Sabtu, April 02, 2016

APA LAGI AHMAD SAID MAHU?

Datuk Seri Ahmad Said bagaikan abang saya, saya sentiasa mempertahankan beliau...apa sahaja yang berlaku kepada beliau, sayalah orang yang akan berjuang habis-habisan mempertahankannya.

"Walau apa yang pernah dilakukannya kepada saya, di dalam hati saya, beliau tetap saya anggap sebagai abang.

"Apa yang dilakukan itu, saya sentiasa maafkan," demikian luahan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mengenai perasaannya terhadap bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said pada temu bual eksklusif Bernama di kediaman rasmi, Seri Iman, di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Razif berkata demikian semasa ditanya tentang tindakan Ahmad yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang DUN Terengganu pada 8 Mac lepas, yang kemudiannya ditolak oleh Speaker Datuk Mohd Zubir Embong kerana ia dibuat tanpa notis dan melanggar peraturan DUN.

Dengan genangan air mata ketika membicarakan perkara itu, beliau berkata kerana hubungan 'abang dan adik' itu jugalah beliau tetap meneruskan legasi Ahmad malah menambah peruntukan sedia ada dalam pelbagai projek kerajaan negeri.

Menurutnya beliau pernah bertemu Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, untuk berbincang tentang pembangunan negeri dan Ahmad memintanya supaya meneruskan legasinya.

"Beliau minta saya teruskan legasi beliau, maka saya teruskan dengan penambahan peruntukan RM331 juta di Kenyir. Begitu juga janji saya kepada beliau untuk terus membiayai kos zoo di Kemaman dengan RM5 juta setahun, melaksanakan jambatan ikonik di Kijal degan peruntukan RM15 juta," katanya.

Ahmad Razif, yang menggantikan Ahmad sebagai menteri besar pada 23 Mei 2014, berkata beliau juga melaksanakan pusat boling di Kijal dengan kos RM30 juta, membina jalan di Awana Kijal sebanyak RM200 juta serta meneruskan projek perumahan di Sri Bandi, Kemaman.

"Ini akan saya teruskan walaupun (dalam keadaan) apa yang berlaku sekarang kerana itulah janji saya kepada beliau. Saya berjanji akan memberi komitmen kepada janji saya.

"Kepada penduduk Kijal, janganlah bimbang, walau dengan situasi yang berlaku ini, segala projek itu tidak satu pun dikurangkan malah mungkin ditambah lagi," katanya.

Ahmad Razif juga menegaskan bahawa beliau tidak menyimpan sebarang dendam terhadap Ahmad.

"Saya tidak pernah ada apa-apa perasaan dendam kepada beliau dan kerana itulah juga saya menyokong apa sahaja yang dilakukan dan dilaksanakan sebelum ini. Saya akan terus menyokong.

"Dalam saat beliau susah, saya bantu (kerana) sebagai seorang adik, (saya) kena bantu beliau...dalam kekecohan yang berlaku sebelum ini, sayalah seorang (daripada yang membantu) atas dasar adik membantu abang.

"Saya membantu beliau, saya sentiasa mempertahankan beliau dan apa sahaja yang berlaku kepada beliau, sayalah orang yang akan berjuang habis-habisan mempertahankannya," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Razif meminta beliau tidak diganggu dengan perkara-perkara yang hanya akan merugikan banyak pihak dan perancangan kerajaan negeri, serta berharap kemelut dengan Ahmad akan berakhir dengan baik.

"Berilah peluang untuk saya melaksanakan projek...jika saya diganggu dengan bermacam-macam cara dan suasana politik sekarang, maka tidak dapatlah saya menjalankan projek saya.

"Mungkin saya tidak boleh melaksanakan Transformasi Terengganu Baru (TTB) yang berusia setahun 10 bulan 21 hari ini...jadi, macam mana dalam tempoh itu kita boleh melihat kejayaan," jelasnya.

Pada masa sama, Ahmad Razif berkata beliau berpuas hati kerana dapat melihat pergerakan TTB semakin diterima semua rakyat Terengganu.

"Beri masa kepada saya dua tahun lagi...Insya-Allah, saya yakin dan percaya segala gagasan yang saya cetuskan ini dapat kita lihat pada 2020 nanti," kata beliau.

Ulasan saya, sedih juga dengar keluhan MB terhadap "abangnya", Ahmad Said. Ahmad Razif adalah ADUN pertama yang menyokong Ahmad Said apabila Ahmad Said diumumkan oleh pihak istana sebagai pengganti Datuk Seri Idris Jusoh pada tahun 2008.

Ahmad Razif tidak pergi ke Kuala Lumpur menyertai ADUN-ADUN  lain yang menyokong Idris Jusoh sebaliknya beliau menyokong Ahmad Said. Dalam wawancara saya dengan beliau pada tahun 2008 untuk Warta Parlimen Kepala Batas, beliau terkejut apabila mengangkat sumpah sebagai Exco,  beliau orang pertama mengangkat sumpah dan ini bermakna beliau adalah Exco paling kanan.

Itulah pengorbanan Ahmad Razif menolong Ahmad Said pada tahun 2008. Pada tahun 2014, Ahmad Razif pula dilantik MB, sepatutnya Ahmad Said menolong Ahmad Razif pula menstabilkan politik Terengganu dan bukannya mengkucar-kacirkan politik negeri.

Ahmad Said seolah-olah tidak percaya kepada qada dan qadar. Zamannya sebagai MB sudah berlalu. Sokonglah MB baharu seperti mana beliau selalu sebut dalam ucapannya, sekarang orang sokong kita jadi YB, bila tiba giliran orang lain jadi YB, kita kena sokong orang baharu pula. Takkan Ahmad Said sudah lupa ucapannya itu.

Sebaik-baik sahaja Ahmad Razif jadi MB pada tahun 2014, apabila Ahmad Razif ada program sulung di Kemaman, beliau merendah diri mengunjungi rumah bekas MB itu di Teluk Kalong. Dalam pertemuan itu Ahmad Said minta MB teruskan semua projek di Tasik Kenyir dan Bandar Baru Kijal yang dipatuhi MB.

Apa lagi Ahmad Said mahu? Beliau nak jawatan Pengerusi Ladang Rakyat, MB lantik beliau. Mana ada orang keluar dari Umno  bila masuk semula Umno dapat semula jawatan Ketua Umno Bahagian kecuali Ahmad Said seorang. Orang lain dah keluar Umno, kena bertanding semula jawatan Ketua Bahagian.

Ahmad Said sepatutnya bersyukur dengan apa yang beliau dapat. Menjelang PRK Kijal pada tahun 1990, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selaku MB ketika itu mahu hantar nama Cikgu Johar sebagai calon BN tetapi SB kata kalau letak Cikgu Johar, BN kalah. oleh itu SB mencadangkan BN letak Ahmad Said untuk menentang Ahmad Shabery Cheek calon PKR.

Maka Wan Mokhtar ambil pen padam nama Cikgu Johar gantikan dengan nama Ahmad Said. Sepatutnya Ahmad Said bersyukur. Jika bukan kerana bantuan SB, Ahmad Said tak dapat jadi calon.

Pada tahun 2004, nama Ahmad Said sudah tiada dalam senarai calon BN walaupun beliau Ketua Umno Bahagian Kemaman. Tetapi dengan bantuan Setiausaha Umno Bahagian, Zahari Said yang rapat
dengan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Idris Jusoh, maka Ahmad Said kekal sebagai calon BN Kijal.

Pada tahun 2008 sekali lagi Idris gugurkan nama Ahmad Said sebagai calon dan menggantikannya dengan nama Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya. Tetapi Ahmad Said sempat menemui Pak Lah di Putrajaya yang menyebabkan namanya kekal lagi sebagai calon BN. Pada tahun yang sama tiba tiba Ahmad Saiid diumumkan sebagai MB baharu menggantikan Idris Jusoh.

Ahmad Said tidak pernah bermimpi untuk jadi MB tetapi selepas 18 tahun aktif dalam politik beliau dilantik jadi MB. Beliau sepatutnya bersyukur dengan nikmat Allah ini. Sudah 21 tahun Ahmad Said jadi ADUN Kijal (kecuali 1999 hingga 2004) apa lagi Ahmad Said mahu? Cukuplah. Bersaralah dari politik secara baik kerana jika Datuk Seri terus mengganggu pentadbiran Ahmad Razif, orang Umno Kemaman sendiri yang akan menghancurkan karier politik Datuk Seri. Tunggulah waktu itu.