Jumaat, Oktober 11, 2013

KHAIRY SERAH KEPADA PERWAKILAN

PETALING JAYA:Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan sayap itu Sabtu ini. Beliau yang akan mempertahankan jawatannya, berkata anggota Umno perlu memilih berdasarkan kewibawaan dan kepimpinan di samping mereka yang mempunyai pengalaman. “Kita serah kepada kebijaksanaan perwakilan untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Generasi Muda Perak bersama Menteri di Ipoh Ahad lalu. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluangnya untuk mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Umno ini. “Semua orang boleh menjanjikan sesuatu tetapi nak melaksanakan itu amat susah sekali dan kita harus bersandarkan kepada ‘track record’ atau sejarah pencapaian seseorang calon,” katanya. Beliau berkata semua anggota mahu melihat perubahan dalam Umno namun ia perlu dilakukan dengan keyakinan untuk memilih pemimpin yang mampu melaksanakan perubahan itu. Selain Khairy, empat lagi anggota Pemuda iaitu penolong setiausaha Pemuda cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka Syed Rosli Syed Harman, ketua pemuda Umno cawangan Bendang Baru, Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, ketua pemuda Umno cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar dan bekas ketua pemuda Umno Bahagian Merbok Abdul Karim Ali turut menawar diri untuk bertanding jawatan itu. Sementara itu dalam facebooknya, Khairy menulis bahawa beliau sekali lagi menawarkan diri untuk terus menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia, jawatan yang beliau sandang sejak tahun 2009. “Selama empat tahun yang lepas, pelbagai program telah Pemuda Umno-BN laksanakan dengan tema mendekati orang muda melalui politik khidmat bakti. Program-program yang dijalankan oleh Pemuda Umno-BN di bawah kepimpinan saya menyentuh isu-isu yang menjadi kebimbangan anak muda negara terutamanya yang berbangsa Melayu,” jelasnya. Katanya lagi, hasil kajian yang telah beliau buat dalam BN Youth Lab beberapa tahun dahulu, pendekatan Pemuda UMNO-BN telah diubah secara menyeluruh. “Orang muda zaman sekarang tidak lagi tertarik dengan politk yang berteraskan retorik semata-mata, sebaliknya mereka mahu melihat apakah penyelesaian atau solutions yang dapat ditawarkan oleh parti-parti politik,” katanya. Oleh yang demikian, beliau telah membawa Pemuda Umno-BN ke arah solutions-based politics yang mementingkan jalan penyelesaian dan bukan hanya tahu mendesak kerajaan tanpa cadangan atau pelan pelaksanaan sendiri. “Contohnya, kita mendapati orang muda risau dengan masa depan kerjaya mereka dan juga kos sara hidup yang meningkat. Pemuda Umno-BN telah bertindak atas kebimbangan ini dengan penganjuran Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) yang sudah masuk tahun keempat penganjuran dan telah menjelajah ke seluruh negara,” katanya lagi. Beliau menambah BN Youth Job Fair telah menerima hampir sejuta pengunjung sejak ia bermula dan telah membantu 140,000 orang – majoritinya anak muda – mendapat peluang pekerjaan. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Pemuda Umno-BN juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk menangani masalah perumahan untuk orang muda melalui BNY HOPE yang akhirnya menjadi polisi baharu melalui PR1MA, Skim Rumah Pertamaku dan rumah transit untuk orang muda. “Jelajah 1Malaysia atau JOM dibawah Pemuda Umno-BN pula telah berjaya membaik pulih ratusan rumah usang orang muda di seluruh negara,” jelasnya lagi. Menurutnya lagi, Pemuda Umno-BN juga telah memperjuangkan isu gaji minimum bersama kesatuan-kesatuan sekerja sehingga ia menjadi realiti. “Pada akhir tahun ini Akta Kebangkrapan akan dipinda hasil daripada usaha kami untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang dibelenggu status muflis,” katanya. Beliau menambah banyak lagi program-program yang kami telah buat selama empat tahun lalu. “ Pemberian biasiswa untuk anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah untuk ke IPTS juga telah kita berikan melalui BNYES, lesen motosikal diberi dengan harga yang terendah melalui (BL1M) yang masih dalam pelaksanaan, gerakan sukarelawan dibayai melalui Dana Belia 1Malaysia (kini diambil alih 1M4U), profesional muda dilibatkan dalam politik melalui BNYV dan isu keadilan sejagat sering dibangkit terutama isu Palestin,” katanya. Beliau menambah ini tidak termasuk peranan Pemuda Umno-BN sebagai suara orang muda. “Sebagai contoh, baru-baru ini kami membantah cadangan PTPTN untuk menyenaraikan para peminjam yang lewat membayar atau tidak membayar hutang di bawah senarai CCRIS sehinggakan cadangan itu tidak diteruskan,” katanya. Beliau yang juga ahli parlimen Rembau berkata inilah antara pencapaian kami selama empat tahun yang lepas. “Memang betul, corak kepimpinan Pemuda Umno sekarang berbeza dengan zaman dahulu. Namun saya berpendapat gaya lama di mana Pemuda sinonim sebagai kumpulan pendesak semata-mata sudah tidak relevan lagi,” katanya. Katanya, sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau akan terus memimpin Pemuda Umno-BN supaya beliau dapat membawa lebih banyak lagi idea penyelesaian atau solutions untuk orang muda. “Semua orang boleh bercakap, tetapi bukan semua yang boleh melaksanakan,”tegasnya lagi.