Ahad, Disember 14, 2008

ROYALTI MINYAK KEJAYAAN AHMAD SAID


Salah satu kejayaan Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu ialah membawa balik royalti minyak ke Terengganu setelah kerajaan pusat menariknya pada zaman PAS memerintah Terengganu dari tahun 1999-2004.


Inilah kejayaan terbesar Ahmad Said setelah beliau menjadi Menteri Besar pada Mac lalu.Inilah kelebihan Ahmad Said berbanding dengan Idris Jusoh yang gagal memujuk Pak Lah supaya royalti minyak diuruskan oleh kerajaan negeri semula.


Pengumuman Najib Tun Razak bahawa kabinet telah meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) merupakan satu lagi kejayaan Ahmad Said yang melaksakan cadangan Yang di_Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.


Hari ini Utusan Malaysia melaporkan bahawa kerajaan pada prinsipnya meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk mengendalikan pelaburan wang royalti minyak negeri ini dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.


Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak berkata, penubuhan TIA yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada mesyuaratnya semalam.


Menurutnya, TIA akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan.


“Konsepnya ialah kerajaan negeri melabur bukan saja di Terengganu tetapi juga di luar negara. Mungkin sedikit (labur) di Terengganu dan sebahagian besar di luar Terengganu.


“Seandainya minyak pupus, Terengganu dengan langkah ini akan dapat punca pendapatan tambahan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan cek royalti minyak berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di sini semalam.


Menurut Najib, royalti berkenaan adalah bagi akaun 2007/2008 setelah ditolak segala kos pembangunan yang dilaksanakan di Terengganu.


Dengan kembalinya royalti minyak ke Terengganu, dapatkah ia menawan hati para pengundi Kuala Terengganu? Ia akan terjawab pada 17 Januari ini walaupun dari satu segi Ahmad Said sudah berjaya membawa royalti minyak ke pangkuan Terengganu. Adakah para pengundi Kuala Terengganu bersyukur dengan usaha Ahmad Ahmad Said ini?