Jumaat, Oktober 11, 2013

SYED ROSLI MASIH MENUNGGU EMPAT CALON BERSUMPAH

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda, Syed Rosli Syed Harman Jamalulail,37,yang mencabar empat calon bersumpah laknat bahawa mereka tidak akan terlibat dalam politik wang masih menunggu mereka menyahut cabaran itu. Katanya, cabaran saya sehingga 11 Oktober satu hari sebelum hari pengundian. “Saya hairan kenapa mereka tidak berani bersumpah laknat seperti saya? Adakah mereka terlibat dalam politik wang?” katanya kepada FMT dalam satu wawancara khas di sini malam tadi. Beliau yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Pusat Bandar Taman Cempaka (Bahagian Pandan) bertanding jawatan Ketua Pemuda menentang penyandang Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bendang Baru Langkawi, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi; Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Abd. Karim Ali. Beliau menggemparkan ahli-ahli Umno apabila bersumpah laknat tidak akan terlibat dalam politik wang selepas beliau menyerahkan borang pencalonan pada 21 September lalu di PWTC. Pada masa yang sama beliau mencabar semua calon Ketua Pemuda berbuat demikian juga. Sehubungan dengan itu, Syed Rosli mendesak SPRM memantau semua calon yang bertanding dan para perwakilan supaya politik wang tidak berlaku kali ini. Katanya, walaupun perwakilan pemuda sudah mencapai 70,000 orang tetapi mustahil politik wang dapat dihapuskan. Beliau berikrar akan membersihkan Pemuda Umno dari gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa jika beliau menang nanti. “Imej Umno tercemar kerana salah laku rasuah ini. Ramai profesional Melayu bukan tak sayang kepada Umno dan BN tetapi mereka tak sokong BN kerana mereka nampak parti kita terlalu kotor,” katanya. Beliau mengakui kewibawaan Khairy sebagai Ketua Pemuda tetapi beliau tidak ada jati diri untuk memperjuangkan masalah orang Melayu dan orang Islam. “Pemuda kelihatan lemah dan lesu. Orang macam Khairy tak layak jadi Ketua Pemuda kerana dia sendiri tak faham article 153 perlembagaan negara,” katanya. Katanya, Umno perlu dibersihkan supaya golongan muda menyokong semula BN pada PRU ke 14. Beliau menolak dakwaan bahawa beliau ditaja oleh mana-mana pihak kerana beliau hanya mahu membersihkan pemuda Umno dari politik wang. Beliau hanya berkempen menemui rakan-rakan dan beliau yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta tak mampu menemui semua 70,000 perwakilan. “Saya hanya berkempen melalui facebook dan saya sendiri tak mampu mengikuti road show ke seluruh negara,” katanya yang menganggap beliau sebagai calon marhaen.