Selasa, April 19, 2016

ZAHARIN TERIMA DIMP PAHANG

Seramai 200 individu menerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Mendahului senarai penerima itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Wira Mohd Johari Baharum yang merupakan antara 12 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SSAP ialah Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Syed Afendy Ali Syed Abid Ali; Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean Leftenan Jeneral (B) Datuk Azzuddin Ahmad dan Pengarah Urusan Seri Omega Private & International School Datuk Dr Ooi Chun Yen.

Penerima lain ialah Pengarah Urusan Kumpulan Perniagaan Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd yang juga Tokoh Maal Hijrah 2015 Datuk Md Sharif Shamsuddin; Pengarah Eksekutif Boustead Holdings Berhad Datuk Ghazali Mohd Ali dan Pengarah EN Tie Enterprise Sdn Bhd Datuk Lim Ik Kim.

Turut menerima ialah Pengarah Wilhin Motor (M) Sdn Bhd Datuk Tan Them Hing; mantan Ketua Pergerakan Pemuda MIC Bahagian Kuantan Datuk A.Selvakumar dan Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Bhd Azlan Meah Ahmed Meah.

Seramai enam individu pula menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Tunku Zainal Abidin Tunku Ngah Muhammad; Ahli Lembaga Maahad Tahfiz Pahang Datuk Mahadiah Mohamad; Datuk Abu Bakar A Rashid; Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Kewangan K.Givananadam; Setiausaha Bahagian Kementerian Kewangan Siti Fatimah Daud dan Teo Chooi Seng.

Seramai 46 individu pula menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang turut membawa gelaran Datuk iaitu Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Yusoff HM Hanif; Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara Amarjeet Singh; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nor Inchun Mohamed Salleh dan Duta Malaysia ke Arab Saudi Zainol Rahim Zainuddin.

Turut menerima anugerah itu ialah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Dr Fathul Bari Mat Jahya; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Mohd Sukari Ab Hamid; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional L.Gandesan dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Adnan Hussain.

Anugerah itu juga diberikan kepada Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun Perbendaharaan Malaysia Noriah Shaharuddin; Pengarah Kanan Seksyen Khidmat Korporat dan ICT Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri Zaiton Awg Mohammed dan Setiausaha Bahagian Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Mazlan Wan Mahmood.

Pengurus Besar Kumpulan Perladangan FELCRA Bhd Abd Muis Damuri; Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad John Chong Eng Chuan; Pakar Perunding Kanan Anestesiologi Pusat Perubatan Prince Court Dr Azmil Farid Zabir dan Pakar Perubatan Am Hospital Miri Dr Fam Tem Lom.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Bedah Urologi Jabatan Urologi Universiti Putra Malaysia Dr Khairul Asri Mohd Ghani; Pengurus Kanan Isuzu Hicom Malaysia Sdn Bhd Rosmah Hashim; Pegawai Daerah Baling Dzhoir Md Zain; Naib Presiden (Usaha Niaga Tenaga) Tenaga Nasional Berhad Nor Azman Mufti@Jaafar dan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Pahang Mohamed Zin Yusop.

Penerima lain ialah Pengarah Medical Inventions and Development (M) Sdn Bhd Sarah David@Sarah Daud; Pengarah Bahagian, Bahagian Harta Tanah Persekutuan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Saad Ismail; Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Norashikin Abd Ghani; Pengurus Projek ZUFE Construction Hasman Jalil dan Setiausaha Penyelaras Barisan Nasional Bandar Tun Razak Abd Zarin Mohd Yasin.

Sultan Ahmad Shah turut berkenan menganugerahkan Darjah Setia Ahmad Shah (SAP) kepada 10 penerima, Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada 33 penerima, Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) kepada 9 penerima dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) kepada 43 penerima.

Di samping itu, seramai 11 orang menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), 15 penerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan 15 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

-- BERNAMA

Isnin, April 18, 2016

SOKONGAN PENGUNDI CINA MASIH JADI TANDA TANYA

KUCHING, 16 April (Bernama) -- Ketika menyusuri Tebingan Kuching yang berlatarbelakangkan Sungai Sarawak dan Bangunan Dewan Undangan Negeri, kelihatan sekumpulan lelaki sedang hangat membincangkan isu Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN) di sebuah gazebo.

Isu politik kini mendominasi perbualan penduduk Bumi Kenyalang, dan ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana sekarang adalah musim pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan 7 Mei sebagai hari pengundian PRN Ke-11 yang meperlihatkan 82 kerusi akan dipertandingkan.

Individu yang paling menjadi sebutan pula ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem atau lebih mesra dengan panggilan Tok Nan dalam kalangan penduduk di negeri itu.

"Akhirnya, kita akan mengundi pada 7 Mei. Inilah masanya kita memilih YB, Yang Bekerja," kata pesara, Then Shiang Qin, 65, kepada rakan-rakannya.

"Betul, saya harap pengundi tidak akan tersalah pilih. Saya sendiri akan pilih Tok Nan sebab dia sudah banyak buat kerja. Sekolah-sekolah Cina juga banyak menerima berjuta-juta peruntukan kerajaan. Selain itu, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri meningkatkan taraf hidup masyarakat Cina," sambut tukang jahit, Jonathan Kiu, 55.

Kata-kata Kiu disambut kerani Kho Ju Boon, 45, yang menegaskan bahawa kesungguhan Adenan menangani pembalakan haram menunjukkan beliau seorang pemimpin yang berani dan sedia membawa pembaharuan.

"Saya suka Adenan kerana beliau mengiktiraf masyarakat Cina. Beliau banyak kali menegaskan bahawa Cina bukan pendatang. Adenan adalah ketua menteri untuk semua (penduduk Sarawak). Masyarakat Cina harus memberi Adenan satu peluang seperti dimintanya, lima tahun sudah cukup," katanya.

Adenan, 72, yang merupakan lulusan undang-undang dari University of Adelaide akan menerajui pilihan raya negeri itu buat pertama kali sejak mengambil alih pimpinan kerajaan negeri daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 2014.

Taib yang memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun kini merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Rata-rata kalangan masyarakat Cina dilihat menyambut baik kata-kata Adenan yang menegaskan bahawa beliau adalah Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum atau latar belakang. Ini terbukti dengan rating sokongan beliau yang semakin meningkat.

Dalam satu kajian yang dilakukan Majlis Profesor Negara pada Oktober 2015 mendapati rating popular Adenan meningkat kepada 85 peratus berbanding 71 peratus pada Januari tahun lepas.

Dalam tempoh dua tahun memegang jawatan itu, Adenan, anak kelahiran Kampung Bandashah, di sini, itu juga telah melakukan pelbagai perubahan termasuk membanteras pembalakan haram, memansuhkan cukai tanah, penghapusan tol, penurunan tarif elektrik, tuntutan hak dan autonomi negeri Sarawak, dan mewujudkan hubungan rapat dengan semua kaum termasuk masyarakat Cina.

Selain itu, beliau juga melaksanakan pelbagai 'langkah mesra masyarakat Cina' di negeri ini termasuk pengiktirafan sijil UEC dan menambah jumlah peruntukan untuk Sekolah Cina iaitu daripada RM3 juta pada tahun 2014 kepada RM4 juta (2015) dan RM5 juta (tahun ini).

Bagi ketua masyarakat Cina di Bahagian Kuching, Temenggong Lu Kim Yong, pengundi Cina harus memberi peluang kepada Adenan untuk terus memimpin Sarawak bagi meneruskan pelbagai pembaharuan dan agenda pembangunan khususnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata persepsi 'tidak rugi apa-apa' dan memberikan undi simpati kepada pembangkang harus dikikis kerana hanya kepimpinan Adenan yang bakal membawa lebih banyak pembaharuan ke negeri Sarawak dan masyarakat Cina secara keseluruhan.

"Kita memerlukan satu pasukan yang baik dan kerajaan negeri yang kuat. Pasukan Adenan akan berjuang untuk semua komuniti di Sarawak. Kita memerlukan mandat yang kukuh daripada rakyat, kerajaan negeri akan mempunyai lebih banyak kuasa tawar-menawar dengan kerajaan persekutuan untuk pemerkasaan yang lebih baik dan peruntukan yang lebih banyak," katanya.

Mengulas mengenai hubungan yang terjalin di antara masyarakat Cina dan kepimpinan Adenan, penganalisis politik Dr Suffian Mansor berpendapat, Barisan Nasional (BN) perlu mencari jalan pintas untuk menarik lebih banyak sokongan pengundi Cina khasnya di kawasan tumpuan supaya kumpulan sasaran ini cenderung kepada parti tersebut.

Pensyarah Kanan Sejarah China Moden dan Sejarah Malaysia (Sarawak) Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata BN mungkin boleh melihat ruang dan peluang yang boleh ditawarkan kepada pengundi Cina dari aspek pendidikan dan bantuan berkaitan kos sara hidup.

"Ini harus dilakukan untuk menarik perhatian dan sokongan pengundi Cina dan pada masa yang sama mengalihkan tumpuan daripada apa yang ditawarkan kem pembangkang khasnya DAP.

"Apa yang saya lihat ketika ini, Adenan berjaya menambat pengundi Cina dari segi bantuan yang disalurkan kepada sekolah Cina dan pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke agensi kerajaan negeri dan Unimas. Apa yang dilakukan Ketua Menteri baharu ini sangat dihargai masyarakat Cina," katanya.

Persoalannya, adakah apa yang dilakukan pentadbiran Adenan akan menarik semula sokongan dan kepercayaan pengundi Cina kembali ke pangkuan BN Sarawak sekaligus menepis tsunami pengundi Cina yang berlaku pada pilihan raya lepas.

Ramai yang tertanya-tanya sama ada sentimen positif ini akan diterjemahkan di atas kertas undi dan adakah faktor Adenan yang diuar-uarkan bakal menawan hati pengundi Cina?

Laungan semboyan dari Adenan dan BN Sarawak telah dibunyikan namun kini terpulang kepada masyarakat Cina untuk membuat pilihan demi masa depan mereka.

-- BERNAMA





Ahad, April 17, 2016

MAHARAJA LAWAK 2015 ZERO MUNCUL DALAM FILEM SULUNG ARAHAN CUCU L. KRISHNAN



MEMPUNYAI karektor tersendiri dan aura untuk menambat hati peminat selain lawak jenaka mereka merupakan kekuatan kumpulan Zero. Meskipun mereka jarang berpeluang muncul di layar perak berbanding dengan pelawak lain, ada sesuatu yang istimewa yang akan disampaikan melalui filem Lu Mafia Gua Gangster yang akan ditayangkan 21 April ini.


Filem yang mengangkat adik-beradik ini ke layar lebar mungkin tidak diketahui ramai sebelum ini. Tetapi yang telah dipersembahkan oleh Atu, Syaiful dan Syarif mampu menggeletek hati penonton yang hadir menyaksikan mereka di pawagam.

Bagi pengarah filemnya, Roy, dia menganggap penglibatan mereka melebihi jangkauan asalnya sebagai seorang sutradara. Mereka bukan sahaja bakal membuatkan penonton yang hadir ketawa dengan keletah dan lawak jenaka tetapi turut menyelitkan unsur-unsur positif kepada khalayak.

“Sebenarnya sejak awal lagi saya yakin yang mereka mampu memberikan sesuatu apabila melihat komitmen dan kerja keras yang diberikan. Apatah lagi ketiga-tiga mereka mempunyai keserasian yang tinggi membuatkan kerja-kerja pengarahan saya menjadi mudah.

“Masing-masing tahu yang perlu dilakukan dan tak memberikan banyak masalah ketika penggambaran. Itu yang membuatkan saya tambah bersemangat dan yakin filem Lu Mafia Gua Gangster akan menawan hati peminat,” kata Roy.

Bukan berkisahkan kepada sisi gelap atau dunia gangster yang ditakuti ramai sebaliknya merupakan filem aksi komedi yang pasti menggeletek hati penonton. Roy mengakui yang kumpulan Zero sendiri mampu melakonkan babak jenaka yang tidak dapat dijangkakan.

Berbanding dengan pelawak yang sudah mempunyai nama dan gaya tersendiri, lawak Zero masih belum dapat dibaca oleh peminat dan itu menjadi kelebihan kepada Roy untuk membentuk aliran cerita seperti yang dikehendaki.

Selain kumpulan Zero, filem ini turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Zack Taipan, A Galak, Shira Saad, Zulkifli Ismail, Along Ezyndy, Azlee Senario dan penampilan istimewa Syanie serta Saiful Apek.

Menjalani penggambaran sekitar Johor Bahru, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, Lu Mafia Gua Gangster juga dibawa ke India untuk proses pasca produksi bagi memberikan lebih kualiti.

Pengalaman

Berkongsi cerita, Roy tidak menafikan yang dia banyak menimba pengalaman sebelum ini dan diterjemah menerusi filem ini. Selain pernah mengarahkan 16 buah filem berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil, dia juga menimba pengalaman di India selama enam tahun.

Cucu kepada pengarah L Krisnan yang popular dengan filem-filem P Ramlee ini juga mengakui yang dia menyambung pengajian dalam bidang perfileman selama tiga tahun dan pernah menjadi kru untuk memantapkan lagi bakat pengarahan.

“Saya tahu tak mudah untuk membawa sebuah naskhah berbahasa Melayu dengan mudah. Tapi pengalaman yang ada sebelum ini menjadi pemangkin dan menambahkan keyakinan saya untuk mencorakkan naskhah ini.

“Untungnya semua pelakon yang dipilih juga memberikan kerjasama baik dan tak mendatangkan banyak masalah. Sebab itu saya yakin filem ini bakal mencapai sasaran seperti yang diharapkan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pembabitan Jalaluddin Hassan, Roy mengakui yang mereka sudah mempunyai hubungan yang baik sejak belasan tahun yang lalu.

Antara dia dan pelakon hebat tersebut sudah ada keserasian dan tidak menjadi masalah besar untuknya memberikan arahan sepanjang penggambaran berlangsung.

Berlainan dengan watak-watak orang penting, ahli perniagaan atau tokoh korporat yang selalu dibawa oleh pelakon tersebut, menerusi filem ini Jalaluddin tampil berbeza apabila membawakan watak ketua gangster dengan aksi bersahaja.

“Ini kelainan yang cuba kita tampilkan apabila menggandingkan dia dan Zack Taipan. Masing-masing sudah ada keserasian dan menjadi tulang belakang kepada cerita ini secara keseluruhannya.

“Cuma kita menambah Zero untuk menguatkan lagi cerita dan pastinya dapat disampaikan dalam naskhah komedi yang lebih mudah difahami dan dekat di hati penonton,” tambahnya.

Lu Mafia Gua Gangster mengisahkan tentang Atu dan Syaiful yang bekerja di tapak pelupusan
sampah di Johor. Sementara itu Sharif pula adalah penjaga mereka dan masing-masing mempunyai impian tersendiri.

Sementara Jalaluddin dan Zack Taipan adalah gangster besar di kawasan tersebut yang kehilangan sejumlah berlian akibat satu insiden.

Kotak yang menyimpan berlian tersebut akhirnya dibuang dan dihantar ke tempat mereka bekerja.

Konflik bermula apabila Atu terjumpa berlian tersebut dan pihak satu lagi sedang mengesan siapakah yang menjumpainya.

Pelbagai adegan menarik, lucu dan bersahaja dapat disaksikan menerusi filem ini.

Sabtu, April 16, 2016

BEKAS SUAMI SAHARA YAACOB BELI PASUKAN KELAB BOLASEPAL ITALI



Siapa Datuk Dr. Noordin Ahmad yang dikatakan bakal menjadi pemilik baharu FC Bari 1908 masih menjadi misteri sehingga kini kerana tiada maklumat mengenai beliau dan apakah aktiviti perniagaannya sehingga berupaya membeli 50 peratus pegangan saham kelab Itali itu.


Tinjauan dalam kalangan tokoh korporat tempatan juga gagal menemukan jawapan apabila mereka mengakui tidak mengenali beliau.

Kedutaan Malaysia di Rom, Itali yang dihubungi hari ini juga memberitahu mereka tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pembelian kelab bola sepak Serie B itu dan siapa Dr. Noordin.

Seorang jurucakap kedutaan yang hanya dikenali sebagai Norli, memberitahu pihak kedutaan juga baru mendapat tahu mengenai berita pembelian itu tetapi sedang mengumpul lebih banyak maklumat tambahan.

“Setahu kami, beliau tidak pula pernah berhubung secara rasmi dengan Kedutaan Malaysia di sini mengenai ketibaan di kelab itu (457 kilometer dari Rom),” katanya

Difahamkan Duta Malaysia ke Itali, Datuk Abdul Samad Othman juga sedang bercuti hingga minggu ini.

Akhbar Itali dalam laporan mereka semalam mendakwa Noordin, 56, adalah seorang ahli perniagaan berkaitan minyak, berlian dan fesyen, telah membeli 50 peratus kepentingan kelab itu yang bernilai 12 juta euro (RM53.159 juta) daripada Presidennya, Gianluca Paparesta, kini pemegang 45 peratus manakala baki lima peratus milik Cosmo Giancaspro.

Bagaimanapun, satu sidang akhbar khas dalam minggu ini yang dijangka dihadirinya, bakal mendedahkan butiran lanjut pembelian kelab berpangkalan di selatan Itali yang kini menduduki tempat ketiga Serie B dengan 57 mata selepas 35 perlawanan itu, dan akan merungkai misteri siapakah Dr. Noordin.

Beliau dijangka ke bersama seorang peguam di Itali, Grazia Innarelli yang juga rakan karibnya dan akhbar Itali melaporkan mereka pernah dilihat melawat sebuah lagi kelab tempatan, SS Lazio pada Januari lalu.

Namun berita pembelian oleh Noordin sudah pun tersebar menerusi laman sosial yang menyiarkan gambar Jalur Gemilang terpampang di tempat duduk penonton gelanggang Bari, Stadio San Nicola ketika menentang Cesena, 4 April lalu.

Bergelar iGalletti (Ayam Jantan) atau iBiancorossi (Putih Merah) sejajar warna jersi kelab, Bari pernah menampilkan pemain handalan seperti Nicola Ventola, Gianluca Zambrotta, Antonio Cassano, Diego De Ascentis, Leonardo Bonucci dan Andrea Ranocchia.

Pencapaian terbaik mereka ialah menduduki tempat ketujuh liga utama Itali, Serie A pada 1947.

Pembelian itu, jika dimetrai, dilaksanakan tepat pada masanya kerana Bari kini berada di tempat ketiga Serie B dan dalam laluan tepat untuk kembali ke Serie A selepas kali terakhir mereka bersaing dalam divisyen satu bola sepak Itali itu pada

Pasukan yang berpangkalan di Apulia itu merupakan yang paling diingati di era 1990-an ketika mereka menjulang Piala Mitropa selepas menundukkan Genoa 1-0 dan dua tahun selepas itu kejohanan yang turut dikenali sebagai La Coupe de l’Europe Centrale dimasuhkan selepas 95 tahun dianjurkan bermula pada 1897.

Sebelum ini Bari memegang rekod perpindahan termahal untuk pemain British apabila mendapatkan David Platt dengan harga 5.5 juta pound (RM303.2 juta) pada 1997.

Pada tahun sebelumnya, pe­nyerang mereka Igor Protti menjadi penjaring terbanyak Serie A dengan 24 gol.

Kelab itu juga memiliki sejarah yang hebat apabila pernah menghasilkan pemain muda berbakat seperti Antonio Cassano, Nicola Ventola, Gianluca Zambrotta dan Diego De Ascentis selain Leonardo Bonucci serta Andrea Ranocchia merupakan antara pemain ternama yang pernah beraksi bersama mereka pada 2009.

Datuk Dr Nordin Ahmad bukanlah orang baru dalam bidang perniagaan. Pada tahun 80an dahulu beliau telah menyertai Darul Arqam dan telah berkahwin dengan penyanyi terkenal Sahara Yaacob. Tetapi perkahwinan beliau tidak kekal lama. Beliau kemudiannya meninggalkan Darul Arqam dan terlibat dalam perniagaan dengan MINDEF.






Jumaat, April 15, 2016

PELAJAR RANACO PELUK ISLAM SETELAH DENGAR CERAMAH DR ZAKIR

KEMAMAN -- Seorang gadis Filipina berumur 19 tahun pelajar Ranaco telah memeluk Islam di hadapan penceramah bebas, Dr Zakir Naik di sini malam tadi selepas mendengar ceramah Dr Zakir.

Tindakan gadis itu mengejutkan 40,000 orang yang menghadiri padang astaka di sini malam tadi.



Hampir 40,000 orang yang hadir untuk mengikuti ceramah terakhir pendakwah terkenal Dr Zakir Naik di Terengganu, malam ini tidak berganjak walaupun hujan renyai-renyai.

Program yang diadakan di Padang Astaka di sini, itu merupakan ceramah keempat Dr Zakir Naik, sejak tiba di Terengganu pada 9 April lepas.

Kebanyakan mereka yang hadir bermula 7.30 malam itu, tidak berganjak dan setia menunggu beliau memulakan topik syarahan bertajuk 'Muslim Choice - Dakwah or Destruction' (Pilihan Orang Islam, Dakwah Atau Kemusnahan).

Beliau memulakan syarahan pada 8.45 malam, dan hujan akhirnya berhenti 15 minit kemudian.

Selain masyarakat berbilang bangsa dan agama, turut hadir mendengar ceramah Dr Zakir Naik ialah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Tinjauan Bernama mendapati ada kalangan yang hadir ialah dari Pahang serta Kelantan.


PENAMAAN CALON 10 HARI LAGI, BN DAH UMUM 79 CALON

KUCHING, 14 April (Bernama) -- Dengan pengumuman lima lagi calon BN untuk pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11) Sarawak oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem petang ini, Barisan Nasional Sarawak kini hanya perlu menamakan tiga sahaja lagi calonnya bagi melengkapkan senarai 82 calon untuk PRN kali ini.

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri yang masih belum diumumkan calonnya ialah bagi kerusi Tasik Biru, Marudi dan Meradong.

Kerusi DUN Tasik Biru dan Marudi pernah ditandingi SPDP dan Meradong ditandingi SUPP pada pilihan raya negeri 2011.

Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak, telah mewujudkan duluan dengan menamakan calon-calon parti itu sebelum hari penamaan calon secara berperingkat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat di sini pagi ini menetapkan 25 April sebagai hari penamaan calon dan 7 Mei sebagai hari mengundi bagi PRN ini yang akan menyaksikan pertandingan untuk 82 kerusi, lebih 11 daripada tahun 2011 berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Berikut adalah senarai 79 calon yang diumumkan setakat ini:

1. Ranum ak Mina ( UPP-Calon langsung) - Opar

2. Tan Sri Adenan Satem (PBB) - Tanjung Datu


3. Dr Abdul Rahman Junaidi (PBB) - Pantai Damai

4. Dr Hazland Abg Hipni (PBB) - Demak Laut

5. Fazzaruddin Abdul Rahman (PBB) - Tupong

6. Sharifah Hasidah Sayeed Aman (PBB) - Semariang

7. Datuk Amar Abg Johari Tun Openg (PBB) - Satok

8. Peter Pau (SUPP) - Padungan

9. Milton Foo Tiang Wee (SUPP) - Pending

10. Sih Hua Tong (SUPP) - Batu Lintang

11. Wilfred Yap (SUPP) - Kota Sentosa

12. Lo Khere Chiang (SUPP) - Batu Kitang (kerusi baharu)

13. Datuk Sr Sim Kui Han (SUPP) - Batu Kawah

14. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (PBB) - Asajaya

15. Datuk Idris Buang (PBB) - Muara Tuang

16. Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud (PBB) - Stakan (kerusi baharu)

17. Miro ak Simoh (PBB-calon langsung) - Serembu (kerusi baharu)

18. Datuk Dr Jerip ak Susil (UPP-calon langsung) - Mambong

19. Datuk Ronald Sagah Wee (PBB) - Tarat

20. Datuk Seri Michael Manyin (PBB) - Tebedu

21. Maclain Ben @ Martin Ben (PBB) - Kedup

22. John ak Ilus (PBB-calon langsung) - Bukit Semuja (kerusi baharu)

23. Aidel Lariwoo (PBB) - Sadong Jaya

24. Awla Dris (PBB) - Simunjan

25. Datuk Narodin Majais (PBB) - Gedong (kerusi baharu)

26. Julaihi Narawi (PBB) - Sebuyau

27. Simoi Peri (PBB) - Lingga

28. Razali Gapor (PBB) - Beting Maro

29. Snowdan Lawan (PRS) - Balai Ringin

30. Datuk Mong Dagang (PRS) - Bukit Begunan

31. Datuk Francis Harden Hollis (SUPP) - Simanggang

32. Dr Johnical Rayong (SUPP) - Engkilili

33. Malcom Mussen Lamoh (PRS) - Batang Ai

34. Ricky @ Mohd Razi Sitam (PBB) - Saribas

35. Gerald Rentap Alfred Jabu (PBB) - Layar

36. Datuk Amar Douglas Uggah Embas (PBB) - Bukit Saban

37. Abdul Wahab Aziz (PBB) - Kalaka

38. Mohd Chee Kadir (PBB) - Kabong (kerusi baharu)

39. Kilat ak Briak (SPDP) - Krian

40. Datuk Len Talif Salleh (PBB) - Kuala Rajang

41. Abdullah Saidol (PBB) - Semop

42. Shafiee Ahmad (PBB) - Daro

43. Datuk Dr Juanda Jaya (PBB) - Jemoreng

44. Datuk Seri Huang Tiong Sii (SUPP) - Repok

45. Alexander Vincent (PRS) - Ngemah

46. Allan Siden Gramong (PBB) - Machan

47. Tan Sri William Mawan ak Ikom (Teras-calon langsung) - Pakan

48. Rolland Duat (SPDP) - Meluan

49. Chieng Buong Toon (SUPP) - Bukit Assek

50. Datuk Tiong Thai King (UPP-calon langsung) - Dudong

51. Datuk Wong Soon Koh (UPP-calon langsung) - Bawang Assan

52. Annuar Rapa'ee (PBB) - Nangka

53. Datuk Fatimah Abdullah (PBB) - Dalat

54. Datuk Janet Lau (Teras-calon langsung) -Pelawan

55. Yussibnosh Balo (PBB) - Telian (kerusi baharu)

56. Abdul Yakub Arbi (PBB) - Balingian

57. Christopher Gira (PRS) - Tamin

58. John Sikie Tayai (PRS) - Kakus

59. Wilson Nyabong Ijang (PRS) - Pelagus

60. Ambrose Blikau (PBB) - Katibas

61. Jefferson Jamit ak Unyat (PBB) - Bukit Goram (kerusi baharu)

62. Tan Sri James Jemut Masing (PRS) - Baleh

63. Liwan Lagang (PRS) - Belaga

64. Chuk Pai (PRS) - Murum (kerusi baharu)

65. Datuk Talip Zulpilip (PBB) - Jepak

66. Datuk Pau Chiong Ung (SPDP-calon langsung) - Tanjung Batu

67. Datuk Dr Stephen Rundi Utom (PBB) - Kemena

68. Majang Renggie (PRS) - Samalaju (kerusi baharu)

69. Rosey Yunus (Teras-calon langsung) - Bekenu

70. Ripin Lamat (PBB) - Lambir

71. Datuk Sebastian Ting (SUPP) - Piasau

72. Hii King Chiong (UPP- calon langsung) - Pujut

73. Datuk Lee Kim Shin (SUPP) - Senadin

74. Dennis Ngau (PBB) - Telang Usan

75. Gerawat Jala (PBB-calon langsung) - Mulu (kerusi baharu)

76. Datuk Abdul Rahman Ismail (PBB) - Bukit Kota

77. Palu@Paulus ak Gumbang (Teras/calon langsung) - Batu Danau

78. Eillie Liau (SPDP) - Ba'Kelalan

79. Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (PBB) - Bukit Sari

Gerald Rentap, 42, dan Allan Siden, 30, akan bertanding di kawasan yang disandang bapa masing-masing, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu dan Datuk Gramong Juna, selama sembilan penggal.

Sementara itu berdasarkan senarai yang diumumkan, 11 kerusi DUN baharu yang ditambah pada PRN ini menyaksikan lima daripadanya ditandingi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tiga calon langsung BN, dua PRS dan satu SUPP.

DUN Stakan, Gedong, Kabong, Telian, dan Bukit Goram ditandingi PBB, manakala tiga calon langsung BN bertanding di kerusi DUN Serembu, Bukit Semuja dan Mulu; PRS di Murum dan Samalaju; SUPP bagi kerusi DUN Batu Kitang.

-- BERNAMA

Khamis, April 14, 2016

DAP AMBIL TINDAKAN KEPADA DR TAN SENG GIAW?



Sehingga petang semalam, nasib yang ‘bakal’ diterima Naib Pre­siden DAP, Dr. Tan Seng Giaw yang mengeluarkan komen berten­tangan dengan Setiausaha Publisiti Kebangsaan parti itu, Tony Pua dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih tidak ketahuan.


Dihadapkan ke lembaga disiplin parti itukah? Atau kemungkinan tidak lagi dicalonkan DAP dalam pilihan raya umum ke-14 kah?

Pua masih seperti burung tu­kang yang sentiasa buat bising tan­pa asas terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu dengan ulasannya kekal negatif terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Kita mahu bertanya Pua, bukankah anda turut bersama lima anggota PAC dari pembangkang menyertai sembilan lagi ahli menandatangani laporan penuh PAC yang muktamad mengesahkan:

1. Tiada wang RM42 bilion hilang sebagaimana didakwa pelbagai pihak.

2.Tiada penyaluran wang 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri.

3.Tiada bukti elemen jenayah.

4.Terdapat kelemahan urustadbir syarikat.

Jadi, mengapa terus mengambil tindakan yang kelihatan menampakkan kebodohan sendiri?

Benar kata Seng Giaw kepada New Straits Times bahawa apa jua tuduhan diutarakan Pua terhadap 1MDB perlu disokong bukti dan bukan sekadar cakap sahaja.

“Kalau anda tiada bukti untuk menyokong apa yang anda katakan, tak usah bercakap. Jika ada tuduhan, orang yang menuduh itu perlu kemukakan bukti,” kata Seng Giaw.

Pendirian Seng Giaw yang juga Timbalan Pengerusi PAC itu nampaknya jujur:

“Kami (PAC) melihat beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) bukan terlibat secara langsung dengan 1MDB. Namanya malah hanya timbul setelah beliau dinamakan sebagai ahli lembaga penasihat.”

Mengenali Seng Giaw, semua maklum kematangan beliau berpolitik. Politik bertanggungjawab inilah perlu dipelajari Pua.

Seng Giaw berusia 74 tahun dan menyandang Ahli Parlimen Kepong sejak 1982 lagi dihormati rakan-rakan saingan politiknya. Ini kerana kebolehannya jarang ditemukan dalam kalangan ahli politik pembangkang di Malaysia.

Anak Kelahiran Kota Bharu ini yang mahir menulis dan membaca jawi serta fasih berbahasa Malaysia menjadi contoh kepada pemimpin politik pembangkang yang sering menjadikan perkara yang tiada isu sebagai ‘isu’.

Doktor pakar kulit yang pernah berkhidmat sebagai doktor pakar dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini sukar dilihat menabur fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan. Dalam sidang Dewan Rakyat pun, amat jarang melihatnya ‘meng­ganggu’ sesi perbahasan ha­nya kerana mahu memanipulasi isu dan mengecap populariti.(dipetik dari Utusan Malaysia)

Rabu, April 13, 2016

CERAMAH DR ZAKIR: ZAHID BATALKAN ARAHAN KETUA POLIS NEGARA



Kerajaan membenarkan pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik mengadakan syarahan umum di Melaka namun perlu menukar tajuk syarahannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron supaya majlis dijadualkan pada 17 April di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) itu diteruskan dengan tajuk yang berbeza.

Beliau berkata tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam yang mengarahkan majlis itu dibatalkan, diputuskan selepas polis menerima aduan daripada pelbagai pihak.

"Aduan yang dibuat bukan sahaja oleh pemuka-pemuka agama Hindu tetapi juga pemimpin-pemimpin agama Islam," katanya pada sidang media selepas menghadiri Makmal Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.


Khalid semalam dilaporkan mengarahkan pembatalan forum bertajuk 'Similarities Between Hinduism and Islam' di Melaka itu agar tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama di negara ini.

Ahmad Zahid berkata atas kompromi daripada pihak penganjur, kerajaan mengambil keputusan sebaliknya hari ini kerana berpandangan majlis agama harus digalakkan dan diraikan.

Ditanya apakah penganjur perlu memaklumkan program seumpama itu kepada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama sebelum menganjurkannya, beliau berkata secara asasnya ia perlu dimaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya ia penting sekiranya program itu membabitkan pendakwah daripada luar negara kerana sebarang tindakan KDN berkenaan program tersebut dibuat berdasarkan nasihat daripada Jakim.

"Itu pegangan kita ... dan itu juga menjadi panduan kepada KDN, di mana agensi pelaksananya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya, dan menambah pihaknya tidak dimaklumkan mengenai tajuk itu sebelum ia menjadi kontroversi.

Bagi mengelak insiden serupa berulang, beliau menyarankan penganjur program ceramah umum, khususnya yang melibatkan penceramah luar negara supaya memaklumkan berkenaan tajuk dan topik perbincangan kepada Jakim terlebih dahulu.

Berhubung tanggapan sesetengah pihak bahawa Dr Zakir itu sendiri punca kontroversi, Ahmad Zahid berkata semua pihak perlu berfikiran terbuka dan meraikannya atas nama majlis ilmu.

"Ini soal majlis ilmu, dan majlis seperti ini mesti diraikan asalkan ia bukannya Islam liberal atau Islam plural," katanya.

Sementara itu di MELAKA, Idris berkata kerajaan negeri tiada halangan bagi penganjuran syarahan Dr Zakir di UTeM.

"Saya sendiri mengenali Dr Zakir Naik sebagai penceramah yang cukup luas pengetahuan dan kepakaran dalam bidang agama, malah selain memberi pengetahuan beliau penggiat kebajikan dikenali dunia," katanya kepada pemberita.

Idris berkata beliau juga ditemui sekumpulan penganut agama bagi memohon beliau membatalkan program tersebut, namun menegaskan kepada kumpulan itu tiada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya pegangan agama masing-masing kukuh.

-- BERNAMA

Selasa, April 12, 2016

GST DAN 1MDB TIDAK PENGARUHI PRN SARAWAK

Isu nasional seperti isu 1MDB dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) untuk kekal sebagai kerajaan, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing.

"Sudah pasti isu itu akan digunakan untuk mempengaruhi pengundi ketika pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11) Sarawak nanti, kata Masing.

Katanya jika isu-isu itu cuba dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai modal politik, rakyat Sarawak sebenarnya tahu apa yang telah dilakukan Perdana Menteri kepada negeri ini sejak beliau menjawat jawatan pemimpin nombor satu negara.

"Isu 1MDB dan GST pasti akan dibawa pada pilihan raya nanti...tetapi kita merasakan tidak banyak impak yang akan berlaku. Sebagai contoh saya merasakan dalam isu GST apa yang kita perlukan ialah memberi penerangan yang jelas.

"Berkenaan Perdana Menteri pula, banyak sudah beliau lakukan kepada negeri ini. Sebagai contoh, beliau luluskan projek pembinaan jalan yang menghubungkan Sibu-Kanowit-Song-Kapit...Kapit sebelum ini ibarat 'pulau dalam Pulau Borneo' namun dalam tempoh tiga tahun ia bakal mempunyai akses jalan raya," katanya.

Masing berkata Perdana Menteri memahami keperluan rakyat negeri ini dan rakyat Sarawak memahami 'beliau seorang yang baik yang menjaga kita dan kita tidak akan lupakannya'.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Tanah negeri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena pelancaran jentera pilihan raya BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus di sini hari ini.

Turut hadir calon DUN Kakus daripada PRS Datuk John Sikie Tayai.

Sementara itu, Masing yang juga calon DUN Baleh berkata PRS sudah membuat persediaan sebaik mungkin dalam menghadapi pilihan raya negeri.

Beliau berkata PRS mempunyai kelebihan apabila beliau sebagai Presiden PRS, bersama Pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem; mencapai kata sepakat dalam menentukan siapa calon yang akan bertanding di 11 kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu, dan ia dipersetujui anggota parti.

"Perancangan adalah penting, kita mesti bertindak bersama sebagai satu pasukan dan kita tidak mempunyai orang lain untuk menyokong kita selain Adenan, ketua menteri kita. Apa yang sedang dilakukan beliau (Adenan) ketika ini adalah tepat dan dasar beliau memberi manfaat kepada kawasan luar bandar, itu juga kelebihan kita," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis, 14 April, bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri ke-11 berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 akan menawarkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk ditandingi, tambahan 11 kerusi berbanding pilihan raya sebelum ini pada 2011, selaras dengan langkah persempadanan semula oleh SPR tahun lepas.

-- BERNAMA

Isnin, April 11, 2016

MR OS DALAM KENANGAN



Mr. Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof bin Abdul Hamid ialah seorang pelakon, penyanyi, pelawak dan pengacara di Malaysia. Beliau dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak.




Mohd Yusuf memulakan kerjaya sebagai pelakon filem pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung. Pada tahun kemudiannya, iaitu tahun 1987, beliau diberikan kepercayaan untuk memegang watak utama dalam filem Mr Os. Ketika zaman kemuncaknya, beliau sering digandingkan dengan pelawak Sheila Rusly, Salih Yaakob dan Aziz Sattar. Dalam tahun 1988, beliau bersama-samaHussein Abu Hassan, Puteri Salbiah dan Latif Ibrahim telah membintangi sebuah filem seram Indonesia bertajuk Bisikan Arwah. Didalam filem ini Mohd Yusuf memegang watak sebagai Parta; seorang pemuda kampung yang telah dibunuh beramai-ramai dan kemudianya kembali menjelma untuk membalas dendam. Adalah difahamkan bahawa Bisikan Arwah adalah lakonan pertama dan terakhir beliau dalam filem seram. Pada tahun 1990, beliau dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM) di Festival Filem Malaysia ke-9 menerusi lakonan berkesannya sebagai pemuda autisme dalam filem Adik. Beliau juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik sebanyak dua kali di FFM iaitu menerusi filem Mr.Os (1987) dan Ghazal Untuk Rabiah (1997).





Selepas filem terakhirnya pada 1997, Mohd Yusuf menyepi dari bidang perfileman dan bekerja sebagai seorang pengusaha perkhidmatan teksi.Pada tahun 2009, beliau kembali ke persada seni Malaysia sebagai pengacara untuk rancangan televisyen TV9, Apa Ke Halnya?.


Beliau kini menguruskan perniagaan chalet yang dinamakan Chalet D’ Kampung Mr Os terletak di Kampung Kota Lama Kanan, empat kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar. Chalet tersebut menawarkan pelbagai chalet pilihan dalam suasana kampung.






Anugerah
Festival Filem Malaysia ke-7 (1987)—Pelakon Komedi Terbaik
Festival Filem Malaysia ke-13 (1997)—Pelakon Komedi Terbaik
Johan Maharaja Lawak Mega


Os dan Abon membentuk kumpulan Osbon menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega pada 30 Disember 2011 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor. Pada peringkat akhir peserta dikehendaki membuat dua persembahan bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal.


Osbon memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM350,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.
Kedua ialah kumpulan "Boboi" (gandingan Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik) menerima hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi
Ketiga ialah kumpulan "Saehu" daripada Indonesia membawa hadiah wang tunai RM150,000 dan sebuah trofi.
Keempat ialah kumpulan Syok yang dianggotai oleh Ifa Raziah, Suhaimi Yusof dan Mohd Arif Shamsudin. Mereka mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.



Pelawak terkenal era 80an dan 90an, Mr Os disahkan meninggal dunia pada hari Jumaat 8 April 2016. Mr Os, 55 tahun, atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid, menghembuskan nafasnya yang terakhir sekitar jam 3 petang, menurut anaknya Husna Yusof ketika dihubungi Astro AWANI.


Menurut perkongsian di Facebook anaknya, jenazah Mr Os akan dibawa pulang ke Surau Al-Muhajirin, Kampung Sri Gombak Indah dekat sini.


Selain terkenal dengan filem seperti "Adik" dan"Awang Spanar", Mr Os juga merupakan juara Maharaja Lawak Mega musim pertama menerusi penyertaannya bersama Abon sebagai gandingan Osbon.


Mr Os dimasukkan ke Hospital Selayang pada Isnin setelah mengadu sakit akibat kanser yang dihidapinya.


Allahyarham dijadual menghadiri satu majlis bersama Ustaz Azhar Idrus malam ini di Teluk Pasu, Kuala Terengganu.

Sabtu, April 09, 2016

PAC TIDAK MENEMUI SEBARANG BUKTI SALAH GUNA KUASA PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Berikut ialah transkrip penuh temu ramah Bernama dengan Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin:

1.Bolehkah Datuk kongsikan apa yang berlaku semasa prosiding mengenai 1MDB dijalankan?

Prosiding bagi 1MDB adalah berbeza daripada proses lazim PAC. Mengikut prosedur, Jabatan Audit Negara akan membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat, PAC kemudian akan menerima pembentangan Ketua Audit Negara berhubung laporan berkenaan dan selepas itu, Jawatankuasa ini akan meneliti isu--isu yang mempunyai elemen 3P iaitu Pembaziran, Penyalahgunaan Kuasa dan Pemborosan yang berlaku dalam kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun dalam prosiding dan siasatan terhadap 1MDB, PAC mengambil langkah awal dan inilah kelebihan jawatankuasa ini, di mana PAC tidak tertakluk pada mana-mana arahan termasuk daripada kerajaan untuk menjalankan siasatan, dalam kata lain kami bebas untuk menjalankan siasatan dan walaupun 1MDB tidak dilaporkan dalam LKAN, PAC mengambil inisiatif untuk melaksanakan siasatan demi kepentingan rakyat negara dan secara keseluruhannya.

Walaupun, Kabinet meminta JAN melaksanakan pengauditan terhadap 1MDB secara keseluruhannya bukan sekadar membabitkan kewangannya tetapi juga operasi, tataurus serta tadbir urus syarikat ini dan membentangkan kepada PAC tetapi jawatankuasa ini tidak menunggu laporan JAN sebaliknya melaksanakan prosiding bermula 19 Mei dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab secara langsung terhadap 1MDB termasuk Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham syarikat ini.

Dalam kes ini, Kabinet meminta Jabatan Audit Negara untuk menjalankan penelitian penyata kewangan 1MDB dan membentangkannya kepada PAC. Jawatankuasa ini kemudian memulakan prosiding pada 19 Mei 2015 di mana kami memanggil saksi dan meminta dokumen tambahan bagi menyiapkan laporan sendiri untuk dikemukakan kepada Parlimen.

Lebih penting, setiap kenyataan saksi yang dipanggil PAC juga membantu JAN menyiapkan laporannya sebelum Laporan Penuh Pengauditan 1MDB oleh JAN dibentangkan kepada
jawatankuasa pada 4 Mac. Jadi terdapat 'check and balance' terhadap laporan berkenaan.

Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April lalu, disediakan Sekretariat PAC dengan berasaskan fakta serta maklumat daripada Laporan Penuh Pengauditan 1MDB oleh JAN dan kenyataan saksi yang diperoleh ketika prosiding 1MDB.

2. Bolehkah Datuk senaraikan siapa yang didapati bertanggungjawab atau kebersalahan atau siapa yang dikenal pasti sebagai individu yang perlu disiasat lebih lanjut dan di peringkat mana anda kenal pasti mereka sebagai untuk dirujuk?

Jawatankuasa ini tidak berfungsi untuk mengenal pasti siapa yang bersalah tetapi untuk membentangkan apa yang kami temui.

Berikut adalah kesimpulan yang boleh diwajarkan daripada laporan itu:

I.Tiada bukti untuk mencadangkan berlaku salah laku jenayah berkaitan penyalahgunaan dana atau berlaku transaksi pelaburan mahupun pelaburan atau mana-mana aktiviti 1MDB yang menjurus kepada aktiviti menyalahi undang-undang. Secara khususnya, PAC tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa oleh perdana menteri, berkaitan 1MDB.

II.PAC juga menemui bahawa RM42 bilion hutang 1MDB tidak 'hilang' sebagaimana tuduhan pelbagai pihak, kerana ia sudah dihitung dan tiada pembayaran dilakukan daripada 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri.

III.PAC bagaimanapun mengenal pasti beberapa contoh di mana pengurusan 1MDB tidak mematuhi proses tatakelola yang tepat. Ini termasuk tidak melaksanakan arahan spesifik Lembaga Pengarah, membuat keputusan sebelum menerima kelulusan sepenuhnya daripada lembaga pengarah dan gagal untuk telus dengan lembaga pengarah. Untuk itu, saranan secara spesifik turut dinyatakan dalam laporan di mana kami yakin pihak berkuasa terbabit akan menilai dan mengambil tindakan, jika perlu.

3. Adakah terdapat satu mekanisme untuk mana--mana individu merayu terhadap pencarian fakta yang dihasilkan PAC, seperti melalui mahkamah atau semakan kehakiman?

Memandangkan PAC tidak mengeluarkan hukuman, tiada yang perlu dirayu. Bidang kuasa PAC ialah untuk mengesahkan pematuhan fidusiari dan mengutarakan perlanggaran yang memerlukan penilaian lanjut atau siasatan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan.

4. Sekarang kita telah menemui elemen salah laku dalam GLC ini, adakah terdapat asas untuk melakukan penilaian lanjut terhadap GLC lain? Untuk memberi penjelasan lebih tepat, hasil penemuan PAC tidak menjurus kepada salah laku, iaitu satu terma pejoratif atau mengelirukan. Hasil penemuan PAC bagaimanapun menjurus kepada kegagalan kronik terhadap proses yang sudah digariskan, peraturan dan prosedur, di mana pengurusannya, dan bukannya kerajaan, perlu bertanggungjawab.

PAC adalah satu badan pematuhan, ketelusan dan mengikuti proses. PAC merasakan lebih banyak operasi audit dilaksanakan melibatkan dana awam atau kerajaan yang akan memberi keupayaan untuk mengenal pasti mana--mana peringkat operasi yang memerlukan penambahbaikan atau pelaksanaan lebih baik. 5. Adakah PAC hanya menyiasat transaksi yang sudah terlaksana atau adakah PAC turut menyiasat siapakah yang memberi arahan untuk melakukan transaksi, yang satunya adalah salah urus tadbir dan satu lagi adalah jenayah? Prosiding PAC melibatkan penilaian yang sangat teliti dan komprehensif terhadap dokumentasi, kelulusan dan prosesnya. Pada bila-bila masa ketika prosiding, jika jawatankuasa merasakan wujud keperluan siasatan lanjut, kita akan memanggil invididu terbabit dan meminta penjelasan.

Laporan PAC kepada Parlimen mengandungi saranan untuk siasatan lanjut. Ia kemudian adalah atas budi bicara pihak berkuasa berkaitan untuk menentukan bagaimana susulan akan dibuat. PAC bukan sebuah badan eksekutif atau kehakiman, namun hasil penemuan akan menjadi berguna kepada kedua--dua badan itu, selain Parlimen di mana ia ditubuhkan.

6.Kenapa peranan perdana menteri tidak disebut dalam laporan PAC berkaitan 1MDB ini? Pihak kerajaan sentiasa kekal dengan pendirian bahawa dakwaan dan tuduhan yang dibuat berkaitan rasuah, penyalahgunaan dana dan salah guna kuasa adalah palsu dan tidak berasas.

Sepanjang tempoh 18 bulan, wujud pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap perdana menteri. Pada setiap tuduhan, ia disiasat PAC.

PAC tidak menemui sebarang bukti untuk menunjukkan salah laku atau salah guna kuasa perdana menteri, dan keputusan ini dibuat sebulat suara dan konsensus oleh kesemua anggota PAC.

7. Bagaimana PAC mencapai kepada kesimpulan dan adakah Datuk yakin hasil penemuan ini tidak akan diragui masyarakat? PAC membuat kesimpulan melalui prosiding berterusan dengan individu dipanggil, mengumpul maklumat, mendapatkan maklumat dan melalui kerjasama dengan Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.

Dengan komposisi keanggotaan pelbagai parti, tidak berat sebelah dan keupayaan untuk akses kepada pelbagai sumber, kami sangat yakin PAC sudah menepati malah melangkaui apa yang diharapkan rakyat.

Kami berdiri pada penemuan ini, dengan pengetahuan tiada agenda tersembunyi dan tiada pengaruh luar terhadap laporan ini.

8. Adakah arahan siasatan berbeza ketika PAC dipengerusikan Datuk Nur Jazlan Mohamed dan selepas diambil alih Datuk Hasan Arifin? Prosiding PAC berjalan dengan pematuhan kepada proses yang sudah ditetapkan, yang kekal dipatuhi biar siapa pun mempengerusikan jawatankuasa ini. Pengwujudan jawatankuasa ini dianggotai wakil dwipartisan bagi memastikan tidak berat sebelah, intergriti dan ketelitian.

9.Bagaimana kita akan percaya akan penemuan PAC ini? PAC adalah sebuah jawatankuasa tetap Dewan Rakyat. PAC adalah sebuah jawatankuasa berbilang parti dan berkecuali daripada kerajaan. Ia hanya menjawab kepada Parlimen, maka dengan itu ia sekaligus menjawab terus kepada rakyat.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, mana hendak dapat sagunya. Sila lihat laporan PAC dan saya pasti anda akan dapat melihat ketelitian dalam skopnya, profesional pada metologinya dan komprehensif pada saranannya.

10. Mengapa saksi yang dipanggil tidak melibatkan Perdana Menteri, Gabenor Bank Negara dan Jho Low? Panggilan untuk memberi kenyataan bermula dengan pengurusan dan lembaga pengarah, dan jika ada keperluan untuk memanggil pihak luar memberi kenyataan, kami akan berbuat demikian, namun pada kes ini berdasarkan kepada kenyataan konklusif, tiada keperluan ke arah itu.

11.Adakah hasil penemuan itu mewakili konsensus jawatankuasa ini atau terdapat bantahan daripada kalangan anggota jawatankuasa terhadap laporan ini? Biarpun terdapat bantahan, ia adalah bagi alasan yang munasabah, dan adalah penting untuk menyatakan, jawatankuasa ini terdiri daripada Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah. Dan dengan itu, laporan PAC ini adalah bersandarkan kepada konsensus sebulat suara selepas apa jua debat bagi mencari titik persamaan.

PAC adalah satu badan tidak memihak kepada sesiapa dan mencari kebenaran yang fokusnya adalah mengemukakan kebenaran kepada rakyat melalui Parlimen.

12.Memandangkan PAC adalah sebuah jawatankuasa dwipartisan penggubal undang--undang daripada kedua-dua belah pihak, adakah berlaku kesukaran untuk mencapai keputusan sebulat suara terhadap hasil siasatan? Sifat tidak berat sebelah jawatankuasa ini, keupayaan untuk bersidang tanpa kehadiran media, orang awam dan kerajaan namun dengan akses kepada maklumat tanpa batas dan penggunaan sumber Parlimen yang banyak, membolehkan ia mencapai satu kesimpulan yang seimbang, tepat dan adil. Benar, memang berlaku perdebatan dan bantahan terhadap beberapa isu, namun kami akhirnya akan mencapai satu kesimpulan, sebagaimana boleh dilihat dalam laporan PAC ini.

13. Kepada siapakah PAC perlu menjawab? PAC adalah jawatankuasa dipilih Dewan Rakyat. Keanggotaan PAC mewakili kepelbagaian badan perundangan negara. PAC ialah keanggotaan parti bersilang melibatkan 5 daripada parti pembangkang dan 8 daripada penyokong kerajaan.

Sebagai sebuah badan Parlimen dan bukannya kerajaan, jawatankuasa ini dapat menjalankan siasatan bebas tanpa sebarang gangguan dan halangan dan berat sebelah. Ia hanya perlu menjawab kepada Parlimen, maka dengan itu, menjawab kepada rakyat.

Kami boleh sahkan elemen integriti dan berkecuali dipenuhi sepanjang prosiding PAC dan tiada kejadian di mana PAC terganggu atau diberi arahan oleh mana--mana individu di luar proses diwartakan.

14. Siapa yang memilih anggota dan pengerusi PAC? Bagi mengekalkan integriti, keseimbangan, penyilangan seimbang perwakilan parti politik dan berkecuali, wujud satu proses ketat untuk ini.

Pengerusi (daripada penyokong kerajaan) dan Timbalan (daripada ahli pembangkang) adalah dilantik melalui usul di Parlimen oleh perdana menteri yang akan diperdebatkan di Dewan Rakyat dan usul diluluskan melalui undian majoriti ahli dewan. Secara konvensyennya pengerusi datang daripada penyokong kerajaan manakala timbalan adalah daripada pembangkang.

Tiada seorang pun boleh melantik atau menyingkir anggota PAC kerana ia perlu dilakukan secara kolektif oleh Parlimen yang bertindak mewakili rakyat untuk mengemukakan fakta dan kebenaran tanpa berpihak.

15. Apa kuasa siasatan yang dimiliki PAC?

Arahan Tetap Dewan Rakyat mewujudkan kuasa PAC dan kuasanya.

Arahan Tetap itu memberi kuasa kepada PAC untuk memeriksa:

i.Akaun persekutuan dan penggunaan dana yang diluluskan Parlimen bagi memenuhi perbelanjaan awam

ii. Apa jua akaun pihak berkuasa awam atau mana--mana badan yang mentadbir dana awam yang dikemukakan di hadapan Dewan Rakyat

iii. Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, selaras dengan peruntukan Artikel 107, Perlembagaan Persekutuan. iv. Apa jua isu berbangkit yang difikirkan wujud keperluan oleh jawatankuasa atau yang dirujuk kepada jawatankuasa oleh Dewan Rakyat.

Adalah penting untuk menyatakan PAC bukan satu badan pihak berkuasa, namun PAC ialah satu badan yang bebas dan tidak dipengaruhi dalam mencari kebenaran bagi mengemukakan fakta kepada rakyat melalui Parlimen.

16. Mengapa berlaku kelewatan dalam membentangkan laporan ini? Laporan PAC ini perlu terperinci. Ia adalah tidak tepat jika PAC mengumumkan hasil siasatan secara tidak matang tanpa mengakses kepada apa jua maklumat terkini daripada sebanyak mana sumber yang boleh.

Terdapat dakwaan bahawa perubahan anggota PAC turut mengubah perjalanan prosiding di mana dakwaan ini adalah sangat tidak benar. Jika anda membaca laporan PAC ini, tiada apa yang terlepas pandang.

17. Adakah laporan ini diperiksa dan disahkan oleh badan berkecuali di luar Malaysia atau di luar pengaruh kerajaan? Model PAC ini sudah diuji dan disahkan berjaya, dan ia adalah model serupa dipraktikkan di negara Komanwel. Ia adalah satu badan dihormati dan satu proses yang sudah wujud lama di negara demokrasi termasuk United Kingdom, New Zealand dan Afrika Selatan, untuk menamakan beberapa negara. Ia adalah satu landasan penting bagi akauntabiliti terhadap kerajaan, dan ia sudah dipraktikkan komuniti antarabangsa.

PAC telah dibuktikan sebagai satu badan yang memiliki pengalaman untuk melakukan siasatan teliti, kerap kali mencapai satu kesimpulan yang sukar. Ini membuktikan anggota PAC bebas daripada sebarang gangguan, berat sebelah atau tekanan daripada pihak luar.

Tugas PAC adalah untuk menyediakan laporan komprehensif terhadap tatakelola syarikat, badan atau jabatan kerajaan. Ini sudah dicapai dengan berjaya dan pada kes 1MDB, PAC turut mengemukakan saranan terperinci kepada kerajaan untuk dipertimbang dan dilaksanakan.

18. Adakah PAC bekerjasama dengan kerajaan Amerika, Switzerland dan Australia dalam siasatan terhadap 1MDB? Bidang kuasa PAC adalah untuk menjalankan penilaian teliti terhadap 1MDB, berdasarkan kepada laporan dan prosiding Jabatan Audit Negara. Hingga kini, PAC tidak pernah dihubungi oleh mana--mana pihak berkuasa negara luar berkaitan 1MDB atau melihat ada keperluan untuk menghubungi mereka.

19.Memandangkan siasatan sudah lengkap dan tiada penglibatan salah laku perdana menteri dan kerajaan, adakah akan ada tindakan undang-undang terhadap pelbagai pihak yang menyebar dakwaan terhadap 1MDB? PAC bukanlah badan yang tepat untuk anda ajukan soalan itu. Kami hanya boleh mengulas mengenai laporan PAC dan hasil siasatannya. Kami bagaimanapun membuat saranan untuk tindakan lanjut. Ia adalah bergantung kepada keputusan pihak berkuasa berkaitan untuk menentukan tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

Jumaat, April 08, 2016

PAC MINTA BEKAS CEO 1MDB DISIASAT

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak yang berkaitan.

Menurut PAC, Shahrol Azral perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan dan kekangan dalam
pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Sebelum ini, PAC telah memanggil Shahrol Azral untuk memberi taklimat dan penjelasan pada 25 dan 30 Nov 2015.

Sementara itu, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin, dalam kenyataannya, menyarankan pihak penguat kuasa perlu membuat siasatan lanjut dan, mengambil tindakan undang-undang sekiranya wujud kesalahan.

PAC dalam laporan itu seterusnya mengesyorkan supaya Lembaga Penasihat 1MDB dimansuhkan berserta Artikel 117 dalam Memorandum dan artikel syarikat itu.

"Segala rujukan kepada YAB Perdana Menteri perlu ditukar kepada Menteri Kewangan, selaras dengan peruntukan syarikat lain kepunyaan MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan)," menurut jawatankuasa Parlimen itu dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, yang diedarkan di Parlimen di sini hari ini.

Laporan itu turut dimuat naik di laman web Parlimen www.parlimen.gov.my.

Artikel 117 di bawah memorandum dan artikel 1MDB antara lain menetapkan semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan atasan 1MDB, serta sebarang komitmen kewangan termasuk keputusan pelaburan 1MDB boleh mempunyai kesan kepada jaminan kerajaan Persekutuan perlulah mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri.

Dalam laporannya, PAC mendapati pengurusan 1MDB beberapa kali tidak mematuhi keputusan dan arahan Lembaga Pengarah atau pun bertindak sebelum kelulusan khusus daripada Lembaga Pengarah.

"Terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci (termasuk penelitian impak terhadap aliran tunai syarikat) dan beberapa keputusan besar telah dibuat melalui resolusi bertulis," menurut laporan itu.

PAC juga berpendapat, penggunaan hutang yang berlebihan di dalam struktur modal tidak boleh dibenarkan sama sekali, lebih-lebih lagi apabila aliran tunai syarikat tidak mencukupi.

Ia juga menyarankan kawal selia yang lebih rapi oleh lembaga pengarah termasuk mempersoalkan harga belian aset dan kos hutang.

Bagaimanapun, PAC mendapati kerajaan telah mengambil langkah serta merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul pada November 2014.

Pengurusan tertinggi baharu 1MDB telah dibawa masuk selepas itu, sebelum pelan rasionalisasi dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei 2015.

PAC juga berpendapat, penggunaan hutang yang berlebihan di dalam struktur modal tidak boleh dibenarkan sama sekali, lebih-lebih lagi apabila aliran tunai syarikat tidak mencukupi.

Ia juga menyarankan kawal selia yang lebih rapi oleh lembaga pengarah termasuk mempersoalkan harga belian aset dan kos hutang.

Bagaimanapun, PAC mendapati kerajaan telah mengambil langkah serta merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul pada November 2014.

Pengurusan tertinggi baharu 1MDB telah dibawa masuk selepas itu, sebelum pelan rasionalisasi dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei 2015.

Pada 4 Mac, 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan pada hari berkenaan, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemerksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

PAC dipengerusikan anggota Parlimen Rompin daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin manakala naib pengerusinya ialah anggota Parlimen Kepong daripada DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Ahli-ahli jawatankuasanya yang lain terdiri daripada lapan anggota Parlimen BN, dua PKR, masing-masing seorang daripada DAP dan PAS.

Sementara itu bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini berkata tiada kesalahan atau aktiviti melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika di bawah pengawasannya.

Dalam kenyataan dikeluarkan di sini, Shahrol Azral berkata ketika penyiasatan dijalankan terhadap syarikat itu, beliau menghadap anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan memberi penjelasan penuh dan secara jujur kepada mereka tentang perkara yang berlaku ketika beliau menjadi CEO 1MDB.

Shahrol Azral juga berkata beliau akan terus memberi kerjasama penuh tentang perkara itu.

"Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

"Semasa siasatan dijalankan, saya banyak kali hadir di hadapan anggota PAC yang dihormati.

"Saya ceritakan sepenuhnya dan dengan jujur semua perkara semasa saya menjadi CEO 1MDB. Seperti yang dijelaskan kepada PAC, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang perbuatan salah atau aktiviti yang melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika dalam pengawasan saya.

"Saya akan terus beri kerjasama penuh, yakin dengan sepenuh hati bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang hendak disembunyikan".

PAC, dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkannya di Dewan Rakyat hari ini, meminta pihak berkuasa menyiasat Shahrol Azral dan para pegawai lain yang berkenaan.

PAC berkata Shahrol Azral perlu bertanggungjawab bagi kelemahan dan kekangan yang wujud dalam syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

-- BERNAMA

Khamis, April 07, 2016

TUKAR MB JOHOR DINAFI

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Johor menolak dakwaan terdapat gerakan untuk menukar Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mereka berkata sepanjang memegang jawatan Menteri Besar, pemimpin itu telah melaksanakan tugasnya dengan baik.

Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sepanjang menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri, tidak mendengar suara-suara tidak puas hati terhadap kepimpinan Mohamed Khaled.

"Saya ahli dalam mesyuarat badan perhubungan, di mana saya ketua bahagian Pengerang, tiada pula dalam mesyuarat itu berlaku macam tak puas hati dengan kepimpinan pengerusi perhubungan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini Rabu.

Hari ini beberapa portal melaporkan terdapat gerakan mahu menukar Menteri Besar Johor itu.

Laporan memetik tulisan di laman Facebook Shukur Mohamad, anak kepada Speaker DUN Johor Tan Sri Mohamad Aziz yang mendakwa gerakan itu diketuai oleh seorang timbalan menteri yang namanya tidak didedahkan.

Sementara itu, anggota Parlimen Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Samad berkata dakwaan mengenai pakatan tersebut hanya khayalan individu yang menyebarkannya.

Shahrir yang juga pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata tiada sebarang masalah dalam pentadbiran Khaled sebagai teraju negeri Johor.

"Sokongan terhadap beliau (Khaled) kuat, beliau ada rancangan kemajuan untuk Johor, semua yang dirancang memang menyentuh perkara-perkara mustahak bagi rakyat Johor seperti perumahan, gerakan membantu anak muda, membantu golongan berpendapatan rendah.

"Pembangunan yang benar-benar secara inklusif, disebabkan itu, tidak ada sebab ia boleh menimbulkan satu reaksi politik," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata dakwaan terbaharu ini merupakan tindakan terdesak untuk menggoncang muafakat kerajaan negeri Johor.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang berkata, dari perbualan beliau dengan timbalan-timbalan menteri dari Johor, tidak pernah ada sebarang ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran Mohamed Khaled selama ini.

"Justeru saya meminta pihak yang mendakwa supaya tampil dengan bukti jika memang terdapat pakatan untuk menjatuhkan Menteri Besar Johor," katanya.

Rabu, April 06, 2016

SARAWAK KEKAL TANPA UMNO



Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abang Johari Openg semalam menafikan khabar angin bahawa parti komponen BN itu akan cuba menubuhkan Umno di Sarawak.

"Saya ingin nyatakan dengan jelas, bahawa kita tidak akan membawa Umno ke Sarawak, sama ada oleh pemimpin semasa atau masa hadapan," kata Abang Johari kepada pemberita selepas taklimat pilihan raya parti.





Umno tidak wujud secara rasmi di Sarawak. Pemimpinnya tidak pernah dihalang daripada memasuki negeri ini.

Abang Johari juga menafikan pembabitan Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof dalam melobi untuk membawa Umno.

"Fadillah dikatakan sebagai pemimpin yang cuba membawa masuk Umno.

“Dulu mereka gunakan nama saya tetapi sekarang bahawa saya telah tua, mereka kata Fadillah pula akan membawa masuk Umno," katanya.

PBB menguasai 35 daripada 71 kerusi negeri dan dijangka meletakkan calon untuk bertanding di 11 kerusi baru yang diwujudkan November lalu.

Ditanya mengenai jaminan bahawa Umno tidak akan menjejak ke Sarawak, Abang Johari berkata kedua-dua komponen itu mempunyai "persefahaman bersama" bahawa PBB adalah tulang belakang BN negeri.

"Terdapat perbezaan yang besar antara Umno dan Sarawak, kerana di Sarawak kita mempunyai bumiputera dengan latar belakang yang berbeza-beza.

“Dalam Umno, mereka tidak mempunyai demografi seumpama itu. Terdapat perbezaan. Senario ini berbeza,” katanya.

Selasa, April 05, 2016

RAYUAN DITANGGUH, MAHKAMAH RAYUAN PERINTAH ZAHIDA RAFIK BAYAR KOS RM5,000

PUTRAJAYA, 4 April (Bernama) -- Aktres Zahida Mohamed Rafik pada Isnin diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan di sini membayar kos RM5,000 kepada bekas pemandunya selepas mahkamah menangguhkan pendengaran rayuannya berkaitan saman fitnah.

Penal tiga hakim diketuai Hakim Datuk Lim Yee Lan menangguhkan pendengaran rayuan Zahida selepas peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memaklumkan mahkamah beliau diarahkan oleh peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk memohon penangguhan pendengaran rayuan itu, yang dijadualkan hari ini.

Beliau berkata Muhammad Shafee tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana beliau perlu menghadiri perbicaraan pecah amanah jenayah yang sedang berlangsung di Mahkamah Sesyen di Butterworth.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Datuk Dr Badariah Sahamid dan Harmindar Singh Dhaliwal.

Peguam Latheefa Koya, mewakili Noor Azman Azemi, memohon kos RM5,000, kerana mereka tidak dimaklumkan bahawa peguam mewakili Zahida akan memohon satu lagi penangguhan.

Beliau berkata mereka tidak menerima surat daripada peguam perayu untuk memohon penangguhan pendengaran dan surat daripada mahkamah yang menolak penangguhan itu.

Wan Aizuddin berhujah tiada kos patut diberikan bagi alasan itu kerana ini merupakan tarikh pertama bagi pendengaran rayuan itu dan Muhammad Shafee perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang merupakan kes kepentingan awam.

Hakim Lim kemudian berkata mahkamah akan menetapkan tarikh lain bagi pendengaran itu dan memerintahkan kos RM5,000 dibayar kepada Noor Azman.

Beliau juga mengarahkan pengurusan kes itu dikendalikan hari ini dan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan menetapkan 31 Mei bagi pendengaran rayuan.

Noor Azman menyaman Zahida mendakwa aktres itu, yang berlakon dalam filem Anak Mami The Movie, telah secara salah dan berniat jahat, memberikan kenyataan fitnah dalam artikel diterbitkan dalam satu tabloid berbahasa Melayu pada 3 Mac, 2012 berhubung kerugian RM200,000.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari tahun lepas memutuskan perbuatan memfitnah itu telah berjaya dibuktikan oleh Noor Azman berdasarkan keseimbangan kebarangkalian dan memerintahkan Zahida membayar RM150,000 sebagai ganti rugi kepada Noor Azman.

-- BERNAMA

Isnin, April 04, 2016

DAP SEHARUSNYA MALU BERTANDING DI LUAR BANDAR

SIMUNJAN:
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata DAP seharusnya malu bertanding di kawasan luar bandar kerana parti itu menentang agenda pembangunan luar bandar yang beliau tekankan dalam pentadbirannya.

Sehubungan itu, Adenan meminta rakyat, khususnya pengundi di luar bandar menolak DAP kerana parti itu membantah permohonan beliau untuk mendapat peruntukan tambahan RM1 bilion untuk program pembangunan luar bandar di negeri ini.

Selain itu, katanya PKR sepatutnya malu bertanding di kerusi baharu kerana parti itu membantah keras penambahan 11 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri sehingga sanggup membawa kes berkenaan ke mahkamah, tetapi keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Oleh sebab itu, beliau mengingatkan pengundi termasuk di Simunjan dan Gedong supaya tidak memberi undi kepada calon parti pembangkang -- PKR dan DAP pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Adenan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekan Simunjan, kira-kira 120 kilometer dari Kuching hari ini yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Pada majlis berkenaan Adenan mengumumkan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Mohd Naroden Majais sebagai calon bagi kerusi Gedong, iaitu satu daripada 11 kerusi baharu DUN yang akan dipertandingkan pada PRN Ke-11.

Kerusi Simunjan dipecah dua untuk mewujudkan kerusi baharu, iaitu kerusi Gedong. Naroden merupakan penyandang kerusi Simunjan.

Bagaimanapun Adenan tidak mengumumkan nama calon bagi kerusi Simunjan yang dilobi lapan bakal calon, sebaliknya memanggil enam bakal calon yang hadir pada majlis berkenaan ke atas pentas dan melafazkan taat setia kepada BN serta berjanji menyokong calon yang akan dipilih mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN akan datang.

Mereka ialah Awla Dris, Raili Ali, Ibrahim Seriee, Mohd Yusuf Long, Zainap Halip (wanita) dan Raini Tupong. Dua lagi bakal calon tidak hadir.

Adenan berkata lafaz taat setia itu perlu untuk menjamin mana-mana individu terbabit sekiranya tidak dipilih menjadi calon akan tetap memberi sokongan kepada BN dan calon yang beliau pilih kelak.

"Saya tidak mahu berlaku perpecahan kerana kemenangan besar BN dalam pilihan raya akan datang amat penting untuk kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan negeri ini," tambahnya.

Sementara itu Adenan berkata tidak lama lagi kerajaan negeri akan menurunkan kadar cukai pintu selepas penghapusan cukai tanah yang keluasannya kurang daripada 40 hektar pada bulan lepas.

Katanya, selama dua tahun menjadi ketua menteri beliau telah pun melakukan 51 keputusan yang memberi kesenangan kepada rakyat Sarawak termasuk penghapusan tol, penurunan tambang feri kepada RM1 dan penurunan tarif elektrik.

-- BERNAMA

Ahad, April 03, 2016

JINS SHAMSUDIN MENJADI YB DI LUAR DAN DI DALAM FILEM

HIBURAN

Baru-baru ini heboh dikatakan Jins Shamsuddin sudah meninggal dunia. Tetapi rupanya beliau masih hidup dan masih sakit Alzheimer.

Berbeza dengan P. Ramlee yang mendapat gelaran Tan Sri selepas beliau meninggal dunia, Jins Shamsuddin mendapat gelaran tersebut ketika beliau masih hidup. Beliau mendapat pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) pada tahun 2007 ketika berusia 72 tahun.

Sumbangan Jins Shamsuddin atau nama sebenarnya Mohamed Zain Shamsuddin dalam sumbangan seni tidak perlu dipertikai lagi. Beliau adalah anak didik P. Ramlee yang berjaya dalam bidang lakonan dan pengarahan filem.

Jins dikenali sebagai seniman yang berdisiplin, tegas dan serius. Filem Jefri Zain yang dibuat sebagai James Bond Melayu yang melonjakkan namanya sebagai pelakon filem terkenal.

Dilahirkan di Taiping, Perak pada 5 November 1935, Jins yang kini berusia 81 tahun disahkan mengalami Alzheimer pada Februari 2011.

Biarpun mengalami penyakit Alzheimer sejak dua tahun lalu, Jins tetap ingat dan memikirkan tentang kerja.

Isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, 57, memberitahu suaminya sukar mengingati perkara-perkara lalu namun tidak pernah berhenti daripada memikirkan soal pekerjaannya.

“Dia sudah tidak ingat orang, kadang-kadang dirinya sendiri di televisyen pun dia tidak kenal. Keadaan ingatan dia semakin lama semakin serius.

“Tapi setiap hari dia akan bercakap tentang kerja dan ingin ke Finas untuk bekerja, jika kita bawa dia bercuti pun dia akan suruh balik awal sebab ada urusan kerja katanya,” ujar Halijah.

Jins pernah menjadi Pengerusi Finas yang merupakan agensi kerajaan untuk membantu industri perfileman di negara kita.

Dalam pada itu, Halijah memberitahu punca utama suaminya menghidap alzheimer adalah terlalu banyak berfikir pada usia muda dan ketika mengambil mengikuti program Doktor Falsafah (PhD).



“Dia banyak sangat berfikir dan bekerja, sebagai manusia kita ada batas bekerja dan bercuti tapi dia tidak.

“Lebih teruk lagi selepas dia mengambil PhD, sepatutnya tiga tahun tetapi dia buat jangka pendek selama setahun sahaja mungkin itu beri kesan kepada fikirannya kini,” katanya.

Pada 24 Mac 2010, Jins Shamsuddin menerima Ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena konvokesyen ke-23 UUM.

Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London Film School dari 1970-1972 dan menerima diploma dengan Kepujian Kelas Pertama. Pada tahun 1999, beliau menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia.


Pembabitan beliau dalam bidang seni bermula apabila menjalani uji bakat yang diadakan oleh P. Ramlee, di mana beliau diterima sebagai pelakon tambahan. Dari pelakon tambahan, beliau sedikit demi sedikit menimba pengetahuan dari P. Ramlee.

Kalau kita tonton filem Anakku Sazali lakonan P. Ramlee arahan Phani Majumdar, Jins muncul sebagai pelakon pembantu sahaja. Tetapi beliau diberi watak utama oleh P. Ramlee dalam filem Pancha Delima pada tahun 1957.

Hubungan P. Ramlee dengan Jins Shamsuddin dikatakan kurang rapat selepas P. Ramlee menceraikan isterinya Norizan bekas emak tiri Sultan Azlan Shah. Jins dikatakan punca perceraian P. Ramlee dengan Norizan.

P. Ramlee amat sukar untuk menerima tawaran berlakon daripada pengarah-pengarah yang lain. Tetapi penghormatan ini telah diberikan kepada Jins Shamsuddin untuk berlakon di dalam filem ‘Bukan Salah Ibu Mengandung.’

Filem lakonan

Beliau telah melibatkan diri dalam 40 buah filem sejak tahun 1956. Filem-filem lakonannya seperti berikut:-.

0 Matahari – (1951) – (Pelakon Pembantu)
0 Kaseh Sayang – (1957) – (Pelakon Utama)
0 Pancha Delima – (1957) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Suria Kencana)
0 Azimat – (1958) – (Pelakon Pembantu)
0 Sarjan Hassan – (1958) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Aziz)

0 Anak Pontianak – (1958) – (Pelakon Utama)
0 Dandan Setia – (1959) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Tengku Dandan Setia)
0 Lela Manja – (1960) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Megat Komeng)
0 Megat Terawis (1960) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Megat Sari)
0 Si Tanggang – (1961) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Tanggang)

0 Indera Bangsawan – (1961) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Indera Bangsawan)
0 Neracha – (1962) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Rahman)
0 Lubalang Daik – (1962) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Sinkip Anak Juragan Bagus)
0 Batu durhaka – (1962) – (Pelakon Utama)
0 Darah Muda – (1963) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Yazid)

0 Bidasari – (1964) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Tengku Indera)
0 Sayang Si Buta – (1965) – (Pelakon Utama)
0 Gerak Kilat – (1966) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Jefri Zain)
0 Kacha Permata (1966) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Hamzah)
0 Bayangan Ajal – (1968) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Jefri Zain)

0 Kanchan Tiara – (1968) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Kanchan)
0 Jurang Bahaya – (1968) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Jefri Zain)
0 Bukan Salah Ibu Mengandung – (1969) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Agus)
0 Di Belakang Tabir – (1969) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Osman dan Karim)
0 Menanti Hari Esok – (1977) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Cikgu Talib dan Jalil)

0 Esok Masih Ada – (1979) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (ASP Zamri)
0 Tiada Esok Bagimu – (1979) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Ghailan)
0 Filem Bukit Kepong – (1982) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Sarjan Jamil Md Shah)
0 Esok Untuk Siapa – (1982) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Jiman)
0 Ali Setan – (1986) – (Pelakon Pembantu) – Watak Sebagai (Tan Sri)

0 Memory – (1991) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Herman)
0 Filem Balada – (1993) – (Pelakon Pembantu)
0 Filem The Deadly Disiple – (2001) – (Artis Jemputan)
0 1957 Hati Malaya – (2007) – (Artis Jemputan)
0 Filem Akhirat – (2008) – (Pelakon Utama) – Watak Sebagai (Dato’ Shamsudin)

Pada 1969, beliau diberi peluang mengarahkan filem “Bukan Salah Ibu Mengandung” yang telah menjulang namanya sebagai penulis lakonlayar, pelakon dan pengarah, malah telah mengangkat kewibawaan Studio Merdeka.

Selepas itu beliau belajar di London dalam bidang pengarahan filem. Sekembalinya dari London, beliau mengarah dan menerbitkan filem Menanti Hari Esok (1977), Esok Masih Ada (1979), Tiada Esok Bagimu (1980) dan Esok Untuk Siapa (1982).

Anugerah

Di antara anugerah yang diterimanya ialah:-

Anugerah Seniman Veteran bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-18 pada tahun 2004 di Arena of Stars, Genting Highlands.

Pesta Filem Asia ke-26 di Bali, Indonesia (1980): filem “Esok Masih Ada” lakonan dan arahannya telah memenangi Anugerah Mitra bagi Tema Terbaik yang menganjurkan perpaduan kaum.

Tujuh anugerah dalam Pesta Filem Malaysia Ketiga untuk filem peperangan, “Bukit Kepong” (1981), sebuah filem tulisan, lakonan dan arahannya;

“Silver Crane Award” dalam Pesta Filem Asia Pasifik (1987);

Jemaah juri sebanyak lima kali bagi siri “Pesta Filem Asia Pasifik”;

Penghormatan dan kepercayaan untuk mengarah teater bernilai RM2 juta untuk filem yang berjudul “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” di Istana Budaya, bersempena sambutan kemerdekaan 2002. Pementasan teater tersebut berlangsung selama lima jam selama lebih dari dua minggu.

Sebagai menghargai jasanya dalam bidang seni, beliau dianugerahkan pingat Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’ oleh Paduka Seri Sultan Perak (1990); Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada Yang di-Pertuan Agong (1990) dan darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran Tan Sri (2007).

Kalau dahulu dalam drama, beliau pernah berlakon jadi Yang Berhormat (YB) akhirnya Jins Shamsuddin dilantik ahli Dewan Negara (Senator) yang dipanggil YB juga selama dua penggal mewakili golongan seni. Sewaktu berada di Dewan Negara beliau sering kali mengambil bahagian dalam perbahasan untuk memperjuangkan nasib artis dan penggiat seni.

Sabtu, April 02, 2016

NAJIB 'DISABIT' KESALAHAN DALAM PERBICARAAN MELALUI MEDIA KATA SALLEH

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan dengan ketidakadilan melampau apabila 'disabitkan' kesalahan dalam mahkamah pendapat umum menerusi perbicaraan secara tidak adil melalui media tanpa berdasarkan bukti tetapi dakwaan semata-mata.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, dalam catatan terbaru di blognya, berkata mereka yang memfitnah perdana menteri perlu memohon maaf kepadanya.

"Yang sememangnya, kita tahu ini tidak akan berlaku," katanya.


Sejak kononnya pendedahan oleh Wall Street Journal (WSJ) dengan tajuk utama "Investigators believe money flowed to Malaysian leader Najib's accounts amid 1MDB probe," (Penyiasat percaya wang disalurkan ke akaun Najib semasa siasatan 1MDB), katanya, perdana menteri berdepan dengan serangan oleh media tempatan dan asing serta blogger.

"Ia adalah satu perbicaraan media dan akibat serangan media, Najib telah didakwa dan disabitkan oleh mahkamah pendapat umum.

"Beliau dianggap bersalah melainkan jika dapat membuktikan beliau tidak bersalah seperti apa yang dikatakan secara tepat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri)," katanya.

Pada 2 Julai 2015, WSJ menyiarkan laporan dengan mendakwa Najib telah mencuri dana 1MDB berjumlah US$700 juta (RM2.6 bilion) dan telah memindahkan wang itu ke akaun peribadinya, yang telah mendorong Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan itu.

Salleh, bagaimanapun, berkata mengikut apa yang dikatakan oleh WSJ, siasatan itu telah bermula sebelum 2 Julai 2015 dan bukan hasil pendedahan oleh akhbar itu.

"WSJ mengesahkan bahawa ia memiliki dokumen-dokumen berkaitan siasatan (bermakna siasatan sudah dimulakan sebelum 2 Julai 2015 sekiranya sudah ada dokumen-dokumen berkaitan siasatan).

"Ini dengan sendirinya sangat mencurigakan kerana WSJ berkata laporannya pada 2 Julai 2015 adalah berdasarkan siasatan manakala kenyataan rasmi Pasukan Petugas Khas menyebut badan itu ditubuhkan bagi menyiasat pendedahan WSJ.

"Jadi apa yang keluar terlebih terdahulu?. Jika laporan WSJ disiarkan dahulu dan kemudian Pasukan Petugas Khas ditubuhkan seperti apa yang dimaklumkan...ini bermakna WSJ telah diberi dokumen-dokumen yang tidak berdasarkan sebarang siasatan tetapi disediakan untuk memfitnah perdana menteri," katanya.

Salleh menegaskan pada 4 Julai 2015, Peguam Negara berkata bahawa beliau baru menerima dokumen-dokumen berhubung siasatan itu dan pada 8 Julai 2015, ia telah diumumkan bahawa sebuah Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Jadi di mana WSJ mendapat buktinya dan merujuk kepada siasatan mana?," katanya, sambil menambah pada masa itu rakyat Malaysia sepatutnya mengesyaki sesuatu yang tidak kena.

Merujuk kepada laporan WSJ menyebut ketidakpastian sumber asal jumlah wang itu dan bagaimana ia dibelanjakan, Salleh percaya akhbar itu sebenarnya tidak jelas mengenai isu keseluruhan tetapi kerana cara laporan itu ditulis, ia nampak seolah-olah satu jenayah telah dilakukan.

"Pendek kata, WSJ berkata ia tidak benar-benar tahu apa yang telah berlaku tetapi kemudian laporan seterusnya dan juga laporan-laoporan daripada orang lain memberi gambaran bahawa ia tahu dengan tepat apa yang berlaku," kataya.

Bercanggah dengan laporan sebelum ini, Salleh berkata, WSJ kini berkata wang itu bukan daripada 1MDB tetapi sumbangan daripada sumber-sumber dari Asia Barat, yang nampaknya juga menjadi asas kepada dokumentari khas 'Four Corners' oleh Australian Broadcasting Corporation (ABC), baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun Dr Mahathir tidak lagi bercakap mengenai wang yang 'dicuri' itu tetapi derma dan bekas perdana menteri itu mengalihkan isu itu dari mana wang itu datang kepada bagaimana wang itu dibelanjakan.

-- BERNAMA

APA LAGI AHMAD SAID MAHU?

Datuk Seri Ahmad Said bagaikan abang saya, saya sentiasa mempertahankan beliau...apa sahaja yang berlaku kepada beliau, sayalah orang yang akan berjuang habis-habisan mempertahankannya.

"Walau apa yang pernah dilakukannya kepada saya, di dalam hati saya, beliau tetap saya anggap sebagai abang.

"Apa yang dilakukan itu, saya sentiasa maafkan," demikian luahan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengenai perasaannya terhadap bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said pada temu bual eksklusif Bernama di kediaman rasmi, Seri Iman, di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Razif berkata demikian semasa ditanya tentang tindakan Ahmad yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang DUN Terengganu pada 8 Mac lepas, yang kemudiannya ditolak oleh Speaker Datuk Mohd Zubir Embong kerana ia dibuat tanpa notis dan melanggar peraturan DUN.

Dengan genangan air mata ketika membicarakan perkara itu, beliau berkata kerana hubungan 'abang dan adik' itu jugalah beliau tetap meneruskan legasi Ahmad malah menambah peruntukan sedia ada dalam pelbagai projek kerajaan negeri.

Menurutnya beliau pernah bertemu Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, untuk berbincang tentang pembangunan negeri dan Ahmad memintanya supaya meneruskan legasinya.

"Beliau minta saya teruskan legasi beliau, maka saya teruskan dengan penambahan peruntukan RM331 juta di Kenyir. Begitu juga janji saya kepada beliau untuk terus membiayai kos zoo di Kemaman dengan RM5 juta setahun, melaksanakan jambatan ikonik di Kijal degan peruntukan RM15 juta," katanya.

Ahmad Razif, yang menggantikan Ahmad sebagai menteri besar pada 23 Mei 2014, berkata beliau juga melaksanakan pusat boling di Kijal dengan kos RM30 juta, membina jalan di Awana Kijal sebanyak RM200 juta serta meneruskan projek perumahan di Sri Bandi, Kemaman.

"Ini akan saya teruskan walaupun (dalam keadaan) apa yang berlaku sekarang kerana itulah janji saya kepada beliau. Saya berjanji akan memberi komitmen kepada janji saya.

"Kepada penduduk Kijal, janganlah bimbang, walau dengan situasi yang berlaku ini, segala projek itu tidak satu pun dikurangkan malah mungkin ditambah lagi," katanya.

Ahmad Razif juga menegaskan bahawa beliau tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Ahmad.

"Saya tidak pernah ada apa-apa perasaan dendam kepada beliau dan kerana itulah juga saya menyokong apa sahaja yang dilakukan dan dilaksanakan sebelum ini. Saya akan terus menyokong.

"Dalam saat beliau susah, saya bantu (kerana) sebagai seorang adik, (saya) kena bantu beliau...dalam kekecohan yang berlaku sebelum ini, sayalah seorang (daripada yang membantu) atas dasar adik membantu abang.

"Saya membantu beliau, saya sentiasa mempertahankan beliau dan apa sahaja yang berlaku kepada beliau, sayalah orang yang akan berjuang habis-habisan mempertahankannya," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Razif meminta beliau tidak diganggu dengan perkara-perkara yang hanya akan merugikan banyak pihak dan perancangan kerajaan negeri, serta berharap kemelut dengan Ahmad akan berakhir dengan baik.

"Berilah peluang untuk saya melaksanakan projek...jika saya diganggu dengan bermacam-macam cara dan suasana politik sekarang, maka tidak dapatlah saya menjalankan projek saya.

"Mungkin saya tidak boleh melaksanakan Transformasi Terengganu Baru (TTB) yang berusia setahun 10 bulan 21 hari ini...jadi, macam mana dalam tempoh itu kita boleh melihat kejayaan," jelasnya.

Pada masa sama, Ahmad Razif berkata beliau berpuas hati kerana dapat melihat pergerakan TTB semakin diterima semua rakyat Terengganu.

"Beri masa kepada saya dua tahun lagi...Insya-Allah, saya yakin dan percaya segala gagasan yang saya cetuskan ini dapat kita lihat pada 2020 nanti," kata beliau.

Ulasan saya, sedih juga dengar keluhan MB terhadap "abangnya", Ahmad Said. Ahmad Razif adalah ADUN pertama yang menyokong Ahmad Said apabila Ahmad Said diumumkan oleh pihak istana sebagai pengganti Datuk Seri Idris Jusoh pada tahun 2008.

Ahmad Razif tidak pergi ke Kuala Lumpur menyertai ADUN-ADUN  lain yang menyokong Idris Jusoh sebaliknya beliau menyokong Ahmad Said. Dalam wawancara saya dengan beliau pada tahun 2008 untuk Warta Parlimen Kepala Batas, beliau terkejut apabila mengangkat sumpah sebagai Exco,  beliau orang pertama mengangkat sumpah dan ini bermakna beliau adalah Exco paling kanan.

Itulah pengorbanan Ahmad Razif menolong Ahmad Said pada tahun 2008. Pada tahun 2014, Ahmad Razif pula dilantik MB, sepatutnya Ahmad Said menolong Ahmad Razif pula menstabilkan politik Terengganu dan bukannya mengkucar-kacirkan politik negeri.

Ahmad Said seolah-olah tidak percaya kepada qada dan qadar. Zamannya sebagai MB sudah berlalu. Sokonglah MB baharu seperti mana beliau selalu sebut dalam ucapannya, sekarang orang sokong kita jadi YB, bila tiba giliran orang lain jadi YB, kita kena sokong orang baharu pula. Takkan Ahmad Said sudah lupa ucapannya itu.

Sebaik-baik sahaja Ahmad Razif jadi MB pada tahun 2014, apabila Ahmad Razif ada program sulung di Kemaman, beliau merendah diri mengunjungi rumah bekas MB itu di Teluk Kalong. Dalam pertemuan itu Ahmad Said minta MB teruskan semua projek di Tasik Kenyir dan Bandar Baru Kijal yang dipatuhi MB.

Apa lagi Ahmad Said mahu? Beliau nak jawatan Pengerusi Ladang Rakyat, MB lantik beliau. Mana ada orang keluar dari Umno  bila masuk semula Umno dapat semula jawatan Ketua Umno Bahagian kecuali Ahmad Said seorang. Orang lain dah keluar Umno, kena bertanding semula jawatan Ketua Bahagian.

Ahmad Said sepatutnya bersyukur dengan apa yang beliau dapat. Menjelang PRK Kijal pada tahun 1990, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selaku MB ketika itu mahu hantar nama Cikgu Johar sebagai calon BN tetapi SB kata kalau letak Cikgu Johar, BN kalah. oleh itu SB mencadangkan BN letak Ahmad Said untuk menentang Ahmad Shabery Cheek calon PKR.

Maka Wan Mokhtar ambil pen padam nama Cikgu Johar gantikan dengan nama Ahmad Said. Sepatutnya Ahmad Said bersyukur. Jika bukan kerana bantuan SB, Ahmad Said tak dapat jadi calon.

Pada tahun 2004, nama Ahmad Said sudah tiada dalam senarai calon BN walaupun beliau Ketua Umno Bahagian Kemaman. Tetapi dengan bantuan Setiausaha Umno Bahagian, Zahari Said yang rapat
dengan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Idris Jusoh, maka Ahmad Said kekal sebagai calon BN Kijal.

Pada tahun 2008 sekali lagi Idris gugurkan nama Ahmad Said sebagai calon dan menggantikannya dengan nama Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya. Tetapi Ahmad Said sempat menemui Pak Lah di Putrajaya yang menyebabkan namanya kekal lagi sebagai calon BN. Pada tahun yang sama tiba tiba Ahmad Saiid diumumkan sebagai MB baharu menggantikan Idris Jusoh.

Ahmad Said tidak pernah bermimpi untuk jadi MB tetapi selepas 18 tahun aktif dalam politik beliau dilantik jadi MB. Beliau sepatutnya bersyukur dengan nikmat Allah ini. Sudah 21 tahun Ahmad Said jadi ADUN Kijal (kecuali 1999 hingga 2004) apa lagi Ahmad Said mahu? Cukuplah. Bersaralah dari politik secara baik kerana jika Datuk Seri terus mengganggu pentadbiran Ahmad Razif, orang Umno Kemaman sendiri yang akan menghancurkan karier politik Datuk Seri. Tunggulah waktu itu.