Isnin, Disember 22, 2008

KENANGAN BERSAMA RIZALMAN


Saya terkejut juga mendengar berita kekalahan bekas ahli parlimen Tenom, Datuk Rizalman Abdullah di tangan ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang dalam pertandingan Ketua UMNO Bahagian Tenom semalam.




Inilah budaya politik UMNO. Bila tak ada kuasa, perwakilan pun lari kerana Rizalman bukan lagi ahli parlimen sedangkan Rubin masih seorang ADUN.



Saya kenali Rizalman sejak tahun 1989 ketika bertugas sebagai wakil akhbar WATAN di Sabah. Ketika itu beliau adalah Exco Pemuda USNO dan beliau adalah pegawai luar Jabatan Penerangan (kini JASA). Rizalman rapat dengan saya bersama dua orang lagi Exco Pemuda USNO, Datuk Bung Mokhtar (kini ahli parlimen Kinabatangan) dan arwah Kipli Haji Abas.



Apabila UMNO masuk ke Sabah pada tahun 1991, Rizalman mengalahkan ketua penaja UMNO Bahagian Pensiangan, Datuk Karim Ghani. Menerima berita kekalahannya, Karim kata Pensiangan bukan kampung halamannya maka kalahlah dia di tangan Rizalman yang sudah lama bertapak di Pensiangan.




Lama kelamaan nama Pensiangan ditukar kepada nama Tenom apabila berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya. Sejak itu Rizalman menjadi ketua bahagian Tenom selama 17 tahun.



Pada tahun 1999, beliau dipilih sebagai calon BN bagi parlimen Tenom. Beliau dilantik Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUN). Apabila dia tahu saya bekerja dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, sebuah agensi kerajaan negeri (ketika itu PAS memerintah Terengganu) beliau menawarkan jawatan pegawai medianya kepada saya.



Oleh kerana tawaran ini datangnya dari kawan lama, saya terimanya dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), sebuah agensi di bawah KPUN diarah membayar gaji saya sebagai pegawai media Setiausaha Parlimen KPUN.




Sebagai setiausaha parlimen beliau berani arahkan agensi di bawah kementeriannya membayar gaji pegawainya sedangkan saya pernah minta tolong seorang lagi kawan lama di Sabah untuk bekerja dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi Datuk Shafie Afdal yang jadi menteri yang jaga SSM tak berani tolong saya sepertimana Rizalman pernah menolong saya.




Apabila Rizalman ditukarkan ke Kementerian Penerangan, saya diarah balik bekerja full time dengan PNS.Sejak itu saya bekerja dengan PNS. Walaupun kontrak saya disambung semula pada 1 Oktober 2002, tetapi saya menolak tawaran itu kerana kononnya nak berniaga pallet di Kemaman.



Walaupun saya dan Rizalman tidak sebumbung lagi, hubungan saya dengan Rizalman tetap erat seperti dahulu. Kami sering berjumpa di waktu malam bila siang kami sibuk dengan urusan masing-masing.



Pada tahun 2004, beliau digugurkan sebagai calon BN di saat-saat akhir. Pagi itu sebelum terbang ke Labuan, beliau diberi jaminan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tun Khalil Yaacob (Menteri Penerangan yang juga bossnya) bahawa namanya kekal sebagai calon. Pada hari itu Radio Sabah menyiarkan siaran langsung pengumuman nama calon BN oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman.



Beliau terkejut apabila namanya tiada dalam senarai calon. Rubin dikatakan telah melobi Musa dan berkata jika Rizalman kekal sebagai calon, para pengundi bukan Islam tidak akan mengundi BN kerana majoriti pengundi memang orang bukan Islam sedangkan Rizalman adalah orang Islam.




Percaya dengan dakwaan Rubin, Musa Aman menggugurkan nama Rizalman sebagai calon di saat-saat akhir. Sedangkan jika dia menang sudah tentu Rizalman dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri. Sebaliknya dengan meletakkan orang baru sebagai calon, rakyat Tenom kerugian kerana ahli parlimen mereka tidak jadi setiausaha parlimen atau timbalan meteri.



Pada tahun yang sama beliau berjaya mengekalkan jawatan ketua bahagian walaupun sudah tidak jadi ahli parlimen lagi. Beliau mengalahkan Rubin Balang. Semalam Rubin Balang pula berjaya mengalahkan Rizalman. Walaupun Rizalman bukan lagi setiausaha parlimen, ahli parlimen dan ketua bahagian, saya tetap berkawan dengannya seperti dahulu. Saya tidak pernah lari dari beliau walaupun ramai kawan-kawannya sudah lari.

BILA SAYUTI PUJI KHAIRY


Setahu saya Mohd. Sayuti Omar jarang memuji orang. Bila Sayuti memuji Khairy Jamaluddin yang sanggup berdebat dengan Husham Musa, ini menunjukkan Sayuti adalah penulis yang rasional.


Kita seharusnya memuji keberanian Khairy menyertai wacana di Balai Islam, Kota Bharu minggu lepas. Husham Musa adalah Naib Presiden PAS tetapi Khairy yang merupakan seorang naib ketua pemuda UMNO berani berdepan dengannya.


Malah Khairy berani memprovok Husham bila dia berkata PAS sudah lupakan hukum hudud dan sekali lagi Khairy mendakwa peranan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak besar. Selepas ini kita mahu lihat dua orang lagi calon Ketua Pemuda duduk berdebat dengan para pemimpin PAS di Balai Islam. Saya kira Datuk Seri Dr. Khir Toyo tidak ada masalah untuk menerima undangan. Cuma Datuk Mukhriz Mahathir yang tidak dipastikan sama ada sanggup berdepan dengan Husham di Balai Islam.


Sehingga ini keberanian Khairy berdebat dengan Husham wajar diberi pujian sedangkan calon-calon Naib Presiden UMNO pun tak sanggup naik pentas di Balai Isla. Oleh itu Khairy sudah mendahului mereka. Syabas Khairy!

IDRIS KENA BERI PENJELASAN


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mampu memberikan kemenangan cemerlang kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil di Kuala Terengganu 17 Jan ini, kata bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh.


Beliau berkata ini berdasarkan kredibiliti dan pengalaman Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.


"Saya lihat dengan pemilihan calon yang sesuai, sebagai seorang Ketua Umno Bahagian, timbalan menteri yang mempunyai kaliber asasnya kita peroleh satu jentera parti yang kuat."Pengalaman dan kredibiliti Wan Ahmad Farid akan mempastikan kemenangan yang cemerlang bagi BN di Kuala Terengganu nanti," katanya kepada pemberita selepas menutup pertandingan Olimpiad Robot Antarabangsa (IRO) 2008 di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak semalam.


Idris, yang juga Pengerusi Mara, mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar.Bagaimanapun, Idris berkata BN tidak menjangkakan akan memperoleh kemenangan mudah kerana pertandingan pada pilihan raya kecil ini dijangka sengit.

Hairan betul Idris. Masa dia jadi Menteri Besar Terengganu, dia tak pilih Wan Farid bertanding pada pilihan raya umum lalu. Masa tu Wan Farid tak mampu menang ke?

Kenapa beliau kekalkan abang Wan Farid, Wan Hisham di DUN Ladang yang menyebabkan Wan Hisham kalah? Kalau Idris letak Wan Farid di DUN Ladang, Wan Farid menang. Kenapa masa itu tak letak Wan Farid? Atau Datuk Seri takut Wan Farid menang jadi Menteri Besar ganti Datuk Seri?

Oleh itu Datuk Seri kena buat penjelasan kenapa tak pilih Wan Farid sebagai calon sedangkan masa itu pun Wan Farid sudah ada pengalaman sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Ahad, Disember 21, 2008

WAN FARID MEMANG LAYAK



Calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu sudah diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Walaupun pelbagai nama telah dispekulasikan sebagai calon, akhirnya BN memilih Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon.


BN sudah belajar dari pengalaman pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu. UMNO Bahagian Permatang Pauh sebulat suara memilih ketuanya, Datuk Jalil sebagai calon tetapi BN pusat memilih orang lain sebagai calon yang menyebabkan jentera bahagian mensabotaj calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah.


Belajar dari kekalahan ini maka BN pusat memilih nama Wan Farid sebagai calon kerana beliau adalah nama tunggal yang dihantar oleh bahagian kepada perhubungan yang dimajukan kepada Pengerusi BN Malaysia untuk diluluskan. Pak Lah tidak ada masalah untuk menerima nama Wan Farid sebagai calon kerana beliau adalah bekas setiausaha politiknya.


Oleh kerana PAS memenangi tiga dari empat kerusi DUN yang terdapat dalam parlimen Kuala Terengganu itu, maka BN perlu kerja kuat untuk pastikan Wan Farid menang dengan majoriti yang lebih tinggi dari calon BN dahulu, arwah Datuk Razali Ismail.


Inilah kali pertama Wan Farid, 46, bertanding dalam pilihan raya. Pada tahun 1999, Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad memilih beliau yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu sebagai calon BN bagi kawasan parlimen Kemaman menggantikan Dr. Ramli Taib. Tetapi hasrat Wan Mokhtar itu dibantah oleh ahli-ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman yang mahu Wan Mokhtar memilih salah seorang AJK Bahagian sebagai calon. Akhirnya Wan Mokhtar memilih Datuk Seri Wan Zaki Wan Muda, seorang kontraktor terkenal sebagai calon tetapi kalah.Maka Wan Farid tak jadi bertanding pada tahun tersebut.


Pada tahun 2004, sebagai timbalan ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri (Pak Lah) tidak dipilih sebagai calon. Pada tahun 2008, Datuk Seri Idris Jusoh tidak memilih beliau sebagai calon walaupun beliau adalah ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu sebaliknya Idris sebagai Menteri Besar mengekalkan abangnya, Datuk Wan Hisham sebagai calon bagi DUN Ladang. Idris bimbang jika Wan Farid jadi calon dan menang, Wan Farid akan jadi MB Terengganu yang baru.


Oleh kerana tiga kerusi DUN, Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Ladang dimenangi oleh PAS pada pilihan raya umum Mac lalu, maka Wan Farid perlu bekerja kuat untuk meraih kemenangan. Jika tidak beliau akan kehilangan jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang disandangnya melalui kerusi senator.


Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menyambung semula perkhidmatan Senator beliau baru-baru ini, maka Wan Farid dilihat sebagai bukan calon BN. Tetapi oleh kerana beliau belum angkat sumpah lagi Senator buat penggal kedua, maka tidak jadi masalah bagi beliau untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Nampaknya DUN terpaksa mencalonkan orang lain untuk mengisi kekosongan jawatan Senator yang ditinggalkan oleh beliau.


Untuk menang, semua bekas calon yang kalah di tiga DUN mesti kerja kuat untuk membantu Wan Farid iaitu Othman Awang (Wakaf Mempelam), Nordiana Shafiee (Batu Buruk) dan Wan Hisham (Ladang). Oleh kerana calon BN ialah Wan Farid, maka Wan Hisham dinasihati agar tidak turun berkempen kerana ramai pengundi Ladang marah kepada beliau yang menyebabkan BN kalah di Ladang.


Oleh itu Wan Hisham perlu bercuti dan jangan ganggu Wan Farid. Tanpa gangguan Wan Hisham, Wan Farid dijangka menang dengan majoriti yang kecil. Jika tidak kerusi Kuala Terengganu akan terlepas ke tangan PAS kerana tindak-tanduk Wan Hisham sepanjang menjadi Exco Kerajaan Negeri yang menyebabkan BN tewas di Ladang.


Wan Farid adalah seorang orator dan boleh buat kerja. Beliau banyak membantu saya sewaktu beliau menjadi timbalan menteri dan permit akhbar WATAN dapat dipohon semula di atas pertolongan Wan Farid yang merekomennya kepada bossnya, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Sedikit sebanyak saya terhutang budi kepada kawan lama ini yang pernah bersama saya dalam Biro Penerangan Pemuda UMNO Terengganu dari tahun 1995 hingga 1998. Ketika itu Wan Farid adalah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kuala Terengganu manakala saya adalah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kemaman. Malah ketika beliau menjadi setiausaha politik Menteri Dalam Negeri, dia ada juga membantu saya.


Pada pilihan raya umum lalu, namanya turut disebut sebagai calon di DUN Ladang menggantikan abangnya, Wan Hisham tetapi Idris takut jika Wan Farid menang sudah tentu Wan Farid jadi MB Terengganu dan bukannya Ahmad Said. Oleh kerana semua ADUN senior telah dikerat oleh Idris, maka Sultan Terengganu tidak ada pilihan terpaksa memilih ADUN Kijal, Ahmad Said sebagai MB baru menggantikan Idris Jusoh. Wan Farid mudah ditemui untuk mendapatkan surat sokongan berbanding dengan menteri atau timbalan menteri yang lain.


Oleh kerana Wan Farid sudah terlepas jadi MB, maka diharapkan Wan Farid dapat diterima oleh para pengundi Kuala Terengganu pada 17 Januari depan sebagai ahli parlimen. Jika dia menang, dia kekal Timbalan Menteri Dalam Negeri. Sebaliknya jika dia kalah, dia akan kehilangan jawatan Senator dan timbalan menteri. Tetapi oleh kerana beliau belum angkat sumpah jawatan Senator buat penggal kedua, jika dia kalah, dia tetap boleh jadi Senator kerana namanya sudah dihantar oleh DUN Terengganu.

Sabtu, Disember 20, 2008

KJ TAK TERLIBAT


Kabinet bersetuju menangguhkan cadangan pengambilalihan Institut Jantung Negara (IJN) oleh Sime Darby Berhad sehingga satu kajian mendalam selesai dilakukan, kata Timbalan Perdana Menteri, Najib Abdul Razak.


Ramai bersetuju dengan penangguhan ini kerana bimbang bila ia diswastakan, orang Melayu tak mampu hantar anak mereka yang sakit jantung untuk dapatkan rawatan di IJN.


Yang sedihnya bila Sime Darby nak ambilalih IJN, ia dikaitkan dengan Khairy Jamaluddin. Kononnya menantu Pak Lah ini adalah manusia di belakang Sime Darby. Ini merupakan fitnah yang terbesar buat calon Ketua Pemuda UMNO ini.


KJ langsung tak terlibat. Kebetulan KJ diarah oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM supaya menemui Menteri Belia dan Sukan, Ismail Sabery Yaacob di IJN. Sebagai Timbalan Presiden FAM, KJ pergi menemui Ismail yang menerima rawatan di IJN pada hari Rabu lalu.


Maka hebohlah dalam satu blog kononnya KJ pergi ke IJN kerana terlibat dengan Sime Darby. Padahal KJ pergi kerana ada urusan dengan Ismail Sabry Yaacob. Oleh itu saya berharap di lain kali blogger berkenaan, jangan mudah jump to the conclusion bila terserempak dengan sesiapa di mana-mana. Siasat dahulu sama ada ia betul atau tidak sebelum tulis di blog kita yang terus dipercayai oleh para pembaca.


Jumaat, Disember 19, 2008

ISTERI YB DILANTIK TIMBALAN PENGARAH YPK


Akhirnya isteri ahli parlimen Setiu (Datuk Mat Jidin Shafie), Toh Puan Zaimah Abdul Aziz dilantik Timbalan Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) mulai 1 Januari 2009. Mesyuarat lembaga pemegang amanah YPK hujung bulan ini dijangka mengesahkan perlantikan itu.


Pengerusi YPK, Datuk Ahmad Said selaku MB Terengganu tidak ada masalah untuk menerima pengesyoran jawatan kuasa kenaikan pangkat YPK kerana suami Zaimah adalah kawan MB ketika di USM dahulu. Oleh itu beliau memang layak di situ kerana beliau bersama YPK sejak 1996 lagi.


Sudah 12 tahun Zaimah bersama YPK. Mula-mula sebagai Penolong Pengarah YPK dan pada tahun 1997, beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Pentadbiran dan Kewangan YPK. Saya mulai bekerja dengan YPK pada 1 Januari 1997 sebagai Penolong Pengarah Program YPK. Sebulan bekerja saya jumpa Zaimah nak minta borang pinjaman kenderaan. Zaimah marahi saya. Dia kata saya masih baru dan tak layak memohon pinjaman kenderaan.


Oleh kerana saya dimasukkan ke YPK melalui MB ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Pengarah YPK, Datuk Haji Azman Muda terus suruh Zaimah beri borang itu kepada saya. Sejak itu Zaimah masam muka dengan saya. Dalam setiap kali mesyuarat pegawai-pegawai YPK, saya sering menimbulkan kelemahan bahagian pentadbiran dan kewangan yang menyebabkan beliau makin marah kepada saya.


Selepas habis miting, saya tegur dia tetapi dia berdendam kerana dia anggap sebagai mengkritik peribadinya padahal teguran saya untuk kebaikan YPK. Sejak itu hubungannya dengan saya agak dingin.


Banyak kali dia cari peluang untuk menyingkirkan saya dari YPK. Datuk Azman marahi saya kerana saya selalu hilang dari pejabat kerana pergi ke Wisma Darul Iman bertemu dengan Ahmad Said yang merupakan Exco Kerajaan Negeri. Kebetulan saya adalah ketua penerangan pemuda UMNO Kemaman manakala Ahmad Said adalah ketua pemuda saya. Saya tahu kemarahan Datuk Azman kerana hasutan Zaimah.


Peluang balas dendam tiba bila PAS menang pada tahun 1999. Saya terus rapati Pengarah baru YPK, Ustaz Ismail Dagang yang dihantar oleh kerajaan PAS. Saya dapat sesuaikan diri dengan pengarah baru dengan niat untuk menyingkirkan Zaimah dari jawatan KPP.


Pada satu hari Ustaz Ismail panggil saya. Dia baru balik dari pejabat MB, Datuk Seri Haji Hadi Awang. Dia kata Haji Hadi suruh buang isteri Jidin dari YPK. Dia minta pandangan saya. Saya nasihati Ustaz Ismail jangan buang Zaimah sebaliknya tukarkan Zaimah ke unit Institut Bina Ummah (IBU), YPK. Ustaz Ismail mendengar nasihat saya dan saya syorkan supaya Kamaruzaman Awang dilantik KPP Pentadbiran dan Kewangan.


Maka di zaman PAS, berjayalah misi saya untuk menyingkirkan Zaimah dari jawatan KPP. Saya bukannya kejam mahu membuangnya dari YPK tetapi di zaman BN Zaimah sombong sangat dengan saya. Bila misi saya sudah berjaya, maka saya pun letak jawatan dari YPK pada akhir tahun 2001.


Bila BN menang semula pada tahun 2004, Zaimah kembali semula sebagai KPP Pentadbiran dan Kewangan. Mulai 1 Januari ini, dia dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah YPK. Memang dia layak. Jika saya masih kekal di YPK, mungkin jawatan itu adalah milik saya. Tetapi ia bukan rezeki saya.


Oleh itu saya berharap Ahmad Said sebagai Pengerusi YPK melihat semula perjalanan YPK supaya tidak ada salah guna kuasa. Difahamkan kontraktor yang sama, Usratie Enterprise yang ada kaitan keluarga dengan seorang staf YPK, Shaari sering mendapat projek dalam YPK. Kontraktor lain tak layak ke? Oleh itu Datuk Ahmad Said, lihat-lihatlah perjalanan YPK supaya tidak ada salah guna kuasa dan penyelewengan.


Mewah sangat YPK berbelanja. Baru-baru ini YPK bawa ramai staf berkursus di BTN Sabah yang makan belanja yang besar. Entah sampai RM100 ribu kot termasuk tambang kapal terbang. Datuk hendaklah tengok Pengarahnya, Shafaruddin Mustafa supaya tidak mewah sangat menggunakan wang rakyat. YPK dilihat sebagai agensi untuk membasmi kemiskinan tetapi jika wang dibelanjakan untuk benda yang tidak faedah, tidak ada makna YPK ditubuhkan oleh Wan Mokhtar dahulu.


Shafaruddin adalah bekas KPP Program saya tetapi saya telah mengalahkan boss saya itu untuk jawatan Presiden Kelab Keluarga YPK pada tahun 2000. Ini yang menimbulkan kemarahan boss saya terhadap saya kerana saya lawan taukeh. Perwakilan yang pilih saya nak buat macam mana. Seramai 300 orang ahli kelab yang hadir pada mesyuarat agung tersebut.
YPK tetap dalam ingatan saya walaupun sudah tujuh tahun saya meninggalkan YPK. Terima kasih YPK kerana mu lah YPK, saya sering muncul di Radio Malaysia Terengganu setiap hari Ahad dalam program Kaunseling Keluarga.


TV3 MEMANG ADA AGENDA


Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengamuk dengan TV3 kerana kononnya ada agenda menjatuhkannya. TV3 memang ada agenda sejak krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu pada Mac lalu.


Setiap malam TV3 menyerang Ahmad Said dan di saat-saat akhir berita perlantikan beliau sebagai Menteri Besar, TV3 menyiarkan kononnya seorang ADUN disiasat oleh BPR kerana isu Bandar Baru Kijal.


Oleh itu Ahmad Said ada hak untuk memarahi TV3 kerana ketika itu TV3 menyokong Datuk Seri Idris Jusoh yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri Besar Terengganu.


Ahmad Said sudah menjelaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana penyelewengan. Oleh itu jika terbukti ada penyelewengan seperti dilaporkan oleh TV3, beliau akan minta BPR siasat. Beliau tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah.


Ahmad Said sudah biasa dengan fitnah rasuah ini. Ketika beliau membawa rombongan pemuda UMNO Kemaman ke Eropah pada tahun 1997 yang mana saya adalah salah seorang yang turut pergi, beliau difitnah kononnya menerima wang dari pemaju Centrepoint untuk membawa rombongan ke Eropah. Beliau disiasat oleh BPR dan akhirnya tidak ada bukti beliau ditaja oleh mana-mana pihak kerana beliau membawa ahli keluarganya dengan wangnya sendiri.


Beliau ketika itu adalah Exco Kerajaan Negeri Terengganu mendapat muka depan Utusan Malaysia. Seorang stringer Utusan yang memang anti beliau menulis berita itu. Tetapi kini stringer itu jadi penyokong kuat Ahmad Said pula. Apabila beliau berkata beliau ada bukti TV3 ada agenda, kerana ada orang kirim sms kepadanya, maka TV3 kena buat penjelasan. TV3 sepatutnya kena beri laporan yang adil kepada semua menteri besar tanpa prejudis.


Malah baru ini heboh pula kononnya ada orang menaja rombongannya menjalani ibadah umrah selepas beliau dilantik Menteri Besar. Sekali lagi Ahmad Said menafikannya. Selagi Ahmad Said berada di kerusi MB, pelbagai fitnah lagi akan dilemparkan kepada beliau. Lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini.


Saya ingin berpesan kepada Ahmad Said supaya boikotlah TV3. Biarlah RTM saja beri publisiti kepada beliau. Takkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga timbalan ketua UMNO Bahagian Kemaman mahu sabotaj bossnya pula. Jadi biarlah RTM saja buat liputan majlis Menteri Besar.

Khamis, Disember 18, 2008

MENTERI PELAJARAN MUDAH MENANG


Mulai keluaran ini, saya ingin menyorot calon-calon Naib Presiden UMNO yang akan bertanding pada Mac depan. Saya mulakan dengan Hishamuddin Hussein yang mendapat pencalonan tertinggi, 152 pencalonan.


Sebagai calon favourite, beliau ada peluang untuk menang kerana beliau adalah Menteri Pelajaran. Dalam sejarah pertandingan Naib Presiden UMNO, Menteri Pelajaran tidak pernah kalah.


Pada tahun 1972, Dr. Mahathir Mohamad kalah dalam pertandingan naib presiden itu tetapi setelah dilantik Menteri Pelajaran pada tahun 1974, beliau menang dalam pertandingan tersebut pada tahun 1975. Pada tahun 1976, Musa Hitam dilantik Menteri Pelajaran. Dua tahun kemudian beliau menang Naib Presiden UMNO.


Pada tahun 1986, Anwar Ibrahim dilantik Menteri Pelajaran. Setahun kemudian beliau dipilih naib presiden. Sesiapa sahaja yang dilantik Menteri Pelajaran, mudah menang jawatan Naib Presiden UMNO.Sebab itu selepas itu Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri pernah memberikan kepada ahli parlimen bukan UMNO, Dr. Sulaiman Daud jawatan Menteri Pelajaran. Malah beliau pernah melantik tokoh akademik, Musa Mohamad sebagai Menteri Pelajaran kerana tidak mahu jawatan itu dipolitikkan.


Selepas Pak Lah menerajui negara pada tahun 2003, Pak Lah melantik orang politik semula sebagai Menteri Pelajaran selepas pilihan raya umum 2004. Adakah Hishamuddin akan mengulangi kejayaan bekas-bekas Menteri Pelajaran, Dr. Mahathir, Musa dan Anwar? Kita tunggulah Mac ini.


Meneliti pula sejarah politik Hishamuddin, ia agak menarik. Beliau aktif dalam politik selepas ayahnya, Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga meninggal dunia. Pada tahun 1993, beliau, seorang peguam dibawa oleh Ghani Othman untuk melawan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, arwah Jamaluddin Abu Bakar. Ghani ketika itu Menteri Belia dan Sukan dan Ketua UMNO Bahagian Ledang.


Ketika itu politik wang sudah ada tetapi tidak sehebat sekarang. Seorang rakan yang berkempen untuk arwah Jamaluddin pernah berkata, arwah beri RM50 kepada setiap perwakilan tetapi Hishamuddin beri RM500, maka menanglah Hishamuddin sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang. Sama ada dakwaan ini betul atau tidak, wallahukalam.


Walaupun Tangkak bukan kampungnya, tetapi Hishamuddin diterima menjadi ketua pemuda Ledang. Pada tahun yang sama beliau telah menang Exco Pemuda UMNO mendapat undi tertinggi.


Pada tahun 1996, beliau merebut kerusi naib ketua pemuda. Kebetulan kerusi itu kosong. Ia jadi rebutan antara beliau dengan Exco Kerajaan Selangor, Fatah Iskandar. Beliau menang. Ketika itu beliau sudah menjadi ahli parlimen sejak tahun 1995 dan Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Maknanya Hishamuddin pernah bekerja di bawah Rafidah Aziz.


Pada tahun 1995, saya sering ke parlimen dan saya dapati cara beliau menjawab soalan tambahan agak hebat juga. Ada ahli parlimen beritahu saya bahawa soalan tambahan itu semua sudah dirancang dan bila dua tiga ahli parlimen yang bangun bertanya soalan tambahan, Hishamuddin sudah bersedia untuk menjawabnya. Saya tidak pasti sejauh mana benarnya dakwaan ahli parlimen ini.


Selepas beliau menang naib ketua pemuda, beliau dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Beliau bekerja di bawah Dr. Lim Kheng Yaik. Selepas pilihan raya umum 1999, Dr. Mahathir melantiknya sebagai Menteri Belia dan Sukan. Ketika itu beliau memangku jawatan ketua pemuda selepas Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya.


Pada tahun 2000, beliau menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda. Pada tahun 2004, sekali lagi beliau menang ketua pemuda tanpa bertanding. Selepas dua kali menang tanpa bertanding sebagai ketua pemuda, inilah kali pertama beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pertandingan lapan penjuru. Dapatkah beliau menewaskan tujuh orang calon lain seperti Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Rais Yatim, Isa Samad, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Afdal dan Dr. Jamaluddin Jarjis?


Hishamuddin tidak pernah tahu sejauh mana undi popularnya di dalam barisan ahli majlis tertinggi UMNO sedangkan tujuh calon Naib Presiden lain tahu sejauh mana mereka popular di kalangan 2,500 orang perwakilan.Oleh itu Hishamuddin perlu terjemahkan pencalonan kepada pengundian sebenar pada Mac ini.


Pernah berlaku Ghani Othman mendapat pencalonan tertinggi untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO tetapi tewas bila dikira undi. Semoga Hishamuddin tidak menerima nasib yang sama seperti Ghani.

MUHYIDDIN SUDAH JADI TIMBALAN PRESIDEN UMNO


Walaupun para perwakilan UMNO belum lagi memilih Timbalan Presiden UMNO yang baru, kerana pengundian akan diadakan pada bulan Mac 2009, tetapi hari ini Utusan Malaysia sudah melantik Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO.


Dalam Utusan Malaysia hari ini pada muka surat 26 dalam berita "Tabung Bukit Antarabangsa dapat sambutan", Utusan Malaysia menulis pada para ketiga, "Pengerusi tabung itu, Datuk Ismail Kijo berkata antara penyumbang utama ialah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang menyumbangkan RM50 ribu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ali Rustam (RM40 ribu) dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (RM30 ribu).


Awal betul Utusan Malaysia melantik Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Rabu, Disember 17, 2008

STRINGER WATAN MENINGGAL DUNIA


Seorang stringer WATAN yang baru bersama WATAN, Syukree Hussain telah meninggal dunia di kediaman abangnya, Hadi Hussain di Bricksfields, Kuala Lumpur pada jam 9.30 pagi hari ini ketika sedang tidur. Beliau dipercayai meninggal dunia kerana penyakit jantung.



Jam 11.30, kami baru selesai mesyuarat, tiba-tiba seorang staff, Mastura Hassan masuk ke bilik saya beritahu tentang kematian Shukree. Saya tidak percaya dengan berita itu dan terus menelefon handphonenya dan abangnya, Hadi mengesahkan berita kematian tersebut.



Mastura menelefon arwah kerana arwah berjanji nak bawanya ke parlimen pada pagi ini. Sebab itu Mastura terkejut mendengar berita kematiannya sedangkan petang semalam dia sihat ketika datang ke pejabat.



Saya tidak dapat mengawal perasaan saya ketika menelefon abangnya dan saya menangis kuat sehingga mengejutkan staff yang lain. Saya terkilan kerana tidak menemuinya buat kali terakhir semalam ketika arwah datang ke pejabat kerana saya ke Putrajaya.


Biasanya sebelum dia mahu datang ke pejabat, dia akan call saya tanya sama ada saya ada di pejabat atau tidak, tetapi semalam dia datang tanpa call saya terlebih dahulu. Jika dia call saya, mungkin saya tangguhkan pemergian saya ke Putrajaya.



Agak pelik kerana arwah datang petang semalam memakai baju batik. Belum pernah dia pakai baju batik ke pejabat Watan. Dia bergurau dengan semua staff. Dia hulur press card lamanya kepada Fauzi sambil berkata, "Ambillah kad ini. Saya tak nak dah".



Rupa-rupanya perkataan tak nak ini merupakan kata-kata terakhir darinya yang amat berkesan bahawa dia tidak ada di dunia lagi esoknya. Kami sempat ke rumah abangnya di Jalan Rozario, Brickfields dan dari situ kami ke Hospital Universiti kerana jenazahnya sudah dibawa ke situ untuk dibedah siasat.



Shukree tidak lama bersama WATAN. Tapi banyak kali beliau dapat lead muka depan. Dia banyak kontak dengan pembangkang kerana dia adalah bekas wartawan Berita Keadilan. Jenazahnya akan dikebumikan di kampung kelahirannya, Pulau Serai di Dungun, Terengganu pada hari esok. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

Selasa, Disember 16, 2008

KHALID TAK FAHAM TUGAS POLIS



Para pemimpin pakatan pembangkang di Selangor tidak perlu diiringi polis ketika menghadiri majlis-majlis dan tugasan luar kerana kehadiran pasukan itu hanya akan membataskan kemesraan mereka dengan rakyat.


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, apabila seseorang pemimpin dikawal ketika sedang bertugas, rakyat tidak akan boleh menghampiri mereka kerana telah disekat oleh anggota polis yang bertugas sebagai pengiring.


Bagaimanapun menurutnya, beliau tidak berniat untuk menafikan usaha pasukan polis tetapi mahu anggota yang bertugas mengiringi pemimpin itu melakukan tugas lebih penting yang merupakan keutamaan mereka iaitu membanteras jenayah di negeri ini.


''Pada pandangan saya tidak perlu pemimpin di negeri ini diiringi polis memandangkan jumlah polis pun kurang.


''Kalau asyik menjaga Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin lain mereka tidak boleh jaga masalah jenayah yang juga berleluasa di negara kita.


''Lagipun kita kerajaan yang telus dan sentiasa menghormati rakyat," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Selangor Ria 2008 di tempat letak kereta Stadium Melawati di sini semalam.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Suhaimi Shafie agar pemimpin-pemimpin tertinggi di negeri ini perlu sentiasa diiringi anggota polis bagi menjamin keselamatan mereka ketika menghadiri majlis-majlis dan sebagainya.


Nampaknya Khalid sendiri tidak faham dengan tugas polis. Tugas polis memang untuk mengawal keselamatan para pemimpin termasuk pemimpin pembangkang yang jadi pemerintah negeri. Oleh itu tidak timbul soal mahu menyekat pemimpin bermesra dengan orang ramai.


Malah ada juga pemimpin BN yang tak guna polis walaupun dia ada body guard dari pasukan polis. Saya masih teringat bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad suka ke mana ke mari tanpa body guard. Bila ditanya, beliau jawab Allah sudah jaganya.


Ada polis menjaga pemimpin bukanlah untuk menyekat kebebasan pemimpin bergaul dengan rakyat tetapi ia bertujuan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan. Alhamdulilah di Malaysia negara kita masih aman. Kalau di India, body guard pun tidak boleh dipercayai kerana Perdana Menteri India, Indira Ghani mati dibunuh body guardnya sendiri.

Isnin, Disember 15, 2008

SAH BUKAN WAN FARID CALON BN


Nampaknya sah Wan Farid bukan calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu apabila beliau dilantik semula sebagai Senator oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu buat penggal kedua mulai semalam. Turut dilantik Senator ialah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Fatimah Ahmad yang menggantikan Ketua Puteri UMNO Terengganu, Nordiana Shafie.

Kuasa melantik Senator yang mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu ialah Menteri Besar, Ahmad Said. Jika Ahmad Said mahu letakkan Wan Farid sebagai calon BN di Kuala Terengganu, Ahmad Said tak perlu sambung perkhidmatan senator Wan Farid untuk tiga tahun lagi. Lebih baik beliau cadangkan nama lain untuk senator.

Tetapi oleh kerana Ahmad Said rasa beliau perlu dikekalkan sebagai timbalan menteri, maka senatornya perlu disambung semula. Walau bagaimanapun terpulang kepada Pengerusi BN, Pak Lah sama ada mahu meletakkan Wan Farid sebagai calon.

Jika Wan Farid dipilih calon, ini bermakna beliau kena letak jawatan senatornya. Jadi Dewan Undangan Negeri perlu melantik orang lain pula sebagai senator yang baru. Ini sudah tentu menyulitkan Dewan Undangan Negeri yang terpaksa bersidang semula.

Jadi lebih baiklah Pak Lah memilih orang lain sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu kerana Wan Farid tidak perlu kehilangan jawatan senator dan timbalan menteri.

Ahad, Disember 14, 2008

RAHIM MAKIN HAMPIR


Pengerusi RISDA, Rahim Tamby Chik atau RTC semakin hampir untuk muncul sebagai calon Naib Presiden UMNO. Semalam mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah mencalonkan beliau selain Menteri Pelajaran, Hishamuddin dan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar.


Ini bermakna RTC memerlukan dua pencalonan lagi untuk dapat lesen untuk bertanding. Ada tiga bahagian lagi belum bersidang, Larut, Tenom dan Seremban. Berdasarkan senario ini, peluang untuk RTC dapat lesen untuk bertanding amat cerah.


RTC selaku bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO (1993-1994) tidak ketinggalan untuk bersaing dengan lapan calon lain iaitu Hishamuddin, Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Isa Samad, Dr. Rais Yatim, Dr. Jamaluddin Jarjis dan Shafie Afdal.


Nasib RTC tidak sebaik bekas pegawai khasnya, Ali Rustam yang sudah menjadi naib presiden sejak tahun 2004 lalu. Ini bermakna anak muridnya sudah mendahuluinya jadi naib presiden sedangkan RTC belum tentu menang pada bulan Mac depan.


Akan tetapi untuk mendapatkan dua pencalonan lagi, saya tidak nampak RTC tidak boleh dapat kerana beliau akan kejar juga untuk pastikan pencalonan itu walaupun harga yang terpaksa dibayar agak tinggi.


TERIMA KASIH


Terima kasih kepada semua rakan-rakan dan saudara-mara yang sudi hadiri majlis perkahwinan anak sulung saya, Siti Zuhairatun dengan Hairul Faizal Haji Ahmad di rumah kami di Taman Mohd. Noor, Chukai, Kemaman semalam.




Juga terima kasih kepada semua penduduk Pasir Gajah yang sudi hadir. Kebetulan pengantin perempuan yang berasal dari Pasir Gajah kahwin dengan orang Batu Gajah, Perak.



Cuaca yang baik menyebabkan ramai yang hadir. Empat hari sebelum itu jalan raya ke Pasir Gajah telah terputus kerana banjir di Sungai Pinang. Alhamdulillah jalan raya dibuka semula menyebabkan ramai penduduk asal kampung saya dapat hadiri majlis itu.

Kebetulan semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak datang ke Kuala Terengganu maka semua ahli-ahli jawatankuasa bahagian,pemuda,wanita dan puteri UMNO Kemaman yang dijemput hadir tidak dapat datang ke majlis saya kerana mereka kena pergi ke Kuala Terengganu.

Namun demikian majlis rumah saya tetap meriah dengan kunjungan saudara mara dari Kuala Lumpur, Kelantan, Pahang, Kuala Terengganu dan Dungun. Rakan-rakan seperti Omar Aziz, Sulong Derahman, Haji Din yang sudi menyumbang suara mereka turut memeriahkan majlis karaoke yang diadakan sepanjang majlis berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang.



Malah abang ipar, Zakaria dan adik-adik ipar Fauzi dan Nazri yang tak pernah saya dengar suara mereka turut menyanyi. Pendek kata majlis karaoke yang didjkan oleh Burn amat meriah sekali. Terima kasih kepada Burn yang sudi menyewa set karaokenya dan menjadi DJ pada majlis tersebut.

Pendek kata tanpa kehadiran VIP majlis semalam turut meriah. Juga terima kasih kepada Datuk Shahrir Samad yang menjawab sms saya dengan menulis,”terima kasih di atas jemputan. Maaf tapiberada di luar Kuala Lumpur pada hari itu. Tahniah kerana menerima menantu”.

Datuk Seri Dr. Khir Toyo turut menjawab sms saya ,” saya kebetulan berada di luar negara mempengerusikan mesyuarat Majlis Belia Asia”. Juga tidak ketinggalan kepada ahli parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim yang sempat menemui saya di parlimen dan mengatakan maaf kerana tidak dapat hadir.

Melalui ruangan ini, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telah hadir dan tak dapat hadir tetapi sempat telefon saya dari Kota Kinabalu iaitu Datuk Haji Abdul Karim Ghani dan Datuk Salleh Said Keruak yang sms saya dari Kota Mekah memberitahu saya bahawa beliau tidak dapat hadir. Budi kalian semua saya tak lupa. Juga kepada seorang kawan yang datang ke Kemaman pada tengah malam tapi segan nak singgah di rumah saya tetapi kirim duit kepada Azman Shah. Terima kasih.

ROYALTI MINYAK KEJAYAAN AHMAD SAID


Salah satu kejayaan Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu ialah membawa balik royalti minyak ke Terengganu setelah kerajaan pusat menariknya pada zaman PAS memerintah Terengganu dari tahun 1999-2004.


Inilah kejayaan terbesar Ahmad Said setelah beliau menjadi Menteri Besar pada Mac lalu.Inilah kelebihan Ahmad Said berbanding dengan Idris Jusoh yang gagal memujuk Pak Lah supaya royalti minyak diuruskan oleh kerajaan negeri semula.


Pengumuman Najib Tun Razak bahawa kabinet telah meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) merupakan satu lagi kejayaan Ahmad Said yang melaksakan cadangan Yang di_Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.


Hari ini Utusan Malaysia melaporkan bahawa kerajaan pada prinsipnya meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk mengendalikan pelaburan wang royalti minyak negeri ini dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.


Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak berkata, penubuhan TIA yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada mesyuaratnya semalam.


Menurutnya, TIA akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.


“Konsepnya ialah kerajaan negeri melabur bukan saja di Terengganu tetapi juga di luar negara. Mungkin sedikit (labur) di Terengganu dan sebahagian besar di luar Terengganu.


“Seandainya minyak pupus, Terengganu dengan langkah ini akan dapat punca pendapatan tambahan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek royalti minyak berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di sini semalam.


Menurut Najib, royalti berkenaan adalah bagi akaun 2007/2008 setelah ditolak segala kos pembangunan yang dilaksanakan di Terengganu.


Dengan kembalinya royalti minyak ke Terengganu, dapatkah ia menawan hati para pengundi Kuala Terengganu? Ia akan terjawab pada 17 Januari ini walaupun dari satu segi Ahmad Said sudah berjaya membawa royalti minyak ke pangkuan Terengganu. Adakah para pengundi Kuala Terengganu bersyukur dengan usaha Ahmad Ahmad Said ini?

Sabtu, Disember 13, 2008

PECAT PPP SEGERA



Naib Presiden UMNO, Ali Rustam kata PPP bukanlah asset kepada BN. Oleh itu sudah sampai masanya bagi BN untuk memecat PPP dari BN. Seperti kata Ali, ada atau tidak adanya PPP, ia tidak ada kesan dalam BN.

Oleh itu BN perlu pecat PPP dari BN walaupun sebelum ini PPP buat gertak keling untuk keluar dari BN. Tak perlu tunggu PPP keluar dari BN tetapi biarlah BN pecat PPP.

Parti PPP pun tak ada peraturan. Semudah itu memecat penasihatnya, Rajah dari parti itu bila Rajah mencadangkan supaya Kayveas yang keluar dari PPP dan bukannya PP keluar dari BN.


Pecat orang tanpa keluar surat tunjuk sebab sedangkan Kayveas sebagai peguam patut faham cara memecat seseorang ahli. Yang peliknya Kayveas mengaku bahawa Rajah pernah dipecat dari parti itu sebanyak tiga kali. Semudah itu pecat ahli, semudah itu pula terima balik ahli yang dipecat.

Saya rasa BN tidak perlu tunggu PPP keluar dari BN. Pecatlah segera supaya ia menjadi pengajaran kepada parti komponen BN yang lain.

Jumaat, Disember 12, 2008

NAJIB DIJANGKA UMUM CALON ESOK


Teka-teki siapa calon BN bagi pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu akan terjawab pagi esok apabila Datuk Seri Najib dijangka mengumumkan nama calon dalam satu majlis di Kuala Terengganu esok.

Menurut sumber, Pak Lah telah bersetuju dengan senarai calon yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Senarai itu telah diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Said. Ahmad Said telah menyerahkan senarai itu kepada Pak Lah dan Pak Lah telah berkata ia akan diumumkan oleh Najib dalam masa terdekat, kemungkinan besar esok.

Walaupun ramai yang melobi menjadi calon, besar kemungkinan Pak Lah memilih sama ada ketua bahagian, Wan Farid atau bekas timbalannya, Che Mat Jusoh. Kebetulan mereka berdua pernah bekerja dengan Pak Lah. Wan Farid sebagai setiausaha politik Pak Lah manakala Che Mat Jusoh adalah pegawai khas Pak Lah.

Jika Wan Farid terpilih sebagai calon, beliau kena letak jawatan Senator dan timbalan menteri dan bekerja kuat untuk menang. Bila menang, dapat dilantik timbalan menteri semula. Tetapi jika dia kalah, dia bukan sahaja hilang jawatan senator malah hilang juga jawatan menteri.

Sebaliknya jika beliau tak terpilih sebagai calon, beliau kekal senator dan timbalan menteri tetapi dia kena bekerja kuat juga untuk memastikan calon BN menang. Jika tidak beliau akan dituduh sebagai sabotaj calon BN kerana beliau bukan calon.

Begitu juga pilihan raya kecil ini amat penting buat Ahmad Said sebagaiu pengerusi perhubungan UMNO Terengganu yang baru. Jika BN menang, rakyat Kuala Terengganu mengesahkan perlantikan Ahmad Said sebagai pengerusi perhubungan sebaliknya jika kalah, ia merupakan petanda yang buruk kepada masa depan politik Ahmad Said.

Walaupun hari penamaan calon ditetapkan 6 Januari 2009, tiga minggu dari sekarang, tetapi langkah BN mengumumkan nama calon lebih awal merupakan langkah yang bijak kerana para pengundi lebih awal dapat mengenali dan bermesra dengan calon BN.

Khamis, Disember 11, 2008

DATUK CHE MAT JUSOH JADI CALON


Hampir pasti bukan Datuk Wan Farid Wan Salleh calon BN bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu. Jika BN meletakkan Wan Farid, belum tentu BN menang kerana tiga kerusi dari empat kerusi DUN dalam parlimen tersebut dimenangi PAS.


Alangkah ruginya jika Wan Farid letak jawatan Senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri. Sebaliknya dia boleh kekal jawatan Senator dan timbalan menteri jika dia tidak bertanding.


Yang sedang heboh sekarang ialah nama bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh. Beliau selaku Presiden Persatuan Bolasepak Terengganu dikatakan sedang melobi calon melalui Sultan Pahang selaku Presiden FAM.


Sultan Pahang dikatakan sudah berbisik nama Datuk Che Mat kepada bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tambahan pula Datuk Che Mat adalah bekas pegawai khas Pak Lah ketika Pak Lah jadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu. Ini bermakna jika Najib sebut nama Datuk Che Mat depan Pak Lah, Pak Lah sudah kenal beliau.


Beliau pernah jadi calon bagi DUN Batu Buruk pada tahun 2004 tetapi kalah. Oleh itu pengundi Batu Buruk sudah kenali beliau. Pengundi DUN Bandar, DUN Ladang dan DUN Wakaf Mempelam tidak ada masalah untuk kenali beliau yang merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu itu. Lebih-lebih lagi beliau adalah bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.


Beliau kalah kepada bekas Ketua Pemuda bahagian, Sabri Alwi kerana beliau tidak main wang sedangkan Sabri Alwi atau Mat Kerak main wang yang menyebabkan beliau menang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.


Oleh itu jika Pak Lah dan Najib mahu seorang calon yang tidak main politik wang, maka Datuk Che Mat Jusoh adalah calon yang tepat untuk menjadi calon BN. Sebagai bekas pegawai kerajaan beliau mudah diterima oleh para pengundi. Lagipun beliau tidak sombong mana. Jadi memang beliau ada harapan untuk menang melawan calon PAS yang mungkin juga anak tempatan.


Cuma faktor umur yang menghalang beliau dipilih sebagai calon. Tetapi untuk menang pilihan raya kecil, faktor umur tidak perlu diira sangat. Yang penting BN kena menang. Ini soal maruah BN. Kalah BN, maka hilang lagi satu kerusi BN di Dewan Rakyat. Oleh itu jika bukan Wan Farid jadi calon, Che Mat Jusoh adalah pilihan yang tepat.

Rabu, Disember 10, 2008

BERANIKAH PPP?


Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah berkata jika PPP nak keluar dari BN, keluarlah. Nampaknya kehadiran PPP dalam BN tidak diperlukan oleh Pak Lah lagi. Beranikah Datuk M. Kayveas membawa parti itu keluar dari BN?


Selama ini PPP pun tidak membawa apa-apa keuntungan kepada BN. Kerusi tunggalnya di Taiping kalah. Ini bermakna jika ia keluar ia tidak menjejaskan kerusi BN dalam Dewan Rakyat.


Sebelum pilihan raya umum lalu, PPP telah menuntut banyak kerusi parlimen dan DUN untuk bertanding. BN tetap mengekalkan status quonya. Maka PPP hanya dapat satu kerusi parlimen di Taiping sahaja. Itu pun banyak kali bergaduh dengan Gerakan kerana pada tahun 1999 kerusi Taiping adalah milik Gerakan.


PPP kata jika BN tak pinda ISA, ia akan keluar dari BN. Maka sudah sampai masanya M. kayveas membawa PPP keluar dari BN. Anda tidak diperlukan lagi dalam BN. Pak Lah sudah tegas tidak akan meminda ISA lagi.


Beranikah Kayveas atau dia hanya gertak keling sahaja? Orang India bila kata keling marah, padahal tamadun Keling bukan main hebat dulu. M. Kayveas adalah satu-satunya presiden parti komponen BN yang tak dapat jadi menteri.


Sedangkan presiden parti komponen lain jadi menteri. Ketika PPP menang pada tahun 2004, M. kayveas hanya jadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Selepas itu ditukar ke Jabatan Perdana Menteri. Tetapi Kayveas tetap dikenang sebagai timbalan menteri yang berani menentang CTOS yang menyebabkan semua peminjam yang disenaraihitamkan oleh bank menyokong beliau.

Selasa, Disember 09, 2008

HAMZAH PERLI SIAPA?


Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Dalam kenyataan media, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada DYMM Sultan Selangor atas keperihatinan Tuanku untuk hadir memberi sokongan semalam.

Beliau juga tidak lupa juga mengucapkan terima kasih kepada barisan pimpinan tinggi tertinggi negara terutama Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sempat meluangkan waktu untuk turut hadir melawat tempat kejadian.

Katanya, kerajaan negeri juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelamat yang sedang giat dijalankan termasuk anggota polis, tentera, bomba, pasukan penyelemat SMART dan pasukan dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Bantuan dari sukarelewan dari pelbagai badan bukan kerajaan NGO dan Bulan Sabit Merah juga amat dihargai.

Sejak semalam Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan penempatan sementara di Sek Keb Hulu Klang dan Sek Men Keb Malawati dan memastikan segala kelengkapan bantuan asas seperti selimut, tilam, pakaian dan makanan telah disediakan. Kerajaan juga akan sentiasa memantau keadaan di penempatan semula bagi memastikan semua berjalan lancar.

Tan Sri Khalid berkata Kerajaan Negeri Selangor bukan sahaja sedih dengan apa yang berlaku, tetapi lebih merasakan ianya satu pengajaran penting untuk menujukkan betapa pentingnya pemantauan terhadap pembangunan perumahan di cerun bukit (hill slope development). Bahkan larangan pembangunan cerun bukit kelas 3 dan adalah antara polisi awal yang dibuat Kerajaan Pakatan Rakyat setelah mengambil alih pemerintahan daripada Kerajaan terdahulu.

Untuk pengetahuan, buat masa ini terdapat lebih kurang 90 projek yang melibatkan pembangunan di cerun bukit yang telah diluluskan oleh Kerajaan terdahulu. Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat akan sentiasa memantau projek-projek ini dengan teliti supaya syarikat memenuhi semua syarat–syarat bagi memastikan rumah yang akan diduduki selamat. Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan setiap syarikat perumahan memberi laporan bulanan berkaitan setiap projek yang dijalankan. Perlu ditegaskan disini, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak mengkaji semula mana-mana projek jika didapati ada bukti bahawa alam sekitar dan keselamatan penduduk disekitar telah terancam akibat projek. Projek-projek di kawasan sensitif kepada bencana tanah runtuh akan diberi syarat-syarat yang lebih ketat.

“Kerajaan Negeri berharap semua pihak terutama syarikat perumahan swasta akan bersama-sama dalam hal ini. Banyak aduan telah diterima oleh rakyat dimana terdapat beberapa syarikat swasta yang telah mengabaikan tanggungjawab menjaga dan memelihara cerun bukit di kawasan perumahan yang telah dibangunkan. Sebagai langkah pro-aktif, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak menyenarai hitam syarikat yang lalai menjalankan tanggungjawab mereka,” tegas beliau.

Tan Sri Khalid menambah oleh kerana bukan hanya cerun bukit yang sensitif kepada kejadian tanah runtuh, Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Jabatan Pengaliran Sungai (JPS) untuk mengetatkan penguatkuasaan sungai dikawasan hutan simpan bagi mengelakkan bencana alam yang boleh mengancam keselamatan penduduk.

Katanya lagi, kerajaan menyeru semua pihak – baik syarikat perumahan mahupun individu –individu tentang risiko yang ada pada pembangunan lereng bukit dan risiko ini perlu diambil kira dalam mereka membuat keputusan membina atau menghuni rumah-rumah dilereng bukit.

Dalam Utusan Malaysia hari ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin berkata kuasa melulus pembangunan atas cerun bukit bukanlah kuasa PBT tetapi kuasa kerajaan negeri. Kalau diteliti pembangunan yang ada di Bukit Antarabangsa berlaku di zaman siapa jadi Menteri Besar? Adakah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib atau Datuk Seri Dr. Khir Toyo? Hamzah tujukan kenyataan itu kepada siapa?

Tidak mungkin kepada Khalid Ibrahim kerana sejak 8 Mac lalu, kerajaan baru telah membatalkan semua projek di cerun bukit. Adakah Hamzah perli Dr. Khir atau Muhammad kerana pembangunan begitu rancak di zaman mereka berdua jadi Menteri Besar.

Kenyataan Hamzah ini sudah tentu menyulitkannya untuk mendapatkan undi dari Selangor dalam pertandingan majlis tertinggi UMNO Mac depan kerana kenyataan itu menyinggung perasaan para penyokong Muhammad dan Dr. Khir.