Sebuah portal news melaporkan
ketibaan Muhyiddin Yasin di KLIA malam tadi disambut oleh 50 orang
penyokong manakala seorang blogger
terkenal, Shahbudin Husin menulis TPM disambut oleh 200 para penyokongnya.
Beliau mengatakan para penyokong
Najib Razak lega kerana Muhyiddin tidak membuat sebarang pengumuman. Timbalan
Presiden Umno itu sekadar senyum dan bersalam dengan penyokongnya dan beliau
enggan mengulas sebarang pertanyaan media.
Muhyiddin yang baru tiba dari
bercuti di Australia menjadi sasaran media selepas Najib memberi kata dua
kepada menteri yang tidak menyokongnya dalam isu 1MDB supaya meletakkan
jawatan. Muhyiddin diberi fokus oleh media kerana beliau tidak hadiri mesyuarat
kabinet Jumaat lalu ketika Najib memberi kata dua tersebut.
Ramai yang melihat seolah-olah
Muhyiddin tidak bersetuju dengan isu 1MDB yang membebankan Umno. Malah ahli
Umno menyandarkan harapan kepada Muhyiddin untuk menyelamatkan Umno yang sedang
nazak. Umno kini bukan sahaja diserang oleh parti pembangkang malah Umno turut
diserang oleh ahli Umno yang bosan dengan sikap Najib yang menubuhkan 1MDB
sehingga RM42 bilion hilang.
Kemuncaknya apabila bekas PM, Dr
Mahathir Mohamad turut menyerang Najib yang dilihat gagal memimpin kerajaan BN.
Kata Dr Mahathir, inilah masa terbaik bagi Najib melepaskan jawatan kerana ada
masa yang cukup untuk Umno mengubati penyakitnya menjelang PRU 2018.
Skandal 1MDB benar-benar menguji
kepimpinan Najib sama ada beliau terus kekal memimpin negara atau berundur di
pertengahan penggal. Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mengatakan
jika Najib meletakkan jawatan, masalah tidak juga selesai. Maka sebaik-baiknya
Najib terus memimpin Umno sehingga PRU akan datang.
Sebaliknya Dr Mahathir berhujah
inilah masa terbaik bagi Najib berundur kerana dalam tempoh tiga tahun ada masa
bagi pengganti beliau untuk mengubati
luka yang sedang dihadapi Umno. Ada yang berpendapat sambutan di KLIA malam
tadi begitu hambar menunjukkan bahawa Muhyiddin tiada kekuatan untuk
menjatuhkan Najib.
Ke mana-mana Najib buat road
show, beliau disambut secara besar-besaran dan ia membakar semangat Najib untuk
menyerang balas kritikan Dr Mahathir. Sebaliknya Muhyiddin bukannya mahu
menjatuhkan Najib. Beliau mahu Umno berada di atas landasan yang betul supaya
tidak tergelincir dalam PRU akan datang.
Sudah tentu sambutan hambar
terhadap Muhyiddin malam tadi mengecewakan golongan yang mahu melihat gabungan
Najib-Muhyiddin retak. Mereka cuba melagakan kedua-dua pemimpin tertinggi Umno.
Apa motif mereka menyebarkan video tertutup Muhyiddin kepada orang ramai kalau
bukan untuk melagakan Muhyiddin dengan Najib?
Tetapi Muhyiddin tidak mudah
terperangkap dengan usaha golongan batu api ini sebaliknya beliau terus tenang.
Muhyiddin tidak melatah seperti Musa Hitam yang akhirnya meletakkan jawatan
kerana tidak tahan dengan kerenah Dr Mahathir pada tahun 1986.
Bagi Muhyiddin meletakkan jawatan
di saat Umno sedang nazak akan mengeruhkan lagi suasana. Jadi beliau perlu
membantu Najib menyelesaikan isu 1MDB. B eliau akan menilai sejauh mana pelan
pemulihan 1MDB yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan II, Husni Hanazlah dapat
memulihkan imej kerajaan BN.
Mungkin bagi Muhyiddin, beliau
mahu beri peluang kepada Najib menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh enam
bulan. Ramai yang menganggap jika Muhyiddin meletakkan jawatan sekarang, Umno
semakin hancur. Maka tindakannya berdiam diri dapat menyelamatkan Umno buat
seketika.
Muhyiddin popular pada tahun 2008
apabila beliau berani mendesak Pak Lah berundur selepas BN gagal mendapat
majoriti dua pertiga. Muhyiddin dibawa masuk Umno oleh bekas Menteri Besar
Johor, Othman Saat. Pada tahun 1978, beliau menang bertanding di parlimen Pagoh
dan dilantik setiausaha parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan.
Pada tahun 1982, beliau
mengejutkan orang ramai kerana sebagai timbalan menteri beliau berjaya
mengalahkan guru politiknya, Othman Saat dalam pertandingan Ketua Umno Bahagian
Pagoh. Sejarah beliau menentang mentor politiknya menunjukkan Muhyiddin bukan
yes man. Kalau sampai masanya dan jika isu 1MDB tidak selesai, Muhyiddin akan
menentang Najib bagi jawatan Presiden Umno pada tahun hadapan.
Justru itu Muhyiddin sedang
membaca mood ahli-ahli Umno di seluruh negara. Jika kena gayanya maka
Muhyiddinlah yang bakal menentang Najib. Kepimpinan Najib tidak pernah teruji
kerana beliau selalu menangi jawatan tanpa bertanding. Jawatan Ketua Pemuda
pada tahun 1988 menang tanpa bertanding. Malah jawatan Timbalan Presiden pada
tahun 2004 pun menang tanpa bertanding dan jawatan Presiden Umno pada tahun
2009 pun menang tanpa bertanding.
Sebaliknya Muhyiddin berani
menentang arus seperti yang dilakukannya kepada Othman Saat dan Pak Lah. Oleh
itu jika Najib tidak berubah, maka Muhyiddinlah harapan ahli Umno untuk
menyelamatkan Malaysia.
Ketika heboh Pak Lah mahu
melantik Muhyiddin sebagai timbalannya pada tahun 2003, Ketua Umno Bahagian
Seremban, Ishak Ismail mencadangkan kepada Najib jika Pak Lah lantik Muhyiddin,
kita lawan Muhyiddin bagi jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 2004.
Sebaliknya pertandingan
Najib-Muhyiddin itu tidak menjadi kenyataan apabila Pak Lah melantik Najib
sebagai timbalannya. Maka pertandingan Najib-Muhyiddin bagi jawatan Presiden
Umno pada tahun hadapan tidak dapat dielakkan jika Najib gagal menyelesaikan isu
1MDB.