Memaparkan catatan dengan label lagi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lagi. Papar semua catatan

Selasa, Julai 19, 2016

KU LI MUKTAMAD TIDAK AKAN BERTANDING LAGI

 Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Raza­leigh Hamzah menetapkan pendirian untuk tidak lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Bekas Menteri Kewangan itu berkata, sudah terlalu lama beliau menjadi wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Gua Musang iaitu 45 tahun dan tiba masanya untuk beliau berundur walaupun rakyat masih menyukainya.

Veteran UMNO itu berkata, hasrat tersebut juga sudah beberapa kali dinyatakan dalam mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian tetapi majoriti tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

“Saya kata tidak boleh tongkat langit, saya sudah lama sangat... sudah 45 tahun jadi wakil rakyat, manakala menerajui UMNO Bahagian pula sudah dekat 60 tahun.

“Usia saya telah mencecah 80 tahun, sudah tidak mampu lagi hendak pikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan tiba masanya ada orang lain ganti,” katanya selepas Majlis Mesra Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah di Gua Musang dua hari lepas.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab. Ghani: Setiausaha UMNO Bahagian, Tuan Mustapha Tuan Soh dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Mohd. Syahbudin Hashim.

Tengku Razaleigh menegaskan, bukan beliau seorang sahaja yang layak memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu tetapi ramai lagi yang boleh dijadikan pilihan rakyat.

Beliau berkata, hasrat persaraannya itu juga pernah diumumkan kepada rakyat di kawasan Parlimen Gua Musang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini untuk berundur kerana telah terlalu lama menjadi wakil rakyat.

“Tetapi majoriti masih mahu saya menerajui UMNO dan menjadi wakil rakyat kerana alasannya mereka takut kawasan ini hilang dan jatuh ke tangan pembangkang.

“Sebenarnya perkara ini tidak bergantung kepada saya, kawasan ini akan selamat selagi ada perpaduan dan kerjasama. Saya rasa tidak menjadi masalah jika saya membuat keputusan berundur pada PRU-14 akan datang,” katanya.

Jumaat, Julai 01, 2016

KISAH AHMAD SAID LAGI

Pada 29 Jun lalu saya telah menulis "10 dalil kenapa MKT perlu pecat Ahmad Said" dalam blog ini. Ia telah menerima hit sebanyak 436 hits. Ini bermakna apa sahaja yang saya tulis tentang bekas MB Terengganu itu menerima respons dari para pembaca.

Lanjutan dari rencana tersebut, saya menerima whatsapp dari seorang hamba Allah yang suruh saya menyambung lagi rencana tersebut. Tulisan ini berdasarkan kandungan whatsapp tersebut.

Katanya, sebagai pemimpin Ahmad Said memberi projek kepada kroninya. Tengok siapa yang menguasai projek projek Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) kalau bukan orang kuat beliau seperti Ngah Dr, Wan Hisham, Dato Maarof, Haji Rajik, Haji Hassan Ali yang dapat projek kebersihan berpuluh tahun. Sudah sampai masanya MPK menawarkan projek kepada mereka yang layak dan bukan kepada kroni kepada mana mana YB.

Demi nak bantu kroni beliau seperti Agu, Lizi, maka Ahmad Said selaku MB sanggup mencadangkan kepada kerajaan pusat untuk isytihar Tasik Kenyir sebagai pulau bebas cukai. Ketika UPEN mengemukakan kertas ini dalam mesyuarat di MOF, wakil MOF tidak setuju Tasik Kenyir dijadikan pulau bebas cukai. Malah wakil MOF berkata jika Terengganu berdegil untuk teruskan cadangan itu, maka MOF tidak akan keluarkan sebarang peruntukan.

Sebaliknya sudah beratus juta dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk menaikkan taraf Tasik Kenyir dengan duit sendiri sedangkan kemasukan pelancong ke Tasir Kenyir tidak berbaloi. Pelancong tak datang pun tidak apa, asalkan kroni kenyang dengan projek.

Malah sepanjang menjadi MB, Ahmad Said menguntungkan orang Cina dengan projek rumah kedai di Cabang Tiga, Kuala Terengganu serta projek Datuk Roslan Awang Chik di Jalan Kamaruddin menguntungkan orang Cina juga.

Beliau menambah Ahmad Said selaku ketua bahagian tidak peduli lagi dengan bahagian. Sejak Haji Abdul Sidek (Haji Dol) meletakkan jawatan sebagai bendahari bahagian, sampai sekarang Ahmad Said tidak lantik penggantinya.

Mesyuarat ahli jawatankuasa bahagian tidak berfungsi sejak  September 2015 lagi dan tiada pembentangan kewangan bahagian.
Bangunan Umno lama yang diruntuhkan tanpa ada status. Bangunan lama dirasmikan oleh Tun Razak ayah PM sekarang ketika beliau menjadi ketua penaja Umno Bahagian Kemaman setelah Umno digantung akibat perebutan kuasa di antara Wan Yahya dengan Datuk Sulung.

Malah bahagian tidak menyelesaikan duit biro keselamatan yang dipersetujui untuk dibayar di mana duit ini untuk petugas keselamatan pada PRU 2013. Sudah tiga tahun isu ini belum selesai.


Oleh kerana Ahmad Said tidak berminat lagi untuk memimpin bahagian maka sudah sampai masanya bagi MKT untuk menggantung Umno bahagian kemaman dan ia hendaklah diketuai naib presiden Umno sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Hishamuddin Husein sebagai ketua penaja. Pemimpin bahagian tidak relevan kerana majoriti ahli jawatankuasa Umno bahagian adalah orang Ahmad Said yang boleh mensabotaj bahagian jika mereka dikekalkan.

Sabtu, Jun 25, 2016

BILA LAGI MKT NAK PECAT AHMAD SAID?

Pemecatan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin  daripada Umno semalam bersama bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kerana melakukan pelanggaran disiplin tidak mengejutkan.

Malah dalam mesyuarat MKT bulan lepas, ramai yang sudah menjangka pemecatan itu tetapi ia ditangguh kerana PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Semalam Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keahliannya sehingga Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Keputusan itu dibuat oleh anggota MT secara sebulat suara pada mesyuarat semalam, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di PWTC semalam.


Muhyiddin dan Shafie sebelum ini digugurkan daripada Kabinet pada Julai 2015 manakala Muhkriz melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada Februari lepas.

Ketiga-tiga mereka lantang mengkritik dan mempersoal kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dalam isu dana politik RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Yang menjadi persoalan, kenapa MKT tidak pecat ADUN Kijal, Ahmad Said dari Umno yang membawa usul tidak percaya kepada MB, Ahmad Razif Abdul Rahman dalam sidang Dewan Undangan Negeri tiga bulan lepas.

Sepatutnya MKT bertindak tegas kepada bekas MB Terengganu itu kerana belum pernah berlaku seorang ADUN BN sendiri mengemukakan usul tidak percaya kepada MB.

Tanpa tindakan tegas MKT ini, penyokong Ahmad Said mempersenda MKT yang mengatakan MKT pengecut kerana  tidak berani ambil tindakan terhadap Ketua Umno Bahagian Kemaman itu. Pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman pada tahun lepas, bahagian tersebut telah menjemput Muhyiddin untuk merasmikan persidangan tersebut.

Ahmad Said turut bersekongkol dengan Dr Mahathir Mohamad ketika bekas PM itu menghadiri majlis "Nothing To Hide" majlis penerangan mengenai 1MDB di PWTC pada tahun lepas.

Sabtu, April 02, 2016

APA LAGI AHMAD SAID MAHU?

Datuk Seri Ahmad Said bagaikan abang saya, saya sentiasa mempertahankan beliau...apa sahaja yang berlaku kepada beliau, sayalah orang yang akan berjuang habis-habisan mempertahankannya.

"Walau apa yang pernah dilakukannya kepada saya, di dalam hati saya, beliau tetap saya anggap sebagai abang.

"Apa yang dilakukan itu, saya sentiasa maafkan," demikian luahan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengenai perasaannya terhadap bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said pada temu bual eksklusif Bernama di kediaman rasmi, Seri Iman, di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Razif berkata demikian semasa ditanya tentang tindakan Ahmad yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang DUN Terengganu pada 8 Mac lepas, yang kemudiannya ditolak oleh Speaker Datuk Mohd Zubir Embong kerana ia dibuat tanpa notis dan melanggar peraturan DUN.

Dengan genangan air mata ketika membicarakan perkara itu, beliau berkata kerana hubungan 'abang dan adik' itu jugalah beliau tetap meneruskan legasi Ahmad malah menambah peruntukan sedia ada dalam pelbagai projek kerajaan negeri.

Menurutnya beliau pernah bertemu Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, untuk berbincang tentang pembangunan negeri dan Ahmad memintanya supaya meneruskan legasinya.

"Beliau minta saya teruskan legasi beliau, maka saya teruskan dengan penambahan peruntukan RM331 juta di Kenyir. Begitu juga janji saya kepada beliau untuk terus membiayai kos zoo di Kemaman dengan RM5 juta setahun, melaksanakan jambatan ikonik di Kijal degan peruntukan RM15 juta," katanya.

Ahmad Razif, yang menggantikan Ahmad sebagai menteri besar pada 23 Mei 2014, berkata beliau juga melaksanakan pusat boling di Kijal dengan kos RM30 juta, membina jalan di Awana Kijal sebanyak RM200 juta serta meneruskan projek perumahan di Sri Bandi, Kemaman.

"Ini akan saya teruskan walaupun (dalam keadaan) apa yang berlaku sekarang kerana itulah janji saya kepada beliau. Saya berjanji akan memberi komitmen kepada janji saya.

"Kepada penduduk Kijal, janganlah bimbang, walau dengan situasi yang berlaku ini, segala projek itu tidak satu pun dikurangkan malah mungkin ditambah lagi," katanya.

Ahmad Razif juga menegaskan bahawa beliau tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Ahmad.

"Saya tidak pernah ada apa-apa perasaan dendam kepada beliau dan kerana itulah juga saya menyokong apa sahaja yang dilakukan dan dilaksanakan sebelum ini. Saya akan terus menyokong.

"Dalam saat beliau susah, saya bantu (kerana) sebagai seorang adik, (saya) kena bantu beliau...dalam kekecohan yang berlaku sebelum ini, sayalah seorang (daripada yang membantu) atas dasar adik membantu abang.

"Saya membantu beliau, saya sentiasa mempertahankan beliau dan apa sahaja yang berlaku kepada beliau, sayalah orang yang akan berjuang habis-habisan mempertahankannya," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Razif meminta beliau tidak diganggu dengan perkara-perkara yang hanya akan merugikan banyak pihak dan perancangan kerajaan negeri, serta berharap kemelut dengan Ahmad akan berakhir dengan baik.

"Berilah peluang untuk saya melaksanakan projek...jika saya diganggu dengan bermacam-macam cara dan suasana politik sekarang, maka tidak dapatlah saya menjalankan projek saya.

"Mungkin saya tidak boleh melaksanakan Transformasi Terengganu Baru (TTB) yang berusia setahun 10 bulan 21 hari ini...jadi, macam mana dalam tempoh itu kita boleh melihat kejayaan," jelasnya.

Pada masa sama, Ahmad Razif berkata beliau berpuas hati kerana dapat melihat pergerakan TTB semakin diterima semua rakyat Terengganu.

"Beri masa kepada saya dua tahun lagi...Insya-Allah, saya yakin dan percaya segala gagasan yang saya cetuskan ini dapat kita lihat pada 2020 nanti," kata beliau.

Ulasan saya, sedih juga dengar keluhan MB terhadap "abangnya", Ahmad Said. Ahmad Razif adalah ADUN pertama yang menyokong Ahmad Said apabila Ahmad Said diumumkan oleh pihak istana sebagai pengganti Datuk Seri Idris Jusoh pada tahun 2008.

Ahmad Razif tidak pergi ke Kuala Lumpur menyertai ADUN-ADUN  lain yang menyokong Idris Jusoh sebaliknya beliau menyokong Ahmad Said. Dalam wawancara saya dengan beliau pada tahun 2008 untuk Warta Parlimen Kepala Batas, beliau terkejut apabila mengangkat sumpah sebagai Exco,  beliau orang pertama mengangkat sumpah dan ini bermakna beliau adalah Exco paling kanan.

Itulah pengorbanan Ahmad Razif menolong Ahmad Said pada tahun 2008. Pada tahun 2014, Ahmad Razif pula dilantik MB, sepatutnya Ahmad Said menolong Ahmad Razif pula menstabilkan politik Terengganu dan bukannya mengkucar-kacirkan politik negeri.

Ahmad Said seolah-olah tidak percaya kepada qada dan qadar. Zamannya sebagai MB sudah berlalu. Sokonglah MB baharu seperti mana beliau selalu sebut dalam ucapannya, sekarang orang sokong kita jadi YB, bila tiba giliran orang lain jadi YB, kita kena sokong orang baharu pula. Takkan Ahmad Said sudah lupa ucapannya itu.

Sebaik-baik sahaja Ahmad Razif jadi MB pada tahun 2014, apabila Ahmad Razif ada program sulung di Kemaman, beliau merendah diri mengunjungi rumah bekas MB itu di Teluk Kalong. Dalam pertemuan itu Ahmad Said minta MB teruskan semua projek di Tasik Kenyir dan Bandar Baru Kijal yang dipatuhi MB.

Apa lagi Ahmad Said mahu? Beliau nak jawatan Pengerusi Ladang Rakyat, MB lantik beliau. Mana ada orang keluar dari Umno  bila masuk semula Umno dapat semula jawatan Ketua Umno Bahagian kecuali Ahmad Said seorang. Orang lain dah keluar Umno, kena bertanding semula jawatan Ketua Bahagian.

Ahmad Said sepatutnya bersyukur dengan apa yang beliau dapat. Menjelang PRK Kijal pada tahun 1990, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selaku MB ketika itu mahu hantar nama Cikgu Johar sebagai calon BN tetapi SB kata kalau letak Cikgu Johar, BN kalah. oleh itu SB mencadangkan BN letak Ahmad Said untuk menentang Ahmad Shabery Cheek calon PKR.

Maka Wan Mokhtar ambil pen padam nama Cikgu Johar gantikan dengan nama Ahmad Said. Sepatutnya Ahmad Said bersyukur. Jika bukan kerana bantuan SB, Ahmad Said tak dapat jadi calon.

Pada tahun 2004, nama Ahmad Said sudah tiada dalam senarai calon BN walaupun beliau Ketua Umno Bahagian Kemaman. Tetapi dengan bantuan Setiausaha Umno Bahagian, Zahari Said yang rapat
dengan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Idris Jusoh, maka Ahmad Said kekal sebagai calon BN Kijal.

Pada tahun 2008 sekali lagi Idris gugurkan nama Ahmad Said sebagai calon dan menggantikannya dengan nama Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya. Tetapi Ahmad Said sempat menemui Pak Lah di Putrajaya yang menyebabkan namanya kekal lagi sebagai calon BN. Pada tahun yang sama tiba tiba Ahmad Saiid diumumkan sebagai MB baharu menggantikan Idris Jusoh.

Ahmad Said tidak pernah bermimpi untuk jadi MB tetapi selepas 18 tahun aktif dalam politik beliau dilantik jadi MB. Beliau sepatutnya bersyukur dengan nikmat Allah ini. Sudah 21 tahun Ahmad Said jadi ADUN Kijal (kecuali 1999 hingga 2004) apa lagi Ahmad Said mahu? Cukuplah. Bersaralah dari politik secara baik kerana jika Datuk Seri terus mengganggu pentadbiran Ahmad Razif, orang Umno Kemaman sendiri yang akan menghancurkan karier politik Datuk Seri. Tunggulah waktu itu.


Selasa, Oktober 20, 2015

MALAYSIAKINI MENIPU LAGI

Malaysiakini patut tukar nama dari Malaysiakini kepada Menipulagi. Tak habis habis berita Malaysiakini menipu pembaca. Kebetulan di rumah saya baru masuk Unify jadi ada saluran 143 untuk siaran langsung persidangan parlimen.

Selama ini kita menyaksikan siaran langsung parlimen dari jam 10 pagi hingga 11.30 soal jawab di RTM saluran 1. Tetapi melalui saluran 413 Unify, kita dapat menyaksikan siaran langsung sidang parlimen dari jam 10 pagi hingga jam 5 petang.

Ketika Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia sedang bergaduh dengan ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng saya sempat menontonnya. Maka tajuk yang diberi Malaysiakini, "Kerana usul tol, dua wakil DAP diarah keluar dewan" ternyata amat mengelirukan.  Nampak sangat Malaysiakini menipu para pembacanya.

Pandikar bukannya menghalau Lim kerana membawa usul tol tetapi kerana beliau  mengganggu persidangan dewan. Sepatutnya dia bangkitkan hal usulnya pada jam 11.30 pagi sebelum PM, Najib Razak memnbentangkan usul perlantikan jawatankuasa pemilih.

Seperti kata Pandikar, walaupun usul ini ditolak kerana ia tidak perlu disegerakan, isu tol boleh dibincangkan minggu depan dalam perbahasan bajet. Bukannya ahli parlimen tidak boleh bercakap langsung pasal tol. Jadi apa motif Lim Lip Eng nak bertengkar dengan Speaker Dewan Rakyat. Nak jadi hero kot.

Ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo diarah keluar dewan kerana berkata Speaker tidak jujur. Maka Speaker berkata beliau telah mempertikai integritinya sebagai Speaker. Pandikar suruh Gobind menarik balik tuduhan itu tetapi beliau enggan, maka Pandikar arahkan beliau keluar dewan.

Jadi tak timbul isu Gobind diarah keluar kerana mempertahankan usul tol yang dibawa Lim Lip Eng. Dahulu saya hormati berita-berita yang disiarkan Malaysiakini, tetapi setelah saya melihat siaran langsung sidang parlimen di tv maka saya tidak hormati lagi Malaysiakini kerana Malaysiakini sengaja menipu dalam penyiaran beritanya. Sampai bila Malaysiakini nak menipu rakyat Malaysia? Journalisme apa yang diamalkan oleh Malaysiakini? Buat malu wartawan.






Jumaat, Julai 05, 2013

UTUSAN MALAYSIA KALAH LAGI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan akhbar milik Umno Utusan Malaysia membayar ganti rugi RM250,000 kepada bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar yang menang dalam kes saman berhubung isu nombor pendaftaran kenderaan WWW1. Peguam Firtri Asmuni mengesahkan bahawa mahkamah memerintahkan bayaran ganti rugi am dan teladan selepas Hakim Rosnaini Saub mendapati Utusan memfitnah Mohammad Nizar dalam kes tersebut. "Bagaimanapun, Hakim Rosnaini tidak menganugerahkan ganti rugi teruk,” kata Asmuni ketika dihubungi. Mahkamah juga memerintahkan Utusan membayar kos sebanyak RM30,000. Hakim Rosnaini mendapati wartawan Utusan Malaysia bertindak cuai dan tidak mempedulikan ketepatan laporannya. “Defendan dengan ini tidak berminat mencari kebenaran. sehubungan itu boleh dirumuskan bahawa penulisan dan penerbitan berita itu telah didorong dengan niat jahat di pihak defendan. “Ini bermakna pembelaan ulasan saksama dan perlindungan bersyarat tidak dapat dipertahankan oleh pihak defendan. “Adalah penting utk mendapat penerangan dan pengesahan Nizar memandangkan laporan berita itu menyentuh perkasa sensitif dan melibatkan Sultan Johor. “Tetapi wartawan Utusan itu tidak menghubungi Nizar utk mengesahkan komen sebenar beliau paparkan dalam Twitternya. Sebaliknya wartawan Itusan itu tiada masalah menghubungi Ketua Pemuda Umno Johor Hakim itu juga berkata, beliau bersetuju bahawa Nizar boleh dikritik namun ia tidak memberi hak kepada defendan untuk memutar belit dan memuatkan fakta salah dan fitnah ke atas plaintif berdasarkan tulisan plaintif di Twitter. Walaupun tulisan tersebut adalah berhubung twit Nizar, ia tidak memuatkan keseluruhan mesej tersebut, katanya lagi. Beliau juga mendapati penulis memasukkan perkara yang tidak menggambarkan tulisan Nizar, katanya.

Ahad, Julai 03, 2011

APA LAGI SAMAD SAID HENDAK?


Apa lagi Sasterawan Negara A. Samad Said nak? Dia menyeru golongan intelektual menentang kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan. kalau dia tak puas hati dengan kerajaan, pulangkan saja anugerah sasterawan negara itu.

Tak payahlah beliau dipanggil sasterawan negara walaupun hadiahnya RM60,000 seperti kata Siti Jarum dalam Mingguan Malaysia lebih rendah dari hadiah Maharaja Lawak sebanyak RM350,000.

Oleh itu jika mahu sangat sokong Bersih, tak payah jadi ambil anugerah kerajaan itu. Pulangkan sahaja wang dan anugerah lain. buat apa terima anugerah kerajaan sedangkan dia sendiri kata kerajaan tidak adil.

Apa lagi yang beliau mahu sedangkan novelnya dicetak berulangkali oleh DBP. Oleh itu sertailah Bersih dan tak perlu bergantung kepada royalti yang dibayar oleh DBP.

Bersedia menghadapi kemungkinan ditangkap ketika hambatan terhadap penyokong BERSIH 2.0 semakin meningkat, Sasterwan Negara, Datuk A Samad Said menggesa para intelektual supaya berhenti menjadi 'carma' tetapi berani membuat pendirian terhadap kekejaman dan ketidakadilan.

Beliau mencipta istilah 'carma' itu - singkatan kepada 'cari makan' -
semasa pelancaran buku kartunis dan penulis satira politik, Zunar di ibunegara malam tadi.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad berkata penulis jarang membuat pendirian dan kebanyakan mereka adalah 'carma'.

Tegasnya, sikap mereka yang tidak bersedia membuat pendirian tersebut mengakibatkan kejahatan berkembang dan merebak.

Pak Samad kemudiannya mensasarkan kritikannya terhadap editor media arus perdana yang memburuk-burukkan perhimpunan 9 Julai anjuran BERSIH 2.0 bagi menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.

Bagi media arus perdana, katanya, BERSIH adalah kotor.

Jumaat, Oktober 29, 2010

ANSARI JATUH KE LAUT LAGI


Baru dua hari selepas jatuh ke laut, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi Ansari Abdullah tergelincir lagi ke laut selepas jambatan kayu menuju ke sebuah perkampungan nelayan runtuh hari ini.

Kejadian berlaku pada 3.45 petang ketika Ansari dan rombongan kempennya, termasuk Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menjalankan kempen dari rumah ke rumah di Kampung Gas.

"Kejadian berlaku sejurus selepas Tan Sri Khalid (Ibrahim) melepasi jambatan itu menghala ke sebuah rumah yang dibina dalam laut.

"Beliau bergayut pada sebuah papan bila lima pekerja kempen cuba mengangkatnya. Bagaimanapun, mereka semua jatuh ke laut, kata Jumin Jeffrey Masuling, pengurus media pilihan raya PKR.

Jumin, yang juga setiausaha cabang PKR Tuaran itu berkata Ansari, pengerusi cabang PKR Tuaran, diselamatkan oleh penduduk kampung.

"Beliau mengalami cedera ringan di lutut dan dada dan dihantar ke Hospital Sandakan," katanya.

Selepas rawatan, beliau meneruskan kempen.

Pada Rabu, Ansari dan pengurus kempennya Oting Enchi dan seorang wartawan NTV7 jatuh ke laut selepas titi kayu di sebuah kampung berhampiran Pulau Api Api runtuh.