sungai Panjang.

Apa yang pasti, strategi BN yang meletakkan anak tempatan kelahiran Kampung Sungai Limau dan juga merupakan Setiausaha ADUN BN di Selangor sebagai calon di sini merupakan satu taktik yang akan memberi kelebihan kepada BN.Sebagaimana yang dimaklumkan tadi, inilah kekuatan BN dan Itu sebabnya BN perlu memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri dan biarkan sahaja apa yang berlaku di antara hubungan PKR-PAS-DAP-AMANAH di Selangor.

Tidak kiralah sama ada wujudnya pertandingan dua penjuru ataupun tiga penjuru, yang pasti tentunya terdapat pihak dari PKR, PAS, DAP dan AMANAH yang tidak akan puas hati dengan apa jua keputuan yang diambil dan faktor ini juga akan memberi kelebihan kepada BN. Bagi BN, biarkan sahaja perebutan kerusi berlaku asalkan BN boleh terus mengatur strategi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Dan melihatkan pada keadaan huru hara yang wujud ini,  tentunya rakyat Selangor sendiri dapat menilai bagaimana pakatan pembangkang ini tidak dapat duduk satu meja untuk mencari  dan mencapai persepakatan. Manakala BN pula telah membuktikan bahawa perkongsian kuasa yang diamalkan selama ini mampu memberikan kesejahteraan dan kestabilan kepada rakyat sekeliannya.

Mungkin sudah sampai masanya para pengundi Selangor mahukan sebuah kerajaan yang lebih stabil dan ada kemungkinan besar keputusan di PRK Sungai Besar nanti akan dilihat sebagai penanda aras untuk mengukur kekuatan BN di Selangor.Kita nantikan 18 Jun 2016 nanti.

keterangan gambar di atas penulis (kiri) bersama gurunya Prof Dato Rahman Shaari.

Khamis, Jun 04, 2015

MUHYIDDIN TIADA KEKUATAN?

Sebuah portal news melaporkan ketibaan Muhyiddin Yasin di KLIA malam tadi disambut oleh 50 orang penyokong  manakala seorang blogger terkenal, Shahbudin Husin menulis TPM disambut oleh 200 para penyokongnya.
Beliau mengatakan para penyokong Najib Razak lega kerana Muhyiddin tidak membuat sebarang pengumuman. Timbalan Presiden Umno itu sekadar senyum dan bersalam dengan penyokongnya dan beliau enggan mengulas sebarang pertanyaan media.
Muhyiddin yang baru tiba dari bercuti di Australia menjadi sasaran media selepas Najib memberi kata dua kepada menteri yang tidak menyokongnya dalam isu 1MDB supaya meletakkan jawatan. Muhyiddin diberi fokus oleh media kerana beliau tidak hadiri mesyuarat kabinet Jumaat lalu ketika Najib memberi kata dua tersebut.
Ramai yang melihat seolah-olah Muhyiddin tidak bersetuju dengan isu 1MDB yang membebankan Umno. Malah ahli Umno menyandarkan harapan kepada Muhyiddin untuk menyelamatkan Umno yang sedang nazak. Umno kini bukan sahaja diserang oleh parti pembangkang malah Umno turut diserang oleh ahli Umno yang bosan dengan sikap Najib yang menubuhkan 1MDB sehingga RM42 bilion hilang.
Kemuncaknya apabila bekas PM, Dr Mahathir Mohamad turut menyerang Najib yang dilihat gagal memimpin kerajaan BN. Kata Dr Mahathir, inilah masa terbaik bagi Najib melepaskan jawatan kerana ada masa yang cukup untuk Umno mengubati penyakitnya menjelang PRU 2018.
Skandal 1MDB benar-benar menguji kepimpinan Najib sama ada beliau terus kekal memimpin negara atau berundur di pertengahan penggal. Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengatakan jika Najib meletakkan jawatan, masalah tidak juga selesai. Maka sebaik-baiknya Najib terus memimpin Umno sehingga PRU akan datang.
Sebaliknya Dr Mahathir berhujah inilah masa terbaik bagi Najib berundur kerana dalam tempoh tiga tahun ada masa bagi pengganti beliau untuk  mengubati luka yang sedang dihadapi Umno. Ada yang berpendapat sambutan di KLIA malam tadi begitu hambar menunjukkan bahawa Muhyiddin tiada kekuatan untuk menjatuhkan Najib.
Ke mana-mana Najib buat road show, beliau disambut secara besar-besaran dan ia membakar semangat Najib untuk menyerang balas kritikan Dr Mahathir. Sebaliknya Muhyiddin bukannya mahu menjatuhkan Najib. Beliau mahu Umno berada di atas landasan yang betul supaya tidak tergelincir dalam PRU akan datang.
Sudah tentu sambutan hambar terhadap Muhyiddin malam tadi mengecewakan golongan yang mahu melihat gabungan Najib-Muhyiddin retak. Mereka cuba melagakan kedua-dua pemimpin tertinggi Umno. Apa motif mereka menyebarkan video tertutup Muhyiddin kepada orang ramai kalau bukan untuk melagakan Muhyiddin dengan Najib?
Tetapi Muhyiddin tidak mudah terperangkap dengan usaha golongan batu api ini sebaliknya beliau terus tenang. Muhyiddin tidak melatah seperti Musa Hitam yang akhirnya meletakkan jawatan kerana tidak tahan dengan kerenah Dr Mahathir pada tahun 1986.
Bagi Muhyiddin meletakkan jawatan di saat Umno sedang nazak akan mengeruhkan lagi suasana. Jadi beliau perlu membantu Najib menyelesaikan isu 1MDB. B eliau akan menilai sejauh mana pelan pemulihan 1MDB yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan II, Husni Hanazlah dapat memulihkan imej kerajaan BN.
Mungkin bagi Muhyiddin, beliau mahu beri peluang kepada Najib menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh enam bulan. Ramai yang menganggap jika Muhyiddin meletakkan jawatan sekarang, Umno semakin hancur. Maka tindakannya berdiam diri dapat menyelamatkan Umno buat seketika.
Muhyiddin popular pada tahun 2008 apabila beliau berani mendesak Pak Lah berundur selepas BN gagal mendapat majoriti dua pertiga. Muhyiddin dibawa masuk Umno oleh bekas Menteri Besar Johor, Othman Saat. Pada tahun 1978, beliau menang bertanding di parlimen Pagoh dan dilantik setiausaha parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan.
Pada tahun 1982, beliau mengejutkan orang ramai kerana sebagai timbalan menteri beliau berjaya mengalahkan guru politiknya, Othman Saat dalam pertandingan Ketua Umno Bahagian Pagoh. Sejarah beliau menentang mentor politiknya menunjukkan Muhyiddin bukan yes man. Kalau sampai masanya dan jika isu 1MDB tidak selesai, Muhyiddin akan menentang Najib bagi jawatan Presiden Umno pada tahun hadapan.
Justru itu Muhyiddin sedang membaca mood ahli-ahli Umno di seluruh negara. Jika kena gayanya maka Muhyiddinlah yang bakal menentang Najib. Kepimpinan Najib tidak pernah teruji kerana beliau selalu menangi jawatan tanpa bertanding. Jawatan Ketua Pemuda pada tahun 1988 menang tanpa bertanding. Malah jawatan Timbalan Presiden pada tahun 2004 pun menang tanpa bertanding dan jawatan Presiden Umno pada tahun 2009 pun menang tanpa bertanding.
Sebaliknya Muhyiddin berani menentang arus seperti yang dilakukannya kepada Othman Saat dan Pak Lah. Oleh itu jika Najib tidak berubah, maka Muhyiddinlah harapan ahli Umno untuk menyelamatkan Malaysia.
Ketika heboh Pak Lah mahu melantik Muhyiddin sebagai timbalannya pada tahun 2003, Ketua Umno Bahagian Seremban, Ishak Ismail mencadangkan kepada Najib jika Pak Lah lantik Muhyiddin, kita lawan Muhyiddin bagi jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 2004.
Sebaliknya pertandingan Najib-Muhyiddin itu tidak menjadi kenyataan apabila Pak Lah melantik Najib sebagai timbalannya. Maka pertandingan Najib-Muhyiddin bagi jawatan Presiden Umno pada tahun hadapan tidak dapat dielakkan jika Najib gagal menyelesaikan isu 1MDB.




Khamis, Oktober 17, 2013

BERTANDINGLAH ATAS KEKUATAN SENDIRI

KEMAMAN: ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar mengajak calon-calon yang bertanding pada pemilihan Umno 19 Oktober ini bertanding di atas kekuatan sendiri. Katanya, calon tidak perlu menjual nama sesiapa dalam meraih undi para perwakilan. “Sudah tentulah agak janggal dan pelik sekiranya saya mengaitkan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (ayahandanya) dalam kempen saya, “katanya dalam facebook beliau mengulas kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid yang mengatakan menentangnya seolah-olah menentang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Wan Hakim akan berhadapan penyandang Naib Ketua Bahagian, Wan Ahmad Nizam dalam pertandingan satu lawan satupada 19 Oktober ini. Menurut Wan Hakim, sudah tentu lucu kalau beliau menggunakan taktik ini iaitu perwakilan patut mengundinya kerana saya anak bekas Menteri Besar yang banyak berjasa di Kemaman dan tidak mengundinya adalah sama derhaka kepada beliau. Katanya lagi, saya dilantik Menteri Besar sebagai pengerusi Backbencher. “Jika saya berkempen menentang saya seolah-olah menentang Menteri Besar sudah tentu sama lucunya kerana beliau yang melantik saya sebagai Pengerusi Backbencher,” ujarnya lagi. Beliau percaya perwakilan Umno cukup bijak dan calon-calon perlu mempunyai kekuatan serta kebolehan sendiri untuk bertanding jawatan dlm parti. “Isu-isu legacy dan patronage tidak lagi relevan,” tegasnya. Wan Hakim berkata Umno perlukan pembaharuan dan transformasi di Kemaman khususnya dan Terengganu amnya. “ Segala strategi dan pendekatan yg diguna pakai selama lima tahun kebelakangan ini tidak begitu membuahkan hasil jika dilihat keputusan pilihanraya,” jelasnya. Beliau percaya dgn tulus hati, beliau boleh membawa nilai tambah kepada Umno Kemaman membantu kepimpinan dengan memberi pandanganpandangan serta perspektif baru pada pengurusan serta strategi parti berdasarkan landasan transformasi yg sudah beliau perincikan sebelum ini.

Jumaat, Mac 26, 2010

HULU SELANGOR MENGUJI KEKUATAN PKR


Pilihanraya kecil parlimen kawasan Hulu Selangor akan menentukan sejauh mana kuatnya BN selepas beberapa Ahli Parlimen PKR keluar dari parti tersebut baru-baru ini.

Ia juga satu ujian buat MIC kerana sudah pasti BN akan meletakkan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel sekali lagi menentang calon PKR. Ini berikutan kematian ahli parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras,Kajang, kira-kira 9.27 malam Khamis lalu akibat barah otak, demikian menurut adiknya Md. Hambali Ahmad.

Oleh kerana PKR menang tipis 198 undi manaka BN akan buat apa sahaja untuk pastikan BN merampas semula kerusi tersebut. Jika palanivel menang, ia akan memjudahkan Datuk Seri S. Samy Vellu berundur dari MIC untuk memberi laluan kepada Palanivel.

Zainal Abidin, 71, meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak.

Beliau memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008 di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor ketika dalam UMNO.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Zainal pernah menjawat jawatan exco negeri, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Zainal Abidin adalah seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Dalam UMNO, Zainal Abidin pernah menjadi Pengerusi, cawangan UMNO Cheras (1987) serta pernah mengetuai UMNO Bahagian Hulu Langat untuk beberapa penggal.

Zainal Abidin menyertai PKR pada tahun 2005 dan menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi penggal 2007/2010.

Zainal turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.



Semasa dalam UMNO, Zainal memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi Dewan Undangan Negeri Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.

Pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Zainal digugurkan daripada menjadi calon.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Sementara itu, anak kedua allahyarham Azri Zin, 36, berkata ayah sempat meninggalkan pelbagai pesan dan nasihat kepada anak-anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Tiga lagi anaknya ialah Azura, 37, Aznizah, 29 dan Azizah, 25.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kehilangan seorang rakan seperjuangan yang sanggup mengambil risiko bersama-sama PKR dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

"PKR bersedih atas kehilangan ahli akademik ini dan takziah kepada keluarga," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi rumah allayarham.

Jenazah dijangka disembahyangkan di Masjid Batu 10, Cheras, di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Batu 9, Cheras, kira-kira pukul 11 pagi esok.