Jumaat, Oktober 11, 2013

JAMILAH AKAN FOKUS KEPADA EMPAT KUASA UTAMA

PETALING JAYA: Calon Ketua Puteri Umno Malaysia, Jamilah Hanim Othman berkata beliau akan memberi fokus kepada empat kuasa utama rakyat iaitu politik, ekonomi, sosial dan teknologi yang mempengaruhi kehidupan sehari-hari mereka jika beliau menang pada 12 Oktober ini. Katanya, beliau percaya sekiranya keadaan politik stabil maka ekonomi pun baik sekali gus masalah sosial akan berkurangan. Katanya lagi, aspek sosial juga berhubung kait dengan teknologi kerana keadaan dunia tanpa sempadan kini telah mengakibatkan banyak berlaku masalah sosial. “Jadi, sekiranya diberi mandat, saya akan memberi fokus kepada empat perkara ini selari dengan inisiatif dan aspirasi Umno dan kerajaan, “ katanya dalam wawancara dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini. Beliau yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan menambah bahawa beliau mempunyai bekalan pengalaman yang mencukupi memandangkan penyertaan beliau bersama Puteri sejak awal penubuhan pergerakan ini pada tahun 2001 serta pernah menjawat jawatan Ketua Puteri bahagian selama tiga penggal manakala sebagai Exco satu penggal. “Oleh sebab keterujaan saya yang masih mahu bersama Puteri, saya menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan ini ekoran faktor umur saya yang kini mencecah 38 tahun yang hanya melayakkan saya memegang jawatan Ketua Puteri,” katanya lagi. Beliau yang dianggap sebagai calon “underdog” akan berhadapan dengan ahi parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyanti Samsuddin pada pertandingan 12 Oktober ini. Beliau yakin mereka akan membuat pilihan terbaik sekiranya mereka mengambil pertimbangan terhadap janji-janji beliau demi membawa Puteri dekat di hati pengundi wanita muda khususnya melalui beberapa program yang telah dijenamakan semula seperti program sukarelawan, Vogue (Volunteery Group For Everyone) khusus untuk menarik minat mereka yang tidak begitu gemar berpolitik. Jamilah menggunakan tagline sendiri iaitu KID demi menunjukkan kesungguhan beliau untuk menggalas tanggungjawab berat ini . “Saya berikrar sekiranya diberi mandat, saya akan memberikan fokus dan sepenuh perhatian serta komitmen kepada Puteri memandangkan saya tidak memegang apa-apa jawatan penting selain hanya bekerja sendiri,” tegasnya.