Memaparkan catatan dengan label wan farid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wan farid. Papar semua catatan

Isnin, Januari 19, 2009

KESILAPAN WAN FARID


Ramai yang sms saya semalam kenapa saya tak ulas kemenangan PAS atau kekalahan BN dalam blog saya. Kebetulan semalam saya sibuk uruskan hal peribadi saya di Kemaman. Saya uruskan perceraian saya dengan isteri saya, Zaitun Othman di mahkamah rendah syariah Kemaman. Semalam saya failkan kes saya dan kes saya akan didengar pada 3 Februari ini, 15 hari dari sekarang.


Kami pernah bercerai talak satu pada 24 Disember 2006 tetapi kami rujuk semula pada 20 Februari 2007. Hampir dua tahun kami bersama semula, tetapi kami tidak sefahaman. Kami tak boleh berpura-pura lagi. Jadi jalan terbaik, lebih baik kami bercerai semula. Jadi saya tak sempat tulis yang baru semalam kerana sibuk di mahkamah syariah.


Hari ini baru ada masa untuk menulis semula. Dari awal lagi semua sudah meramalkan BN kalah kerana sikap calonnya, Datuk Wan Farid Wan Salleh. Pada hari kedua, selepas hari penamaan calon, bila ramai wartawan pergi ke rumahnya sebelah pagi nak jumpanya, dia tak turun dari keretanya. Sebaliknya PA nya beritahu beliau ada urusan peribadi. Wartawan BERNAMA ada merungut kalau macam ini sikap calon BN, macam mana BN nak menang.


Seperti kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, BN salah pilih calon. Kalau pilih orang lain, mungkin BN tak kalah teruk. Saya ingatkan PAS menang tipis, rupanya BN kalah teruk. Ini bermakna ramai ahli UMNO tidak keluar mengundi kerana sabotaj Wan Farid.


Kesilapan Wan Farid beliau tukar ramai pengerusi JKKK selepas menang semula ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu Oktober lalu. Pengerusi JKKK ini ada pengaruh. Kalaub seorang Pengerusi ada 50 undi, kalau 10 orang pengerusi JKKK, berapa undi Wan Farid sudah hilang?


Wan Farid mungkir janji. Dia kata nak bayar sewa rumah WATAN ambil. Dia suruh saya berhubung dengan Mat Kerak. Mat Kerak kata Wan Farid tak beritahu pun. Tuan rumah marah. Adik beradik dia ada 7 orang. 14 undi. Kalau 14 pengundi beritahu kawan rapat pula, maknanya semakin banyak undi yang Wan Farid hilang? Salah siapa dia mungkir janji?


Banyak lagi yang mahu diulas. Tunggulah di masa akan datang.

Sabtu, Januari 17, 2009

WAN FARID AWAL TIBA


Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, antara yang terawal tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, Ladang, di sini jam 7.45.




Beliau yang ditemani isteri, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab yang turut mengundi di tempat sama, kemudian masuk ke pusat mengundi tepat jam 8.03 pagi dan keluar dari pusat berkenaan kira-kira 10 minit kemudian.





Kehadiran Wan Ahmad Farid mendapat perhatian penyokongnya dengan Wan Farid melambai-lambai ke arah mereka sambil melaungkan "Hidup BN, Hidup Umno".




Sementara itu Calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut,tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Chabang Tiga, Seberang Baruh, jam 7.50 pagi untuk mengundi di pusat itu. Beliau ditemani isteri, Wan Fatimah Wan Abdullah bersama lima daripada sembilan anaknya yang turut mengundi di pusat sama.





Calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, 45, tidak mengundi hari ini di sini, sebaliknya beliau didaftar sebagai pengundi di Parlimen Petaling Jaya Utara. Usaha untuk menghubunginya sejak awal pagi ini bagaimanapun gagal apabila telefon bimbitnya ditutup.


Azharudin yang dilahirkan pada 1 April 1963 juga pengundi berdaftar untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama.





Semua 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dibuka jam 8 pagi tadi bagi membolehkan 80,229 pemilih menunaikan hak masing-masing hari ini. Keadaan di pusat pengundi membabitkan 143 saluran mengundi dilaporkan tenang sebaik dibuka dengan pengundi tiba seawal jam 7 pagi.





Pihak berkuasa keselamatan, terutama polis dilihat berkawal di sekitar kawasan pusat mengundi, termasuk helikopter PDRM berlegar-legar di udara bagi memastikan tiada keadaan tidak diingini berlaku.


Tiga calon menawarkan diri bertanding iaitu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas) dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.





Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Razali Ismail daripada BN pada 28 November lalu. Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Allahyarham menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Selasa, Januari 06, 2009

MENANGKAN WAN FARID UNTUK DAPAT TIMBALAN MENTERI SEMULA


Jaminan Timbalan Perdana Menteri, Najib Abdul Razak bahawa jika calon BN, Wan Farid Wan Salleh memenangi pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini beliau akan dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri sudah tentu melegakan para pengundi Kuala Terengganu.


Oleh itu mereka perlu pastikan BN menang,. Jika tidak mereka akan kehilangan seorang timbalan menteri. Sebelum ini Wan Farid adalah seorang senator dan timbalan menteri. Oleh itu memang wajarlah jawatan itu dikembalikan semula kepadanya bila beliau menang nanti.


Dahulu parlimen Kuala Terengganu ada dua orang timbalan menteri, ahli parlimen arwah Razali Ismail dan ketua bahagian, Wan Farid. Jika BN menang, Kuala Terengganu kekal dengan seorang timbalan menteri setelah hilang satu akibat kematian arwah Razali.


Sebaliknya jika BN kalah, Kuala Terengganu hilang dua timbalan menteri (Pelajaran dan Dalam Negeri) kepada ahli parlimen lain pula. Oleh itu menangkanlah Wan Farid

Isnin, Januari 05, 2009

WAN FARID SUDAH LAMA JADI JAMBATAN


Calon BN, Wan Farid Wan Salleh berkata bahawa beliau mahu jadi jambatan kepada para pengundi Kuala Terengganu dalam menyampaikan hasrat rakyat kepada kerajaan.


Sebenarnya Wan Farid sudah lama jadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan sejak tahun 2004 lagi ketika beliau menjadi setiausaha politik Menteri Dalam Negeri. Beliau banyak menolong orang ketika menjadi setiausaha politik. Sedikit sebanyak para pengundi Kuala Terengganu yang pernah mendapat pertolongannya terhutang budi kepada beliau.


Saya sendiri pun pernah berurusan dengan beliau ketika beliau menjadi setiausaha politik. Lebih mudah berurusan dengannya bila beliau ada di pejabat. Jadi soal jadi jambatan bukan hanya selepas dipilih jadi ahli parlimen pada 17 Januari ini. Sebaliknya beliau sudah lama jadi jambatan.


Begitu juga bila beliau menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri sejak Mac 2008, beliau banyak juga menolong orang. Saya pun pernah dia tolong. Oleh itu jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat Kuala Terengganu nanti, jambatan beliau semakin kukuh untuk beliau hulur bantuan kepada para pengundi. Oleh itu wahai para pengundi Kuala Terengganu, pangkahlah BN untuk meneruskan kesinambungan perjuangan arwah Datuk Razali Ismail.

Ahad, Disember 21, 2008

WAN FARID MEMANG LAYAK



Calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu sudah diumumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Walaupun pelbagai nama telah dispekulasikan sebagai calon, akhirnya BN memilih Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon.


BN sudah belajar dari pengalaman pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu. UMNO Bahagian Permatang Pauh sebulat suara memilih ketuanya, Datuk Jalil sebagai calon tetapi BN pusat memilih orang lain sebagai calon yang menyebabkan jentera bahagian mensabotaj calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah.


Belajar dari kekalahan ini maka BN pusat memilih nama Wan Farid sebagai calon kerana beliau adalah nama tunggal yang dihantar oleh bahagian kepada perhubungan yang dimajukan kepada Pengerusi BN Malaysia untuk diluluskan. Pak Lah tidak ada masalah untuk menerima nama Wan Farid sebagai calon kerana beliau adalah bekas setiausaha politiknya.


Oleh kerana PAS memenangi tiga dari empat kerusi DUN yang terdapat dalam parlimen Kuala Terengganu itu, maka BN perlu kerja kuat untuk pastikan Wan Farid menang dengan majoriti yang lebih tinggi dari calon BN dahulu, arwah Datuk Razali Ismail.


Inilah kali pertama Wan Farid, 46, bertanding dalam pilihan raya. Pada tahun 1999, Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad memilih beliau yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu sebagai calon BN bagi kawasan parlimen Kemaman menggantikan Dr. Ramli Taib. Tetapi hasrat Wan Mokhtar itu dibantah oleh ahli-ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman yang mahu Wan Mokhtar memilih salah seorang AJK Bahagian sebagai calon. Akhirnya Wan Mokhtar memilih Datuk Seri Wan Zaki Wan Muda, seorang kontraktor terkenal sebagai calon tetapi kalah.Maka Wan Farid tak jadi bertanding pada tahun tersebut.


Pada tahun 2004, sebagai timbalan ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri (Pak Lah) tidak dipilih sebagai calon. Pada tahun 2008, Datuk Seri Idris Jusoh tidak memilih beliau sebagai calon walaupun beliau adalah ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu sebaliknya Idris sebagai Menteri Besar mengekalkan abangnya, Datuk Wan Hisham sebagai calon bagi DUN Ladang. Idris bimbang jika Wan Farid jadi calon dan menang, Wan Farid akan jadi MB Terengganu yang baru.


Oleh kerana tiga kerusi DUN, Wakaf Mempelam, Batu Buruk dan Ladang dimenangi oleh PAS pada pilihan raya umum Mac lalu, maka Wan Farid perlu bekerja kuat untuk meraih kemenangan. Jika tidak beliau akan kehilangan jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri yang disandangnya melalui kerusi senator.


Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menyambung semula perkhidmatan Senator beliau baru-baru ini, maka Wan Farid dilihat sebagai bukan calon BN. Tetapi oleh kerana beliau belum angkat sumpah lagi Senator buat penggal kedua, maka tidak jadi masalah bagi beliau untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini. Nampaknya DUN terpaksa mencalonkan orang lain untuk mengisi kekosongan jawatan Senator yang ditinggalkan oleh beliau.


Untuk menang, semua bekas calon yang kalah di tiga DUN mesti kerja kuat untuk membantu Wan Farid iaitu Othman Awang (Wakaf Mempelam), Nordiana Shafiee (Batu Buruk) dan Wan Hisham (Ladang). Oleh kerana calon BN ialah Wan Farid, maka Wan Hisham dinasihati agar tidak turun berkempen kerana ramai pengundi Ladang marah kepada beliau yang menyebabkan BN kalah di Ladang.


Oleh itu Wan Hisham perlu bercuti dan jangan ganggu Wan Farid. Tanpa gangguan Wan Hisham, Wan Farid dijangka menang dengan majoriti yang kecil. Jika tidak kerusi Kuala Terengganu akan terlepas ke tangan PAS kerana tindak-tanduk Wan Hisham sepanjang menjadi Exco Kerajaan Negeri yang menyebabkan BN tewas di Ladang.


Wan Farid adalah seorang orator dan boleh buat kerja. Beliau banyak membantu saya sewaktu beliau menjadi timbalan menteri dan permit akhbar WATAN dapat dipohon semula di atas pertolongan Wan Farid yang merekomennya kepada bossnya, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Sedikit sebanyak saya terhutang budi kepada kawan lama ini yang pernah bersama saya dalam Biro Penerangan Pemuda UMNO Terengganu dari tahun 1995 hingga 1998. Ketika itu Wan Farid adalah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kuala Terengganu manakala saya adalah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kemaman. Malah ketika beliau menjadi setiausaha politik Menteri Dalam Negeri, dia ada juga membantu saya.


Pada pilihan raya umum lalu, namanya turut disebut sebagai calon di DUN Ladang menggantikan abangnya, Wan Hisham tetapi Idris takut jika Wan Farid menang sudah tentu Wan Farid jadi MB Terengganu dan bukannya Ahmad Said. Oleh kerana semua ADUN senior telah dikerat oleh Idris, maka Sultan Terengganu tidak ada pilihan terpaksa memilih ADUN Kijal, Ahmad Said sebagai MB baru menggantikan Idris Jusoh. Wan Farid mudah ditemui untuk mendapatkan surat sokongan berbanding dengan menteri atau timbalan menteri yang lain.


Oleh kerana Wan Farid sudah terlepas jadi MB, maka diharapkan Wan Farid dapat diterima oleh para pengundi Kuala Terengganu pada 17 Januari depan sebagai ahli parlimen. Jika dia menang, dia kekal Timbalan Menteri Dalam Negeri. Sebaliknya jika dia kalah, dia akan kehilangan jawatan Senator dan timbalan menteri. Tetapi oleh kerana beliau belum angkat sumpah jawatan Senator buat penggal kedua, jika dia kalah, dia tetap boleh jadi Senator kerana namanya sudah dihantar oleh DUN Terengganu.

Isnin, Disember 15, 2008

SAH BUKAN WAN FARID CALON BN


Nampaknya sah Wan Farid bukan calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu apabila beliau dilantik semula sebagai Senator oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu buat penggal kedua mulai semalam. Turut dilantik Senator ialah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Fatimah Ahmad yang menggantikan Ketua Puteri UMNO Terengganu, Nordiana Shafie.

Kuasa melantik Senator yang mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu ialah Menteri Besar, Ahmad Said. Jika Ahmad Said mahu letakkan Wan Farid sebagai calon BN di Kuala Terengganu, Ahmad Said tak perlu sambung perkhidmatan senator Wan Farid untuk tiga tahun lagi. Lebih baik beliau cadangkan nama lain untuk senator.

Tetapi oleh kerana Ahmad Said rasa beliau perlu dikekalkan sebagai timbalan menteri, maka senatornya perlu disambung semula. Walau bagaimanapun terpulang kepada Pengerusi BN, Pak Lah sama ada mahu meletakkan Wan Farid sebagai calon.

Jika Wan Farid dipilih calon, ini bermakna beliau kena letak jawatan senatornya. Jadi Dewan Undangan Negeri perlu melantik orang lain pula sebagai senator yang baru. Ini sudah tentu menyulitkan Dewan Undangan Negeri yang terpaksa bersidang semula.

Jadi lebih baiklah Pak Lah memilih orang lain sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu kerana Wan Farid tidak perlu kehilangan jawatan senator dan timbalan menteri.

Sabtu, November 29, 2008

WAN FARID CALON BN?


Pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu akan diadakan dalam tempoh 60 hari mulai semalam berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Razali Ismail. Ini bermakna paling lambat pilihan raya kecil akan diadakan sebelum 28 Januari 2009.

Razali menang dengan majoriti 628 undi. Beliau mendapat 32,562 undi manakala calon PAS, Mohamad Sabu mendapat 31,934 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof mendapat 685 undi.

Pilihan raya kecil ini menguji kekuatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Said. Sejauh mana kepimpinan Ahmad Said diterima sebagai Pengerusi Perhubungan. Jika BN menang, maknaya kepimpinan Ahmad Said diterima, jika BN kalah, ini bermakna rakyat Kuala Terengganu menolak kepimpinan Ahmad Said.

Ahmad Said tentu pening kepala untuk memilih calon. Paling terbaik, pilihlah Datuk Wan Farid, Timbalan Menteri Dalam Negeri sebagai calon. Beliau adalah Ketua UMNO Bahagian tetapi tidak dipilih sebagai calon oleh bekas Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Idris Jusoh.

Wan Farid kena letak jawatan sebagai Senator untuk bertanding. Tetapi tidak semestinya ketua bahagian yang jadi calon. Walaupun bahagian Permatang Pauh mahu ketuanya, Datuk Jalil bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 28 Ogos lalu tetapi pucuk pimpinan memilih ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon.

Dalam barisan ahli jawatan kuasa bahagian, selain dari Wan Farid, timbalan ketua bahagian, Sabri Alwi dan naib ketua bahagian, Datuk Wan Hisham boleh juga dipertimbangkan sebagai calon. Kemungkinan Wan Hisham agak tipis kerana dia sudah kalah di DUN Ladang. Atau Ahmad Said ada pilihannya sendiri iaitu Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Zubir Embong sebagai calon. Zubir adalah bekas ahli parlimen Kuala Terengganu dari tahun 1986 hingga 1990.

PAS pula mungkin meletakkan Mohamad Sabu sekali lagi atau Pesuruhjayanya sendiri, Datuk Mustapha Ali untuk berdepan dengan calon BN pada pilihan raya kecil ini. Atau Syed Azman, ADUN Batu Buruk ditonjolkan ke parlimen semula. Pendek kata pilihan raya kecil Kuala Terengganu amat sengit. Siapa yang menang sudah tentu menang dengan majoriti yang kecil. Jika BN mahu menang, BN kena letak calon yang boleh diterima oleh semua penyokong UMNO dan PAS seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Razali sebelum ini.

Oleh itu jika Wan Farid dipilih sebagai calon, risikonya tetap ada. Dapatkah Wan Farid mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu? Jika Zubir dan Datuk Roslan Awang Chik menyokong penuh Wan Farid, tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi Kuala Terengganu.
Dahulu ramai orang marah kenapa Ahmad Said lantik Zubir sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri dan Roslan sebagai Bendahari UMNO negeri, sedangkan niat Ahmad Said ikhlas untuk menyatukan pelbagai puak dalam bahagian Kuala Terengganu. Jika puak-puak ini bersatu, BN tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi parlimen Kuala Terengganu.