Jumaat, Oktober 11, 2013

MAS ERMIEYATI MAHU UBAH PERSEPSI TERHADAP PUTERI

PETALING JAYA: Calon Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsuddin mahu mengubah persepsi banyak pihak terhadap Puteri yang dilabelkan sebagai sosial dan seksi. Katanya, perubahan ini perlu dilakukan segera agar kehadiran Puteri tidak disalahtafsir. “Kita adalah antara sayap yang turut memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Kita perlu barisan yang paling mantap terutama membuat persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini. Beliau yang juga ahli parlimen Masjid Tanah berkata jika beliau menang perkara penting akan beliau titik-beratkan ialah soal agama. “Saya lihat ramai anak-anak muda mempunyai latar belakang agama yang cukup bagus tetapi di mana mereka ini? Malah ada di antara yang bergelar ustazah condong kepada kem pembangkang. Oleh itu, Puteri perlu memperbanyakkan program keagamaan bagi menarik minat mereka ini,” katanya. Berhadapan Beliau akan berhadapan satu lawan satu dengan Ketua Puteri Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Jamilah Hanim Othman pada 12 Oktober ini mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Mas Ermieyati menambah beliau membuat keputusan menawarkan diri setelah menilai dari segi pengalaman selama hampir 12 tahun menjadi ahli Puteri Umno bermula seawal 2001 iaitu sewaktu di zaman penaja lagi hingga dilantik sebagai Ketua Puteri negeri selama tiga penggal. “Saya juga berkhidmat di bawah tiga ketua bermula dari zaman Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Noraini Ahmad dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin,” jelasnya. Katanya, setelah menilai komitmen dan sumbangan beliau kepada Puteri di peringkat bahagian, negeri dan pusat, beliau merasakan wajar menawarkan diri kerana Puteri Umno memerlukan pemimpin berpengalaman untuk meneruskan kesinambungan pemimpin terdahulu. Beliau berkata sepanjang berkempen beliau lebih menonjolkan kelebihan yang ada pada beliau berdasarkan pengalaman selama 12 tahun sewaktu zaman penaja berkhidmat di bawah legasi tiga kepimpinan yang terdahulu. “Saya juga memperlihatkan kepada perwakilan siapa diri saya sebenarnya sebagai seorang yang mudah didekati, mudah diajak berbincang dan ramah,” jelasnya. Mendakwa Beliau mendakwa ramai antara ahli akar umbi hingga kepada Ketua Puteri di peringkat bahagian mengenali beliau. “Setakat ini, alhamdulillah penerimaan ahli akar umbi apabila saya menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri mendapat sokongan padu,” katanya lagi, Mas Ermieyati menegaskan misi beliau menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Puteri pada pemilihan parti kali ini adalah untuk memperkasakan wanita muda iaitu Puteri Umno sebagai ejen survival perjuangan parti. “ Visi saya pula ialah menyediakan dan menggerakkan wanita muda itu supaya lebih setia dan ikhlas dalam perjuangan parti di samping membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya. Selain itu, beliau ingin perjuangkan isu-isu yang dialami wanita muda dan pendekatan yang beliau lakukan ialah menggalakkan lebih ramai wanita muda menyertai Puteri. “Saya akan fokuskan mereka di sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) kerana mereka adalah pengundi muda untuk Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya lagi.